Showing posts with label merdeka. Show all posts
Showing posts with label merdeka. Show all posts

Sekali lagi sambutan Hari Merdeka 2010 akan jatuh dalam bulan Ramadan sama seperti tahun lepas. Pada tahun lepas sambutan hari kemerdekaan ini pada mulanya telah dijadualkan untuk diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil tetapi telah diubah ke perkarangan Bangunan Parlimen dengan skala majlis yang lebih kecil. Ketika itu masalah influenza A H1N1 sedang melanda negara.

Tema Hari Kemerdekaan 2010 Kali ke 53 ini adalah 1Malaysia Menjana Transformasi. Perkataan 1Malaysia masih dikekal pada tahun ini. Bagi sambutan kemerdekaaan tahun 2010 ini juga akan dijayakan dengan secara sederhana, termasuklah Acara Perbarisan dan Perarakan Kemerdekaan yang akan diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Selain acara perbarisan dan perarakan terdapat beberapa lagi program sambutan kemerdekaan yang telah bermula dari bulan Julai sehinggalah ke bulan September nanti. Di antara aktiviti tersebut adalah Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang, Pertandingan Pidato dan Esei Kebangsaan, Peraduan Merekacipta Kad Hari Kemerdekaan, Peraduan Mencipta Pantun Kemerdekaan, Pameran Kemerdekaan Wira Yang Tidak Dicanang, Pameran Memperingati Detik Sejarah Kemerdekaan, Majlis Berbuka Puasa Muhibbah 1Malaysia dan lain-lain. Sila rujuk senarai Aktiviti dan Program Sempena Sambutan Kemerdekaan ke 53.

Perayaan Hari Malaysia juga termasuk di dalam sambutan kemerdekaan. Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September telah diumumkan sebagai hari cuti umum mulai tahun ini. Hari Malaysia ini merupakan tarikh di mana negara Malaysia ditubuhkan dengan gabungan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Logo Sambutan Kemerdekaan 2010

Logo Kemerdekaan 1Malaysia
Logo berbentuk nombor satu dan berlatarbelakangkan Jalur Gemilang serta tulisan Malaysia ini dinamakan 1 Malaysia.

Logo 1 Malaysia melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.

Logo yang sama telah digunakan pada tahun lepas.

Lagu 1Malaysia yang sama juga digunakan pada tahun ini.


LAGU 1MALAYSIA

Berdiri teguh di bumi nyata
Untuk Semangat Satu Malaysia
Sepakat Rakyat Didahulukan
Pencapaian Diutamakan

Perpaduan Merapat-rapat
Toleransi kaum amalan bersama
Kejayaan kita bangunkan Satu Malaysia

Dalam capai satu tujuan
Tanggungjawab kita semua
Jadi teras bangsa mulia
Kita bina Satu Malaysia

Korus

Satu Malaysia jadi pegangan
Rukun negara teras panduan

Satu Malaysia benteng negara
Rakyat Malaysia taat setia

Ulang Korus 2x

Satu Malaysia untuk semua

Pencipta Lagu : Nik Nizam
Penulis Lirik : Lokgha

VIDEO 1MALAYSIA


Maklumat yang lebih terperinci mengenai sejarah dan sambutan kemerdekaan boleh diperolehi dari laman web rasmi Sambutan Kemerdekaan Malaysia ke 53.

Lagu dan Video Satu Malaysia oleh LimKokWing University


Technorati Tags: , , , , , , , ,

Posted by Azhad 27.8.10 4 comments

Sambutan Hari Merdeka 2009 kali ini akan berlangsung dalam bulan Ramadhan dan akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Difahamkan ini adalah pertama kalinya sambutan kemerdekaan peringkat kebangsaan di dalam stadium. Tema hari kemerdekaan ke 52 ialah 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Terkini: Lokasi sambutan tahun ini dijangka akan dipindahkan ke Bangunan Parlimen setelah mengambil kira perkembangan semasa influenza A H1N1 dan menghormati bulan Ramadhan.

Logo Sambutan Kemerdekaan 2009; 1 Malaysia

Logo 1 Malaysia
Logo berbentuk nombor satu dan berlatarbelakangkan Jalur Gemilang serta tulisan Malaysia ini dinamakan 1 Malaysia. Logo 1 Malaysia melambangkan visi negara iaitu untuk mewujudkan satu masyarakat yang berpadu dan mempunyai semangat cintakan negara berpandukan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara.

