Tan Sri Robert Kuok terus mengekalkan kedudukannya mendahului individu terkaya Malaysia dalam senarai orang terkaya terbaru oleh Forbes Asia. Menurut Forbes Asia, Kuok, 84, yang memiliki banyak perniagaan, termasuk hartanah di Hong Kong dan kepentingan media dan paling ketara ialah syarikat gergasi minyak sawit Wilmar, telah berjaya meningkatkan nilai bersih asetnya daripada AS$2.4 bilion tahun lepas kepada mencecah AS$10 bilion.

TERKINI :
Senarai 40 Orang Terkaya Malaysia Tahun 2010
Senarai 40 Orang Terkaya Malaysia Tahun 2009

Robert KuokMasih kekal di tempat kedua ialah Ananda Krishnan yang menerajui syarikat telekomunikasi, Maxis. Tetapi kekayaannya menurun kepada AS$7.2 bilion, iaitu kurang AS$200 juta daripada tahun lepas.

Individu ketiga terkaya dalam senarai ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan IOI Corporation, Tan Sri Lee Shin Cheng yang menduduki tempat keempat tahun lepas tetapi dengan melonjaknya prestasi gergasi perladangan kelapa sawit dari segi nilai, kekayaannya telah meningkat daripada AS$1.6 bilion kepada AS$5.5 bilion.

Puan Sri Lee Kim Hua, balu kepada jutawan perjudian terkenal Tan Sri Lim Goh Tong yang berada di tempat ketiga tahun lepas tetapi meninggal dunia pada Oktober. Beliau dan keluarganya bernilai AS$3.4 bilion dan menduduki tempat kelima. Kim Hua adalah antara tiga wanita di dalam senarai bersama-sama dengan pengerusi Selangor Properties, Puan Sri Chong Chook Yew di tempat ke-24 (AS$245 juta), dan anakanda perempuan Sultan Perak, Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah di tempat ke-35 (AS$150 juta).

Syed Mokhtar Al-BukharyTan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, jutawan Melayu paling kaya, turun satu anak tangga dari tempat ketujuh ke tempat kelapan selepas nilai bersih asetnya berkurangan sebanyak AS$200 juta kepada AS$1.8 bilion. Bumiputra lain yang tersenarai ialah Tan Sri Azman Hashim (AS$700 juta), Datuk Mokhzani Mahathir (AS$285 juta), Datuk Kamarudin Meranun (AS$280 juta) dan Ahmayuddin Ahmad (AS$155 juta).

Turut tersenarai ialah Datuk Nazir Tun Razak, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB dan anak lelaki bongsu Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein. Nazir adalah orang terbaru yang disenaraikan dan berada di tempat ke-40 sebagai individu terakhir terkaya Malaysia dalam senarai 40 senarai terkaya Forbes Asia dengan nilai bersih AS$100 juta.

Kekayaan secara kolektif kesemua 40 individu terkaya ialah AS$46 bilion, meningkat AS$3 bilion daripada tahun lepas.

Senarai 40 orang terkaya di Malaysia untuk 2008 menurut Forbes Asia:

  1. Robert Kuok AS$ 10 billion, 84, berkahwin, 8 orang anak.
    Kuok Group, Pacific Carriers Ltd, Transmile Group, Wilmar International
  2. Ananda Krishnan AS$ 7.2 billion, 70, berkahwin, 3 orang anak.
    Maxis Comminications, Aircel Ltd, Astro All Asia Networks
  3. Lee Shin Cheng AS$ 5.5 billion, 69, berkahwin, 6 orang anak.
    IOI Group
  4. Teh Hong Piow AS$ 3.5 billion, 78, berkahwin, 4 orang anak.
    Public Bank
  5. Lee Kim Hua & family AS$ 3.4 billion, 79, janda, 6 orang anak.
    Genting Group
  6. Quek Leng Chan AS$ 2.4 billion, 67, berkahwin, 3 orang anak.
    Hong Leong Group, Guoco Group, Rank Group
  7. Yeoh Tiong Lay and family AS$ 2.1 billion, 78, duda, 7 orang anak.
    YTL Corporation
  8. Syed Mokhtar AlBukhary AS$ 1.8 billion, 56, berkahwin, 5 orang anak.
    Malaysia Mining Corporation (MMC), Malaysia Johor Port, Malakoff, Gas Malaysia
  9. Vincent Tan AS$ 1.3 billion, 56, berkahwin, 11 orang anak.
    Berjaya Group
  10. Tiong Hiew King AS$ 1.1 billion, 78, berkahwin, 4 orang anak.
    Rimbunan Hijau Group, Tri-M Technologies
  11. Azman Hashim AS$ 700 juta, 68, berkahwin, 5 orang anak.
    AMCorp Group, Ambank
  12. William H. J. Cheng AS$ 660 juta, 65, berkahwin, 3 orang anak.
    Lion Group
  13. Lee Swee Eng AS$ 495 juta, 52, berkahwin.
    KNM Group
  14. Ong Beng Seng AS$ 470 juta, 63, berkahwin, 2 orang anak.
    Hotel Properties Ltd, Natsteel
  15. Lim Kok Thay AS$ 345 juta, 56, berkahwin, 3 orang anak.
    Genting Group, Star Cruises. Alliance Global
  16. Vinod Sekhar AS$ 320 juta, 40, berkahwin, 2 orang anak.
    Petra Group, Green Rubber Global
  17. Lee Oi Hian AS$ 300 juta, 57, berkahwin, 4 orang anak.
    Kuala Lumpur Kepong, Crabtree & Evelyn
  18. Yaw Teck Seng AS$ 295 juta, 70, berkahwin.
    Samling Group
  19. Anthony Fernandes AS$ 290 juta, 44, berkahwin.
    AirAsia, Tune Hotel, AirAsia X
  20. Mokhzani Mahathir AS$ 285 juta, 47, berkahwin, 5 orang anak.
    Kencana
  21. Kamarudin Meranun AS$ 280 juta, 47, berkahwin, 5 orang anak.
    AirAsia, Tune Hotel, AirAsia X
  22. Jeffrey Cheah AS$ 275 juta, 63, berkahwin, 3 orang anak.
    Sunway Group
  23. Lee Hau Hian AS$ 250 juta, 55, berkahwin, 1 orang anak.
    Batu Kawan, Kuala Lumpur Kepong
  24. Chong Chook Yew AS$ 245 juta, 86, janda, 4 orang anak.
    Selangor Properties
  25. Yaw Chee Ming AS$ 240 juta, 49, berkahwin.
    Samling Group
  26. G. Gnanalingam AS$ 230 juta, 63, berkahwin, 3 orang anak.
    Westports
  27. Lim Wee Chai AS$ 200 juta, 50, berkahwin, 2 orang anak.
    Top Glove
  28. Kua Sian Kooi AS$ 195 juta, 55, berkahwin, 4 orang anak.
    Kurnia Asia
  29. Lau Cho Kun AS$ 185 juta, 72, berkahwin.
    Gek Poh Holding, Malaysian Mosaics, Hap Seng
  30. Abdul Hamed Sepawi AS$ 180 juta, 58, berkahwin, 2 orang anak.
    Ta Ann
  31. David Law Tien Seng AS$ 165 juta.
    Midwest, Sinosteel, T.S.Law Holding
  32. Tiah Thee Kian AS$ 163 juta, 61, berkahwin, 5 orang anak.
    TA Enterprise
  33. Liew Kee Sin AS$ 160 juta, 50, berkahwin, 4 orang anak.
    SP Setia
  34. Ahmayuddin Ahmad AS$ 155 juta, 51, berkahwin, 4 orang anak.
    Westports, Pelikan
  35. Eleena Azlan Shah AS$ 150 juta, 48, berkahwin.
    Gamuda
  36. Lin Yun Ling AS$ 145 juta, 53, berkahwin, 2 orang anak.
    Gamuda
  37. Ong Leong Huat AS$ 130 juta, 64, berkahwin, 4 orang anak.
    OSK Group
  38. Lim Thian Kiat USD 115 juta, 50, bercerai.
    Former head of conglomerate Multi-Purpose
  39. Khoo Kay Peng USD 110 juta, 69.
    MUI, Laura Ashley
  40. Nazir Razak USD 100 juta, 41, berkahwin.
    CIMB, Bumiputra Commerce Holdings


Sumber : Forbes Asia

Untuk pembandingan lihat juga senarai 40 orang terkaya di Malaysia sebagaimana yang tersiar di majalah Malaysian Business keluaran Februari 2008 dan senarai yang sama oleh Forbes Asia untuk tahun 2007.

Technorati Tags: , , , , ,






Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 23.5.08 49 comments

Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga ahli Umno seumur hidup, telah mengumumkan keluar daripada parti itu pada hari Isnin 19 Mei 2008. Dr Mahathir menegaskan, tindakan itu diambil kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Umno sekarang, terutama Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang didakwanya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

Dr Siti Hasmah turut keluar parti

Beliau akan berada di luar sehingga Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah meletakkan jawatan. Beliau juga meminta ahli Umno yang sayangkan parti, mengambil tindakan yang sama untuk keluar parti dan menyertai semula Umno apabila Datuk Seri Abdullah melepaskan jawatannya.

