
سلامت هاري راي
كڤد سموا ڤمباچ دري
نوكيلن ججاري ازحد
kredit : Ekad Malaysia
Technorati Tags: nukilan, azhad, hari raya, aidil fitri
Pandangan, pengalaman dan pilihan peribadi Azhad
Sudah dua minggu umat Islam berpuasa untuk tahun ini dan dua minggu lagi Syawal pula akan tiba. Sebahagian daripada kita akan merasa gembira kerana Aidil Fitri sudah semakin hampir tetapi ada juga yang merasa sedih sebab masa untuk mendapat ganjaran beribadat di bulan yang mulia sudah semakin singkat.
Di antara cara untuk kita menambahkan ibadat di bulan Ramadhan ini ialah dengan membaca Al-Quran. Sekarang ini walaupun tiada kitab suci itu bersama-sama, kita tetap boleh membacanya melalui komputer samada menggunakan CD ataupun internet.
Mulai 2 Oktober hingga 6 Oktober 2006 ini akan berlangsungnya peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi para pelajar tingkatan tiga. PMR telah diperkenalkan dalam tahun 1993 menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Di antara matapelajaran yang akan diuji ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam.
Pada tahun ini seramai 448,328 orang calon dari 3,333 buah sekolah menengah akan menduduki peperiksaan ini. Majoritinya dari Sekolah Menengah dan Sekolah Berasrama Penuh iaitu 420,177 orang calon dan bakinya 10,766 orang calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama , 2,894 orang calon dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maktab Tentera DiRaja (MTD), 1,603 orang calon daripada Sekolah Agama Rakyat dan 1,110 orang calon persendirian.
Selepas ini peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan bermula pada 9 Oktober dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan bermula pada 14 November.
Diucapkan selamat menempuh peperiksaan dengan tenang kepada semua calon dan semoga akan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, insyaAllah.
Technorati Tags: nukilan, azhad, peperiksaan, penilaian menengah rendah, pmr, spm, stam
Hari ini 1 Ramadhan 1427 umat Islam mula berpuasa menunaikan salah satu rukun Islam. Di kalangan mereka ini tentu ada yang baru pertama kali belajar untuk berpuasa terutama kanak-kanak dan yang baru memeluk agama Islam.
Ingat lagi masa zaman kanak-kanak dahulu, begitu lambat sekali masa bergerak apabila menunggu masa untuk berbuka puasa dan menjadi orang pertama duduk mengadap juadah berbuka. Bagi yang baru memeluk agama Islam tentu mempunyai cabaran yang lebih hebat kerana sebelum ini puasa adalah sesuatu yang tidak pernah dilalui. Isteri sepupuku berbangsa Cina dan dia telah memeluk agama Islam dua tahun sebelum bernikah. Pada peringkat awal ini memang agak mencabar kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan hukum hakam agama Islam.
Di samping itu ada juga di kalangan kita yang tahun ini berazam untuk mula berpuasa dengan erti kata sebenar. Kita mungkin pernah melalui atau mengetahui bahawa ada yang tidak berpuasa atau berpura-pura berpuasa dalam bulan Ramadhan ini. Baik semasa di sekolah, di IPT atau di pejabat mereka ini akan begitu kreatif untuk mendapatkan makanan di siang hari.
Sebagai sokongan kepada kesungguhan kita melalui bulan yang mulia ini mungkin Panduan Jasmani Puasa ini boleh membantu. Selamat berpuasa dan beribadat di bulan Ramadhan ini, semoga tahun ini kualiti amalan kita lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, insyaAllah.
Technorati Tags: nukilan, azhad, puasa, ramadhan
Sejak kebelakangan ini semakin banyak kemalangan yang melibat kenderaan berlaku. Kebanyakan kemalangan ini melibatkan motosikal. Aku sendiri baru-baru ini nyaris melanggar seorang pemandu motosikal yang jatuh di hadapan keretaku. Kejadian berlaku diwaktu pagi semasa semua orang sedang sibuk hendak pergi kerja. Ianya berpunca apabila sebuah kereta telah menukar lorong secara tiba-tiba dan motosikal tersebut tidak sempat mengelak terus melanggar sisi kereta itu.
Syukur aku sempat memberhentikan kereta apabila pemandu motosikal itu jatuh betul-betul di hadapanku. Dia cuma calar-calar dan motosikalnya tidak mengalami kerosakan teruk. Manakala kereta itu pula kemek dikedua-dua pintu belakang dan depan.
