Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar akan bermula pada 1 Disember dan berakhir pada 15 Disember 2006 ini. Sebanyak 39 jenis sukan akan dipertandingkan di 16 lokasi sekitar Qatar. Dilaporkan seramai 10,500 orang atlit daripada 45 buah negara akan berjuang di kejohanan kali ke 15 ini.

Malaysia menghantar 231 orang atlit untuk bertanding dalam 23 jenis sukan. Semasa Sukan Asia ke 14 di Busan Korea Selatan empat tahun lalu, Malaysia berada di tangga ke 12 dengan kutipan 6 pingat emas, 8 pingat perak dan 16 pingat gangsa.

Di Doha ini Malaysia mensasarkan untuk meraih 40 pingat yang merangkumi 9 pingat emas, 12 pingat perak dan 19 pingat gangsa. Rekod terbaik pingat emas Malaysia ialah 7 emas semasa kejohanan di Bangkok pada tahun 1966.

Untuk maklumat lanjut sila kunjungi Sukan Asia 2006.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 29.11.06 0 comments


Sukan Orang Kurang Upaya(OKU) terbesar di rantau Asia Pasifik akan diadakan di Kuala Lumpur dari 25 November sehingga 1 Disember 2006 ini. Sebanyak 19 jenis sukan akan dipertandingkan iaitu memanah, olahraga, badminton, angkat berat, lawan pedang, boccia, lumba basikal, goalball, judo, bowling, bowling padang, bola sepak, kapal layar, menembak, renang, ping pong, bola tampar duduk, bola keranjang berkerusi roda dan tenis berkerusi roda. Seramai lebih 2,500 orang atlit dan 1,000 pegawai daripada 47 negara dijangka akan hadir untuk kejohanan ini.

Kesemua acara sukan dalam kejohanan ini akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur, Putra Jaya dan Selangor kecuali acara kapal layar di Port Dickson. Sementara itu larian obor telah bermula pada 7 Mei di Labuan dan akan berakhir pada hari perasmian kejohanan pada 25 November ini. Terdahulu larian obor ini telah diadakan di negara China dan Singapura.

Pingat yang ditawarkan merangkumi 567 emas, 567 perak dan 652 gangsa. Kontijen Malaysia dengan 288 atlit mensasarkan untuk meraih 100 pingat, 10 daripadanya emas. Malaysia telah memperolehi 2 emas, 28 perak dan 37 gangsa di kejohanan yang sama 4 tahun lalu di Busan, Korea Selatan. Kali ini Malaysia akan cuba untuk berada di antara 10 pasukan yang terbaik.

Pihak pengajur amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memberi sokongan kepada atlit-atlit negara yang akan beraksi dalam kejohanan sukan kedua terbesar atlit kurang upaya ini. Sementara itu sebanyak 1.9 juta tandatangan telah dikumpul sebagai tanda sokongan moral kepada atlit yang akan bertanding. Pihak penganjur mensasarkan untuk mendapat sebanyak 3 juta tandatangan. Orang ramai boleh menurunkan tandatangan dan menyertai berbagai aktiviti di KL'06 Fest yang diadakan Stadium Bukit Jalil sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Maklumat lanjut sila kunjungi KL 06 Fespic Games


Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 21.11.06 4 comments

SPM

Ujian bertulis untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula pada 14 November dengan 43 kertas berlainan. Manakala Lukisan Kejuruteraan adalah merupakan kertas peperiksaan yang terakhir pada 8 Disember nanti.

... seramai 416,717 calon SPM tahun ini ...

Dilaporkan seramai 416,717 orang calon mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini. 358,872 (86.1%) adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, manakala 16,837 (4%) calon sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan-badan tertentu, 12,313 (3%) calon sekolah swasta dan 28,695 (6.9%) calon persendirian.

Difahamkan peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) juga berlangsung dalam tempoh yang sama. Peperiksaan SPM dan STPM ini sebenarnya lebih penting daripada PMR kerana ianya menentukan kelayakan untuk memasuki institut pengajian tinggi dan jenis kursus yang boleh diambil.