Tun Dr Mahathir MohamadDr Mahathir membuat pengumuman ini di hadapan lebih 1,500 hadirin, kebanyakannya ahli Umno Kedah pada majlis dialog 'Nasib Kedudukan Bangsa Melayu' di sebuah hotel. Majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (DPMK) itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim; Adun Sungai Tiang, Suraya Yaacob; bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan Pengerusi DPMK, Tan Sri Khalid Abdullah.

Secara berkias, Dr Mahathir berkata, mengikut amalan kedoktoran jika sesuatu anggota pada tubuh manusia tidak boleh lagi digunakan kerana penyakit serius, ia perlu dibuang supaya tidak merebak dan mengancam nyawa individu berkenaan.

Dr Mahathir bagaimanapun menafikan tindakannya itu mempunyai kaitan dengan arahan terbaru Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video peguam Datuk V K Lingam.

Dr Mahathir juga mendakwa Abdullah tidak sesuai menjadi pemimpin kerana terlalu lembut dan lembik apabila terlalu mudah tunduk kepada Singapura, Amerika Syarikat, Barisan Pejuang Hak-hak Hindu (Hindraf) dan Majlis Peguam.

Katanya, Abdullah tidak mahu menerima hakikat bahawa parti yang dipimpinnya, termasuk komponen Barisan Nasional (BN) kini di ambang kehancuran apabila tewas di lima negeri, termasuk Wilayah Persekutuan serta gagal merampas semula Kelantan.

Dr Mahathir juga berkata, rakyat Kedah juga wajar berbuat sesuatu kerana dilayan secara tidak adil apabila mereka tiada wakil dalam Kabinet sedangkan di sesetengah negeri jumlahnya terlalu ramai. Menurut beliau Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan walaupun kalah ada wakil dalam Kabinet tetapi mengapa Kedah tiada seorang pun dilantik sebagai menteri penuh.

Dr. Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri yang ketiga mengumumkan keluar Umno. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Hussein Onn pernah keluar parti apabila Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 ekoran krisis Umno 1987/88. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar juga pernah bertindak demikian.

Dr. Mahathir pernah dipecat pada 1969 selepas beliau menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman mengkritik kepimpinannya ekoran pilihan raya umum tahun itu dan Peristiwa 13 Mei.

Turut mengikuti jejak Dr. Mahathir yang memegang nombor keahlian '0000001' untuk keluar Umno di Alor Star adalah isteri beliau Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali yang memegang nombor keahlian '0000002' dan bekas Naib Presiden dan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

Sementara itu 300 orang ahli UMNO cawangan Jalan Badlishah di Merbok turut keluar dari parti. Mereka ini adalah antara yang turut hadir di majlis dialog 'Nasib Kedudukan Bangsa Melayu'. Menurut Pengerusi Cawangan Jalan Badlishah Mejar(B) Anuar Abdul Hamid, ahli bahagian Pemuda, Wanita dan Puteri akan turut sama meninggalkan parti.

Pengumuman Dr Mahathir keluar daripada parti UMNO ini boleh dibaca di laman blog beliau Che Det.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 20.5.08 3 comments

Tanggal 15 Mei 1948 merupakan tarikh yang amat penting untuk disingkap oleh semua umat Islam di seluruh dunia. Tarikh penting tersebut adalah detik hitam bagi penduduk asal bumi Palestin, orang Arab dan dunia Islam secara keseluruhannya. Pada tarikh tersebut, penubuhan negara haram Israel di atas bumi Palestin telah diisytiharkan secara rasminya. Peristiwa tersebut turut dikenali sebagai 'nakba'.

PalestinNakba bermaksud malapetaka atau bencana besar. Dalam peristiwa nakbah, Yahudi Zionis telah bertindak kejam dengan mengusir lebih daripada 60 peratus rakyat Palestin (lebih kurang 800,000 orang daripada sejumlah 1.39 juta rakyat) ke luar negara, manakala 30,000 yang lain telah diusir ke daerah-daerah yang ditakluki mereka.

Daripada 580 perkampungan rakyat Palestin yang wujud sebelum perang 1948, rejim Zionis telah menghancurkan 478 daripadanya serta terlibat dalam lebih 34 jenayah pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin.

Rejim Zionis telah bertindak di luar batas kemanusiaan. Nyawa penduduk Palestin bagaikan tiada nilai di mata mereka. Pelbagai peristiwa pembunuhan beramai-ramai telah berlaku sepanjang peristiwa Nakbah. Antara peristiwa yang paling tragis ialah tragedi Deir Yassin pada 9 April 1948 yang melibatkan pembunuhan seramai 254 orang termasuk orang tua, wanita dan 52 orang kanak-kanak.

Petugas Palang Merah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sendiri menyaksikan bagaimana rumah-rumah rakyat Palestin dibakar dan orang yang cuba menyelamatkan diri ditembak.

Sejarah kejatuhan bumi Palestin ke tangan Yahudi bermula apabila Britain melalui Setiausaha Negara Hal Ehwal Luarnya, Arthur Balfour, telah mengeluarkan satu kenyataan bertarikh 2 November 1917 yang menjanjikan masyarakat Yahudi satu tanah airnya di Palestin. Pengisytiharan itu telah digelar sebagai Ominous Declaration (Pengisytiharan Celaka).

Isu Palestin menjadi isu antarabangsa apabila kerajaan Britain pada 2 April 1947 mendesak supaya isu Yahudi dan Palestin dimasukkan sebagai agenda PBB. Tidak lama selepas itu, sebuah jawatankuasa antarabangsa telah ditubuhkan untuk mengkaji dan membuat laporan mengenai isu Palestin.

PalestinCadangan dasar jawatankuasa ini adalah pembahagian wilayah Palestin yang tidak adil iaitu kepada negara Arab dan negara Yahudi yang merdeka, dan Jerusalem (Baitulmaqdis) diletakkan di bawah tanggungjawab antarabangsa. Jelas sekali bahawa PBB sendiri bersubahat dalam proses pendudukan haram Yahudi di Palestin dan menjadi boneka kepada Yahudi.

Penderitaan yang dialami oleh penduduk Palestin hingga kini masih belum berakhir. Rakyat Palestin telah mencuba pelbagai cara untuk membebaskan bumi Palestin dan mendapatkan kembali hak-hak mereka yang telah dirampas di tanah suci tersebut. Antaranya ialah melalui perjanjian damai, persidangan, perundingan, dengan mengikut pelan damai yang dianjurkan oleh PBB dan sebagainya. Bagaimanapun, semua cara itu menemui kegagalan dan rakyat Palestin memilih jalan lain untuk merungkai permasalahan mereka iaitu dengan kebangkitan, penentangan dan perjuangan jihad.

Dalam usaha untuk membebaskan negara sendiri daripada cengkaman penjajah, penduduk Palestin telah dilabel sebagai pengganas oleh Israel dan sekutunya. Mereka cuba untuk mengaburi mata masyarakat dunia melalui media massa yang sering memperlihatkan dan menonjolkan penduduk Palestin sebagai pengganas.

Pengganas Yahudi mendakwa bahawa mereka menjadi mangsa kekejaman penduduk Palestin sedangkan pengganas sebenar adalah mereka sendiri. Yahudi turut mendakwa bahawa mereka adalah penduduk asal di bumi Palestin semenjak zaman nabi Musa a.s lagi.

Namun hakikatnya, kedatangan mereka ke Palestin adalah sebagai imigran pada ketika itu. Dan kini mereka bertapak di bumi Palestin melalui kolonialisasi.

Dakwaan bangsa Yahudi bahawa faktor sejarah menjadikan mereka lebih berhak ke atas Palestin tidak berasas. Mereka hanya sempat memerintah sebahagian kecil kawasan di bumi Palestin untuk tempoh empat tahun sahaja sedangkan pemerintahan Islam berlanjutan selama 12 kurun (636M - 1917M).

Bangsa Yahudi juga suatu ketika dahulu ramai yang telah meninggalkan Palestin dan hubungan mereka dengannya terputus untuk hampir 18 kurun lamanya (135M - kurun ke-20).

Manakala penduduk asal Palestin pula tidak pernah meninggalkan bumi Palestin untuk selama 4500 tahun hinggalah kepada pengusiran secara paksa oleh kumpulan pengganas Yahudi pada tahun 1948. Namun mereka tidak pernah menyerah kalah malah terus berusaha untuk menegakkan kembali hak mereka ke atas bumi Palestin.

Sesungguhnya tragedi yang menimpa penduduk Palestin merupakan isu yang melibatkan seluruh umat Islam di dunia. Kepentingan Palestin bagi umat Islam amat jelas berdasarkan al-Quran dan hadis. Ia adalah bumi suci di mana ramai para rasul Alaihissalam dilahirkan dan wafat di sana. Ia adalah medan perjuangan mereka untuk menegakkan kalimah tauhid. Bumi Palestin juga telah dimuliakan oleh Allah SWT dengan kewujudan Masjid al-Aqsa. Masjid ini di samping kiblat pertama umat Islam, juga antara masjid yang dimuliakan Allah SWT dan tanah suci ketiga setelah Mekah dan Madinah.

