Di dalam mengharungi kehidupan ini kita akan bertemu dan mengenali dengan berbagai ragam dan golongan manusia. Betapa susahpun kita sudah pasti ada orang yang lebih susah daripada kita. Setiap orang mempunyai keperluan dan tidak semua keperluan itu dapat dipenuhi.

Cuba nilaikan keperluan dan kehendak kita hari ini. Adakah ianya keperluan asas atau hanya memenuhi tuntutan nafsu dan taraf hidup. Kita sering terlupa bahawa ada di satu sudut bumi ini mereka yang serba kekurangan dari segi keperluan asas kehidupan. Malah salah satu tempat ini tidak jauh daripada rumah kita semua.

Atas keperihatinan BadrulAfterSix dan Leen Ash Burn's Second Lair, mereka berusaha mengumpul dana, barangan dan masa pembaca-pembaca blog untuk disumbangkan kepada sebuah rumah yang menempatkan anak-anak yatim dan anak-anak ibu tunggal. Ketika ini mereka ditempatkan di dua unit flat dua bilik di Rawang yang dikenali sebagai Baitul Fitrah.

Oleh itu jika anda terbuka hati untuk menghulurkan sebarang bentuk sumbangan, silalah berbuat demikian dengan berhubung terus dengan Badrul di 012-2315540 atau Leen di blitzbloo(at)yahoo(dot)com. Semoga keikhlasan hati kita semua akan melakarkan senyuman kanak-kanak di Baitul Fitrah.

Tag : ,

Posted by Azhad 31.3.06 0 comments

Baru-baru ini keputusan STPM dan sebelum itu SPM telah diumumkan dan bersorak gembiralah mereka yang berjaya memperolehi deretan A. Ibubapa, sanak keluarga, rakan taulan dan guru-guru juga turut gembira bersama. Tahniah diucapkan kepada mereka yang telah berjaya mendapat keputusan yang cemerlang.

Nampaknya begitu ramai yang cemerlang dalam peperiksaan mereka tetapi adakah mereka cemerlang juga dari segi tingkah laku, jati diri dan juga agama? Cuba kita lihat orang yang terdekat dengan diri kita iaitu ahli keluarga, kawan-kawan dan diri kita sendiri, sejauh manakah kecemerlangan kita dari segi akademik, sahsiah diri, perlaksanaan tanggungjawab tugas dan amalan agama kita? Memang benar, mana ada manusia yang sempurna tetapi jangan jadikan itu sebagai alasan itu untuk tidak buat yang terbaik.

Kesimbangan antara pencapaian akademik dan perkembangan sahsiah diri adalah penting untuk kita terus berjaya dalam hidup ini. Cubalah kita perhatikan mereka yang berjaya dan cemerlang disekeliling kita. Kalau boleh cuba selidik pencapaian akademik dan penglibatan mereka dalam aktiviti di sekolah maupun di institut pengajian tinggi. Mereka ini sudah pasti bukan yang terbaik tetapi adalah dikalangan yang cemerlang baik dari segi akademik maupun kegiatan luar kelas yang sihat.

Walaupun begitu istilah berjaya dalam hidup ini mempunyai maksud yang berbeza kepada setiap individu. Renungkanlah apa yang telah dan ingin kita capai sepanjang hidup ini. Lihatlah juga kualiti diri kita sebagai seorang manusia di muka bumi bersama masyarakat, keluarga dan tuhan yang Esa.

Tag : ,

Posted by Azhad 27.3.06 2 comments

Tahniah kepada semua yang berjaya dan cemerlang dalam SPM 2005 yang telah diumumkan pada 13 Mac 2006 yang lalu. Berikut adalah Roll Of Honour;

15 A1s

1. Esther Elizabeth Jack (SMK Raja Lumu, Klang)
2. Chin Shiang Jin (SM Kian Kok, Kota Kinabalu)

14 A1s

1. Mohd Ahnaf Abdul Rahim (SMK Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya)
2. Teo Wee Shen (SMK St Francis, Malacca)
3. Ng Sher May (SMK Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya)
4. Farhan Kamal (Maktab Sultan Ismail, Kota Baru)

13 A1s

1. Esther Ern-Hwei Chan (SMK Infant Jesus Convent, Johor Baru)
2. Nur Izreena Ismail (SMK Sultanah Asma, Alor Star)
3. K. Sugasini (SMK (P) Sri Aman, Petaling Jaya)
4. N. Thevanthiran (SMK Methodist ACS, Ipoh)
5. Johan Safree Aris Chandran (SMK Anderson, Ipoh)

