Showing posts with label nurin. Show all posts
Showing posts with label nurin. Show all posts

Begitu pantas masa berlalu dan tanpa kita sedari hari ini cukup setahun pemergian Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang dibunuh dengan kejam sehingga mendapat perhatian dan simpati daripada seluruh lapisan masyarakat di negara ini.

Pusara Allahyarham Nurin Jazlin JaziminMungkin ramai yang telah lupa peristiwa tersebut tetapi ahli keluarga dan mereka yang rapat dengan keluarga Allahyarham Nurin pasti merasa ianya seperti baru semalam sahaja berlaku. Blog ini juga ada melaporkan peristiwa kehilangan dan kematian beliau.

Bayangkanlah bila mayat kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu yang disumbat dalam beg pakaian sukan ditemui di luar sebuah rumah kedai di PJS 1, Petaling Jaya. Kanak-kanak itu diculik dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen Satu, Wangsa Maju selepas pergi ke pasar malam berhampiran.

Malangnya, sehingga saat ini, kes pembunuhan kejam itu masih belum selesai dan lebih memilukan hati dan perasaan keluarga kanak-kanak malang berkenaan ialah mereka masih terkilan dan kecewa apabila sebuah akhbar melaporkan bahawa polis mengkaji kemungkinan Nurin diculik peminjam wang haram, yang mengaitkan seolah-olah keluarga itu berurusan dengan along.

Ditambah pula gambar bedah siasat Nurin tersebar menerusi internet yang dikirim menggunakan e-mel.

Kini selepas menunggu setahun, keluarga Nurin mahu menuntut keadilan dan pembelaan. Hari ini, mereka akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap polis dan kerajaan.

Mereka menuntut pampasan, permohonan maaf terbuka dan penarikan balik laporan akhbar yang membayangkan keluarga itu berurusan dengan along. Mereka juga menuntut permohonan maaf terbuka dan pampasan terhadap pengedaran gambar bedah siasat kanak-kanak itu.

Keluarga NurinDi laman web Nurin Jazlin ada turutan laporan akhbar yang berkaitan dengan pengedaran gambar bedah siasat itu. Bermula dari pengesahan gambar tersebut telah tersebar melalui e-mail sehingga kepada laporan polis memaklumkan individu yang bertanggungjawab mengedarkan gambar tersebut telah dikenal pasti dan akan didakwa di mahkamah.

Malangnya sehingga ke hari ini tiada sesiapa yang didakwa kerana menyebarkan gambar bedah siasat tersebut. Ibu bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman, semalam melahirkan kekecewaan atas apa yang berlaku.

"Bukankah kami cukup terseksa dengan kematian Nurin? Mengapa jadikan kami lebih menderita dengan mengedar gambar bedah siasat anak perempuan kami?" kata Jazimin.

Sebenarnya sebelum kes Nurin Jazlin terdapat ramai mangsa kejadian culik, rogol dan bunuh. Malah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon ada memaklumkan di Parlimen bahawa terdapat seramai 242 orang kanak-kanak dilaporkan hilang di antara bulan Januari dan Mac tahun ini. Hanya separuh sahaja yang telah dijumpai dan yang lain masih hilang.

Semoga tindakan yang lebih konkrit dapat dilaksanakan dan kerjasama semua pihak dapat digembeling agar sesuatu yang positif dapat menjadi kenyataan.

Bapa Allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil telah memfailkan saman malu bernilai RM2 juta terhadap Ketua Polis Negara berikutan kecuaian mendedahkan gambar bedah siasat anaknya pada 14 Ogos.

Beliau juga memfailkan saman fitnah terhadap polis dan kerajaan Malaysia kerana mendakwanya meminjam wang daripada along.

Jazimin menfailkan saman itu kepada Pandaftar Mahkamah Tinggi Jalan Duta, di sini.

Sumber: Berita Harian

Technorati Tags: , , , , , , ,




Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 20.8.08 4 comments

Sharlinie Mohd Nashar telah hilang lebih daripada dua minggu lalu berhampiran rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor. Ketika itu dia sedang bermain dengan kakaknya Sharliena yang berusia 8 tahun. Sharlinie merupakan anak bongsu daripada 3 orang adik beradik, kakak sulongnya Nurul Amirah berumur 11 tahun.

mungkin rambut dipotong pendek

Sehingga ke hari ini usaha untuk mengesan kanak-kanak berumur 5 tahun ini masih giat dijalankan oleh berbagai pihak. Walaupun begitu pihak polis masih belum lagi menjumpai sebarang petunjuk baru yang boleh membantu mengesan Sharlinie. Menurut pihak polis ada kemungkinan rambut Sharlinie telah dipotong pendek dan bulu keningnya dinipiskan bagi menyukarkan orang ramai mengenali rupa parasnya. Kaedah yang sama juga telah dilakukan kepada Nurin Jazlin sehingga dia sukar dikenali bila dijumpai.

