Showing posts with label kemalangan. Show all posts
Showing posts with label kemalangan. Show all posts

Nur Umaisarah Hilang Dan Dijumpai

Nur Umaisarah Sameaun, 21, pelajar tahun akhir Diploma Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis menjadi perhatian orang ramai apabila beliau hilang semasa sedang menuruni Gunung Tahan pada 7 Februari 2008 lalu. Nur Umaisarah atau lebih dikenali sebagai Umai telah dijumpai 19 hari kemudian pada pukul 6.30 petang oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kuala Sungai Putih, Jerantut.

Nur Umaisarah Sameaun @ UmaiUmai adalah salah seorang daripada kumpulan 36 pelajar termasuk pegawai pengiring yang menyertai program ekspedisi Gunung Tahan unit beruniform Komander Kesatria anjuran UiTM. Mereka telah mendaki Gunung Tahan pada 5 Februari serta bermalam di Kem Kor dan pada hari kedua, mereka mendaki lagi dan bermalam di Kem Botak sebelum meneruskan pendakian ke puncak keesokannya dan terus turun ke Kem Kor semula untuk pulang. Kehilangan Umai hanya disedari rakan-rakan ketika mereka tiba di Kem Kor dari puncak gunung, kira-kira jam 11 pagi, 7 Februari.

Usaha mencari Umai telah dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak dengan jumlah keseluruhan anggota operasi melebihi 150 orang termasuk Senoi Praaq, Unit Udara Polis, Pasukan Gerak Am (PGA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Unit Komando Polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Komando 69 dan unit pengesan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Umai akhirnya telah dijumpai 19 hari kemudian pada pukul 6.30 petang oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama dua pelancong Rusia di Kuala Sungai Putih, Jerantut. Selepas ditemui Umai telah dibawa ke Kem Kuala Sungai Putih dekat Jerantut, sebelum diterbangkan dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dari Jerantut dan tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan jam 10.30 pagi keesokan harinya.

Ketika dijumpai oleh renjer berkenaan, Umai berada dalam keadaan lemah dan kelaparan tetapi sihat, malah pakaian yang dipakainya kelihatan bersih. Jarak Umai ditemui ialah kira-kira 30 kilometer dari lokasi beliau sesat dan agak jauh dari lokasi operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan.

Umai yang menerima rawatan di Wad DiRaja HTAA, atas ihsan Sultan Pahang kelihatan kurus dan cengkung, disahkan doktor dalam keadaan sihat dan stabil, tetapi mengalami luka dan calar pada badan, lengan serta kaki.

Technorati Tags: , , , , ,

Read More...

Statistik Kemalangan Jalan Raya

Selepas menulis tentang Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan, tergerak dihati untuk mengetahui jumlah kemalangan dan kematian yang telah berlaku sepanjang tahun 2007. Lebih-lebih lagi untuk melihat seteruk mana kemalangan dan kematian yang melibatkan motosikal di Malaysia ini. Memang tidak dapat dinafikan motosikal merupakan kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan dan kehilangan nyawa.

Pada tahun 2006 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 6,287 orang. Dari jumlah ini penunggang dan pembonceng motosikal sahaja melibatkan 3,693 orang atau 58.7%. Sementara itu bagi tahun ini sehingga September 2007 jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya ialah 4,646 dan penunggang serta pembonceng motosikal sahaja ialah 2,476 atau 53.3%.

Bagi kategori lain setakat September 2007, jumlah kematian yang melibatkan pemandu dan penumpang kereta ialah seramai 1,113 (24%), pejalan kaki 482 (10.4%), penunggang dan pembonceng basikal 141 (3%)pemandu dan kelindan lori 145 (3.1%), pemandu dan kelindan van 101 (2.1%), pemandu dan kelindan pacuan 4 roda 65 (1.4%), pemandu dan penumpang bas 64 (1.4%) dan kenderaan lain 59 (1.3%). Menurut perangkaan bagi 2005 kadar kematian jalan raya adalah 4.2 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan bagi 2006 3.95 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar.