12 A1s

1. Irene Yii Yuen Lin (SMK St Elizabeth, Sibu)
2. Charlene Chua Kit Zhen (SMK Infant Jesus Convent, Malacca)
3. Mohd Fiqry Mohd Fadhlillah (Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang)
4. Muoadz Mohd Zubir (SMKA Al Mashoor (L), Penang)
5. Andrew Lim Shih Teong (Sekolah Tinggi Muar)
6. S. Sathya Sailashinee (SMK Convent Father Barre, Sg Petani)
7. Lee You Ning (SMK Ibrahim, Sg Petani)
8. Grace Chan Siew Ee (SMK Ulu Kinta, Ipoh)
9. Mohd Amir Fikri Mohd Taib (Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang)
10. Lee Hui Qing (SMK Chan Wa, Seremban)
11. D. Renuka Rasmani (SMK Dato Onn, Butterworth)
12. Tan Loon Ying (SMK Notre Dame Convent, Malacca)
13. Brian Chee Nee Hou (SMK Sung Siew, Sandakan)
14. Nur Fatirul Shamin Mohd Hisham (SMK Tengku Afzan, Kuantan)
15. Ahmad Mudzakkir Ahmad Mustaffa (Maahad Al Quran & Bahasa Arab Al-Manar, Pasir Putih)
16. Farah Ayuni Mustaffa (SMKA Naim Lilbanat, Kota Baru)
17. Nadiah Mohd Damanhuri (SMK Seri Keramat, Lembah Keramat)
18. Meor Mohd Muslih Meor Hamdan (Sekolah Alam Shah, Putrajaya)
19. Siti Kamilah Wahbi (SMKA Tun Ahmad Zaidi, Kuching)

11 A1s

1. Tuang Ket Ying (SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur)
2. Hee Yee Wee (SMK Rantau Petronas, Kemaman)
3. Hue Wei Fen (SMJK Union, Penang)
4. B. Vishnu Prashad (SMK Abdul Rahman Talib, Kuantan)
5. Cindy Ng Lee Yie (SMK Penrissen, Kuching)
6. Norhana Zainal (SMK Sultanah Asma, Alor Star)
7. Yap Han Ern (SMK Sultan Ismail, Johor Baru)
8. M. Deenish (SMK Sulran Ismail, Johor Baru)
9. A. Wannard (Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Star)
10. Wong Shou Lee (SMK Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu)
11. Munzir Ahmad Fuaad (SM Sains Kota Tinggi)
12. Raja Ezman Faridz Raja Shariff (SMK Bukit Bandaraya, KL)
13. Mohd Atif Mohd Slim (Maktab Rendah Sains Mara Taiping)
14. Arina Amalina Md Latif (SMK (P) Sultan Abu Bakar, Muar)
15. Jacintha Ganit Tagal (SMK St Teresa, Kuching)
16. Aufa Dahlia Bakar (Maktab Rendah Sains Mara Perlis)

10 A1s

1. Ahmad Amirul Hafidz Ab Rahman (Kolej Melayu Kuala Kangsar)
2. Mohd Firdaus Samsudin @Mustapha (SM Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu)
3. Farah Hazwani Abu Omar (Kolej Tunku Kurshiah)
4. Christopher Louis Tan (SMK Labuan)

Cemerlang dikalangan Orang Kurang Upaya:

1. Albert Wong Kit Ming (SMK Sri Permata, Petaling Jaya)
2. Lum Kah Yee (SMK St Mary, Kuching)
3. Ng Chek Ee (SMK Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya)
4. Abdul Malik Mohd Sayuti (SMK Kubang Bemban, Pasir Mas)
5. Jaziel Tan Tyan Wei (SM Pendidikan Khas, Setapak)

Tag : ,

Posted by Azhad 16.3.06 0 comments


Sekali lagi Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur akan diadakan pada penghujung bulan ini selama 10 hari. Sudah pasti peminat-peminat dan pengemar-pengemar buku tidak akan melepaskan peluang untuk menghadiri pameran ini.

Walaupun begitu tahap minat membaca dikalangan rakyat Malaysia masih lagi rendah. Malahan kebanyakan mereka yang membaca itu adalah pelajar yang menatap buku pelajaran dalam persediaan untuk menghadapi peperiksaan. Cuma sejak kebelakangan ini minat membaca novel nampaknya sudah mula meningkat.