Semoga semua calon SPM dan STPM termasuk Aman akan dapat menghadapi peperiksaan ini dengan tenang dan berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 13.11.06 2 comments

Syawal sudah hampir kepenghujungnya tetapi wargakota masih terus sibuk mengadakan atau menghadiri rumah terbuka. Ketika ini dihujung minggu biasanya kalau kita tidak sibuk melayan tetamu, kita akan sibuk memenuhi jemputan. Malah mungkin dalam satu masa kita menerima beberapa jemputan serentak.

Di bulan yang mulia ini kita saling kunjung-mengunjungi dan maaf-bermaafan. Sesama sahabat lebih-lebih lagi sesama sanak saudara. Buang yang keruh ambil yang jernih. Perkara yang lepas biarlah berlalu, kita teruskan kehidupan ini dengan penuh harmoni. Yang muda menghormati yang tua manakala yang lama menghargai yang baru.

Alangkah ruginya di bulan yang mulia ini tidak diambil kesempatan untuk merapatkan yang renggang, mengeratkan yang longgar dan mengutuhkan ikatan kekeluargaan. Sebagai manusia kita pasti ada melakukan kesalahan dan kesilapan malah terlanjur kata serta tertinggi suara.

Mohonlah maaf jika kita yang bersalah dan seikhlasnya memaafkan orang lain yang ada silap dengan kita. Semoga kehidupan kita akan diberkati Allah swt, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 11.11.06 0 comments

Ekad Malaysia
سلامت هاري راي
كڤد
سموا ڤمباچ دري
نوكيلن ججاري ازحد

kredit : Ekad Malaysia

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 20.10.06 0 comments

Sudah dua minggu umat Islam berpuasa untuk tahun ini dan dua minggu lagi Syawal pula akan tiba. Sebahagian daripada kita akan merasa gembira kerana Aidil Fitri sudah semakin hampir tetapi ada juga yang merasa sedih sebab masa untuk mendapat ganjaran beribadat di bulan yang mulia sudah semakin singkat.

Di antara cara untuk kita menambahkan ibadat di bulan Ramadhan ini ialah dengan membaca Al-Quran. Sekarang ini walaupun tiada kitab suci itu bersama-sama, kita tetap boleh membacanya melalui komputer samada menggunakan CD ataupun internet.



Salah satu laman web yang menyediakan kemudahan Al-Quran di internet boleh didapati di Quran Explorer. Al-Quran yang disediakan di laman web ini dibuat dalam bentuk flash dan ini membolehkan ianya digunakan dengan lebih baik. Di sini kita bukan sahaja boleh membaca ayat-ayat suci Al-Quran serta terjemahannya tetapi boleh mendengar kedua-duanya. Kita juga boleh memilih untuk mendengar mana-mana ayat atau surah atau sebahagian daripadanya dengan mudah.

Rebutlah peluang untuk beribadat di bulan Ramadhan ini kerana tahun hadapan belum tentu lagi kita akan dapat bertemu dengan bulan yang mulia ini.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 6.10.06 0 comments

PMR

Mulai 2 Oktober hingga 6 Oktober 2006 ini akan berlangsungnya peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi para pelajar tingkatan tiga. PMR telah diperkenalkan dalam tahun 1993 menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Di antara matapelajaran yang akan diuji ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam.

Pada tahun ini seramai 448,328 orang calon dari 3,333 buah sekolah menengah akan menduduki peperiksaan ini. Majoritinya dari Sekolah Menengah dan Sekolah Berasrama Penuh iaitu 420,177 orang calon dan bakinya 10,766 orang calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama , 2,894 orang calon dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maktab Tentera DiRaja (MTD), 1,603 orang calon daripada Sekolah Agama Rakyat dan 1,110 orang calon persendirian.

Selepas ini peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan bermula pada 9 Oktober dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan bermula pada 14 November.

Diucapkan selamat menempuh peperiksaan dengan tenang kepada semua calon dan semoga akan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 30.9.06 0 comments

Hari ini 1 Ramadhan 1427 umat Islam mula berpuasa menunaikan salah satu rukun Islam. Di kalangan mereka ini tentu ada yang baru pertama kali belajar untuk berpuasa terutama kanak-kanak dan yang baru memeluk agama Islam.