Di antara langkah yang sedang dilakukan oleh pihak polis ialah dengan memeriksa hampir 1,000 buah rumah sehari. Rumah-rumah yang diperiksa adalah yang terletak di sekitar daerah Petaling Jaya termasuk rumah kongsi pekerja asing. Operasi pemeriksaan ini dijalankan oleh anggota-anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya serta dibantu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pihak Rukun Tetangga setempat juga turut memberi kerjasama dalam usaha memeriksa rumah di kawasan mereka.

Sementara itu pengamal perubatan Ikatan Bomoh Negara Sebelas Serangkai dan Ahli Jemaah Sabililah seramai 100 orang dari beberapa buah negeri telah berkumpul di rumah Sharlinie di Taman Medan bagi membantu mencari kanak-kanak itu mengikut kaedah tradisional. Selepas upacara itu mereka mendakwa Sharlinie masih berada di sekitar Taman Medan.

Tidak ketinggalan juga pelajar pintar, Adi Putra Abdul Ghani, 9 tahun, telah memberi maklumat tentang salah satu lokasi kegiatan penculik Sharlinie. Adi Putra telah membawa ibubapa Sharlinie serta pemangku Ketua Polis Gombak dan pihak media untuk meninjau sebuah tempat di Ulu Yam. Menurut Adi Putra, kawasan itu adalah salah satu daripada markas penculik yang didakwa olehnya seramai lima orang dan mereka dikatakan sedang menuntut sejenis ilmu. Lokasi itu hanya untuk menguji ilmu mereka dan bukannya tempat mengurung Sharlinie.

Shamsul Ghazali Shamsuddin, bapa Yin atau Muhammad Nazrin, 6, yang hilang selama 15 hari pada Mac tahun lalu telah turut datang menziarah keluarga Sharlinie untuk memberi sokongan moral. Di samping itu Shamsul yang tinggal di Ipoh telah mencadangkan supaya ibubapa Sharlinie menggunakan khidmat pakar forensik hipnosis. Shamsul yang pernah mengalami trauma yang sama semasa anaknya Yin hilang tahun lepas berkata, forensik hipnosis ini adalah kaedah saintifik berasaskan psikologi.

Berbagai cara digunakan dan usaha dilakukan untuk mengesan lokasi adik Sharlinie Mohd Nashar yang telah hilang semenjak 9 Januari yang lalu. Malahan beribu-ribu poster telah diedarkan di seluruh negara termasuk di Thailand dan Singapura. Diharap keluarga Sharlinie tabah menghadapi dugaan ini dan sentiasa memohon kepada yang Esa. Semoga doa dan sembahyang hajat dari rakyat Malaysia akan dimakbulkan, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 25.1.08 3 comments

Pihak polis telah menangkap dua orang lelaki untuk membantu dalam merungkai kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin. Seorang telah ditahan di Jalan Chow Kit manakala seorang lagi di sebuah bangunan kosong di Jalan Tun Razak. Salah seorang daripada mereka dipercayai menjadi pengawal keselamatan kepada sebuah bangunan kosong berdekatan dengan bangunan BERNAMA dan Perpustakaan Negara Malaysia di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Di samping kes pembunuhan Nurin Jazlin, pihak polis juga sedang meneliti kemungkinan kedua-dua lelaki ini juga ada kaitan dengan kes penculikan Sharlinie, Nur Fatiha dan beberapa kes cabul kanak-kanak yang berlaku di Kampung Baru.

Bagi membantu siasatan, Nur Fatiha dan beberapa orang kanak-kanak telah dibawa ke bangunan kosong di Jalan Tun Razak di mana lelaki yang ditahan ini bekerja sebagai pengawalnya. Difahamkan kanak-kanak tersebut telah diminta untuk mengenal pasti dan membuat pengecam keadaan di bangunan berkenaan. Nurin Jazlin juga dipercayai pernah ditahan di bangunan tersebut.

Sebuah bilik di bangunan kosong tersebut telah dibersihkan oleh pengawal keselamatan yang ditahan itu untuk dijadikan tempat tidur dengan dilengkapi sebuah almari, televisyen dan tilam. Lelaki itu juga sering membawa anak-anaknya tinggal di bilik tersebut. Sebuah motosikal berwarna hitam kepunyaan lelaki berkenaan juga dijumpai di bangunan yang telah lebih tiga tahun kosong itu.

Menurut polis ini adalah tangkapan biasa berdasarkan maklumat yang mereka terima dan tidak mahu orang ramai membuat sebarang spekulasi tentangnya. Persoalannya, adakah salah seorang daripada lelaki ini adalah Lelaki Kucing yang diburu selama ini? Adakah mereka bertanggungjawab di atas apa yang terjadi kepada Nurin Jazlim Jazimin? Jika ya, diharap mereka dapat didakwa di mahkamah supaya mereka menerima hukuman setimpal dengan jenayah yang telah dilakukan.