Ia juga mencerminkan rakyat Malaysia yang saling bekerjasama, bermuafakat, berdikari, berfikir dan menghayati satu visi untuk membina satu Negara Bangsa.

Sementara itu logo 1 Malaysia ini dilengkapkan dengan lagu khas Satu Malaysia yang telah dicipta oleh Nik Nizam dan Errie Naham dan lirik oleh Lokman Ghani.

Lirik Lagu 1 Malaysia


Satu Malaysia

Berdiri, Teguh di bumi
Nyata pupuk semangat satu Malaysia
Sepakat, Rakyat didahulukan
Pencapaian diutamakan

Perpaduan, Mendapat rahmat
Toleransi kaum amalan bersama
Kejayaan, Kita bangunkan
Satu Malaysia

Dalam capai satu tujuan
Tanggungjawab kita semua
Jadi teras bangsa mulia
Kita bina Satu Malaysia

Satu Malaysia jadi pegangan
Rukun negara teras panduan
Satu Malaysia benteng negara
Rakyat Malaysia taat setia

Satu Malaysia untuk semua

Video Lagu 1 Malaysia


Lagu ini boleh juga dimuat turun di Lagu 1 Malaysia.

Pelbagai acara akan diadakan selama sebulan sempena sambutan kemerdekaan akan diisi dengan pelbagai kegiatan yang akan bermula dari 12 Ogos hingga 10 Oktober. Sambutan yang dipanggil Bulan Kemerdekaan ini akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya pada 12 Ogos dan berakhir di Kuching, Sarawak pada 10 Oktober dengan perayaan Hari Malaysia.

Tema, logo dan lagu bagi sambutan kemerdekaan ke 52 ini sebenarnya berasaskan slogan dan konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Jika ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai sambutan kemerdekaan sila rujuk laman web rasmi Sambutan Kemerdekaan Ke 52.

Technorati Tags: , , , , , , , ,

Posted by Azhad 10.8.09 18 comments

Tema hari kemerdekaan bagi tahun 2008 ialah Perpaduan Teras Kejayaan. Jika berminat untuk mengetahui tema-tema sebelumnya bolehlah pergi ke Tema Hari Kemerdekaan yang lalu. Di bawah ini dipaparkan logo sambutan ulangtahun kemerdekaan bagi tahun ini yang merupakan yang ke 51.
Logo Hari Kemerdekaan ke 51

Rekabentuk logo ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”.

3 ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.

3 rupa bentuk manusia digayakan bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.

Warna merah simbol keberanian rakyat. Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Pertuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan/keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.

Jika sudah ada tema dan logo, tentu tidak lengkap jika tiada lagu khas untuknya. Berikut adalah lagu tema hari kemerdekaan ke 51 yang dicipta oleh Pak Ngah dan lirik oleh Lokgha;

PERPADUAN TERAS KEJAYAAN

Kini Semangat Jalan Seiring
Satu Amanah Kerjasama
Jadi Teras Bangsa Mulia
Sehati Sejiwa

Bangun Membantu Agar Sepakat
Moga Terserlah Perpaduan
Agar Teguh Dipersada
Dalam Hidup Harmoni

Sirami Rasa Kasih Sayang
Jadi Benteng Hidup Yang Harmoni
Nurani Ikhlas
Dihati Murni
Menjadi Kekuatan Kita

Bersatu.......Bersatu
Bersatu Gagah Bercerai Rebah
Hindarkan Hasrat Sengketa Kita
Perpaduan Teras Kejayaan

Berpadu......Berpadu
Berpadu Bulat Kata Sepakat
Menjadi Cita Negara Jaya
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan

Lagu di atas boleh dimuat turun di Lagu Tema Merdeka ke 51. Saya ada cuba mencari minus one untuk lagu ini tetapi tidak berjaya. Walaupun begitu di laman web Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional terdapat minus one beberapa lagu patriotik lain.

Sementara itu jika ingin mendapatkan maklumat lanjut yang berkaitan dengan kemerdekaan negara kita Malaysia bolehlah merujuk kepada Portal Hari Kemerdekaan.

Technorati Tags: , , , , , ,


Zemanta Pixie

Posted by Azhad 8.8.08 23 comments

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 50 tahun.