Minat membaca ini harus dipupuk semenjak daripada kanak-kanak lagi dan ibubapa harus memberi contoh yang baik. Mungkin ibubapa boleh menemankan anak-anak menyiapkan kerja sekolah sambil membaca sesuatu. Bukannya menyuruh anak-anak menyiapkan kerja sekolah tetapi ibubapa sibuk mengadap tv pula. Seperkara lagi yang patut difikirkan oleh kita ialah dengan mengadakan perpustakaan mini atau sudut membaca di rumah. Semua buku dan majalah boleh dikumpulkan di sini untuk dimanfaatkan bersama.

Ditahap mana pun minat membaca anda, luangkanlah masa bersama-sama keluarga atau kawan-kawan untuk mengunjungi pameran buku yang terbesar di Kuala Lumpur ini. Mungkin di sana anda akan terjumpa sesuatu yang akan memulakan minat anda untuk membaca.

Tarikh : 24 Mac 2006 - 2 April 2006

Masa : 10.00am - 9.00pm

Tempat : Putra World Trade Centre, KL (PWTC)

Masuk : Percuma

Sementara itu mungkin anda boleh melayari beberapa laman web dan blog yang ada kaitan dengan buku seperti berikut:-
Alaf 21
Antu Buku
Bicaraku
BukuOnline
Book Review Blog
CESB
Dewan Bahasa & Pustaka
Jiwa Rasa
Kaki Buku
Karyanet
Materi Intaglio
Novel Cinta Melayu
Novel Melayu
Pelangi
Pena Penulis
Reading Room
Rumah Kecil Tiang Seribu
Salina Ibrahim

Tag : ,

Posted by Azhad 4.3.06 0 comments

Aku tiba-tiba teringatkan pengalamanku menyaksikan kelahiran kedua-dua anakku. Anak sulongku telah dilahirkan kira-kira 6 tahun yang lalu. Ketika itu satu pengalaman baru menemani isteriku bersalin di hospital. Memang tidak dinafikan dengan kehadiranku disepanjang proses kelahiran itu telah dapat meringankan rasa sakit bersalin isteriku.

Anak pertama kami telah dilahirkan secara normal. Aku telah melihat bagaimana secara perlahan-lahan kepala anakku keluar selepas isteriku berhempas pulas meneran. Tali pusat dipotong, uri dikeluarkan dengan darah yang banyak juga mengalir.

Pada bulan Oktober tahun lepas isteriku telah selamat melahirkan anak yang kedua. Kali ini isteriku telah bersalin secara pembedahan. Bagi anak yang kedua ini , isteriku telah membuat keputusan untuk tidak mengambil epidural seperti semasa melahirkan anak sulong dulu. Epidural adalah ubat untuk mengurangkan rasa sakit semasa bersalin. Memang telah dijangkakan aku telah melihat betapa sakitnya isteriku ketika tiba masa nak bersalin.

Sebenarnya kami tidak menjangka anak kedua kami terpaksa dilahirkan secara pembedahan. Semasa tiba masa nak bersalin dan bukaan dah 10cm, anak kami masih tidak mahu keluar walaupun sudah sepenuh tenaga isteriku meneran. Bayangkan sakit yang terpaksa ditanggung oleh isteriku. Tidak beberapa lama selepas itu bukaan telah mengecil menjadi 8cm dan doktor mengatakan anakku berada dalam keadaan menelentang dan sukar untuk untuk keluar. Memandangkan keadaan isteriku ketika itu telah terlalu lemah, doktor telah mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan.

Aku telah melihat keseluruhan proses pembedahan tersebut. Dari mula hirisan pertama di atas ari-ari isteriku sehingga doktor menyelukkan tangannya masuk ke dalam perut untuk membawa keluar anakku sehingga doktor menjahit semula potongan yang telah dibuat. Bagi aku melihat bagaimana proses kelahiran secara biasa dan pembedahan dilakukan tidak akan dilupakan. Secara langsung ini telah mengeratkan kasih sayang kami suami isteri dan lebih menghargai pengorbanan dan jasa ibuku sendiri seperti yang pernah aku tulis di Kaulah Ratu Hatiku

Sementara itu jika anda berminat untuk membaca pengalaman penulis blog lain, anda boleh singgah di blog berikut:-

Ramlah MS Pengalaman Bersalin
HART Hari Yang Dinanti
Sempoi Kisah Anak I, Kisah Anak II, Kisah Anak III, Kisah Anak IV
The Journal Laila's Turn
Ninie Mom To Be Our Angel's Journey
Rizq My Baby On The Way...
SayangZul My Pregnancy at 33 Weeks....