Terkini :
Kanak-kanak yang pernah menjadi mangsa culik dan cabul tersebut tidak dapat membuat pengecaman terhadap dua lelaki yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin. Mereka juga tidak dapat mengecam keadaan di dalam dan sekeliling bangunan kosong tersebut. Pihak polis masih meneruskan siasatan dengan mengambil ujian DNA ke atas kedua-dua lelaki berkenaan.

Dua orang lelaki yang ditahan reman untuk disoal siasat tersebut telah dibebaskan oleh pihak polis selepas mereka didapati tidak terlibat dengan kes kematian Nurin Jazlin dan kehilangan Sharlinie Mohd Nashar.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 14.1.08 1 comments

Begitu pantas masa berlalu kerana pada 30 November yang baru lalu merupakan hari yang ke 100 kali terakhir Nurin dilihat masih hidup. Secara kebetulan pula pada hari tersebut tiga ahli jawatankuasa Citizens For Nurin Alert telah berjumpa dengan pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat. Perbincangan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat di Jalan Raja Laut itu telah berlangsung selama lebih satu jam.

Citizens For Nurin Alert telah diwakili oleh En Jasni Abdul Jalil, Pn Hanizah Hashim dan Pn Nuraina Samad. Manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat pula diwakili oleh Cik Meme Zainal Rashid, Dato' Shamsiah Ad Rahman, Pn Nor Amni Yusoff dan En Abdullah Hanafi.

Tujuan utama perjumpaan ini adalah untuk memberi peluang kepada jawatankuasa Citizens For Nurin Alert untuk memberi penerangan tentang Nurin Alert dan perbincangan bagaimana ianya boleh digabungkan dengan cadangan Polisi Perlindungan Kanak-kanak. Difahamkan perjumpaan ini telah berjalan dengan jayanya dan telah dipersetujui selepas ini satu jawatankuasa teknikal ditubuhkan.

Gambaran lebih jelas tentang perjumpaan ini boleh dibaca di laman blog Nurin Jazlin, Tembam dan Nuraina.

Nationwide Urgent Response Information Network - NURIN Alert telah mula melangkah beberapa tapak dan sudah pasti ianya akan terus maju kehadapan sehingga pada satu hari kelak ianya akan mula beroperasi dan dapat membantu mereka yang memerlukan khidmatnya.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 2.12.07 5 comments

Liputan tentang Nurin Alert kini semakin meluas apabila cerita mengenainya disiarkan di majalah Tell. Sebelum ini kisah Nurin Alert ini telah dibincangkan dalam rancangan Wanita Hari Ini(WHI) di TV3 pada 23 Oktober yang lalu. Di dalam rancangan WHI tersebut Nuraina A.Samad, Jasni Haji Abdul Jalil dan Kamal Affandi Hashim telah dijemput untuk memperkatakan tentang Nurin Alert. Terbaharu keluaran khas bulan November-Disember majalah Tell dan edisi bulan Disember majalah Mastika pula memuatkan penulisan tentang Nationwide Urgent Response Information Network Alert dan tragedi yang menimpa Nurin.

Muka hadapan majalah Tell dengan jelas menunjukkan gambar Nurin Jazlin berlatar belakangkan gambar-gambar kecil kanak-kanak yang pernah hilang sebelum ini. Diikuti dengan ruangan editorialnya yang menyebut tentang Tell akan memberi tumpuan kepada cerita yang berkaitan dengan Nurin Jazlin kali ini.

Fokus tentang Nurin dimulakan di mukasurat 20 sehingga 29 menyentuh berkenaan Nurin Alert, bagaimana idea untuk mewujudkannya timbul, bagaimana ianya boleh membantu, bagaimana fungsinya dan cerita Amber Alert yang telah digunakan Amerika Syarikat. Bahagian ini diakhiri dengan apa yang telah terjadi kepada Preeshena Varshiny dan Chin Kha Man baru-baru ini.

Di mukasurat 40 sehingga 42 pula menceritakan tentang keadaan keluarga Jazimin Haji Abdul Jalil selepas kematian Nurin Jazlin. Di sini disebut betapa berapa sukarnya mereka sekeluarga menjalani kehidupan seharian selepas perginya Nurin Jazlin.

Fokus tentang Nurin diteruskan di mukasurat 80 sehingga mukasurat 87 melaporkan perbincangan meja bulat berkenaan Nurin Alert yang disertai oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Jasni Abdul Jalil, Nuraina Samad, Kamal Affandi, Madeleine Yong, Wahti Mahidin, Abang Ariffin Abang Bohan, Rocky dan Mustapha Mahidin.