Ingat lagi masa zaman kanak-kanak dahulu, begitu lambat sekali masa bergerak apabila menunggu masa untuk berbuka puasa dan menjadi orang pertama duduk mengadap juadah berbuka. Bagi yang baru memeluk agama Islam tentu mempunyai cabaran yang lebih hebat kerana sebelum ini puasa adalah sesuatu yang tidak pernah dilalui. Isteri sepupuku berbangsa Cina dan dia telah memeluk agama Islam dua tahun sebelum bernikah. Pada peringkat awal ini memang agak mencabar kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan hukum hakam agama Islam.

Di samping itu ada juga di kalangan kita yang tahun ini berazam untuk mula berpuasa dengan erti kata sebenar. Kita mungkin pernah melalui atau mengetahui bahawa ada yang tidak berpuasa atau berpura-pura berpuasa dalam bulan Ramadhan ini. Baik semasa di sekolah, di IPT atau di pejabat mereka ini akan begitu kreatif untuk mendapatkan makanan di siang hari.

Sebagai sokongan kepada kesungguhan kita melalui bulan yang mulia ini mungkin Panduan Jasmani Puasa ini boleh membantu. Selamat berpuasa dan beribadat di bulan Ramadhan ini, semoga tahun ini kualiti amalan kita lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, insyaAllah.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 24.9.06 0 comments

Sejak kebelakangan ini semakin banyak kemalangan yang melibat kenderaan berlaku. Kebanyakan kemalangan ini melibatkan motosikal. Aku sendiri baru-baru ini nyaris melanggar seorang pemandu motosikal yang jatuh di hadapan keretaku. Kejadian berlaku diwaktu pagi semasa semua orang sedang sibuk hendak pergi kerja. Ianya berpunca apabila sebuah kereta telah menukar lorong secara tiba-tiba dan motosikal tersebut tidak sempat mengelak terus melanggar sisi kereta itu.

Syukur aku sempat memberhentikan kereta apabila pemandu motosikal itu jatuh betul-betul di hadapanku. Dia cuma calar-calar dan motosikalnya tidak mengalami kerosakan teruk. Manakala kereta itu pula kemek dikedua-dua pintu belakang dan depan.

Apabila bercerita tentang kemalangan aku teringat tentang beberapa kemalangan yang melibatkan ahli keluargaku. Adik bongsuku pernah terlibat dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan dia terlantar di hospital. Kakinya patah dan terpaksa dimasukkan besi.

Seluruh ahli keluargaku pernah terbabit dalam kemalangan yang agak mengerikan apabila kereta yang dipandu oleh bapaku telah hilang kawalan dan terhumban ke dalam gaung. Alhamdullilah mereka semua selamat tanpa ada satu calar pun di badan tetapi jika melihat keadaan kereta tentu tak percaya. Ketika berlakunya kemalangan itu aku tidak ada bersama-sama kerana ada aktiviti di sekolah.

Walaupun begitu satu ada satu kemalangan yang telah mengubah hidupku. Kemalangan tersebut telah menyebabkan aku kehilangan salah seorang adik yang sangat rapat denganku.

Penulisan yang berkaitan; Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 19.9.06 0 comments

Hari ini bermulalah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 3 hari. Dilaporkan seramai 508,434 orang murid menduduki ujian ini. Ini meliputi 500,561 orang murid dari sekolah bantuan kerajaan dan sebahagian kecilnya 7,783 orang murid adalah dari sekolah swasta. Keputusan ujian ini akan digunakan bagi penepatan ke sekolah menengah terutamanya untuk ke sekolah berasrama penuh dan sekolah terpilih.

Selepas ini Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan menyusul. Sudah pasti bukan saja calon-calon peperiksaan tersebut sahaja yang berdebar-debar malah ibubapa juga turut merasa debarannya.

Bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan-peperiksaan tersebut, haruslah bersedia daripada awal dan gunakan hari-hari yang berbaki ini dengan sebaik mungkin. Berkat usaha yang gigih dan restu ibubapa, insyaAllah kejayaan cemerlang akan dikecapi.

Technorati Tags: , , , , , , ,

Posted by Azhad 4.9.06 0 comments

Pada 31 Ogos 1957
Tanah Melayu telah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada detik pertama pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, bagi menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Laungan "MERDEKA" telah dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama keesokan harinya tepat 9.30 pagi di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Pada 16 September 1963

Pada hari ini dalam tahun 1963 seiring dengan dentuman 101 das tembakan meriam dan teriakan "MERDEKA", Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kelahiran sebuah negara baru kepada seluruh dunia iaitu Malaysia. Malaysia terbentuk daripada gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Stadium Merdeka yang dibanjiri oleh 30,000 rakyat Malaysia telah bergema kembali dengan laungan semangat rakyat seperti 6 tahun yang Ialu dalam tahun 1957 ketika Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya.

Upacara membaca Deklarasi Penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor-gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negara yang baharu di dalam Persekutuan Malaysia laitu Lee Kuan Yew, Donald Stephens dan Stephen Kalong Ningkan. Upacara ini telah dihadiri juga oleh ahli kabinet, anggota-anggota diplomat asing di Kuala Lumpur serta wakil-wakil dari Kerajaan-Kerajaan yang telah dijemput khas.

Kesimpulannya
Semenanjung Tanah Melayu telah merdeka daripada jajahan British pada 31 Ogos 1957 manakala Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September enam tahun kemudian. Oleh itu bilakah rakyat MALAYSIA patut meraikan kemerdekaan, pada 31 Ogos atau 16 September? Sudah pasti kita semua mempunyai berbagai pendapat tentang perkara ini.

Walau apapun Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke 49 untuk Semenanjung Malaysia dan ke 43 untuk Sabah dan Sarawak. Singapura telah keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

MalaysiaKita sebagai rakyat Malaysia patutlah mengisi kemerdekaan ini baik dari segi jasmani maupun rohani. Di samping tidak melupakan jasa dan pergorbanan mereka yang membantu kemerdekaan tanah air kita.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 30.8.06 0 comments

Tarikh 28 Ogos 2006 mencatat satu lembaran dalam persaingan stesen televisyen di Malaysia. Media Prima telah berdepan dengan rebutan penonton dari kerjasama ASTRO dan RTM. Media Prima melalui saluran NTV7 dan TV3 telah menyiarkan rancangan yang berkaitan dengan perkahwinan dan siaran langsung persandingan Datuk Khalid dan Datin Siti Nurhaliza di Kuala Lumpur Convention Centre. Manakala ASTRO dan RTM telah menyiarkan secara langsung rancangan temubual bersama Mawi yang dihoskan oleh Aznil di saluran Astro Ria dan Diana yang dihoskan oleh Rosyam di RTM1.


Rakyat Malaysia telah diberi 3 pilihan iaitu samada menonton persandingan Siti Datuk K atau temubual khas Mawi Ina atau tidak menonton kedua-duanya. Malah kewajaran rancangan serentak ini telah dibangkitkan di sidang Parlimen pagi ini. Menteri Penerangan telah dengan yakin menyatakan di Dewan Rakyat bahawa majoriti ahli Parlimen telah memilih saluran RTM1.

Walaupun begitu menurut AGB Nielsen Media Research, siaran langsung majlis persandingan Siti Datuk K telah disaksikan seramai 4.3 juta penonton pada kemuncaknya. Sementara itu rancangan Mawi Ina telah menarik seramai 1.6 juta penonton sahaja. Manakala jumlah penonton yang menyaksikan rancangan ini sekurang-kurangnya 15 minit adalah 6.3 juta untuk Siti Datuk K dan 4.8 juta untuk Mawi Ina. Laporan AGB Nielsen Media Research ini adalah seperti yang tersiar di akhbar;
MStar Rating Siti Datuk K mendahului Mawi Ina
Utusan Siti Datuk K 6.3 juta Mawi Ina 4.8 juta
The Star The ratings are in: Siti Datuk K 6.3 million Mawi Ina 4.7 million