Tag : ,

Posted by Azhad 25.2.06 0 comments

Lewat malam semalam isteriku telah menerima panggilan telefon daripada kakak beliau di kampung. Rupanya ada berita sedih, jiran kami di kampung telah meninggal dunia kerana terlibat dalam satu kemalangan berdekatan dengan kedai runcit beliau.

Motor yang beliau tunggang telah bertembung dengan sebuah motor dan beliau telah tercampak dan cedera parah di kepala. Beliau sempat dibawa ke hospital oleh anak beliau sendiri tetapi meninggal dunia beberapa jam kemudian.

Ketika itu kira-kira pukul 8.00 malam dan dalam perjalanan ke kedai runcit beliau selepas menunaikan solat maghrib di rumah. Seperti biasa bila di kampung seperti mana orang lain beliau tidak memakai topi keledar. Orang yang melanggar beliau pula adalah dua orang adik beradik yang berumur 12 tahun dan 8 tahun. Mereka berdua juga tidak memakai topi keledar tetapi hanya cedera ringan.

Inilah hakikatnya di kampung semua orang boleh membawa motor tanpa sebarang sekatan atau larangan penjaga maupun ibubapa malah mengalakkannya. Apabila menerima berita ini aku teringat kes JPJ membaling kerusi baru-baru ini. Pendidikan semuanya bermula dari rumah dan jika satu kelompok manusia dalam satu keluarga itu tidak mempunyai nilai-nilai yang murni bagaimana kita hendak mengujudkan satu masyarakat apalagi satu negara yang cemerlang dan gemilang?

Penulisan yang berkaitan; Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan


Sebagai imbasan.......

Brand New Malaysian - Kencing Dalam Tempurung
Judd - Are We Really That Bad?

Utusan Online
Pelajar buat tujuh kesalahan
Tindakan dua pegawai JPJ munasabah
Tindakan tatatertib jika bersalah - Kong Choy
Keluarga pelajar cedera didakwa dibaling kerusi sedia berdamai
Reaksi terhadap insiden pelajar dibaling kerusi
JPJ pertahan dua anggota
`Saya dipukul semasa mahu membantu'
Silap besar bayar pampasan pesalah JPJ
Hapuskan sahaja lesen menunggang motosikal
Tidak patuh undang-undang punca insiden baling kerusi
Pelajar tunggang motosikal tanpa lesen semakin serius

Tag : ,

Posted by Azhad 11.2.06 0 comments

Kepada mereka yang belum ada Gmail dan berminat untuk mendapatkannya sila layari laman web berikut:
http://compxlan.com/gmail/

Terkini : Laman web ini telah ditutup.

Posted by Azhad 1.2.06 1 comments

Pada waktu maghrib hari ini kita akan menyambut tahun baru Hijrah 1427. Aku ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah kepada semua umat Islam. Semoga tahun 1427 ini menjadikan kita lebih bertakwa kepada Allah swt. dan bersyukur dengan segala rezeki yang dikurniakan kepada kita. Di samping berusaha dengan lebih gigih lagi untuk berjaya untuk dunia dan akhirat.

Di Malaysia semua urusan dijadualkan berdasarkan tahun Masihi atau kalender Gregorian. Cuma perkara yang berkaitan dengan Islam akan ditentukan bersandarkan tahun Hijrah atau kalendar Islam. Malah kehidupan kita sehari-haripun banyak bergantung kepada kalendar Gregorian. Walaupun begitu tidak dinafikan ramai umat Islam yang merujuk kepada kalendar Islam untuk urusan mereka terutama yang berkaitan dengan ibadat.

Bilakah tarikh lahir anda? Pasti anda tahu tetapi tahukah tarikh lahir anda mengikut kalendar Islam? Untuk pengetahuan jika umur anda dikira menggunakan kalendar Islam, umur anda lebih tua daripada yang anda fikirkan. Ini kerana kalendar Islam kurang kira-kira 11 hari dari kalendar Gregorian dalam setahun.