Logo Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan - Malaysiaku Gemilang

Malaysiaku Gemilang

Marilah kita semua
Atas nama negarabangsa
Dengan tekad mulia
Maju berwawasan
Mencipta keagungan

Berpadulah kita semua
Di dalam satu suara
Dengan degupan Merdeka
Menjulang budaya bangsa
Untuk Malaysia tercinta

Malaysiaku gemilang
Merdekanya terbilang
Berdaulat dan makmur
Berjaya kami syukur

Malaysia, kebebasan kedamaian
Malaysia, kebahagiaan kebanggaan
Malaysia, cemerlang terbilang
Malaysiaku gagah gemilang

Muzik oleh : Nik Nizam Jaafar - Istana Budaya
Lirik oleh : Rais Yatim & Hairul Anuar Harun

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 31.8.07 0 comments

Semalam telah berlangsung raptai penuh sambutan perayaan hari kemerdekaan ke 50 di Dataran Merdeka pada sebelah pagi dan di Stadium Merdeka pada sebelah malamnya. Di Dataran Merdeka adalah raptai penuh Majlis Perarakan dan Pebarisan Merdeka dan di Stadium Merdeka pula adalah raptai penuh Majlis Perhimpunan Raksasa Merdeka. Berpuluh ribu lapisan masyarakat terlibat bagi menjayakan kedua-dua majlis ini.

Malaysiaku Gemilang

Majlis di Dataran Merdeka mempunyai aturcara yang hampir sama seperti mana sambutan pada tahun-tahun yang lepas. Walaupun begitu acara padang dan perbarisan tahun ini lebih menumpukan kepada komponen rakyat bersepadu. Salah satu daya tarikan utama pagi itu ialah lintas hormat dan aksi akrobatik pesawat tempur termoden dunia, Sukhoi SU 30-MKM. Dilaporkan Duke Of York, Putera Andrew, Sultan Brunei Darulsalam, Perdana Menteri Singapura dan Presiden Filipina dan beberapa lagi pemimpin negara luar dijangka akan hadir di majlis tersebut.

Logo 50 tahun merdekaSementara itu di Stadium Merdeka pula majlis ini lebih tertumpu kepada mengenang sejarah kemerdekaan dan kepimpinan kesemua Perdana Menteri Malaysia. Bagi zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj digambarkan pencapaian kemerdekaan itu, Tun Abdul Razak Hussein dengan pembangunan pertanian, Tun Hussein Onn dengan Perpaduan Kaum, Tun Dr Mahathir Mohamed dengan pembangunan infrastruktur sementara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula dengan pembangunan modal insan.
Raptai Sambutan Kemerdekaan ke 50Raptai Sambutan Kemerdekaan ke 50Raptai Sambutan Kemerdekaan ke 50Raptai Sambutan Kemerdekaan ke 50

Semoga sambutan ulangtahun kemerdekaan ke 50 ini akan berlangsung dengan jayanya.

Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 30.8.07 1 comments

Bendera Malaysia - Jalur GemilangTidak sampai dua minggu lagi kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan kali yang ke 50. Oleh itu apa kata kita mengimbas semula tema-tema hari kemerdekaan pada tahun-tahun lepas. Sebenarnya hari kemerdekaan hanya mempunyai tema bermula daripada tahun 1970. Setiap tahun tema ini diubah mengikut situasi semasa kecuali tahun 1988-1989 dan tahun 2000-2006.

1970 Muhibah dan Perpaduan
1971 Masyarakat Progresif
1972 Masyarakat Adil
1973 Masyarakat Berkebudayaan Malaysia
1974 Sains dan Teknologi Alat Perpaduan
1975 Masyarakat Berdikari
1976 Ketahanan Rakyat
1977 Bersatu Maju
1978 Kebudayaan Sendi Perpaduan
1979 Bersatu Berdisiplin
1980 Berdisiplin Berbakti
1981 Berdisiplin Berharmoni
1982 Berdisiplin Giat Maju
1983 Bersama Ke Arah Kemajuan
1984 Amanah Asas Kejayaan
1985 Nasionalisme Teras Perpaduan
1986 Bangsa Tegas Negara Teguh
1987 Setia Bersatu Berusaha Maju
1988 Bersatu
1989 Bersatu
1990 Berjaya
1991 Wawasan 2020
1992 Wawasan Asas Kemajuan
1993 Bersatu Menuju Wawasan
1994 Nilai Murni Jayakan Wawasan
1995 Jatidiri Pengerak Wawasan
1996 Budaya Penentu Kecapaian
1997 Akhlak Mulia Masyarakat Jaya
1998 Negara Kita, Tanggungjawab Kita
1999 Bersatu Ke Alaf Baru
2000-
2006 Keranamu Malaysia
2007 Malaysiaku Gemilang
2008 Perpaduan Teras Kejayaan
2009 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapian Diutamakan