Rasulullah SAW bersabda, "Diutamakan (digandakan) solat di Masjidil Haram atas yang lain dengan seratus ribu solat, dan di masjidku dengan seribu solat dan di Masjid Baitulmaqdis dengan lima ratus solat." (Riwayat at-Tabrani - martabat Hassan)

Selain itu, Baitulmaqdis merupakan kiblat umat Islam. Umat Islam bersolat berkiblatkan Baitulmaqdis sepanjang kehidupan Rasulullah SAW di Mekah sebelum hijrah dan juga selama 16 bulan pertama Rasulullah SAW di Madinah. Selepas itu Allah SWT mengarahkan agar kiblat bertukar arah ke Kaabah di Mekah. Baitulmaqdis juga merupakan tempat berlakunya Israk dan Mikraj.

Firman Allah SWT:
"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambanya (Muhammad pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kebesaran kami." (al-Isra':1)

Terdapat juga beberapa ayat lain di dalam al-Quran dan beberapa hadis Rasulullah SAW yang menggambarkan keistimewaan Baitulmaqdis di dalam Islam yang menunjukkan bahawa Allah SWT memuliakan tanah-tanah di sekelilingnya. Ia juga menyebabkan para sahabat Rasulullah SAW sangat menyayangi bumi Palestin ini. Malah ketika Umar al-Khattab r.a menjejakkan kakinya ke kawasan ini buat pertama kalinya, beliau telah mengumumkan bahawa seluruh bumi Palestin itu adalah wakaf kepada generasi umat Islam akan datang.

Realitinya, umat Islam pernah menguasai Baitulmaqdis selama 12 kurun dan memelihara kesucian kota ini, selepas ia dicemari tangan-tangan kufur berkurun lamanya. Kini, Baitulmaqdis kembali ke tangan kufur, maka siapakah yang akan mengembalikannya ke tangan umat Islam?

Sesungguhnya Palestin bukanlah milik orang-orang Palestin sahaja, Baitulmaqdis bukanlah tempat suci mereka sahaja dan Masjidil Aqsa bukanlah milik mereka sahaja tetapi milik kaum Muslimin dari Timur sampai ke Barat.

Ia juga milik umat Islam generasi kini dan akan datang hingga hari kiamat. Oleh yang demikian, perjuangan untuk membebaskannya daripada tangan-tangan kufur adalah perjuangan kita bersama.

Artikel ini ditulis oleh Najib Afif Arip seperti mana yang tersiar di Utusan Malaysia.

Bacaan lanjut tentang Palestin boleh juga didapati di Palestin Kini.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 15.5.08 8 comments

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu ketika itu telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Logo Hari GuruSambutan perayaan Hari Guru peringkat kebangsaan bagi bagi tahun ini akan berlangsung di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. Perdana Menteri Malaysia dijangka akan merasmikan majlis ini. Tema Hari Guru kali ini adalah Guru Cemerlang Negara Terbilang manakala tahun lepas pula ialah Guru Penjana Modal Insan Gemilang.

Bersempena Hari Guru ini, disenaraikan di bawah ini beberapa sajak yang ditujukan kepada para guru untuk tatapan dan renungan bersama.


Abadi Dalam Harum Nama

Guru pendidik mulia
sudah berabad lalu
bermandi keringat
meniti gigi hari
mendaki puncak tinggi
di merata lurah dan denai
menabur bakti
tanpa mau dipeduli.

Guru pendidik mulia
bukan untuk dipuja
atau di dewa-dewa
siang dan malarnnya
adalah perjuangan jua
rela meluah bahagia
menelan duka nestapa
dengan senyum dan takwa
biarpun sayup di hutan belantara.

Guru pendidik mulia
laksana kuntum kembang mekar
memuncak nama pembela sejahtera
abadi dalam harum nama.

Ismala
1988


Bunga Sirih untuk Guru

Guru adalah Ibu pengasuh budiman
guru adalah ratu lebah
lalu memujuk membelai kelopak
cinta kasih sayang
lilinnya berbunga sinar cahaya
madunya berbunga penawar jiwa.

Guru adalah penyu pengasih
lalu menabur bunga telur
baktinya segar mewangi
sepanjang pantal zaman.

Guru adalah lampu penyuluh
pedoman kehidupan
guru adalah pendakwah
lalu mengikut jejak Nabi Muhammad
memimpin insan
ke jalan lurus ke padang luas.

Bunga sirih bunga pirtang
terima kasih terima savang
budi bicara guru berjasa
kami sanjung tinggi.

J.M. Aziz
Rumah Puisi
Seberang Takir
Kuala Terengganu


Dia Seorang Guru

Dia seorang guru tua sebuah sekolab
terdidik dalam negeri tanpa berjela ijazah
penunggu setia sekolah desa bukan cuma ganiaran upah
tidak juga mengharap kemilau gelar dan anugerah
sekadar kerelaannya menggenggam suatu amanah

yang mengangkat harga diri dan maruah
dengan berbekalkan keyakinan dan hikmah
dengan kelkhlasan had dan pasrah
dengan tidak mengenal jemu dan penat-lelah
yang diperkirakan kepuasan diri membangun ummah
berlandas paksi yang jelas dalam tuju-arah.
Dia seorang guru pengganti ayah ibu
dia seorang guru pembentuk generasi baru
dia seorang guru pembina insan sepadu
dia seorang guru pewaris tamadun ilmu
yang terus hidup sepanjang waktu
diimbau berbunyi dilihat bertemu.

Ismail Haji Adnan
1989


Guruku

Seperti lilin
sewaktu waktu akan cair
gugur lalu membeku
sepi pun datang menutup pandang
tinggallah waktu
mengakhiri seJarah panjangnya.

Seperti engkau
sewaktu waktu penyuluh hidupku
betapa dalam kegelapan maya
engkau perkenalkan daku dengannya
suria dan bintang cakerawala
sehingga seluruh jagatraya ini
tiba-tiba menjadi milikku.

Kehadiranmu adalah suatu fitrah
lepas itu, engkau kutinggalkan
kukira engkau kesepian kini
mengakhiri sisa-sisa hidupmu
tanpa belaian kasih
ratusan anak-anakmu
yang telah engkau berikan obor.

Dan pagi ini kudakap wajahmu dalam kenangan
seorang anak yang pernah engkau lukai
kini pencintamu paling setia
sehingga ke akhir hayat.

Zam Ismail
Seremban
1985


Jasamu Dikenang

Segala bakti yang engkau curahkan
mengajar mendidik anak bangsa
segala jasa yang engkau taburkan
menjadi kenangan tak akan kami lupakan.

Engkau laksana pelita di malam gelita
memancarkan sinar sepenuh rela
jiwamu tabah hatimu cekal
kasihmu sud semangatmu berkobar
yang tak pernah mengenal erti putus asa
yang tak pernah meminta puji dan puja.

Jasamu tak akan luput dalam ingatan kami
sepanjang hayat mekar di sudut had
tiap sepatah katamu mengisi erti
tiap madahmu mengandungi hikmat
pembentuk peribadi penegak kebenaran
pengatur hidup petunjuk kebahagiaan.

Hanya kata-kata ini yang dapat kami lafazkan
terkumpul dari seribu hati menjadi satu
menadah tangan dengan doa restu
kepada Tuhan yang menjanjikan pembalasan
kepadamu guru-guru yang berjiwa mulia
pembimbing petunjuk ke arah maju jaya.

Jujur dan ikhlas engkau berbakti
di kota dan desa atau di huj'ung negeri
cekal dan tabah menempuh dugaan
hidupmu bagalkan pelita di tengah malam
membakar diri menerangi yang kelam
jasamu akan karra kenang sepanjang zaman.

Ahmad Sarju
Klang
1988


Pelita Sebuah

Dengan sinar cahaya
di malam gelita
kelip-kelip warnanya
menerangi kamar alam
sekian lama malam
merantai kegelapan
akhlrnya kukenal siang
berwajah suram
alangkah indahnya cluma
kuhhat di dalam terang.

Pelita sebuah
membawa cahaya ilmu
hutan menjadi terang
gua malam
bercahaya api
lautan menjadi tenang
gelombang clan karang
dapat direnang
kujelajahl malam
tanpa bimbang.

Ami Masra
UPM Serdang
1988


Guru oh Guru

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Usman Awang
1979


Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 13.5.08 14 comments

Detik masa terus berlalu tanpa menanti sesiapa dan semakin hari umur kita pun akan meningkat bersama pengedaran masa. Kita semua dilahirkan di dunia ini melalui seorang yang bernama ibu. Begitu besar peranan dan jasa insan yang bernama ibu ini. Oleh itu renungkanlah sejenak apakah yang telah kita lakukan untuk membalas segala budi ibu ini. Sekurang-kurangnya peluk dan ciumlah ibu masing-masing yang dapat berjumpa atau sekurang-kurangnya telefon ibu bagi mereka yang duduk berjauhan.