Apabila bercerita tentang kemalangan aku teringat tentang beberapa kemalangan yang melibatkan ahli keluargaku. Adik bongsuku pernah terlibat dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan dia terlantar di hospital. Kakinya patah dan terpaksa dimasukkan besi.
Seluruh ahli keluargaku pernah terbabit dalam kemalangan yang agak mengerikan apabila kereta yang dipandu oleh bapaku telah hilang kawalan dan terhumban ke dalam gaung. Alhamdullilah mereka semua selamat tanpa ada satu calar pun di badan tetapi jika melihat keadaan kereta tentu tak percaya. Ketika berlakunya kemalangan itu aku tidak ada bersama-sama kerana ada aktiviti di sekolah.
Walaupun begitu satu ada satu kemalangan yang telah mengubah hidupku. Kemalangan tersebut telah menyebabkan aku kehilangan salah seorang adik yang sangat rapat denganku.
Penulisan yang berkaitan; Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan
Technorati Tags: nukilan, azhad, kemalangan, motosikal
Hari ini bermulalah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 3 hari. Dilaporkan seramai 508,434 orang murid menduduki ujian ini. Ini meliputi 500,561 orang murid dari sekolah bantuan kerajaan dan sebahagian kecilnya 7,783 orang murid adalah dari sekolah swasta. Keputusan ujian ini akan digunakan bagi penepatan ke sekolah menengah terutamanya untuk ke sekolah berasrama penuh dan sekolah terpilih.
Selepas ini Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan menyusul. Sudah pasti bukan saja calon-calon peperiksaan tersebut sahaja yang berdebar-debar malah ibubapa juga turut merasa debarannya.
Bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan-peperiksaan tersebut, haruslah bersedia daripada awal dan gunakan hari-hari yang berbaki ini dengan sebaik mungkin. Berkat usaha yang gigih dan restu ibubapa, insyaAllah kejayaan cemerlang akan dikecapi.
Technorati Tags: nukilan, azhad, ujian, peperiksaan, upsr, pmr, spm, stpm
Tarikh 28 Ogos 2006 mencatat satu lembaran dalam persaingan stesen televisyen di Malaysia. Media Prima telah berdepan dengan rebutan penonton dari kerjasama ASTRO dan RTM. Media Prima melalui saluran NTV7 dan TV3 telah menyiarkan rancangan yang berkaitan dengan perkahwinan dan siaran langsung persandingan Datuk Khalid dan Datin Siti Nurhaliza di Kuala Lumpur Convention Centre. Manakala ASTRO dan RTM telah menyiarkan secara langsung rancangan temubual bersama Mawi yang dihoskan oleh Aznil di saluran Astro Ria dan Diana yang dihoskan oleh Rosyam di RTM1.
Hujung bulan lepas mak mertua aku telah dimasukkan ke hospital kerana ada bengkak di punggung beliau yang tidak kecut walaupun sudah seminggu diberi ubat. Setelah diperiksa didapati ianya darah beku dan nanah. Doktor telah mengambil keputusan untuk membuangnya secara pembedahan. Alhamdullilah semuanya dah selesai dan mak mertuaku sedang beristirehat di kampung.
Hari Isnin minggu lepas aku menerima panggilan telefon daripada guru kelas anak sulongku. Beliau memberitahu anak aku demam dan badannya tersangat panas. Pihak sekolah membenarkan anakku pulang awal, aku pun bergegas ke sekolah menjemputnya. Sebelum balik ke rumah aku singgah ke klinik. Doktor memberi ubat batuk, ubat selsema, ubat demam, antibiotik dan cuti sakit dua hari.
Keesokan paginya badan anak sulongku terasa tersangat panas lebih panas daripada semalam. Aku mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital. Di hospital rawatan segera telah diberi untuk menurun tahap kepanasan badannya. Contoh darah juga diambil untuk ujian. Menjelang tengahari anakku dibenarkan pulang setelah ujian darah menunjukkan tiada tanda demam denggi dan doktor memberi 2 hari lagi cuti sakit.
Selepas Sepet memenanginya tahun lepas, Festival Filem Malaysia sekali lagi memilih filem arahan Yasmin Ahmad sebagai filem terbaik. Gubra juga telah memenangi 3 lagi anugerah iaitu Pelakon Wanita Terbaik - Sharifah Amani, Lakon Layar Terbaik - Yasmin Ahmad dan Poster Terbaik.