Anda boleh menyemak tarikh lahir anda mengikut tahun Hijrah di laman web berikut:
Islamic Dates
Sunmoon Hijrah Calculator
Date Conversion

Setelah anda mengetahui tarikh lahir anda dalam tahun Hijrah, cubalah kira umur anda pada tahun 1427 ini. Sudah pasti umur anda sekarang beberapa bulan atau tahun lebih tua.

Selamat Menyambut Awal Muharam dan Selamat Menyambut Hari Lahir mengikut kalendar Islam.

Tag : ,

Posted by Azhad 30.1.06 21 comments

Masa berlalu begitu pantas tahun 2006 sudah hampir sebulan berlalu. Sudah pastinya ada berbagai perkara yang baru akan dihadapi tahun ini. Misalnya pelajar-pelajar yang melangkah ke Tahun Enam, Tingkatan Tiga dan Tingkatan Lima akan menghadapi peperiksaan UPSR, PMR dan SPM masing-masing. Tidak ketinggalan mereka yang baru masuk ke alam institut pengajian tinggi atau berada di tahun akhir tahun ini. Ada juga di antara kita yang baru dapat kerja atau diberhentikan. Malah tidak kurang juga yang naik gaji dan jawatan.

Liku-liku kehidupan ini akan terus kita lalui dari mula kita dilahirkan hinggalah kita mengembus nafas terakhir. Ada orang yang melalui hari-harinya satu hari demi satu hari tanpa sebarang rancangan atau matlamat. Hari ini adalah hari ini dan esok adalah esok manakala semalam telah berlalu. Mereka ini akan hidup untuk hari ini tanpa memikirkan hari-hari yang berikutnya. Manakala sebahagian kita pula melalui hari-harinya dengan pelbagai rancangan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

Walau apapun cara kita menghadapi kehidupan ini secara sedar atau tidak kita sebenarnya sentiasa menunjukkan apakah keutamaan dan matlamat hidup kita. Kita sentiasa perlu membuat keputusan dan keputusan kita untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu itu melambangkan keperibadian dan pendirian kita dalam sesuatu perkara.

Technorati Tags: ,, ,

Posted by Azhad 22.1.06 1 comments

Jika anda ada membuat pautan ke Nukilan Jejari Azhad dari blog anda dan blog anda tidak disenaraikan di sini sila hubungi saya.















Posted by Azhad 3.1.06

Jika anda ada membuat pautan ke Nukilan Jejari Azhad dari blog anda dan blog anda tidak disenaraikan di sini sila hubungi saya.



Akademi Fantasia




Blogger Hacks




Books




Cinema




Community




E Biz




Family




Info




News




Politics




Radio




Reality TV




Reality TV Malaysia




Telecommunication




Tools




TV



Posted by Azhad 2.1.06

Tahun 2005 sudah pun hampir melabuhkan tirainya. Berbagai peristiwa yang telah kita lalui, semua itu akan mendewasakan kita.

Pengalaman hidup inilah yang membentuk jiwa dan sahsiah diri kita. Oleh itu adalah amat penting kita memberi dan memantau pengalaman hidup yang dilalui oleh anak-anak kita. Hubungan akrab sesama ahli keluarga perlulah terus disemai dan disuburkan.

Sebagai ibubapa kita harus mengadakan masa untuk bersama dan bermesra dengan anak-anak. Begitu juga kita perlu menjadi seorang pendengar dan kawan kepada anak-anak remaja kita. Sebagai abang atau kakak maupun sebagai adik janganlah lupa tentang wujudnya saudara adik beradik kita apabila kita berkawan. Sebagai anak pula janganlah kita leka dan terlalai bahawa ibubapa juga inginkan sapaan dan tahu erti rindu pada anak-anaknya.

Aku akui pernah terlalai tentang perkara-perkara ini yang mungkin bagi sebahagian orang ianya remeh-temeh. Kini aku sentiasa cuba menjadi seorang bapa, abang dan anak yang terbaik untuk keluargaku. Memang kekadang kita akan menghadapi dilema di antara tugas, kawan dan keluarga. Di sinilah kita perlu meletakkan keutamaan ditempat yang betul.

Renungkanlah keputusan-keputusan yang telah kita buat sepanjang tahun 2005 ini. Dimanakah letaknya keutamaan kita? Adakah keputusan kita itu tepat?

Posted by Azhad 24.12.05 0 comments

Dalam bulan Julai yang lalu aku sekeluarga telah pergi ke dusun Mak Long aku di Sungai Lagong.