Di beberapa akhbar dan blog juga ada menceritakan tentang perang merebut penonton ini;

Utusan RTM, Astro tolong pulihkan hubungan Ina Mawi
mStar Siti atau Mawi?, Astro-TV3 berentap!, Ina - Siti: RTM tiada niat saingi TV3, MawiFC persoal niat Astro dan RTM, Pemenangnya: Mawi-Ina atau Siti-Datuk K?

sultanmuzaffar Perang stesen televisyen
budiey Perang TV telah bermula Di blog ini ada satu ruangan khas Gosip Siti Kahwin.

Akhbar yang melaporkan tentang persandingan tersebut;

Utusan Persandingan Siti Datuk K meriah, Siti titis air mata temui 1,000 peminat di KLCC
mStar Majlis persandingan yang indah dan penuh 'glamour', Siti sedih semasa temui peminat di KLCC, Siti jemput peminat ke Kuala Lipis, Foto majlis persandingan Siti Datuk K

Dan temubual berkenaan;

Utusan Ina sebak, Mawi selamba
The Star Torn between love tales, Ina: It was love at first sight
mStar Kasihan Ina

Semalam saya menonton TV3 tetapi mendengar Radio ERA yang turut menyiarkan secara langsung temubual Mawi Ina. Jadi mata memandang pasangan yang bahagia manakala telinga mendengar pasangan yang pasrah.

Foto : The Star

Technorati Tags: , , , , , , ,

Posted by Azhad 29.8.06 1 comments


Bermula dengan Rabun dan disusuli oleh Sepet kemudian lahir pula Gubra dan yang terkini Mukhsin. Filem-filem yang dihasilkan oleh Yasmin Ahmad kerap mengundang berbagai reaksi dan maklumbalas. Setiap ulasan dan pandangan yang dinyatakan itu adalah berdasarkan pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh pemberi pendapat itu. Masing-masing bebas menzahirkan pendirian sendiri walaupun kekadang ianya mempunyai kepentingan tertentu.

Terbaru dengan ternobatnya Gubra sebagai filem terbaik Festival Filem Malaysia ke 19 dan kesilapan ucapan Sharifah Amani semasa menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik sekali lagi Yasmin tidak terlepas dari berbagai kritikan. Sebelum itu dalam The Sun ada satu temubual dengan Yasmin Ahmad berkaitan dengan serangan terhadap filem Sepet dan Gubra. Walau apapun kita tunggu apakah pula yang akan terjadi bila Mukhsin ditayangkan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.

Sementara itu baru-baru ini beberapa orang telah berpeluang menyaksikan filem Mukhsin yang baru disiapkan. Jika hendak berkongsi ceritanya bolehlah singgah ke laman web berikut;

sultanmuzaffar Mukhsin : Kembara waktu yang paling indah
Dia Tulis Cinta platonik Orked dan Orked, Mukhsin dan hujan
Fadz Masterpiece muhibah Yasmin Ahmad
Nizam Zakaria Mukhsin rough cut

The Star Returning favourites and First love
Utusan Karya terbaru Yasmin kekalkan watak Orked
Malay Mail Here comes Mukhsin
Berita Harian Aryana & Syafie hidupkan Mukhsin


Foto : yasminthestoryteller

Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 20.8.06 4 comments

Hujung bulan lepas mak mertua aku telah dimasukkan ke hospital kerana ada bengkak di punggung beliau yang tidak kecut walaupun sudah seminggu diberi ubat. Setelah diperiksa didapati ianya darah beku dan nanah. Doktor telah mengambil keputusan untuk membuangnya secara pembedahan. Alhamdullilah semuanya dah selesai dan mak mertuaku sedang beristirehat di kampung.

Hari Isnin minggu lepas aku menerima panggilan telefon daripada guru kelas anak sulongku. Beliau memberitahu anak aku demam dan badannya tersangat panas. Pihak sekolah membenarkan anakku pulang awal, aku pun bergegas ke sekolah menjemputnya. Sebelum balik ke rumah aku singgah ke klinik. Doktor memberi ubat batuk, ubat selsema, ubat demam, antibiotik dan cuti sakit dua hari.