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 20.8.07 0 comments

Lima puluh tahun atau setengah abad merupakan satu jangkamasa agak panjang. Selama itulah negara Malaysia telah mengecap kemerdekaan daripada cengkaman penjajahan British. Sebelum itu Malaysia atau Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu pernah juga ditakluki oleh Jepun, Belanda dan Portugis. Siri penjajahan ini bermula bila runtuhnya empayar Melaka.

Logo 50 tahun merdekaMajoriti rakyat Malaysia sekarang terdiri daripada mereka yang dilahirkan selepas merdeka. Jumlah penduduk Malaysia sekarang ialah 26.6 juta orang di mana 32% berumur 15 tahun dan ke bawah, 61% berumur di antara 16 hingga 59 tahun dan 7% berumur 60 tahun dan lebih. Ini bermakna sebahagian besar rakyat Malaysia tidak pernah merasai zaman sebelum merdeka. Ketika susahnya kehidupan semasa pendudukan Jepun atau merasai perjuangan kemerdekaan.

Kisah itu hanya boleh ketahui melalui pembacaan atau cerita yang disampaikan oleh atuk nenek atau emak ayah kita. Walaupun begitu berapa ramai dari kita yang berminat membaca cerita-cerita sejarah ini dan bertanya kepada mereka yang pernah melalui sejarah itu sendiri. Memandangkan rakyat Malaysia tidak minat membaca kecuali untuk peperiksaan atau yang berkaitan dengan pekerjaan sudah tentu pengetahuan tentang perkara ini amat kurang.

Setelah 50 tahun berlalu, bolehkah kita terus mengekalkan semangat kemerdekaan itu? Bagaimana pula dengan perkembangan rohani dan minda rakyat Malaysia selepas 50 tahun merdeka? Adakah generasi sekarang menghayati erti kemerdekaan itu? Banggakah kita menjadi rakyat Malaysia dan adakah kita bangsa Malaysia yang sejati?

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 3.8.07 1 comments

Pada 31 Ogos 1957
Tanah Melayu telah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada detik pertama pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, bagi menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Laungan "MERDEKA" telah dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama keesokan harinya tepat 9.30 pagi di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Pada 16 September 1963

Pada hari ini dalam tahun 1963 seiring dengan dentuman 101 das tembakan meriam dan teriakan "MERDEKA", Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kelahiran sebuah negara baru kepada seluruh dunia iaitu Malaysia. Malaysia terbentuk daripada gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Stadium Merdeka yang dibanjiri oleh 30,000 rakyat Malaysia telah bergema kembali dengan laungan semangat rakyat seperti 6 tahun yang Ialu dalam tahun 1957 ketika Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya.

Upacara membaca Deklarasi Penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor-gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negara yang baharu di dalam Persekutuan Malaysia laitu Lee Kuan Yew, Donald Stephens dan Stephen Kalong Ningkan. Upacara ini telah dihadiri juga oleh ahli kabinet, anggota-anggota diplomat asing di Kuala Lumpur serta wakil-wakil dari Kerajaan-Kerajaan yang telah dijemput khas.

Kesimpulannya
Semenanjung Tanah Melayu telah merdeka daripada jajahan British pada 31 Ogos 1957 manakala Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September enam tahun kemudian. Oleh itu bilakah rakyat MALAYSIA patut meraikan kemerdekaan, pada 31 Ogos atau 16 September? Sudah pasti kita semua mempunyai berbagai pendapat tentang perkara ini.

Walau apapun Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke 49 untuk Semenanjung Malaysia dan ke 43 untuk Sabah dan Sarawak. Singapura telah keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.

MalaysiaKita sebagai rakyat Malaysia patutlah mengisi kemerdekaan ini baik dari segi jasmani maupun rohani. Di samping tidak melupakan jasa dan pergorbanan mereka yang membantu kemerdekaan tanah air kita.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 30.8.06 0 comments


Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan yang ke 48.

Posted by Azhad 31.8.05 0 comments

Subscribe here