Perangkaan Kematian Jalan Raya
Kategori
2006
Jan-Sept'06
Jan-Sept'07
Pemandu/Penumpang Kereta
1,215
920
1113
Penunggang/Pembonceng Motosikal
3,693
2,736
2,476
Pejalan Kaki
595
438
482
Penunggang/Pembonceng Basikal
242
183
141
Pemandu/Penumpang Bas
39
26
64
Pemandu/Kelindan Lori
229
174
145
Pemandu/Kelindan Van
103
73
101
Pemandu/Kelindan Pacuan 4 Roda
110
73
65
Lain-lain
61
48
59
JUMLAH
6,287
4,671
4,646
Sumber : PanduCermat

Bagaimanakah jumlah kemalangan dan kematian ini boleh dikurangkan dimasa akan datang? Apakah punca kemalangan jalan raya ini boleh berlaku? Pihak berkuasa boleh mengadakan undang-undang dan menguatkuasakannya, di mana mereka yang tertangkap akan dihukum. Berbagai kempen dan program boleh diatur untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya. Didikan di sekolah dan di rumah juga perlu seiring dalam usaha untuk menjadikan jalan raya lebih selamat.

Pihak kerajaan telah menubuhkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya dengan misi menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai tahap keselamatan jalanraya setaraf dengan negara maju menjelang 2010 iaitu 10 kematian setiap 100,000 penduduk, 2 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan 10 kematian setiap satu billion kilometer perjalanan kenderaan. Objektif jabatan ini diwujudkan adalah sebagai "One Stop Agency" bagi memantau dan menyelaras program keselamatan jalanraya dari aspek Pendidikan, Penguatkuasaan, Kejuruteraan dan Persekitaran.

Walaupun begitu akhirnya bergantung kepada kesedaran dan sikap para pengguna jalan raya itu sendiri. Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat ramah mesra dan berbudi pekertinya tetapi kenapa apabila menggunakan jalan raya bertukar menjadi kurang ajar dan tidak bertimbang rasa? Adakah sistem pendidikan kita yang terlalu menjurus kepada peperiksaan telah mengabaikan aspek-aspek sahsiah diri seorang itu? Mungkin juga ibubapa gagal memupuk nilai-nilai murni kehidupan kepada anak-anak? Sebelum menuding jari kepada sesiapa, cuba kita periksa dulu diri kita, bagaimanakah cara pemanduan kita?

Technorati Tags: , , , ,

Read More...

Raya, Remaja, Motosikal Dan Kemalangan

Hari Raya Aidil Fitri masih lagi meriah disambut terutama dengan majlis rumah terbuka dihujung minggu. Sementara itu Ops Sikap XIII telah pun berakhir dengan mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 15,911 berbanding 15,716 semasa Ops Sikap XI pada hari raya tahun lepas. Jumlah kematian semasa Ops Sikap XIII pula ialah seramai 225 orang di mana 53.8% atau 121 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.

Ini jelas menunjukkan bahawa korban terbesar di jalan raya sepanjang Ops Sikap XIII ialah mereka yang menggunakan motosikal. Begitu juga jika angka kemalangan dan korban untuk sepanjang tahun di semak pasti penunggang dan pembonceng motosikal mewakili jumlah yang tertinggi. Sebahagian besar mereka ini pula terdiri daripada remaja dan belia yang akan menjadi penyumbang kepada kemakmuran negara.

Pada tahun lepas saya sendiri pernah nyaris-nyaris melanggar seorang penunggang motosikal yang jatuh di hadapan kereta yang saya pandu. Jiran kami di kampung juga telah meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motosikal pada tahun lepas. Dia telah dilanggar oleh seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang sudah pastinya tidak mempunyai lesen. Kedua-dua cerita ini boleh dibaca di Kemalangan dan Kemalangan Motosikal.

Sepanjang bulan Syawal ini semua orang akan sibuk menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai. Kanak-kanak dan remaja juga tidak ketinggalan untuk pergi mengunjungi rumah kawan-kawan mereka. Apa yang dapat saya lihat semasa proses kunjung-mengunjung ini, ramai kanak-kanak dan remaja yang menunggang motosikal bersama kawan-kawan yang juga menunggang motosikal. Mereka ini yang sudah pasti tidak mempunyai lesen tetapi apa yang lebih memeranjatkan lagi ialah motosikal itu dibawa dengan kebenaran ibubapa. Malah ada ibubapa yang membenarkan anak remaja mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal jauh ke bandar lain untuk berhari raya di rumah kawan.