Keesokan paginya badan anak sulongku terasa tersangat panas lebih panas daripada semalam. Aku mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital. Di hospital rawatan segera telah diberi untuk menurun tahap kepanasan badannya. Contoh darah juga diambil untuk ujian. Menjelang tengahari anakku dibenarkan pulang setelah ujian darah menunjukkan tiada tanda demam denggi dan doktor memberi 2 hari lagi cuti sakit.

seasky1
Pada petang hari Rabu pula aku mula merasa tidak sedap badan. Menjelang malam sah aku pula demam. Dua hari berehat, pagi Sabtu barulah ada selera nak makan. Hari Ahad cuma tinggal batuk sahaja, demam dah tiada.

Petang Ahad anak bongsu aku pula menunjukkan tanda-tanda nak demam. Tanpa berlengah terus aku bawa ke klinik untuk mendapatkan ubat. Malamnya dia dapat tidur dengan lena kecuali bangun untuk menyusu. Cuma isteriku yang bangun kerana dia minum susu badan. Walaupun begitu pada siang hari dia tak nak tidur dan tidak mahu diletak, asyik nak dukung sahaja. Kanak-kanak bila dia tidak sihat dan meragam memang merisaukan.

Malamnya bila tiada tanda-tanda berkurangan, aku bawa sekali lagi anakku ke klinik. Menurut doktor, anakku perutnya kembung dan tekaknya dah mula bengkak. Ubat tambahan telah diberi. Alhamdullilah menjelang hari Selasa demamnya dah beransur hilang cuma sekarang selsema masih mengganggu tidur dan selera makannya.

Apabila kita sakit atau menjaga orang sakit perlulah banyak bersabar. Sesungguhnya penyakit itu satu saluran penghapus dosa.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 17.8.06 0 comments

GubraSelepas Sepet memenanginya tahun lepas, Festival Filem Malaysia sekali lagi memilih filem arahan Yasmin Ahmad sebagai filem terbaik. Gubra juga telah memenangi 3 lagi anugerah iaitu Pelakon Wanita Terbaik - Sharifah Amani, Lakon Layar Terbaik - Yasmin Ahmad dan Poster Terbaik.

Ini menjadikan Gubra filem yang menggondol paling banyak anugerah iaitu 4. Di ikuti oleh Pontianak Harum Sundal Malam II dan Castello sebanyak 3 anugerah.

Blog ini pernah menulis tentang Sepet dan Gubra.




Untuk mendapatkan keputusan penuh Festival Filem Malaysia ke 19, sila jengok blog sultanmuzaffar.

Foto : gubra.com.my


Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 14.8.06 2 comments

Semua orang tahu tentang Skype dan pasti sudah ramai yang telah menggunakannya. Panggilan telefon secara percuma tentu menjimatkan terutama jika ingin menghubungi luar negara. Malangnya panggilan percuma ini hanya untuk panggilan dari komputer ke komputer, jika hendak menelefon talian tetap atau telefon bimbit perlu membeli kredit dari Skype.

Gizmo ProjectKini impian untuk membuat panggilan telefon percuma ke semua talian telah menjadi kenyataan. Gizmo Project membolehkan kita membuat panggilan telefon secara percuma sama seperti Skype dan juga panggilan percuma ke talian tetap dan telefon bimbit di 60 buah negara, termasuk Malaysia.

Untuk melayakkan diri membuat panggilan percuma, orang yang menelefon dan nombor yang dihubungi mestilah pengguna berdaftar dan aktif Gizmo Project. Jika hendak maklumat lanjut tentang syarat ini sila rujuk All Calls FREE! atau terus saja ke laman web utama Gizmo Project.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 31.7.06 1 comments

anakdatukK
adib

Anak-anak Datuk Khalid iaitu Mohd Adib, Mohd Anas dan Mohd Ashraf. Untuk membaca cerita lanjut sila pergi ke Agenda Daily.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 23.7.06 0 comments

Subscribe here