Bersempena dengan hari Ibu yang akan berlangsung pada hujung minggu ini 11 Mei 2008, di sini dipaparkan beberapa koleksi sajak yang ditujukan kepada ibu. Sajak-sajak ini telah diperolehi daripada beberapa laman blog, terima kasih.

Gugurnya Kelopak Itu...

Tunas itu mula bercambah,
Sekian lama tertanam di pelosok gentian,
Menjalar robek sinar mentar,
Walau halangan datang menerpa.

Tunas itu mula berkembang,
Kembangnya sekuntum mawar,
Bagai si puteri bangkit beradu,
Walau saingan menyerang tiba.

Si mawar mula mewangi,
Semerbak harum menusuk kalbu,
Ayuan merah kelopak menawan,
Lambaian hijau daunan menenang.

Lembut tubuh bersalut duri,
Membangkit cemburu iri sang flora,
Menzahir gerun takut sang fauna,
Hanya si kumbang gagah tiada gentar.

Ibu dikaulah mawar itu,
Yang kupujai tiap waktu,
Yang kurindui wajahmu,
Yang kukagumi ketabahanmu.

Cekal hati mendidik daku,
Sabar murni melayan kerenah anakmu,
Tiada kedengaran sepatah keluhan,
Tiada kelihatan setitip kemarahan.

Kini mawar itu kian layu,
Perlahan dimamah arus usia,
Gugur sudah si ayu kelopaknya,
Hilang sudah lambaian daunannya.

Segamit memori ku kenangi,
Setulus kasih ku dambai,
Potret wajahmu ku tatapi,
Sebuah kehilangan yang tiada ganti.

khas buat ibu tersayang..al-fatihah

~tinta lughahwi~


Ingatlah Kepada Ibumu

Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Bu!
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja… aku dekati ibu
Bila nak bergesel… aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku… ibu
Bila merajuk… yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan… yang paling cepat
marah..ibu
Bila takut… yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk… yang aku suka peluk..ibu

Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon… Ibu
Bila seronok… orang pertama aku nak beritahu… Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. “ibuuuuuuuuuuuuu! “
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang palin g sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk… Ibu

Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok… aku cari pasanganku
Bila sedih… aku cari Ibu
Bila berjaya… aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal… aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti… aku bawa pasanganku
Bila sibuk… aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut valentine… Aku hadiahi bunga pada
pasanganku
Bila sambut hari ibu… aku cuma dapat ucapkan Selamat
Hari Ibu
Selalu… aku ingat pasanganku
Selalu… Ibu ingat kat aku
Bila..bila… aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon Ibu
Selalu… aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila…. aku nak belikan hadiah untuk Ibuku

Renungkan:

Dulu Ibu kata: “Kalau kamu sudah habis belajar dan
berkerja… bolehkah kamu kirim wang untuk Ibu? Ibu
bukan nak banyak… lima puluh ringgit sebulan pun
cukuplah”.

Berderai air mata. Hari ini kalau Ibu mahu lima ratus
sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan. Tapi Ibu
sudah tiada.

ingatlah pengorbanan ibuuuuu….

~???~


Ibuku

Ibu
Setiap deras degupan jantungku
Engkau mampu merasanya
Ketika aku:
Sedih
Gembira
Gelisah
Naluri ibumu
Bagaikan sebati dalam diriku

Ketika aku sedih
Kaulah ubat kepada duka laraku
Menceriakan dan menghakis
Perasaan yang melunturkan
Semangatku

Ketika aku gembira
Engkau juga turut berkongsi
Kegembiraan yang menyinari saat
Aku hidup di muka bumi ini
Sebagai manusia

Pabila gelisah menyelubungi jiwaku
Engkau masih bersamaku
Menolong menyelesaikan
Masalah yang tak sudah-sudah mengusutkan
Perjalanan hidupku

Ibu
Selagi hayat dikandung badan
Aku akan sentiasa mendampingimu
Membelai dan menjagamu hingga ke hari tua

Ibu
Aku tahu kasih sayang yang kucurahkan kepadamu
Tak setanding kasih sayang ibu kepada anaknya
Namun, terimalah keikhklasanku
Untuk menyayangi
Insan yang mulia ini

~Muhammad Syafiq~


Sajak Untuk Ibu

Siapalah daku tanpa dirimu
Walaupun kau sering memarahiku
Daku tidak pernah kecewa
Kata-katamu bak mutiara
Kerana ku tahu disebalik kekatamu itu
Terselindung secebis kasih seorang Ibu terhadap anaknya...
ku pasti setiap nasihat itu adalah untuk
kebaikan diriku...
Mengajarku erti sebuah kehidupan

Ibu….
Daku telah banyak berdosa kepadamu
Dapatkah daku membalas jasa baktimu
Yang laksana pepasir di pantai
Yang telah menyabung nyawa demi melahirkan diriku
Yang tidak jemu-jemu mendengar tangisanku semasa kecil
Dan menatap wajahku yang hina ini...

Sempena Hari Ibu
Daku berdoa ke atas kesejahteraan dirimu
Agar dipanjangkan umur dan sentiasa bahagia
Disamping keluarga tercinta...

~Sulaiman~


Aku Masih Ingat

Aku masih ingat
dan akan terus ingat
sehingga akhir hayat
dulu engkau banyak menderita

aku masih ingat
dulu engkau banyak menangis
aku masih ingat
dulu engkau banyak berkorban
apa saja

aku masih ingat
dulu engkau berbalut ketabahan
membesarkan aku mengenal kemanusiaan
aku masih ingat
dulu engkau berlantaikan semangat
mengasuh aku menjadi insan beriman

aku masih ingat
dulu engkau berdinding kegigihan
mendidik aku menjadi anak soleh

aku masih ingat
dulu engkau merumahkan setia
memelihara aku dengan kasih sayang
menjadi manusia berguna

aku masih ingat….
aku masih ingat….
tak kan mudah aku lupa
karena jasamu tak terbalas semuanya
karena tak terenang sepenuhnya
di laut budimu

ibu……..!!!!
aku masih ingat
mengucapkan terima kasih
dan akan terus ingat melafazkannya
sehingga akhir hayat
aku masih ingat
segala yang murni itu…

~Sepriadi~

Lihat juga Riwayat Seorang Ibu.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 7.5.08 34 comments

Program realiti Akademi Nasyid yang diperkenalkan TV9 dilihat mampu melahirkan satu kelompok penggiat irama nasyid global atau universal. Secara tidak langsung melalui program ini, irama nasyid tanah air akan berkembang dan mampu bersaing seperti mana irama pop, balada, R&B, rock, jazz dan hip hop.

uji bakat berakhir 8 Jun

Program yang memaparkan kelainan daripada program realiti sedia ada bersesuaian dengan imej TV9 sebagai stesen televisyen yang menjurus kepada program berunsur Islam serta menerapkan nilai murni kepada penonton.

Selama ini, banyak stesen mencari bakat hiburan bagi penyanyi yang boleh membawa lagu berbentuk pop rock, balada, etnik kreatif dan hip hop. Kami berusaha ingin memberi ruang yang lebih luas kepada genre nasyid di mana nasyid juga adalah sesuatu yang universal.

Akademi Nasyid akan menampakkan bahawa sesebuah nasyid itu bukan terbelenggu dengan muzik lama dan sempit, tetapi Akademi Nasyid akan memaparkan kepelbagaiannya dari kontemporari ke puisi acapella dan sebagainya.

Apa yang penting dan diutamakan juga ialah mesej melalui lirik yang baik, kreatif, segar, menginsafkan dan memberi peringatan serta pengajaran.

Pihak TV9 yakin rancangan realiti Akademi Nasyid ini pasti mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton kerana rancangan itu dapat melahirkan ramai lagi bakat baru dalam muzik nasyid kontemporari yang berunsurkan ketuhanan dan kemanusiaan, sekali gus dengan adanya rancangan itu ia dapat mempopularkan lagi muzik nasyid di negara ini.

TV9 kini membuka penyertaan kepada penggemar irama ini untuk tampil menunjukkan bakat mereka pada sesi uji bakat yang bakal diadakan di enam lokasi.

Pihak TV9 percaya ramai anak-anak muda yang berbakat sama ada perseorangan atau kumpulan di luar sana menanti peluang ini dan menyeru mereka tampil untuk menunjukkan bakat mereka dalam Akademi Nasyid.

Penyertaan dibuka kepada semua yang berminat sama ada secara solo mahupun berkumpulan yang tidak melebihi lima orang setiap kumpulan dan menepati syarat penyertaan seperti berikut, warga negara Malaysia yang berumur 18 sehingga tidak melebihi 35 tahun.

Penyertaan secara berkumpulan mestilah kumpulan jantina yang sama. Kumpulan lelaki atau kumpulan perempuan dan peserta mestilah bertaraf amatur serta tidak pernah menandatangani kontrak rakaman album dengan mana-mana syarikat rakaman.