Sementara itu di dalam majalah Mastika keluaran bulan Disember terdapat tiga artikel yang menyentuh mengenai Nurin Jazlin Jazimin. Pertama di mukasurat 96 sehingga mukasurat 100 bercerita tentang beberapa kejadian yang telah berlaku di Kampung Baru sebelum tragedi Nurin. Kanak-kanak telah diculik dan dicabul menggunakan timun dan terung. Salah seorang daripada kanak-kanak ini telah dijumpai di tepi sebuah kedai kosong dalam keadaan berbogel dengan bahagian sulit dan duburnya berlumuran darah. Usus kanak-kanak ini juga terkeluar. Syukur alhamdullilah semua kanak-kanak ini berjaya diselamatkan.

Selepas itu di mukasurat 102 sehingga mukasurat 106 dimuatkan cerita kekesalan dan pengalaman Dr Sazali Ahmad dari Akademi Sains Muda ketika membantu pihak polis mengendalikan kes Nurin Jazlin. Akhir sekali di mukasurat 108 dan mukasurat 109 disiarkan catatan peribadi bapa Nurin, Jazimin Haji Abdul Jalil, bagaimana beliau menghadapi detik-detik kehidupan selepas tiadanya Nurin.

Majalah Tell dan Mastika ini jelas membantu mengingatkan kita tentang tragedi yang telah menimpa beberapa keluarga khususnya keluarga Nurin Jazlin. Begitu juga betapa perlunya Nurin Alert diwujudkan di negara ini. Oleh itu kesedaran dan sokongan orang ramai dan mereka yang berkenaan amat diperlukan bagi menjayakan Nurin Alert ini.

Bagi yang mempunyai blog mungkin boleh menulis tentang Nurin Alert di blog masing-masing. Dapatkan juga majalah Tell dan Mastika yang disebut di atas dan pinjamkan kepada rakan-rakan pejabat serta tunjukkan kepada tetamu yang datang ke rumah. Kunjungilah juga laman blog Nurin Jazlin dan Tembam untuk mengetahui perkembangan terkini tentang kes Nurin dan Nurin Alert.

Semoga Nurin Alert akan menjadi menjadi kenyataan dan dapat membantu keluarga yang memerlukan khidmatnya.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 23.11.07 8 comments

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil telah membawa usaha untuk Nurin Alert menjadi satu kenyataan semakin cerah. Ini berikutan Nurin Alert akan dimasukkan di dalam kandungan draf Dasar Perlindungan Kanak-kanak yang akan dibentangkan kepada Kabinet. Menurut beliau, kementerian berhasrat menjadikan mekanisme itu sebagai sistem khas atau alternatif dalam mengesan dan memberi amaran awal jika ada kes kanak-kanak hilang. Terima kasih!!

Nationwide Urgent Response Information Network

Nurin Alert atau Nationwide Urgent Response Information Network Alert sekarang maju setapak lagi kearah kewujudannya. Mereka yang terlibat dengan Nurin Alert ini pasti gembira dengan penglibatan secara langsung Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam proses ini. Diharap konsep Nurin Alert ini akan dapat diterima oleh kabinet supaya ianya dapat bergerak peringkat yang berikutnya dengan segera.

, ,

Posted by Azhad 4.11.07 2 comments

Nurin Alert yang cuba diwujudkan oleh beberapa orang yang perihatin termasuk pakcik Nurin Jazlin, Jasni telah mula mendapat perhatian. Nurin Alert yang mengambil contoh daripada kejayaan Amber Alert diharap dapat membantu kes kehilangan dan penculikan kanak-kanak di Malaysia. Setakat ini Nurin Alert masih lagi dalam peringkat perancangan dan sokongan semua pihak diperlukan untuk menjadikannya satu kenyataan.

Pada hari Jumaat 19 Oktober 2007 yang lalu akhbar The Star telah melaporkan tentang rancangan untuk mengadakan Nurin Alert di bawah tajuk; Uncle comes up with Nurin Alert. Antara lain ianya menyebut pertemuan dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan kertas kerja yang dipinta oleh beliau. Penglibatan beberapa blogger seperti Nuraina A. Samad, Tembam dan Nik Faris juga disebut di samping sokongan yang diberi oleh Kamal Affandi Hashim dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, pengarah Pelindung dan Penyelamat Kanak-kanak, Madeline Yong dan Abang Ariffin Abang Bohan seorang peguam.

Citizens for Nurin Alert

Diharap pihak media massa akan terus membantu memberi kesedaran tentang usaha untuk menjadikan Nurin Alert ini satu kenyataan. Begitu juga dengan para blogger dan masyarakat umum patut sama-sama mencanangkan dan memberi sokongan kepada Nurin Alert ini. Sementara itu penganalisa jenayah, Kamal Affandi Hashim telah memberi maksud kepada perkataan NURIN iaitu Nationwide Urgent Response Information Network. Laman blog Tembam, Nuraina, RockyBru dan Jasni pula masih terus bercerita tentang usaha mewujudkan Nurin Alert ini.