Kita semua sedia maklum apabila remaja ini berkumpul dengan rakan sebaya sudah pasti kelakuan dan lagak mereka lebih daripada biasa; menunggang dengan laju, kejar-mengejar dan seumpamanya. Apa yang lebih membimbangkan, laluan yang mereka tempohi ialah jalan yang tersenarai di dalam jalan-jalan yang mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi.

Kenapakah ibubapa begitu mudah membenarkan anak-anak mereka melanggarkan peraturan? Kanak-kanak dan remaja ini mungkin tahu membawa motosikal tetapi adakah mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan undang-undang jalanraya? Tujuan utama diwajibkan mengambil lesen memandu ialah untuk memastikan penunggang itu berkebolehan untuk membawa kenderaan dengan baik dan faham peraturan lalu lintas jalanraya.

Saya masih ingat kepada satu peristiwa yang menimpa kepada kawan adik saya beberapa tahun dahulu. Dia masih belajar di tingkatan tiga tetapi sering membawa kereta bapanya dan pernah ditahan oleh pihak polis. Walaupun pernah ditahan polis dia masih terus menggunakan kereta bapanya. Pada suatu malam dia telah keluar bersama-sama seorang kawan perempuan selepas majlis sambutan hari jadi ke 16. Mereka telah terserempak dengan sebuah kereta peronda dan anggota polis telah mengarahkan dia berhenti.

Bagi mengelakkan ditahan polis sekali lagi, kawan adik saya ini telah cuba melarikan diri. Setelah berlaku kejar-mengejar pihak polis telah berjaya menyekat kereta yang dipandu remaja ini. Semasa seorang anggota polis menghampiri kereta, remaja berkenaan telah tunduk untuk mengambil sesuatu dari bawah kerusi. Anggota polis yang menyangkakan remaja tersebut mengambil senjata api telah melepaskan tembakan. Remaja itu mati di dalam kereta bapanya di atas riba kawan perempuan yang bersamanya.

Menurut adik saya, bapa kawannya itu tidak pernah melarang anaknya membawa kereta walaupun setelah ditahan pihak polis. Bapanya cuma menasihat supaya berhati-hati semasa memandu dan mengelak dari ditahan oleh pihak polis lagi.

Apabila ibubapa membenarkan anak mereka melanggar peraturan, ini secara langsung memberitahu mereka bahawa undang-undang itu tidak perlu dipatuhi. Oleh itu apabila remaja ini melanggarkan peraturan yang lain, siapakah yang harus dipersalahkan? Jika remaja sekarang semakin tidak berdisplin, dimanakah silapnya?

Technorati Tags: , , , ,

Read More...

Kemalangan Nuri

Pada 13 Julai 2007 yang lalu sebuah helikopter Nuri atau Sikorsky S-61 ataupun H-3 Sea King kepunyaan Tentera Udara DiRaja Malaysia telah hilang semasa dalam penerbangan dari Pangkalan TUDM Sungai Besi ke Kuantan. Lima hari kemudian pesawat Nuri itu telah dijumpai bersama-sama dengan kesemua anggota TUDM yang turut terkorban dalam nahas tersebut.
Helikopter Nuri
Foto : Berita Harian

Kapten(U) Nor Azlan Termuzi 29 tahun, Kapten(U) Nor Intan Asykeen Mohd Arof 27 tahun, Sarjan Udara Khusnizaim Ariffin 34 tahun, Sarjan Udara Mohd Azmie Md Yassin 35 tahun, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias 28 tahun dan Laskar Udara Kanan Muhammad Ridzuan Ahmad 27 tahun telah pun selamat dikebumikan di kampung halaman masing-masing. Semenjak pesawat Nuri ini digunakan oleh TUDM dari tahun 1968 sebanyak 18 kemalangan yang dilaporkan dengan mengorbankan seramai 101 orang.

Kaum keluarga dan sahabat handai kepada 6 anggota yang terkorban tentu merasa kehilangan dengan pemergian secara mengejut ini. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya. Saya sendiri pernah mengalaminya apabila seorang daripada adik saya telah terkorban dalam satu kemalangan kapalterbang. Begitu juga pengalaman dengan laporan berita yang kurang tepat oleh pihak media semasa peristiwa itu juga telah kami alami.

Setiap yang hidup pasti akan mati, kita yang masih bernyawa ini juga akan menyusul mereka yang terdahulu. Segala tentang mereka yang telah mengadap yang maha Esa ini akan tinggal kenangan dan satu lipatan sejarah kehidupan kepada yang masih hidup. Setiap yang berlaku itu ada hikmahnya dan yakinlah dengan ketentuanNya.