Bagi kemudahan peserta disediakan tujuh lagu yang boleh dipilih oleh peserta semasa sesi uji bakat seperti Intifada (Rabbani), Permata (Kopratasa), Al-Iktiraf (Raihan), Permaidani (Aris Ariwatan), Doa (Rahimah Rahim), Sesungguhnya (Raihan) dan Berita Kepada Kawan (Akil Hayy).

Peserta akan melalui tiga peringkat uji bakat sebelum layak menyertai Akademi Nasyid yang bakal disiarkan stesen ini bermula 1 Jun dan berakhir 30 Ogos sebanyak 11 episod.

Pada masa yang sama, pihak TV9 juga akan mengadakan roadshow sehari sebelum sesi uji bakat yang diadakan di setiap lokasi yang ditujui.

Info Roadshow Akademi Nasyid
  • 2 Mei 2008 - (Pasar Payang/Mydin/IPTA), Kuala Terengganu
  • 10 Mei 2008 - (Plaza Angsana/Batu Pahat), Johor.
  • 17 Mei 2008 - (Kompleks PKNS, UiTM, UKM, UIA), Shah Alam.
  • 24 Mei 2008 - Kuantan, Pahang.
  • 30 Mei 2008 - Alor Setar/Batu Kawan
  • 7 Jun 2008 - Muar/Alor Gajah, Melaka.
Sesi Uji Bakat Akademi Nasyid
  • 3 Mei 2008 - Primula Beach Resort, Kuala Terengganu
  • 11 Mei 2008 - Selesa Hotel, Johor Bharu
  • 18 Mei 2008 - Sri Pentas, Bandar Utama
  • 25 Mei 2008 - Vistana Hotel, Kuantan
  • 31 Mei 2008 - Club Cinta Sayang, Sg.Petani, Kedah.
  • 8 Jun 2008 - Mahkota Hotel, Melaka.
Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 5.5.08 9 comments

Hari ini adalah hari terakhir untuk individu pemastautin dan bukan pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan untuk menghantar borang cukai pendapatan masing-masing. Begitu juga untuk mereka yang dikategorikan dalam Harta Pusaka, Pertubuhan dan Keluarga Sekutu Hindu yang tidak menjalankan perniagaan, hari ini 30 April 2008 adalah hari terakhir untuk mengembalikan borang cukai pendapatan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

e-Filing 30 Apr 2008

Cara yang paling mudah untuk mengembalikan borang cukai pendapatan adalah dengan menggunakan perkhidmatan e-filing. Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menggunakan perkhidmatan e-filing ini adalah mendapatkan Sijil Digital dan mendaftarkannya.

Permohonan Sijil Digital dengan mendapatkan nombor pin boleh dibuat melalui surat, faks atau e-mel tetapi cara ini hanya boleh digunakan sehingga 25 April sahaja. Nombor pin ini juga boleh diperolehi pada borang cukai pendapatan yang dihantar secara pos oleh LHDNM. Cara terakhir ialah dengan datang sendiri ke mana-mana kaunter LHDNM yang berdekatan.

Apabila sudah dapat nombor pin ini, ianya perlu didaftarkan di laman web LHDNM pada bahagian Login Kali Pertama. Langkah seterusnya ialah dengan memasuki Login e-Borang dan memilih jenis borang yang berkaitan. Maklumat yang perlu diisi semuanya mudah difahami malah jika perlu, Panduan Pengguna e-Filing ada disediakan.

Sebenarnya terdapat beberapa jenis borang iaitu BE untuk individu pemastautin tidak menjalankan perniagaan, B untuk individu pemastautin yang menjalankan perniagaan, M untuk individu bukan pemastautin, TP untuk Harta Pusaka, TF untuk Pertubuhan, TJ untuk Keluarga Sekutu Hindu, P untuk Perkongsian, E untuk majikan, C1 untuk Koperasi, TC untuk Amanah Unit / Harta Tanah, TA Badan Amanah, TR untuk Amanah Pelaburan Harta Tanah / Tabung Amanah Harta, C dan R untuk syarikat.

Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi tempoh masa untuk menghantarkan borang cukai pendapatan bagi mereka yang tidak menjalankan perniagaan. Bagi mereka yang mempunyai sumber pendapatan daripada perniagaan tarikh akhir menghantar borang cukai pendapatan adalah pada 30 Jun 2008.

Kaunter Perkhidmatan e-Filing di Pusat Khidmat Pelanggan Pandan Indah yang terletak di Aras 12, Menara C, Persiaran MPAJ, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah
55100 Kuala Lumpur dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam dari 21 April hingga 30 April 2008.

Sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan LHDN di 1300 88 3010 jika memerlukan sebarang maklumat lanjut.

Technorati Tags: , , , , , ,


Posted by Azhad 30.4.08 5 comments

Larian Obor Temasya Olimpik Beijing yang melambangkan keazaman sejagat berlangsung meriah di sekitar bandar raya Kuala Lumpur disambut dalam suasana harmoni oleh rakyat Malaysia pada 21 April 2008. Selain sedikit kekecohan kecil di Dataran Merdeka semuanya berjalan dengan lancar.

Larian Obor Olimpik Beijing @ KLObor Sukan Olimpik Beijing tiba dari Bangkok awal pagi 20 April, untuk peringkat ke-14 persinggahannya di Kuala Lumpur, yang menjadi simbol kepada keharmonian temasya ini yang akan dilangsungkan di Beijing, Ogos ini.

Larian obor sejauh 16.5 kilometer ini bermula di Dataran Merdeka melalui beberapa jalan utama di Kuala Lumpur, antaranya Jalan Duta, Jalan Syed Putra, Jalan P. Ramlee dan Jalan Sultan Ismail sehingga berakhir di KLCC, membabitkan sejumlah 80 pelari terdiri daripada orang kenamaan, personaliti terkemuka serta atlit.

Larian itu juga melalui beberapa kawasan bersejarah di Malaysia antaranya, Muzium Negara, Masjid Negara, Stadium Merdeka dan Menara Kuala Lumpur.

Larian Obor Olimpik Beijing @ KLPresiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar menjadi pelari pertama yang memulakan acara larian tersebut. Pembawa obor ke-79, Duta China ke Malaysia, Cheng Yong Hou menyerahkannya kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah selaku individu terakhir memegang obor tersebut dan dinyalakan di dalam kawah khas sebagai tanda penamat larian tersebut.

Seramai 1,000 pegawai dan anggota polis dikerah untuk mengawal laluan larian obor itu. Mereka yang berlari membawa obor turut diiringi dan dikawal rapi puluhan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando 69.

Larian Obor Olimpik ini akan bersambung di Jakarta, Indonesia sebelum meneruskan pengembaraan ke Canberra, Australia.

Berikut adalah senarai penuh pembawa obor Olimpik Beijing di Kuala Lumpur;

1. Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar
2. Tan Sri Hamzah Abu Samah
3. Mohd Kadri Mohamed Taib
4. Wang Ji
5. Datuk Tony Fernandes
6. Datuk Abdul Hakim Borhan
7. Datuk Mohd Yasin Salleh
8. Karu Selvaratnam
9. Datuk Ramlan Aziz
10. Shaharuddin Jaafar
11. Teng Mui Ngee
12. Lim Keng Liat
13. Soon Lay In
14. Shi Fangfan
15. Cheah Soon Kit
16. Yuan Yufang
17. Christopher Charles Moses
18. Rashid Sidek
19. Ng Ping Loong
20. Abdul Ghafar Mahmud
21. Datuk Zolkples Embong
22. Francis Toh
23. Shalin Zulkifli
24. Datuk Dr Jemilah Mahmood
25. Liew Kian Meng
26. Bryan Nickson Lomas
27. Yap Kim Hock
28. Datuk Ho Koh Chye
29. Datuk Soh Chin Aun
30. Wilfred Vias
31. Mohd Raduan Emeari
32. Neo Chwee Yeen
33. Tan Sri Ahmad Sarji
34. Datuk Punch Gunalan
35. Razif Sidek
36. Muhd Salam Sidik
37. Fu Chee Cheng
38. Jalani Sidek
39. Lim Yee Chung
40. Seow Swee Pin
41. Mohan Gurusamy
42. Faridah Abdul Rahman
43. Johnson Tan Soo Lim
44. Ang Shiao Chin
45. Nik Lazaridis
46. Datuk Paduka Marina Mahathir
47. Ras Adiba Radzi
48. Min Yong Ho
49. Nicol David
50. Suh Dug Kun
51. Datin Paduka Sharifah Mazlina
52. Lee Chong Wei
53. Fu Choong Sin
54. Teh Muhd Amir
55. Tan Sri Azman Hashim
56. Balakrishnan Vishalache
57. Jamali Johari
58. Tan Ming Sen
59. Thomas Kok
60. Khairussaleh Ramli
61. Dr Sheikh Muszaphar Shukhor
62. Datuk Kamal Harun
63. Datuk James Selvaraj
64. Gerry Jaya Simhan
65. Maya Heng
66. Rohana Rozhan
67. Teo Hong Beng
68. Datuk Dr Hashim Abdul Wahab
69. Dr Reza Azmi
70. Khadijah Abdul Rahman
71. Aznir Malek
72. Karam Singh Walia
73. Datuk Dr Mikaail Kavanah
74. Marina Chin
75. Nurul Huda Abdullah
76. Datuk Abdul Majid Ahmad Khan
77. Tan Sri Musa Hassan
78. Hashim Wahir
79. Cheng Yonghua
80. Sultan Azlan Shah

Technorati Tags: , , , ,


Posted by Azhad 23.4.08 1 comments

Hari ini keputusan kemasukan ke matrikulasi anjuran Kementerian Pelajaran bagi sesi 2008/2009 sudah boleh disemak. Seramai 26,000 orang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 akan diberi peluang untuk mengikuti program matrikulasi ini. Di samping itu keputusan permohonan untuk melanjutkan pelajaran yang dianjurkan oleh pelbagai pihak akan turut mula diumumkan.

asasi & matrikulasi

Begitu juga peluang untuk mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) bagi melanjutkan pelajaran ke luar di peringkat ijazah pertama menjadi idaman ramai para pelajar. Bagi tahun ini seramai 2,000 orang pelajar cemerlang SPM 2007 akan ditawarkan biasiswa JPA ini. Khabarnya jumlah perbelanjaan yang dijangkakan untuk menampung 2,000 orang pelajar ini sepanjang tempoh pengajian mereka nanti adalah RM 1.74 bilion.