Hari ini rancangan Wanita Hari Ini di TV3 telah menjemput Nuraina A. Samad seorang penulis blog, Jasni Abdul Jalil bapa saudara Nurin Jazlin dan Kamal Affandi Hashim dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia sebagai tetamu untuk menjelaskan lebih lanjut tentang cadangan mewujudkan Nurin Alert. Diharap ini akan dapat memberi kesan yang positif kepada usaha menjadikan Nurin Alert satu kenyataan.

Jika anda berminat untuk menghulurkan sebarang jenis bantuan atau memberi sokongan kepada Nurin Alert sila sertai "Citizens for Nurin Alert" dengan menghantar email kepada sos@nurinalert.org.

, , ,

Posted by Azhad 23.10.07 5 comments

Tiga lelaki yang dilihat dalam rakaman CCTV berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin telah menghubungi polis. Mereka telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk memberi penjelasan tentang tujuan mereka berhenti di hadapan kedai di mana mayat Nurin Jazlin ditemui.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, ketiga-tiga lelaki berkenaan memberi kerjasama yang baik dan kenyataan mereka telah direkodkan. Pihak polis juga tidak menahan mereka bagi membantu siasatan.

Sebelum itu pada 11 Oktober yang baru lalu pihak polis telah mempertontonkan dan mengedarkan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat mayat Nurin Jazlin ditemui. Rakaman CCTV ini telah dihantar ke Makmal Forensik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk dilakukan proses "enhancement".

Rakaman pada 16 September 2007 pukul 1.00 petang itu menunjukkan seorang lelaki menaiki motosikal Modenas Kriss tiba dengan membawa beg Diadora berwarna biru hitam. Dia dilihat membuat panggilan telefon dan selepas itu mengangkat beg yang dipercayai mengandungi mayat Nurin Jazlin ke tepi bangunan. Lelaki itu kemudian terus meninggalkan tempat itu dengan motosikalnya. Sila ke laman video The Star Online untuk menyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Kira-kira sejam kemudian seorang wanita berbaju merah kelihatan mundar mandir di depan kedai berkenaan sebelum berdiri menunggu sesuatu di situ. Gambar lakaran wanita tersebut telah diedarkan oleh pihak polis sebelum ini. Sila ke laman video The Star Online untuk meyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Tidak lama kemudian sebuah kereta Perodua Kenari berwarna perak yang dinaiki oleh tiga orang lelaki kelihatan berhenti di hadapan kedai di tempat mayat Nurin Jazlin ditemui. Tiga orang lelaki yang berada di dalam kereta ini telah pun hadir ke balai polis untuk memberi keterangan. Walaupun begitu wanita berbaju merah yang turut beredar dari situ bersama-sama kereta yang sama belum lagi tampil ke hadapan. Sila ke laman video The Star Online untuk meyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Terkini :
Seorang wanita berbaju merah yang dapat dilihat di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat beg berisi mayat Nurin Jazlin ditemui telah hadir di Ibu Pejabat Polis Petaling pada hari Sabtu 20 Oktober lalu. Menurut Datuk Christopher Wan Soo Kee, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, pihak polis telah merekodkan keterangan wanita yang berumur 15 tahun itu dan berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan. Beliau juga menegaskan, ketika ini pihak polis memberi tumpuan kepada usaha mengesan lelaki yang membawa dan meletak beg Diadora di tepi tangga kedai di Taman Petaling Utama pada 16 September lalu.

, , ,

Posted by Azhad 14.10.07 1 comments

Siapakah yang sanggup mengedarkan beberapa gambar seorang kanak-kanak yang telah didera dan longlai tidak bernyawa lagi. Gambar-gambar yang mengaibkankan menunjukkan kesan-kesan kekejaman yang terpaksa ditanggung oleh seorang insan kecil yang tidak berdosa. Sesiapa yang mempunyai perasaan pasti tersentuh apabila melihat gambar-gambar tersebut, apatah lagi jika kaum keluarga terutama ibubapa beliau yang melihatnya.

Gambar-gambar bedah siasat Nurin Jazlin telah disebar melalui emel hari ini oleh orang tertentu. Penyebaran gambar-gambar tersebut menjadi meluas apabila ramai yang menerimanya telah menyebarkannya semula kepada kenalan masing-masing. Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar telah membuat laporan polis selepas melihat gambar-gambar yang disebarkan melalui emel itu.