Ketika itu sedang musim durian dan kami telah makan durian sepuas-puasnya. Di dusun tersebut terdapat juga pokok langsat, rambutan dan manggis. Selepas puas makan kami mandi-manda di sebatang sungai yang mengalir tenang di situ.

Dusun ini telah diusahakan oleh Mak Long aku bersama arwah suaminya lebih daripada 15 tahun yang lalu. Aku diberitahu oleh Mak Long aku bahawa dusun di hadapan dusun beliau telah dijual oleh anak-anak selepas ibubapa mereka meninggal dunia. Manakala dusun bersebelahan hampir-hampir dijual jika tidak ketegasan abang sulong mereka tidak mahu menjualnya walaupun ditawarkan dengan harga yang agak tinggi.

Mak Long aku telah berpesan kepada anak-anaknya supaya tidak menjual dusun itu bila dia tiada lagi. Dia mahu dusun itu dijadikan salah satu cara untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Mak Long aku mempunyai 17 orang anak dan kira-kira 11 orang cucu. Dua tahun sekali apabila musim buah mereka semua akan berkumpul di dusun itu. Panjat pokok, kutip buah, makan buah, memasak, memanggang, mandi-manda, riuh rendah jadinya. Sungguh meriah apabila dah ramai-ramai berkumpul.

Itulah salah satu usaha Mak Long aku untuk memastikan ikatan kekeluargaan anak-anak beliau yang ramai itu terus rapat dan mesra.

Posted by Azhad 10.12.05 0 comments

Aku cuma ada seorang adik. Usianya tiga tahun lebih muda daripada aku. Suatu hari, untuk mendapatkan sehelai sapu tangan yang menjadi keperluan anak gadis ketika itu, aku ambil 50 sen dari poket seluar ayah.

Petang itu, pulang saja dari sekolah ayah memanggil kami berdua. Dia meminta aku dan adik berdiri di tepi dinding. Aku menggeletar melihat rotan panjang sedepa di tangan ayah.

"Siapa ambil duit ayah?" tanya ayah bagai singa lapar.

Aku langsung tidak berdaya menentang renungan tajam mata ayah. Kedua-dua kami membisu, cuma tunduk memandang lantai.

"Baik, kalau tak mengaku, dua-dua ayah rotan!" sambung ayah sambil mengangkat tangan untuk melepaskan pukulan sulungnya ke belakang aku.

Tiba-tiba, adik menangkap tangan ayah dengan kedua-dua belah tangannya sambil berkata, "Saya yang ambil!"

Belum sempat adik menarik nafas selepas mengungkapkan kata-kata itu, hayunan dan balunan silih berganti menghentam tubuh adik. Aku gamam, lidah kelu untuk bersuara. Walau perit menahan sakit, setitis pun airmata adik tak tumpah.

Setelah puas melihat adik terjelepok di lantai, ayah merungut; "Kamu sudah mula belajar mencuri di rumah sendiri. Apakah lagi perbuatan kamu yang akan memalukan ayah di luar kelak?"

Malam itu, emak dan aku tak lepas-lepas mendakap adik. Belakangnya yang berbirat dipenuhi calar-balar cuba kami ubati. Namun adik cukup tabah. Setitis pun air matanya tidak mengiringi kesakitan yang mencucuk-cucuk.

Melihat keadaan itu, aku meraung sekuat hati, kesal dengan sikap aku yang takut berkata benar.

Adik segera menutup mulutku dengan kedua-dua belah tangannya lalu berkata, "Jangan menangis kak,semuanya dah berlalu!"

Aku mengutuk diri sendiri kerana tidak mampu membela adik.

Tahun bersilih ganti, peristiwa adik dibelasah kerana mempertahankan aku bagaikan baru semalam berlaku. Adik mendapat tawaran belajar ke sekolah berasrama penuh dan aku pula ditawarkan menyambung pelajaran ke peringkat pra-universiti.

Malam itu ayah duduk di bawah cahaya lampu minyak tanah bersama ibu di ruang tamu. Aku terdengar ayah berkata, "Zah, kedua-dua anak kita cemerlang dalam pelajaran. Abang bangga sekali!"

"Tapi apalah maknanya bang...!" aku terdengar ibu teresak-esak.

"Dimana kita nak cari duit membiayai mereka?"

Ketika itulah adik keluar dari biliknya. Dia berdiri di depan ayah dan ibu. "Ayah, saya tak mahu ke sekolah lagi!"