Manakala sebahagian besar lagi pula akan menantikan keputusan kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) samada bagi program asasi maupun diploma. Sebanyak 13 buah IPTA yang menawarkan program pengajian kepada lulusan SPM 2007. Selain itu ada juga yang akan mendaftar untuk melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mengikuti pengajian yang mereka minati.

Tidak kiralah di mana pun anda akan melanjutkan pelajaran, apa yang penting adalah anda menjalankan tanggungjawab anda sebagai pelajar dengan sebaik mungkin dan tidak mensia-siakan peluang yang diberi. Perlu diingatkan bahawa proses pembelajaran semasa di asasi atau matrikulasi agar berbeza sedikit daripada semasa SPM dahulu. Tempoh masa yang singkat dengan begitu banyak yang perlu dipelajari menuntut kesungguhan dan perhatian yang tinggi para pelajar.

Dalam kesibukan menuntut ilmu itu nanti seimbangkan juga dengan meningkatkan ilmu agama dan sahsiah diri. Kecemerlangan di dalam akademik perlulah selari dengan kecemerlangan sahsiah diri dan iman. Apabila ianya berada pada aras yang sama barulah kita akan berjaya dengan lebih bermakna.

Segala tabiat yang ada pada diri semasa belajar tidak kira samada baik atau buruk sebenarnya akan dibawa ke alam kerja. Oleh itu adalah lebih baik jika semua tabiat buruk yang ada dihapuskan seawal mungkin dan tabiat yang baik pula dipupuk serta dicambahkan. Ini akan membantu memantapkan prestasi kerja dan keharmonian kehidupan seharian.

Apa yang kita buat hari ini akan menentukan apa yang akan kita hadapi di masa hadapan.

Technorati Tags: , , , , , , ,

Posted by Azhad 16.4.08 2 comments

Muhamad Asmawi Jalaludin atau Awie telah dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan pulang bersama rakannya dari taman permainan berdekatan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi ke rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter di Lot 127, Jalan Permai Tujuh, Lembah Pantai pada petang 9 Mac lalu.

Muhamad Asmawi Jalaludin @ AwieMinggu ini genaplah sebulan Asmawi yang berumur 11 tahun hilang. Setakat ini pihak polis masih tidak mendapat sebarang petunjuk atau maklumat terbaru daripada orang awam. Proses mencari Asmawi kini telah masuk ke fasa ketiga di mana operasi mencari kini berfokus di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah dan taman permainan di sekitar Lembah Klang.

hilang 9 Mac 2008

Muhamad Affiz Muhamad Noor salah seorang rakan Awie berkata dia bersama Muhamad Asmawi dan seorang lagi rakan menyertai pertandingan mewarna anjuran restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken pada hari kejadian. Mereka berpisah ketika perjalanan pulang dan dia tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.

Muhamad Asmawi dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai hilang dalam jagaan keluarga. Polis juga tidak menemui sebarang petunjuk yang menunjukkan Awie diculik walaupun begitu polis akan terus menyiasat.

Di samping itu operasi mencari di waktu malam telah diadakan kerana jika tidak diculik pasti Asmawi akan mencari tempat untuk berteduh dan tidur. Oleh itu di sebelah malam polis akan memberi tumpuan di tempat-tempat seperti di tepi jalan, pusat beli-belah, jambatan, pasar-pasar atau kawasan yang sesuai dijadikan tempat berteduh.

Pada peringkat awal polis mencari Muhamad Asmawi pada siang hari kerana dia dipercayai akan keluar ke tempat permainan video atau berjumpa rakan-rakan pada waktu itu tetapi tidak berhasil. Pihak polis ada menerima maklumat bahawa Muhamad Asmawi dilihat di Kompleks Membeli Belah Mid Valley. Walaupun begitu ianya tidak dapat dipastikan kerana gambar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi polis tidak jelas.

Polis masih terus mengedar poster Muhamad Asmawi Jalaludin di sekitar Lembah Klang dalam usaha mengesan kanak- kanak yang hilang kira-kira sebulan ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta hubungi balai polis yang berhampiran atau talian 03-22742222.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 11.4.08 2 comments

PIKOM PC Fair yang pertama bagi tahun ini bermula hari ini di Johor Bahru, Taiping, Kuching, Sandakan dan Tawau. Sebenarnya PC Fair anjuran PIKOM ini diadakan tiga kali setahun iaitu pada bulan April, Ogos dan Disember. Oleh itu jika tidak berpeluang untuk datang kali ini, anda boleh pergi di bulan Ogos atau Disember nanti.



Berikut adalah tarikh dan lokasi PC Fair 2008 yang akan berlangsung dalam bulan April ini;

4 - 6 April 2008
11:00 am - 9:00 pm

  • Persada Johor International Convention Centre, Jalan Abdullah Ibrahim, 80000 Johor Bahru, Johor
  • Dewan Perbandaran Taiping, Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Perak
  • Permata Car Park Building, Level 5, Jalan Padungan, 93100 Kuching, Sarawak
  • Dewan Masyarakat Sandakan, Jalan Leila, 90000 Sandakan, Sabah
  • Dewan Masyarakat Tawau, Jalan Bakau, 91000 Tawau, Sabah


11 - 13 April 2008
11:00 am - 9:00 pm

  • KL Convention Centre, Kuala Lumpur City Centre, 50888 Kuala Lumpur
  • Stadium Indera Mulia, Jalan Stadium Perak, 31400 Ipoh, Perak
  • Berjaya Megamall, Jalan Tun Ismail, Sri Dagangan, 25000 Kuantan, Pahang
  • Dewan Milenium, Bertam, 13200 Kepala Batas, Pulau Pinang
  • Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Jalan Arab, 84000 Muar, Johor

18 - 20 April 2008
11:00 am - 9:00 pm

  • Penang International Sports Arena, Jalan Tun Dr Awang, 11900 Relau, Pulau Pinang
  • Mahkota Parade Melaka, Jalan Merdeka, 75000 Bandar Hilir, Melaka
  • Sibu Trade & Exhibition Centre, Power Road, 96000 Sibu, Sarawak
  • Miri Indoor Stadium, Jalan Sukan, 98000 Miri, Sarawak
  • Dewan Merdeka MPM, Jalan Pinang Raja, 32040 Seri Manjung, Perak


Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 4.4.08 5 comments

Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi tahun 2008 telah diubah tarikhnya sekali lagi oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, jadual peperiksaan PMR telah diubah selepas mengambil kira kebimbangan, keprihatinan dan pandangan pelbagai pihak mengenai jadual waktu berperingkat sebelum ini.

TERKINI : Menurut ePutra keputusan peperiksaan PMR 2008 akan diumumkan pada 30 Disember 2008.

PMR 13-17 Okt

Tarikh baru peperiksaan PMR 2008 telah diubah kepada 13 hingga 17 Oktober depan, berbanding tarikh asal 13,14,15 Oktober dan 4,5 November. Sebelum ini, pelbagai pihak membantah tarikh asal peperiksaan PMR 2008 kerana jarak masa antara 13,14 dan 15 Oktober dengan 4 dan 5 November adalah terlalu panjang iaitu selama 19 hari dan ibu bapa bimbang ia boleh mengganggu fokus pelajar.

Jadual baru PMR ini dianjakkan kebelakang pada minggu ketiga Oktober berbanding 1 hingga 5 Oktober pada tahun lalu, diputuskan selepas kajian semula LPM bersama pegawai kanan peperiksaan dan penilaian negeri. Tarikh baru bagi peperiksaan PMR 2008 dibuat bagi menjaga keselamatan, kelancaran, urusan dan kebolehpercayaan pengendalian peperiksaan.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia lagi, penyusunan semula tarikh peperiksaan tahun ini juga sudah mengambil kira aspek pengurusan dan profesional serta membabitkan banyak pihak terutama berkaitan percetakan, pengedaran, penyimpanan kertas soalan dan skrip jawapan, pemeriksaan, pemprosesan data, penentuan standard serta pengumuman keputusan.