Beliau memberi amaran keras kepada sesiapa yang mengedarkan gambar-gambar tersebut kerana mereka boleh didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi atau didakwa memiliki bahan-bahan lucah. Menurut beliau amaran ini ditujukan kepada anggota polis yang mempunyai akses secara langsung kepada gambar-gambar itu serta mereka yang ada menyimpan gambar itu sekarang, ini adalah seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Pihak keluarga arwah Nurin Jazlin juga ada membuat kenyataan melalui laman blog Nurin bahawa mereka juga akan membuat laporan polis dan memohon orang ramai menghentikan mengedarkan gambar-gambar tersebut. Oleh itu sesiapa yang telah atau akan menerima gambar-gambar tersebut tidak akan menyimpan atau menyebarkannya kepada orang lain.

Terkini : Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memaklumkan bahawa individu yang menyebarkan gambar bedah siasat Nurin Jazlin Jazimin telah dikenal pasti. Individu berkenaan telah pun ditangkap dan akan dihadapkan ke mahkamah. Maklumat lanjut berkenaan individu tersebut belum boleh didedahkan sehinggalah pihak polis telah sedia untuk mendakwanya. Berita penuh boleh dibaca di Bernama.

, , , ,

Posted by Azhad 9.10.07 1 comments

Kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin sedang dalam siasatan pihak polis. Setakat ini seorang wanita pendatang tanpa izin masih ditahan reman dan kad sim yang ditelan telah berjaya diperolehi. Peluang untuk mendapatkan sebarang maklumat daripada kad tersebut belum dapat dipastikan lagi. Jika berjaya, diharap maklumat tersebut dapat membantu pihak polis menyelesaikan kes ini.

Sementara itu dua orang suspek yang lakaran gambar mereka dikeluarkan oleh pihak polis masih belum dapat dikesan. Pada hari Khamis, pihak polis ada menerima beberapa sms daripada orang awam yang mendakwa melihat dua orang suspek ini di kawasan Masjid Jamek di Jalan Tun Perak di antara pukul 6.00 pagi dan 9.00 pagi. Walaupun begitu setelah diperiksa tiada orang yang menyerupai lakaran polis itu di kawasan berkenaan.

Malam semalam satu majlis kenangan untuk Nurin Jazlin dan semua kanak-kanak mangsa penderaan seks telah diadakan di Bed @ Asian Heritage Row oleh TLC Team, B.Comm (Hons) Final Year Persuasive Communication Student 2007, Taylor's College Petaling Jaya. Bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata di penutup majlis tersebut. Ucapan beliau telah disampaikan oleh Jasni Abdul Jalil, abang sulong Jazimin kerana beliau tidak dapat hadir. Transkrip pesanan Jazimin boleh dibaca di blog Nurin Jazlin.

Amber AlertBeberapa blogger bersama-sama keluarga Nurin Jazlin sedang berusaha untuk mengadakan Amber Alert seperti di Amerika Syarikat. Mereka telah mencadangkan untuk menamakannya Nurin Alert untuk di Malaysia seperti yang dibincangkan di blog Nurin Jazlin. Saya menyokong cadangan ini dan akan membantu melalui blog ini. Nurin Alert merupakan satu usaha yang murni dan diharap semua pihak yang terbabit turut membantu menjadikannya satu kenyataan dan kematian Nurin Jazlin membawa satu titik perubahan kepada masyarakat.

Salah seorang blogger yang sedang berusaha supaya konsep Amber Alert digunakan di Malaysia ialah Tembam. Di blog beliau terdapat beberapa penulisan dan perbincangan mengenainya serta senarai blogger yang menyokong usaha ini. Jika anda seorang blogger marilah sama-sama kita menyokong usaha ini, sekurang-kurangnya dengan menyediakan ruang di blog masing-masing tentang Nurin Alert.

Berkaitan :
Nurin Alert Mula Mendapat Perhatian
Nurin Alert Terus Melangkah
Nurin Alert Di Tell Dan Mastika

, , ,

Posted by Azhad 6.10.07 4 comments

Nurin JazlinLakaran foto ini adalah lelaki Melayu berusia antara 35 hingga 40 tahun, tinggi 168cm dan berkulit cerah.

Lelaki ini ada pergi ke kawasan perumahan di Bangsar, bertanya orang ramai bilik untuk disewa bagi dirinya dan anaknya.

Lelaki ini telah menemui beberapa pemilik rumah beberapa kali dalam tempoh Nurin Jazlin hilang.






Nurin JazlinIni adalah lakaran foto wanita Melayu yang berusia dalam lingkungan 20-an, tinggi 153cm dan mempunyai rambut paras bahu.

Wanita ini kelihatan berada dekat beg sukan berwarna biru gelap yang dimuatkan mayat Nurin Jazlin yang ditemui di sebuah kedai di Petaling Jaya pada 17 Sept.

Dia telah muncul waktu tengah hari, sehari sebelum polis menemui mayat Nurin Jazlin.