Technorati Tags: , , , , ,

Read More...

Kemalangan

Sejak kebelakangan ini semakin banyak kemalangan yang melibat kenderaan berlaku. Kebanyakan kemalangan ini melibatkan motosikal. Aku sendiri baru-baru ini nyaris melanggar seorang pemandu motosikal yang jatuh di hadapan keretaku. Kejadian berlaku diwaktu pagi semasa semua orang sedang sibuk hendak pergi kerja. Ianya berpunca apabila sebuah kereta telah menukar lorong secara tiba-tiba dan motosikal tersebut tidak sempat mengelak terus melanggar sisi kereta itu.

Syukur aku sempat memberhentikan kereta apabila pemandu motosikal itu jatuh betul-betul di hadapanku. Dia cuma calar-calar dan motosikalnya tidak mengalami kerosakan teruk. Manakala kereta itu pula kemek dikedua-dua pintu belakang dan depan.

Apabila bercerita tentang kemalangan aku teringat tentang beberapa kemalangan yang melibatkan ahli keluargaku. Adik bongsuku pernah terlibat dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan dia terlantar di hospital. Kakinya patah dan terpaksa dimasukkan besi.

Seluruh ahli keluargaku pernah terbabit dalam kemalangan yang agak mengerikan apabila kereta yang dipandu oleh bapaku telah hilang kawalan dan terhumban ke dalam gaung. Alhamdullilah mereka semua selamat tanpa ada satu calar pun di badan tetapi jika melihat keadaan kereta tentu tak percaya. Ketika berlakunya kemalangan itu aku tidak ada bersama-sama kerana ada aktiviti di sekolah.

Walaupun begitu satu ada satu kemalangan yang telah mengubah hidupku. Kemalangan tersebut telah menyebabkan aku kehilangan salah seorang adik yang sangat rapat denganku.

Penulisan yang berkaitan; Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan

Technorati Tags: , , ,

Read More...

Kemalangan Motosikal

Lewat malam semalam isteriku telah menerima panggilan telefon daripada kakak beliau di kampung. Rupanya ada berita sedih, jiran kami di kampung telah meninggal dunia kerana terlibat dalam satu kemalangan berdekatan dengan kedai runcit beliau.

Motor yang beliau tunggang telah bertembung dengan sebuah motor dan beliau telah tercampak dan cedera parah di kepala. Beliau sempat dibawa ke hospital oleh anak beliau sendiri tetapi meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Ketika itu kira-kira pukul 8.00 malam dan dalam perjalanan ke kedai runcit beliau selepas menunaikan solat maghrib di rumah. Seperti biasa bila di kampung seperti mana orang lain beliau tidak memakai topi keledar. Orang yang melanggar beliau pula adalah dua orang adik beradik yang berumur 12 tahun dan 8 tahun. Mereka berdua juga tidak memakai topi keledar tetapi hanya cedera ringan.

Inilah hakikatnya di kampung semua orang boleh membawa motor tanpa sebarang sekatan atau larangan penjaga maupun ibubapa malah mengalakkannya. Apabila menerima berita ini aku teringat kes JPJ membaling kerusi baru-baru ini. Pendidikan semuanya bermula dari rumah dan jika satu kelompok manusia dalam satu keluarga itu tidak mempunyai nilai-nilai yang murni bagaimana kita hendak mengujudkan satu masyarakat apalagi satu negara yang cemerlang dan gemilang?

Penulisan yang berkaitan; Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan


Sebagai imbasan.......

Brand New Malaysian - Kencing Dalam Tempurung
Judd - Are We Really That Bad?

Utusan Online
Pelajar buat tujuh kesalahan
Tindakan dua pegawai JPJ munasabah
Tindakan tatatertib jika bersalah - Kong Choy
Keluarga pelajar cedera didakwa dibaling kerusi sedia berdamai
Reaksi terhadap insiden pelajar dibaling kerusi
JPJ pertahan dua anggota
`Saya dipukul semasa mahu membantu'
Silap besar bayar pampasan pesalah JPJ
Hapuskan sahaja lesen menunggang motosikal
Tidak patuh undang-undang punca insiden baling kerusi
Pelajar tunggang motosikal tanpa lesen semakin serius

Tag : ,

Read More...

Contents By Category