Tarikh peperiksaan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun ini kekal seperti diumumkan sebelum ini dan boleh dirujuk di Tarikh Baru Peperiksaan UPSR, PMR, SPM & STAM.

Technorati Tags: , , , , ,



Posted by Azhad 3.4.08 1 comments

Satu temu janji yang tidak akan dilepaskan oleh mereka yang minat membaca adalah untuk melapangkan masa menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang saban tahun diadakan pada bulan April. Jika anda tidak minat membaca pun datanglah membawa anak-anak supaya dapat memupuk minat mereka membaca.

Logo Pesta Buku Antarabangsa Kuala LumpurDi pesta buku ini kita boleh mendapatkan bahan-bahan bacaan yang terkini dan berkualiti serta menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan. Pesta buku yang bermula 27 tahun dulu ini juga merupakan satu acara utama bagi industri buku di Malaysia.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 ini akan berlangsung seperti berikut;

Tarikh : 4 - 13 April 2008

Waktu dibuka;
10.00 am hingga 7.00 pm (Isnin-Khamis)
10.00 am hingga 10.00 pm (Jumaat-Ahad)

Tempat : Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur

Masuk percuma.

Selain pameran dan jualan buku, PBAKL 2008 juga menyediakan pelbagai program ilmiah dan aktiviti santai yang berkaitan dengan pembacaan, penulisan dan penerbitan. Di antaranya termasuklah Persidangan Antarabangsa Industri Buku, bengkel penulisan, pelancaran buku, pertandingan bercerita dan melukis, ulasan buku, dan sebagainya. Kementerian Pelajaran Malaysia juga akan mengadakan Anugerah NILAM anjurannya sempena PBAKL 2008 ini.

Jumpa di sana.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 31.3.08 2 comments

Majalah Malaysian Business keluaran Februari 2008 telah menyenaraikan 40 orang yang terkaya di Malaysia berdasarkan jumlah pegangan saham yang dilaporkan di bursa saham dan lain-lain pegangan saham yang boleh dinilaikan pada 18 Januari 2008. Blog ini pernah juga memaparkan 40 orang terkaya di Malaysia pada tahun lepas berdasarkan kajian yang di buat oleh majalah Forbes.

Terkini : Senarai 40 Terkaya di Malaysia 2008 oleh Forbes Asia.

Tan Sri Robert Kuok orang terkaya

Berdasarkan kedua-dua senarai tersebut Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien, 84, kekal sebagai orang terkaya Malaysia. Turut tersenarai Ong Beng Seng, jutawan harta yang kini tinggal di Singapura adalah orang yang bertanggungjawab membawa perlumbaan Formula One ke republik itu. Hanya ada dua orang wanita yang tersenarai iaitu Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah dan Puan Sri Chong Chook Yew.

Manakala bumiputra yang berada dalam senarai tersebut adalah seramai 8 orang. Mereka selain daripada Raja Datuk Seri Eleena adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Tan Sri Azman Hashim, Datuk Mokhzani Mahathir, Tan Sri Hamdan Mohamad, Tan Sri Rozali Ismail, Shaari Ismail dan Datuk Abdul Hamed Sepawi.

Berikut adalah senarai 40 orang yang terkaya di Malaysia berdasarkan kajian yang dibuat oleh majalah Malaysian Business;

1. Robert Kuok Hock Nien, 84, RM 58.110 billion, Kerry/Kuok Group

2. Tan Sri T. Ananda Krishnan, 69, RM 19.625 billion, Usaha Tegas

3. Tan Sri Lee Shin Cheng, 69, RM 14.943 billion, IOI Group

4. Tan Sri Quek Leng Chan, 65, RM 11.098 billion, Hong Leong Group

5. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 57, RM 8.550 billion, Albukhary Foundation

6. Tan Sri Teh Hong Piow, 78, RM 8.06 billion, Public Bank

7. Tan Sri Tiong Hiew King, 71, RM 3.87 billion, Rimbunan Hijau

8. Tan Sri Vincent Tan, 56, RM 3.40 billion, Berjaya Group

9. Tan Sri Lim Kok Thay. 56, RM 3.16 billion, Genting Group

10. Tan Sri Azman Hashim, 68, RM 2.87 billion, Arab-Malaysian Corp

11. Datuk Lee Yeow Chor, 42, RM 2.33 billion, IOI Group

12. Lee Yeow Seng, 29, RM 2.29 billion, IOI Group

13. Tan Sri Yeoh Tiong Lay, 78, RM 1.74 billion, YTL Group

14. Ong Beng Seng, 62, RM 1.73 billion, Hotel Properties Ltd

15. Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling, 62, RM 1.49 billion, Sunway Group

16. Datuk Yaw Teck Seng, 70, RM 1.39 billion, Samling Group

17. Datuk Seri Lee Oi Hian, 58, RM 1.304 billion, Batu Kawan

18. Datuk Lee Hau Hian, 55, RM 1.301 billion, Batu Kawan

19. Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, 54, RM 0.99 billion, YTL Group

20. Datuk Mokhzani Mahathir, 46, RM 0.97 billion, Kencana Petroleum

21. Datuk Yeoh Seok Hong, 49, RM 0.883 billion, YTL Group

22. Datuk Yeoh Seok Kian, 51, RM 0.881 billion, YTL Group

23. Datuk Micheal Yeoh Sock Siong, 48, RM 0.87 billion, YTL Group

24. Datuk Mark Yeoh Seok Kah, 43, RM 0.86 billion, YTL Group

25. Tan Sri Hamdan Mohamad, 52, RM 0.85 billion, Ranhill

26. Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah, 47, RM 0.83 billion, Gamuda

27. Tan Sri Dr Lim Wee Chai, 50, RM 0.78 billion, Top Glove Corp

28. Tan Sri Kua Sian Kooi, 56, RM 0.75 billion, Kurnia Asia

29. Puan Sri Chong Chook Yew, 85, RM 0.71 billion, Selangor Properties

30. Datuk Tony Tiah Thee Kian, 61, RM 0.67 billion, TA Enterprise

31. Datuk Tan Chin Nam, 82, RM 0.61 billion, Tan & Tan

32. Tan Sri Rozali Ismail, 52, RM 0.59 billion, Puncak Niaga Holding

33. Shaari Ismail, 53, RM 0.57 billion, Puncak Niaga Holding

34. Datuk Seri Panglima Lau Cho Kun, 72, RM 0.533 billion, Gek Poh Holdings

35. Datuk Lin Yun Ling, 52, RM 0.532 billion, Gamuda

36. Datuk Seri Liew Kee Sin, 49, RM 0.52 billion, SP Setia

37. Ong Leong Huat, 64, RM 0.50 billion, OSK Holdings

38. Datuk Abdul Hamed Sepawi, 57, RM 0.49 billion, Naim Cendera Holdings

39. Datuk Tony Fernandes, 43, RM 0.47 billion, AirAsia

40. Kwan Ngen Chung, 48, RM 0.40 billion, Kwantas Corp

Perlu diingat bahawa nilai yang disebut di atas adalah berdasarkan maklumat yang boleh didapati secara umum dan ditolak hutang yang diistiharkan. Sudah tentu ada lebih ramai mereka yang mempunyai nilai harta yang sama atau lebih daripada yang tersenarai di atas. Nama mereka tidak ada di sini kerana pegangan saham tersebut tidak dapat dikaitkan secara langsung kepada mereka.

Senarai ini diperolehi daripada blog Warkah.

Technorati Tags: , , , , , , ,







Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 25.3.08 6 comments

Ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 Mac diraikan penuh penghormatan dan penghayatan dengan mengadakan pelbagai acara keagamaan di seluruh negara seperti ceramah agama, nasyid, berselawat, berzanji, meraikan golongan fakir dan miskin.

Semua ini adalah sebagai tanda kasih umat Islam terhadap pemimpin agung yang menjadi manusia istimewa pilihan Allah. Kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agung adalah rahmat bagi sekalian alam.

12 Rabiulawal ~ 20 Mac

Kelahiran Rasulullah SAW mengubah kehidupan umat manusia di dunia daripada masyarakat yang dulunya kufur bertukar menjadi taat dan mentauhidkan Allah. Jelaslah kelahiran Baginda SAW benar-benar membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Itulah rahmat dan nikmat daripada Allah mengutus junjungan besar Nabi Muhammad SAW ke muka bumi ini.

Allah berfirman yang bermaksud, "Dan tiada Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Perjuangan Rasulullah SAW menyebarkan dakwah Islam penuh dengan peristiwa pahit dan getir. Baginda menempuh pelbagai ancaman dan halangan; menghadapi bermacam kesengsaraan, penderitaan dan penindasan. Namun begitu, Baginda tetap tabah, sabar dan tidak putus asa menjalankan perintah serta amanah Allah. Akhirnya Baginda berjaya menegakkan kebenaran di muka bumi ini. Lihatlah betapa besarnya pengorbanan Rasulullah SAW dalam menghadapi kekufuran dan kezaliman musuh Islam.