Pihak polis telah mengedarkan lakaran imej seorang lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan kes penculikan dan pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Persekutuan Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata lakaran imej dihasilkan selepas menerima maklumat daripada orang ramai.

Beliau meminta sesiapa yang pernah melihat seseorang yang menyerupai seperti lakaran ini dan membawa beg biru antara 16 September dan 17 September di sekitar kawasan rumah kedai tempat mayat Nurin Jazlin ditemui supaya segera menghubungi polis.

Terkini :
Wanita dalam lakaran di atas merupakan seorang wanita berbaju merah yang dapat dilihat di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat beg berisi mayat Nurin Jazlin ditemui. Wanita tersebut telah hadir di Ibu Pejabat Polis Petaling pada hari Sabtu 20 Oktober lalu. Menurut Datuk Christopher Wan Soo Kee, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, pihak polis telah merekodkan keterangan wanita yang berumur 15 tahun itu dan berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan.

, , ,

Posted by Azhad 2.10.07 2 comments

Seorang wanita dipercayai warganegara asing telah ditahan tengah malam tadi bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin. Suspek terbaru ini bekerja sebagai pembantu gerai menjual pakaian dan dikatakan orang yang bertanggungjawab memberi makan dan minum pada Nurin Jazlin sepanjang tempoh kehilangannya.

Wanita berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur bersama polis Daerah Petaling Jaya pukul 12 tengah malam ketika sedang bekerja di sebuah gerai di Pasar Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan. Selepas ditahan wanita itu terus dibawa ke Bukit Aman untuk disoal siasat.

Tengahari tadi suspek yang memakai baju berwarna kuning bercorak batik dan berseluar coklat telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya diiringi dua anggota polis wanita menaiki sebuah kereta polis. Setiba di hadapan pintu masuk mahkamah wanita itu tiba-tiba rebah seolah-olah pengsan dan telah diusung anggota polis wanita masuk ke dalam mahkamah.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari telah dikeluarkan oleh Hakim Maimunah Aid selepas mendengar permohonan pegawai penyiasat ASP Loh Pei Pei, menjadikan kini sejumlah lima orang ditahan reman berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.

Sumber : Bernama

TERKINI: Wanita warga Indonesia ini telah dibebaskan oleh pihak polis hari ini, 10 Oktober 2007 tanpa sebarang syarat. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah, wanita ini dibebaskan kerana polis tidak mempunyai bukti kukuh yang cukup untuk mendakwanya di mahkamah. Memandangkan wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan, dia telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. Ini adalah seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

, , , , ,

Posted by Azhad 29.9.07 0 comments

Lima orang telah ditahan malam tadi oleh polis berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin. Dua buah kereta dan lima buah telefon bimbit turut dirampas. Tangkapan ini adalah hasil maklumat orang ramai. Ini merupakan tangkapan pertama semenjak "Ops Sunti" dilancarkan bagi menjejaki mereka yang bertanggungjawab di atas kematian Nurin Jazlin.

Di antara mereka yang ditahan ialah seorang lelaki dan seorang perempuan kedua-duanya berumur 33 tahun telah ditangkap di Jalan Persiaran Bestari, Seksyen 7, Shah Alam, mereka tinggal di Bukit Kuda, Klang. Seorang lagi lelaki berumur 28 tahun yang berasal dari Wakaf Baharu, Tumpat, Kelantan telah ditahan di sebuah rumah kedai di Jalan Kristal, Sekysen 7, Shah Alam.

Kelima-lima orang tersebut telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur pada pukul 9.20 pagi tadi, dipercayai untuk menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA). Selepas itu mereka dipercayai dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

"Ops Sunti" diketuai oleh Pengarah Jabatan Siasatan jenayah Bukit Aman Datuk Christopher Wan Soo Kee. Pasukan khas ini disertai oleh anggota polis dari Bukit Aman, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, IPK Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan IPD Petaling Jaya.

Sumber : Bernama

Lihat gambar dan berita lanjut di MStar.

TERKINI: Empat lelaki yang ditahan polis pada Khamis lepas bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam ke atas Nurin Jazlin Jazimin dibebaskan pada hari Isnin 1 Oktober dengan jaminan polis. Jurucakap polis berkata keempat-empat suspek dibebaskan pada pukul 4.56 petang kerana pihak polis tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwa mereka. Seorang wanita yang turut ditahan bersama mereka telah dibebaskan selepas keterangannya diambil.

, , , , ,

Posted by Azhad 28.9.07 0 comments

Apa yang telah berlaku kepada Nurin Jazlin Jazimin merupakan satu peristiwa yang telah mendapat perhatian seluruh negara. Kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak yang hanya berumur 8 tahun ini tidak dapat dibayangkan. Begitu juga dengan trauma yang terpaksa dihadapi oleh ibubapa, adik beradik dan keluarga arwah Nurin Jazlin, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.