Ini menjadikan Gubra filem yang menggondol paling banyak anugerah iaitu 4. Di ikuti oleh Pontianak Harum Sundal Malam II dan Castello sebanyak 3 anugerah.
Blog ini pernah menulis tentang Sepet dan Gubra.
Semua orang tahu tentang Skype dan pasti sudah ramai yang telah menggunakannya. Panggilan telefon secara percuma tentu menjimatkan terutama jika ingin menghubungi luar negara. Malangnya panggilan percuma ini hanya untuk panggilan dari komputer ke komputer, jika hendak menelefon talian tetap atau telefon bimbit perlu membeli kredit dari Skype.Kini impian untuk membuat panggilan telefon percuma ke semua talian telah menjadi kenyataan. Gizmo Project membolehkan kita membuat panggilan telefon secara percuma sama seperti Skype dan juga panggilan percuma ke talian tetap dan telefon bimbit di 60 buah negara, termasuk Malaysia.
Untuk melayakkan diri membuat panggilan percuma, orang yang menelefon dan nombor yang dihubungi mestilah pengguna berdaftar dan aktif Gizmo Project. Jika hendak maklumat lanjut tentang syarat ini sila rujuk All Calls FREE! atau terus saja ke laman web utama Gizmo Project.
Technorati Tags: nukilan, azhad, skype, free calls, gizmoproject
Ada banyak laman web yang menawarkan perkhidmatan menyimpan dan berkongsi gambar di internet. Di antaranya adalah ImagePile, ImageShack, Flickr, Fotopages, Photobucket, Ringo, TinyPic, Zooomr dan banyak lagi.
Secara rasminya hari ini telah diumumkan bahawa Siti Nurhaliza Taruddin, 27 tahun akan berkahwin dengan Datuk Khalid Mohamed Jiwa, 47 tahun seorang ahli perniagaan.
Majlis pertunangan dan pernikahan akan berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 21 Ogos depan. Manakala majlis persandingan pula akan diadakan pada 28 Ogos di Kuala Lumpur Convention Centre(KLCC) dan 3 September di Kuala Lipis, Pahang. Satu perarakan berkuda telah dirancang khas untuk para peminat Siti pada petang 28 Ogos di KLCC. Kebetulan pada 28 Ogos itu adalah ulangtahun perkahwinan ibubapa Siti yang ke 38.
Dato' Raja Shah Reza telah dipilih untuk merancang dan mengendalikan majlis istimewa ini. Beliau telah diamanahkan untuk menjayakan majlis berkonsep perkahwinan taman bagi upacara di KLCC. Manakala hantaran dan pakaian pula akan berkonsepkan sulaman tekad dan songket tradisional. Seramai lima orang pereka fesyen iaitu Radzwan Radzwil, Micheal Ong, Khoon Hooi, Embun dan Anna Avanti telah terpilih untuk menzahirkan pakaian perkahwinan Siti. Manakala jurumekap artis Nurul Shukur dan Mia pula bertanggungjawab untuk menyolek Siti pada hari yang bersejarah itu.
Menurut Siti, dia mula rapat dengan Datuk Khalid semenjak sekembalinya dari konsert di Royal Albert Hall, London. Perkara utama yang menyebabkan Siti terpaut hati dengan Datuk Khalid ialah sikap kasih sayang beliau pada anak-anak. Datuk Khalid mempunyai 4 orang anak hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri beliau Tengku Zawyah Tengku Izham, iaitu yang sulong Mohd Anas Zawari berumur 19 tahun, Mohd Adib 16 tahun, Mohd Asraf 14 tahun dan yang bongsu Mohd Azif 8 tahun. Kesemua mereka berada di Kuala Lumpur kecuali Mohd Anas sedang menuntut di Australia.
Datuk Khalid pula berkata dia terpikat pada Siti kerana Siti mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri tetapi enggan menjelaskannya dengan lebih lanjut. Beliau juga menafikan cerita tentang cincin bernilai RM500,000 dan majlis perkahwinan yang menelan belanja RM5 juta. Walaubagaimanapun menurut Datuk Khalid, majlis tersebut akan diadakan dengan sederhana tetapi meriah.