Perlahan-lahan ayah bangun, membetulkan ikatan kain pelekatnya dan merenung wajah emak, kemudian wajah adik dalam-dalam.

Panggggg....sebuah penampar singgah di pipi adik. Seperti biasa yang mampu aku lakukan ialah menutup muka dan menangis.

"Kenapa kamu ni? Tahu tak, kalau ayah terpaksa mengemis kerana persekolahan kamu, ayah akan lakukan!"

"Orang lelaki kena bersekolah. Kalau tak, dia takkan dapat membawa keluarganya keluar daripada kemiskinan," aku memujuk adik tatkala menyapu minyak pada pipinya yang bengkak.

"Kakak perempuan...biarlah kakak yang berhenti."

Tiada siapa yang menyangka, dinihari itu adik tiada dibiliknya. Dia membawa bersamanya beberapa helai baju lusuh yang dia ada. Di atas pangkin tempat dia lelapkan mata, terdapat sehelai kertas yang tercatat.....

"Kak...untuk dapat peluang ke universiti bukannya mudah. Saya cari kerja dan akan kirim wang buat akak."

Apa lagi yang saya tahu selain meraung. Ayah termenung, jelas dia cukup kecewa. Begitu juga emak yang menggunakan air matanya memujuk ayah.

Suatu petang ketika berehat di asrama, teman sebilik menerpa; "Ada pemuda kampung tunggu kau kat luar!"

"Pemuda kampung?" bisikku. "Siapa?"

Tergesa-gesa aku keluar bilik. Dari jauh aku nampak adik berdiri dengan pakaian comotnya yang dipenuhi lumpur dan simen. "Kenapa sebut orang kampung, sebutlah adik yang datang!"

Sambil tersenyum dia menjawab, "Akak lihatlah pakaian adik ni. Apa yang akan kawan-kawan akak kata kalau mereka tahu saya adik kakak?"

Jantungku terasa berhenti berdenyut mendengarkan jawapannya. Aku cukup tersentuh. Tanpa sedar, air jernih mengalir di pipi. Aku kibas-kibas bebutir pasir dan tompokan simen pada pakaian adik.

Dalam suara antara dengar dan tidak, aku bersuara, "Akak tak peduli apa orang lain kata."

Dari kocek seluarnya, adik keluarkan sepit rambut berbentuk kupu-kupu. Dia mengenakan pada rambutku sambil berkata, "Kak, saya tengok ramai gadis pakai sepit macam ni, saya beli satu untuk akak."

Aku kaku. Sepatah kata pun tak terucap. Aku rangkul adik dan dadanya dibasahi air mataku yang tak dapat ditahan-tahan.

Tamat semester, aku pulang ke kampung sementara menunggu konvokesyen. Aku lihat tingkap dan dinding rumah bersih, tak seperti selalu.

"Emak, tak payahlah kerja teruk-teruk bersihkan rumah sambut saya balik."

"Adik kamu yang bersihkan. Dia pulang kelmarin. Habis tangannya luka-luka."

Aku menerpa ke biliknya. Cantik senyum adik. Kami berdakapan.

"Sakit ke?" aku bertanya tatkala memeriksa luka pada tangannya.

"Tak....Kak tahu, semasa bekerja sebagai buruh kontrak, kerikil dan serpihan simen jatuh seperti hujan menimpa tubuh saya sepanjang masa. Kesakitan yang dirasa tidak dapat menghentikan usaha saya untuk bekerja keras."

Apalagi...aku menangis seperti selalu.

Aku berkahwin pada usia menginjak 27 tahun. Suamiku seorang usahawan menawarkan jawatan pengurus kepada adik.

"Kalau adik terima jawatan tu, apa kata orang lain?" kata adik.

"Adik takde pelajaran. Biarlah adik bekerja dengan kelulusan yang adik ada."

"Adik tak ke sekolah pun kerana akak." kataku memujuk.

"Kenapa sebut kisah lama, kak?" katanya ringkas, cuba menyembunyikan kesedihannya.

Adik terus tinggal di kampung dan bekerja sebagai petani setelah ayah tiada. Pada majlis perkahwinannya dengan seorang gadis sekampung, juruacara majlis bertanya, "Siapakah orang yang paling anda sayangi?"

Spontan adik menjawab, "Selain emak, kakak saya...."katanya lantas menceritakan suatu kisah yang langsung tidakku ingati.