Sedarkah kita bahawa kejadian culik, rogol dan bunuh ini bukanlah perkara yang baru tetapi sebelum ini ada beberapa kes lagi. Kebanyakan kes-kes ini melibatkan remaja dan kanak-kanak.

Pada 18 Mei 1999 Audrey Melissa Bathinathan, 17 tahun telah dijumpai berhampiran Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur, tempat beliau belajar. Hasil bedah siasat mendapati mangsa telah dipukul di kepala, dirogol dan dijerut lehernya. Noor Suzaily Mukhtar, 24 tahun telah ditemui di Taman Bukit Tinggi pada 7 Oktober 2000 Klang. Mangsa telah dirogol dan bunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.

Pada 23 Oktober 2000 Nor Shuhada Borak, 6 tahun ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis townhouse di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai telah dirogol sebelum dibunuh. Gadis berusia 17 tahun, Farrah Deeba Rustam dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah pada 14 Februari 2001. Mangsa mati akibat dijerut dengan menggunakan tali.

Nurul Hanis Kamil telah dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001. Sementara itu seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dan diliwat sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Maluri, Kepong pada 13 Ogos 2001. Norshakila Ramli Choo, 6 tahun telah dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang pada 1 April 2002.

Seorang pelajar sekolah menengah telah ditolak dari atas jejantas, ditendang dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang antara jam 2.35 petang dan 4.00 petang pada 8 Oktober 2002. Mangsa mengalami patah tulang belakang dan nyaris meninggal dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stokin dan diikat dengan sapu tangan sebelum ditinggalkan

Pada 6 November 2002 Siti Nurliyana Shamimi Rosdi seorang kanak-kanak berumur dua tahun telah diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Hasil bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan. Mangsa juga mengalami pendarahan dalam otak dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.

Noritta Samsudin
berumur 22 tahun telah dijumpai mati di Kondominium Puncak PrimaGalleria, Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2003. Mangsa dikatakan telah dirogol sebelum dibunuh. Pada 13 Jun 2003 Canny Ong lay Kian telah dilarikan dari tempat letak kereta Bangsar Shopping Center. Mayat mangsa ditemui separuh rentung di dalam sebuah longkang di tepi Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Januari 2004.

Pada 17 Januari 2004 seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani telah dirogol, diliwat sebelum dibunuh di pondok pengawal stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. Mayatnya ditemui berbogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal tersebut dalam keadaan mencangkung.

Mazny Abdullah dari Junjung, Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah dibunuh pada 23 November 2004. Siti Syazwani Ahmad Dusuki, 9 tahun telah dibunuh selepas dirogol di Taman Rhu pada 22 Disember 2004.

Masih ingatkah lagi kita kepada apa yang telah berlaku kepada mereka ini? Bila membaca kisah Nurin Jazlin ramai yang merasa sedih dan hiba malah ada juga yang terkejut dan marah. Kita merasa perkara yang sama bila kejadian sebelum Nurin Jazlin berlaku tapi selepas itu kita lupa.

Sudah tiba masanya sesuatu dilakukan untuk mencegah daripada berulangnya kes-kes seumpama ini. Ketika ini ramai yang bercakap dan memberi pelbagai cadangan selepas apa yang berlaku pada Nurin Jazlin. Persoalannya bilakah pandangan dan cadangan ini boleh dilaksanakan? Bila pula kita sendiri akan mengambil tindakan untuk mengubah keadaan ini? Adakah kita hendak menunggu Siapa Selepas Nurin Jazlin baru ada kesedaran?

Nota : Penulisan di atas telah juga dipetik oleh laman blog In Memory Of Nurin Jazlin.

, , , , ,

Posted by Azhad 26.9.07 3 comments

Menurut laman blog yang dikendalikan oleh Jasni, pakcik Nurin Jazlin In Search Of Nurin Jazlin (In Memory Of Nurin Jazlin), ibubapa Nurin telah mengambil keputusan untuk menerima bahawa mayat kanak-kanak yang mereka lihat itu adalah anak mereka. Ini adalah berdasarkan bukti-bukti saintifik yang telah dikemukakan oleh pihak berkuasa kepada mereka.

Jenazah Nurin telah dituntut oleh bapa beliau Jazimin Abdul Jalil pagi ini dan akan dikebumikan selepas solat Jumaat.

Al-Fatihah............

Nurin Jazlin bersama Jazimin Abdul Jalil
Foto : Utusan
Penulisan selepas ini;
Siapa Sebelum Nurin Jazlin ?
Penulisan yang terdahulu;
Nurin Jazlin ?
Di manakah Nurin Jazlin ?

Lagi gambar dan berita tentang Nurin di MStar.

, , , ,

Posted by Azhad 21.9.07 13 comments

Subscribe here