Wang hantaran untuk Siti tidak dalam bentuk wang tunai tetapi akan diberi dalam bentuk barang kemas. Walaupun nilainya tidak pula dinyatakan tetapi dianggarkan dalam lingkungan RM500,000.
Berikut adalah cerita yang tersiar di akhbar;
The Star
Siti Nurhaliza to marry Datuk K on Aug 21
mStar
Siti - Datuk K bernikah 21 Ogos.
Sekitar sidang akhbar Datuk K - Siti Nurhaliza
Asraf Khalid: Kak Siti sopan
'Datuk K inginkan majlis sederhana, tapi meriah'
NST
Siti and Datuk K to wed on Aug 21
Princess of Pop's regal wedding
Worst-kept secret still interests Press
The Sun
The most anticipated wedding of the year
The Malay Mail
Siti and Datuk K announce wedding date
The Malay Mail broke the news
Bernama
Siti Accepts Datuk K After 'Indication'
Harian Metro
Empat anak restu pilihan pilihan
Pantun bapa Siti Nurhaliza
Technorati Tags: nukilan, azhad, siti nurhaliza, datuk khalid, kahwin
Ringkasan fakta berkaitan Piala Dunia 2006
Juara Itali
Naib Juara Perancis
Ketiga Jerman
Fair Play Brazil dan Sepanyol
Paling Menghiburkan Portugal
Kasut Emas Miroslav Klose (Jerman 5 gol)
Kasut Perak Hernan Crespo (Argentina 3 gol)
Kasut Gangsa Ronaldo (Brazil 3 gol)
Bola Emas Zinedine Zidane (Perancis)
Lev Yashin Gianluigi Buffon (Itali)
Pemain Muda Terbaik Lukas Podolski (Jerman 21 tahun)
Jumlah Gol 147
Jumlah Kad Merah 28
Jumlah Kad Kuning 305
Gol dimasukkan terbanyak
5 gol - Miroslav Klose (Jerman)
13 gol - Jerman
Gol ditembusi terbanyak
10 gol - Serbia Montenegro
Kad Merah terbanyak
2 kad - Croatia, Republik Czech, Itali, Belanda, Portugal, Serbia Montenegro dan Amerika Syarikat
Kad Kuning terbanyak
24 kad - Portugal
4 kad - Costinha (Portugal) dan Asamoah Gyan (Ghana)
Pemain Tertua
Ali Boumnijel (Tunisia 40 tahun)
Pemain Termuda
Theo Walcott (England 17 tahun)
Pemain Tertinggi
Zeljko Kalac (Australia 202cm)
Jan Koller (Republik Czech 202cm)
Nikola Zigic (Serbia Montenegro 202cm)
Pemain Terendah
Christian Lara (Ecuador 162cm)
Technorati Tags: nukilan, azhad, sukan, bola, piala dunia
Juara Piala Dunia 2006 adalah milik pasukan Itali melalui tendangan penalti 5 - 3 selepas masa penuh dan masa tambahan kedudukan terikat 1 - 1. Gol awal tersebut dijaringkan oleh Zinedine Zidane pada minit ke 7 dan Marco Materazzi di minit ke 19.
Kisah duka Perancis sudah mula terbayang apabila Zidane telah dkenakan kad merah kerana menanduk Materazzi di dada pada minit ke 111. Ini merupakan kali ke empat Itali menjadi Juara Piala Dunia.
Edisi piala dunia kali ini melihat sebanyak 147 gol telah dijaringkan. Miroslav Klose dari Jerman adalah penjaring terbanyak dengan 5 gol dan telah dianugerahkan Kasut Emas. Manakala pasukan Jerman merupakan pasukan yang menjaringkan gol terbanyak iaitu 13. Sebaliknya pintu gol yang paling banyak ditembusi ialah Serbia Montenegro dengan 10 jaringan.
Tamatlah sudah Piala Dunia 2006 tetapi jika tidak kesempatan atau ingin melihat semula aksi-aksi perlawanan bolehlah menyaksikan rakaman videonya.
Gambar dan maklumat diperolehi daripada laman web rasmi Piala Dunia 2006 Jerman.
Technorati Tags: nukilan, azhad, piala dunia, juara, kasut emas, video
Nukilan Jejari Azhad © 2004-2009 Powered by Blogger. Privacy Policy
Blogger Template Zinfo Designed By Jinsona Design And Coded By Cahaya Biru