"Semasa sama-sama bersekolah rendah, setiap hari kami berjalan kaki ke sekolah. Suatu hari tapak kasut saya tertanggal. Melihat saya hanya memakai kasut sebelah, kakak membuka kasutnya dan memberikannya pada saya. Dia berjalan dengan sebelah kasut. Sampai di rumah saya lihat kakinya berdarah sebab tertikam tunggul dan calar-balar."

"Sejak itulah saya berjanji pada diri sendiri. Saya akan lakukan apa saja demi kebahagiaan kakak saya itu. Saya berjanji akan menjaganya sampai bila-bila."

Sebaik adik tamat bercerita, aku meluru ke pelamin, mendakap adik sungguh-sungguh sambil meraung bagaikan diserang histeria.

Nota :Cerita ini telah dikirimkan oleh seorang rakan melalui email. Penulis asalnya tidak diketahui. Anda mungkin telah membacanya, semoga kisahnya dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan anda.

Posted by Azhad 9.12.05 0 comments

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca yang budiman.

Hampir 3 bulan aku tidak dapat mengemaskinikan laman blog ini kerana terputus hubungan dengan dunia internet. Aku ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan maaf kepada semua penghujung laman blog aku ni.

Diharap aku akan dapat terus menulis dan anda semua akan terus membaca.

Posted by Azhad 8.12.05 0 comments

Adikku,
Hari ini 21 Februari 2005 dan genaplah umurmu 32 tahun. Alangkah gembiranya aku jika kau masih boleh diajak berbual, tentu banyak perkara yang boleh kita borakkan. Hakikatnya masa sudah berlalu begitu pantas dan kau sudah tiada hampir 12 tahun.

Adikku,
Aku kini telah berkahwin dan mempunyai seorang anak lelaki. Kau nak tahu aku berkahwin semasa umurku 32 tahun. Kau sendiri pernah memberitahu bahawa kau bercadang untuk berkahwin hanya selepas umur kau melepasi 30 tahun. Hakikatnya umur kau tidak pernah mencecah angka itu.

Adikku,
Baru semalam aku mendengar salah satu lagu yang kau hafal untuk membaiki Bahasa Inggeris mu. Aku tahu kau tidak pernah berhenti untuk mengikuti nasihatku. Satu perkataan satu hari, hafal lagu dengan sebutan yang betul dan baca dan baca seberapa banyak penulisan dalam bahasa Inggeris. Aku menanti untuk membaca cerpen Bahasa Inggeris yang kau janjikan tu kerana bila aku tanya kau jawab ada dalam kepala dan akan ditulis. Hakikatnya cerpen itu pergi bersama perginya jasad kau.

Adikku,
Aku tidak akan lupa betapa kau tidak jemu-jemu bertanya dan terus bertanya kepada ku tentang apa saja baik berkenaan pelajaran malah berkaitan dengan kehidupan. Aku pula kekadang tiada masa untuk kau kerana sibuk dengan urusan diriku sendiri. Malah kau pernah merajuk kerana aku tidak dapat menolong kau mengulangkaji pelajaran. Hakikatnya kini walaupun aku ada masa untuk bersama-sama mengulangkaji dan aku mempunyai jawapan kepada semua soalan kau, kau sudah tidak memerlukannya lagi.

Adikku,
Ada satu hari tu kau balik daripada satu kem motivasi dan pada hari itulah kau salam dan mencium tanganku sambil memohon maaf. Kemudian kau peluk aku sambil kau kata kau rindu aku. Lepas itu kau cium dahi dan pipiku sambil mengucapkan terima kasih. Airmataku mengalir masa itu dan selepas hari itu kau sering buat begitu bila balik ke rumah dari asrama atau markas tentera. Hakikatnya kini hanya airmata yang mengalir tanpa genggaman erat tangan, pelukan mesra atau ciuman sayang dari kau.

Adikku,
Aku amat menyayangimu. Aku rindu untuk menjawab soalan-soalanmu dan bersama-sama duduk mengulangkaji pelajaran. Aku tidak puas bercakap dan berbual denganmu. Aku teringin untuk menatap wajahmu lagi. Hakikatnya pada 11 Julai 1993 kau telah meninggalkan aku dan dunia ini. Yang tinggal hanya kenangan dan doa untukmu……

Posted by Azhad 12.9.05 2 comments

Subscribe here