Nurin Jazlin binti Jazimin berumur 8 tahun telah hilang semasa berjalan kaki ke pasar malam di Seksyen Satu, Wangsa Maju pada 20 Ogos lalu. Nurin keluar seorang diri ke pasar malam yang terletak cuma kira-kira 100 meter dari rumahnya di No. 206 Blok D10, Seksyen 1, Wangsa Maju.

Nurin JazlinKakak Nurin Jazlin, Nurin Jasira berumur 9 tahun dilaporkan demam semenjak mengetahui adiknya hilang. Mereka dikatakan amat rapat dan tidak pernah berpisah jauh untuk satu tempoh yang lama. Nurin Jazlin anak kedua daripada empat orang adik beradik mempunyai dua lagi adik perempuan, Nurin Jazlina, 6 tahun dan Nurin Jazlisa, 1 tahun. Nurin adalah pelajar Tahun Dua Sekolah Rendah Kebangsaan Desa Setapak pergi ke pasar malam untuk membeli makanan kegemarannya, burger.

Beberapa pertubuhan dan orang perseorangan telah menyumbangkan wang sebagai ganjaran kepada maklumat yang boleh membawa kepada penemuan Nurin. Jawahar Ali, pengarah urusan Restoran Ali Maju Sdn Bhd memberi sumbangan RM5,000, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyumbangkan RM3,000, Teo Ng Look, ahli parlimen Wangsa Maju RM5,000, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCFP) RM3,000, Biro Perkhidmatan dan Pengaduan Awam MCA RM2,000, Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Wangsa Maju RM5,000 dan RM5,000 daripada seorang individu yang enggan dikenali.

Nurin JazlinRestoran Ali Maju juga menyumbangkan 50 kain rentang memaparkan gambar Nurin yang dipasang di sekitar kawasan Wangsa Maju dan di semua cawangan restoran itu di Lembah Klang. Restoran Ali Maju juga mengedarkan 10,000 keping risalah kepada para pelanggannya. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) juga mengedarkan 5,000 poster Nurin kepada pengguna Lebuh Raya Utara Selatan di Plaza Tol Sungai Besi. Sebanyak 20,000 poster juga telah diedarkan oleh Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) melalui 142 cawangannya di seluruh negara.

Ibu Nurin, Norazian Bistaman, 35 memberitahu bahawa anaknya Nurin menghidap penyakit buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi. Beliau khuatir keadaan kesihatan anaknya kerana sebelum ini dia bergantung kepada ubat khas yang dibekalkan oleh pihak hospital. Norazian juga risau anaknya akan mengalami kekejangan akibat tidak memakan ubat darah tingginya begitu lama.

Pakar Perunding Perubatan dan Kardiologi Hospital Pakar Putra Melaka, Datuk Dr. Nor Izham Aziz berkata, Nurin mungkin akan berhadapan dengan serangan strok atau sakit jantung seandainya berlaku komplikasi kesihatan ekoran penyakit buah pinggang dan kencing manis yang dihidapinya. Serangan itu boleh berlaku apabila buah pinggang kanak-kanak tersebut menjadi lemah serta sukar untuk berfungsi.

Bagaimanapun kata Datuk Dr. Nor Izham, buat masa ini tahap kesihatan kanak-kanak malang itu dipercayai masih dalam keadaan stabil dan selamat. Sekiranya tidak wujud sebarang komplikasi kesihatan terhadap salah satu atau kedua-dua penyakit yang dihidapi Nurin Jazlin, kanak-kanak itu dipercayai mampu bertahan tanpa bekalan ubatan sehingga pertengahan bulan hadapan.

Pelbagai pihak turut membantu dalam usaha mencari dan mengesan Nurin. Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan Malaysia (Perisi) telah terlibat dalam beberapa gerakan mencari semenjak dari hari keempat kehilangan Nurin. Perisi telah membuka Bilik Gerakan Khas di Taman Sri Gombak, Batu Caves, Selangor, bilik gerakan ini boleh dihubungi di talian 03-61882545 atau faks 03-61889545. Perisi dianggotai lebih 600 bekas perisik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Unit Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta jabatan-jabatan lain yang terlibat dengan tugas risikan negara.

Sementara itu Pakar Forensik Hipnosis, Dr. Sazali Ahmad berkata, pihaknya sedang berusaha memperincikan lokasi yang dipercayai tempat Nurin disembunyikan. Beliau meminta orang ramai terutama bekas pelajar Akademi Simfoni Minda di bawah bimbingannya tampil membantu melakukan kaedah perantaraan jarak jauh dengan medium yang lebih ramai bagi mempercepatkan penemuan Nurin.

Menurut Dr. Sazali, melalui proses terapi minda yang dijalankan di rumah keluarga Nurin, beberapa petunjuk diperoleh daripada tiga perantara iaitu ibu Nurin, sepupu mangsa yang dikenali sebagai Fadilah dan seorang lelaki yang enggan namanya disiarkan. Dari kaedah yang dijalankan ada kemungkinan Nurin disembunyikan oleh dua orang lelaki dan kini dipercayai ditinggalkan sendirian. Beliau juga tidak menolak kemungkinan Nurin masih berada di sekitar Lembah Klang. Segala maklumat yang diperolehi telah disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Kaedah ini pernah digunakan ketika menjejaki kehilangan Muhammad Nazrin Shamsul Ghazali, 5, atau Yin pada Mac lepas.

Bagi mengelak sebarang kemungkinan cubaan membawa keluar Nurin dari negara ini melalui pintu sempadan, Pasukan Gerakan Am (PGA) telah mengarahkan anggotanya di kedua-dua Kompleks Imigresen dan Kuarantin (CIQ) supaya meningkatkan pemerhatian dalam usaha membantu mengesan Nurin.

"Harapan kami ialah sesiapa yang ambil Nurin pulangkan segera dan biarlah kami sambut Hari Raya dengan gembira. Tolong kasihani kami dan jangan pedihkan lagi luka di hati," rayu ibu Nurin, Norazian Bistaman, 35 dan bapa Nurin, Jazimim Abdul Jalil, 33 dengan penuh harapan.

Sesiapa yang mempunyai maklumat tentang Nurin sila hubungi 019-366 7607, 013-248 6651 atau Ibupejabat Polis Daerah Sentul di 03-4042 2222 atau Bahagian Hal Ehwal Awam, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di 03-22626404 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.

Sumber : MStar dan Utusan.

Satu blog In Search of Nurin Jazlin telah diwujudkan oleh Jasni AJ, pakcik Nurin.

Penulisan selepas ini;
Nurin Jazlin?
Nurin Jazlin Dalam Ingatan
Siapa Sebelum Nurin Jazlin ?

Technorati Tags: , , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 19.9.07

1 Responses to Di manakah Nurin Jazlin ?

  1. aditya Says:


  2. Very wonderful informative article. I appreciated looking at your article. Very wonderful reveal. I would like to twit this on my followers. Many thanks!


    edublackboards
    theeducationlife
    geteducationskills
    educationisaround

     

Post a Comment

Subscribe here