Rasulullah SAW adalah manusia pilihan dan paling istimewa. Oleh itu, Allah memperlengkapkan Baginda dengan budi pekerti mulia. Peribadi baginda benar-benar luhur, manakala jiwa dan hatinya pula suci bersih. Dengan memiliki keperibadian unggul Baginda berjaya melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab diamanahkan Allah kepadanya.

Keunggulan keperibadian Baginda SAW dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Kehidupan Nabi Muhammad SAW mengandungi pengajaran dan contoh teladan yang baik. Jika diikuti, maka kehidupan manusia seluruhnya akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Banyak contoh ditunjukkan Rasulullah SAW dalam mentaati dan beriman kepada Allah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia seperti ibadah, muamalat, politik, hubungan kemasyarakatan dan akhlak. Baginda juga pemimpin agama, negara, suami, bapa, pendidik, pendakwah dan pejuang.

Kejayaan Rasulullah SAW yang paling ketara apabila Baginda berjaya mengubah jiwa manusia daripada sifat kebatilan kepada kebenaran; kezaliman kepada keadilan dan kemunduran kepada kemajuan.

Hasilnya, lahirlah manusia yang bertakwa kepada Allah dan cintakan kebaikan. Contohnya, Saidina Umar al-Khattab yang pada mulanya seorang yang memusuhi Islam menjadi komited dengan ajaran Islam, berperibadi mulia dan dihormati. Begitulah juga Bilal bin Abi Rabah, seorang sahabat yang tabah dan sabar menghadapi penderitaan akibat penyeksaan musuh Islam demi menegakkan agama Islam.

Sempena bulan mulia ini, umat Islam diseru supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mengingati sejarah pengorbanan Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam dengan membanyakkan selawat kepadanya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1428.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 19.3.08 2 comments

TERKINI : Tarikh Keputusan Peperiksaan SPM STAM STPM 2008
Pada minggu lepas tiga keputusan peperiksaan telah diumumkan. Bermula dengan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 11 Mac 2008. Disusuli pula dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 12 Mac 2008. Secara keseluruhannya pencapaian calon-calon ketiga-tiga peperiksaan ini boleh dibanggakan.

Azali 20 1A & 1 2A

Seramai 56,896 atau 91.62 peratus daripada 66,047 calon STPM 2007, lulus penuh atau peringkat prinsipal bagi sekurang-kurang satu subjek, meningkat 0.75 peratus berbanding 90.87 peratus pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 3,687 atau 5.94 peratus calon lulus penuh lima subjek, 23,101 (37.2 peratus) empat subjek, 12,418 (20 peratus) tiga subjek, 9,234 (14.87 peratus) dua subjek serta 8,456 (13.62 peratus) satu subjek.

Enam belas orang pelajar STPM 2007 dari seluruh negara diumumkan penerima Anugerah Pelajar Cemerlang. Daripada jumlah itu, 11 calon mencatat keputusan gred A bagi semua kertas peperiksaan dalam lima mata pelajaran diambil. Enam daripada mereka adalah pelajar aliran sains yang cemerlang dalam 13 kertas peperiksaan, manakala 5 calon lagi adalah pelajar aliran sastera.

Tiga pelajar istimewa turut menerima anugerah yang sama sebagai menghargai usaha mereka mencapai keputusan memberangsangkan walaupun dalam keadaan cacat. Dua orang pelajar lagi yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang ini adalah calon yang cemerlang dalam ujian Malaysian University English Test (MUET) 2007.

Sementara itu seramai 729 atau 14.8 peratus daripada 4,920 calon STAM 2007 memperoleh keputusan sangat cemerlang atau Mumtaz, meningkat berbanding 694 (13.9 peratus) tahun sebelumnya. Mereka ini adalah sebahagian daripada 3,341 (67.9 peratus) calon yang berjaya mendapat sijil STAM kali ini dengan pangkat sekurang-kurang Maqbul atau lulus.

Seramai 4,920 calon menduduki STAM 2007 yang menawarkan beberapa mata pelajaran meliputi bidang Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin. Di antaranya ialah Hifzil Quran dan Tajwid, Fiqh, Tauhid dan Mantiq, Tafsir dan Ulumuhu, Hadith dan Mustolah, Nahu dan Sarf, Insya’ dan Mutala’ah, Adab dan Nusus, Arudh dan Qafiyah serta Balaghah.

Manakala itu sejumlah 6,247 orang calon daripada 439,255 orang calon yang menduduki peperiksaan SPM 2007 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran ini merupakan satu peningkatan berbanding keputusan 2006 apabila seramai 5,685 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pencapaian SPM 2007 juga sangat membanggakan apabila 382,286 calon berjaya mendapat sijil berbanding 358,060 pada 2006. Seramai 1,072 calon berjaya mendapat 1A dalam semua mata pelajaran berbanding 1,280 calon pada tahun sebelumnya. Hanya 2,911 atau 0.75 peratus calon gagal (gred 9G) dalam semua mata pelajaran berbanding 2,823 (0.79 peratus) pada 2006.

Pelajar paling cemerlang SPM 2007 adalah Azali Azlan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan, Kedah, yang memperoleh 20 1A dan satu 2A dan Quek Hai Ren dari SMK Hwa Lian, Mentakab Pahang yang memperoleh 16 1A.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 17.3.08 9 comments

Pilihan Raya Umum Malaysia ke 12 telah pun berakhir dengan membawa satu perubahan kepada suara rakyat tentang siapa yang akan mewakili mereka di dalam kerajaan. Bermula dengan menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen sehingga 5 negeri kini di bawah pemerintahan parti pembangkang. Berbagai reaksi boleh dilihat apabila angin perubahan atau tsunami pilihan raya ini melanda politik negara kita Malaysia.

Pilihan Raya UmumKeputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Barisan Nasional hanya memperolehi 140 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, kurang 8 kerusi untuk mendapat majoriti 2/3. Manakala PAS memperolehi 23 kerusi, PKR 31 kerusi dan DAP 28 kerusi.

Sementara itu di peringkat negeri secara keseluruhan Barisan Nasional mendapat 307 kerusi daripada 505 kerusi. PAS pula 83 kerusi, PKR 40 kerusi, DAP 73 kerusi dan Bebas 2 kerusi. Lima negeri yang berjaya ditawan oleh parti pembangkang ialah Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Sebenarnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga dikuasai oleh parti pembangkang kerana daripada 11 kerusi mereka memperolehi 10 kerusi cuma di sini hanya ada kerusi Parlimen.

Ramai yang terkejut dan ada pula yang gembira dengan gelombang perubahan ini. Persoalan yang bermain di fikiran orang ramai ialah dari mana datangnya angin perubahan ini. Semasa ditemuramah di satu sidang akhbar selepas pilihan raya lepas, Tun Dr Mahathir telah menyatakan kemungkinan ini berpunca daripada anak menantu Pak Lah iaitu Khairy Jamaluddin. Menurut beliau Perdana Menteri lebih mendengar kata-kata menantunya itu daripada maklumat daripada pihak polis, risikan maupun tentera.

Malah ada pula berpendapat ini adalah tindakan pengundi yang sudah bosan dengan pelbagai perkara yang mereka tidak puas hati dengan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Secara langsung ini telah menyebabkan sokongan dan kepercayaan kepada parti pembangkang semakin meningkat. Tidak kurang juga mungkin ada pengundi yang pada awalnya hanya ingin mengurangkan majoriti Barisan Nasional tetapi bila sudah ramai yang mempunyai fikiran yang sama maka ramailah calon parti pembangkang yang menang.

Walau apapun pendapat yang diberikan tapi sudah jelas satu lembaran baru politik di Malaysia telah pun bermula. Langkah yang berikutnya ialah untuk memastikan negara dan semua negeri akan dapat ditadbirkan dengan baik berlandaskan kepentingan rakyat bukannya di atas kepentingan pihak tertentu sahaja.

Berdasarkan pengalaman yang lalu negeri yang ditadbir oleh pembangkang susah mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat. Ini sudah pasti akan menyulitkan 5 negeri di bawah pentadbiran parti pembangkang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Akibatnya rakyat di negeri berkenaanlah yang akan menjadi mangsa. Bila perkara ini diketengahkan tentu akan ada suara yang menyebut, "padan muka, kenapa pilih pembangkang dulu".

Walaupun begitu diharap perubahan arus politik ini akan memberi manafaat kepada rakyat secara amnya. Inilah peluang parti pembangkang untuk membuktikan kemampuan mereka untuk membela nasib rakyat dan mentadbir negeri dengan lebih cekap. Manakala ini juga peluang untuk Barisan Nasional membaiki kelemahan yang ada dan meningkat kualiti pentadbiran mereka.

Sama-samalah kita pantau perkembangan semasa politik ini sehingga tibanya Pilihan Raya yang ke 13 akan datang bila semua pengundi sekali lagi akan menentukan siapa yang mentadbir negara Malaysia ini.

Technorati Tags: , , , , , , ,

Posted by Azhad 12.3.08 2 comments

Subscribe here