Liputan tentang Nurin Alert kini semakin meluas apabila cerita mengenainya disiarkan di majalah Tell. Sebelum ini kisah Nurin Alert ini telah dibincangkan dalam rancangan Wanita Hari Ini(WHI) di TV3 pada 23 Oktober yang lalu. Di dalam rancangan WHI tersebut Nuraina A.Samad, Jasni Haji Abdul Jalil dan Kamal Affandi Hashim telah dijemput untuk memperkatakan tentang Nurin Alert. Terbaharu keluaran khas bulan November-Disember majalah Tell dan edisi bulan Disember majalah Mastika pula memuatkan penulisan tentang Nationwide Urgent Response Information Network Alert dan tragedi yang menimpa Nurin.

Muka hadapan majalah Tell dengan jelas menunjukkan gambar Nurin Jazlin berlatar belakangkan gambar-gambar kecil kanak-kanak yang pernah hilang sebelum ini. Diikuti dengan ruangan editorialnya yang menyebut tentang Tell akan memberi tumpuan kepada cerita yang berkaitan dengan Nurin Jazlin kali ini.

Fokus tentang Nurin dimulakan di mukasurat 20 sehingga 29 menyentuh berkenaan Nurin Alert, bagaimana idea untuk mewujudkannya timbul, bagaimana ianya boleh membantu, bagaimana fungsinya dan cerita Amber Alert yang telah digunakan Amerika Syarikat. Bahagian ini diakhiri dengan apa yang telah terjadi kepada Preeshena Varshiny dan Chin Kha Man baru-baru ini.

Di mukasurat 40 sehingga 42 pula menceritakan tentang keadaan keluarga Jazimin Haji Abdul Jalil selepas kematian Nurin Jazlin. Di sini disebut betapa berapa sukarnya mereka sekeluarga menjalani kehidupan seharian selepas perginya Nurin Jazlin.

Fokus tentang Nurin diteruskan di mukasurat 80 sehingga mukasurat 87 melaporkan perbincangan meja bulat berkenaan Nurin Alert yang disertai oleh Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Jasni Abdul Jalil, Nuraina Samad, Kamal Affandi, Madeleine Yong, Wahti Mahidin, Abang Ariffin Abang Bohan, Rocky dan Mustapha Mahidin.

Sementara itu di dalam majalah Mastika keluaran bulan Disember terdapat tiga artikel yang menyentuh mengenai Nurin Jazlin Jazimin. Pertama di mukasurat 96 sehingga mukasurat 100 bercerita tentang beberapa kejadian yang telah berlaku di Kampung Baru sebelum tragedi Nurin. Kanak-kanak telah diculik dan dicabul menggunakan timun dan terung. Salah seorang daripada kanak-kanak ini telah dijumpai di tepi sebuah kedai kosong dalam keadaan berbogel dengan bahagian sulit dan duburnya berlumuran darah. Usus kanak-kanak ini juga terkeluar. Syukur alhamdullilah semua kanak-kanak ini berjaya diselamatkan.

Selepas itu di mukasurat 102 sehingga mukasurat 106 dimuatkan cerita kekesalan dan pengalaman Dr Sazali Ahmad dari Akademi Sains Muda ketika membantu pihak polis mengendalikan kes Nurin Jazlin. Akhir sekali di mukasurat 108 dan mukasurat 109 disiarkan catatan peribadi bapa Nurin, Jazimin Haji Abdul Jalil, bagaimana beliau menghadapi detik-detik kehidupan selepas tiadanya Nurin.

Majalah Tell dan Mastika ini jelas membantu mengingatkan kita tentang tragedi yang telah menimpa beberapa keluarga khususnya keluarga Nurin Jazlin. Begitu juga betapa perlunya Nurin Alert diwujudkan di negara ini. Oleh itu kesedaran dan sokongan orang ramai dan mereka yang berkenaan amat diperlukan bagi menjayakan Nurin Alert ini.

Bagi yang mempunyai blog mungkin boleh menulis tentang Nurin Alert di blog masing-masing. Dapatkan juga majalah Tell dan Mastika yang disebut di atas dan pinjamkan kepada rakan-rakan pejabat serta tunjukkan kepada tetamu yang datang ke rumah. Kunjungilah juga laman blog Nurin Jazlin dan Tembam untuk mengetahui perkembangan terkini tentang kes Nurin dan Nurin Alert.

Semoga Nurin Alert akan menjadi menjadi kenyataan dan dapat membantu keluarga yang memerlukan khidmatnya.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 23.11.07 7 comments

Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah atau UPSR telah diumumkan minggu lepas. Seramai 500,786 orang pelajar telah menduduki peperiksaan ini pada bulan September yang lalu. Dari jumlah itu, 9.7% atau seramai 48,400 orang pelajar telah mendapat keputusan 5A. Ini merupakan satu peningkatan berbanding tahun 2006 42,029 atau 8.5% dan tahun 2005 35,980 atau 7.3%. Tahniah kepada semua yang telah berjaya mencapai keputusan yang cemerlang. Bagi yang lain buktikan kemampuan anda semasa PMR nanti dan selepas itu SPM pula.

6,000 di SBP, 3,300 di MRSM

Apabila menyebut keputusan 5A dalam UPSR ramai ibubapa dan ada juga para pelajar sendiri yang berharap akan dapat menyambung pelajaran sekolah menengah di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) atau di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). Walaupun begitu tempat yang disediakan adalah amat terhad. Ketika ini cuma ada 54 buah SBP dengan cuma 6,000 pengambilan pelajar tingkatan satu. Manakala hanya 18 buah MRSM daripada 41 buah MRSM membuat pengambilan pelajar tingkatan satu seramai 3,300 orang.

Apabila ditolak keutamaan yang diberi kepada anak-anak bekas pelajar SBP dan MRSM, maka jumlah tempat untuk diisi oleh pelajar 5A lain semakin terhad. Difahamkan SBP dan MRSM diwujudkan bagi memberi peluang kepada pelajar cemerlang yang kurang berkemampuan untuk mendapat pendidikan yang terbaik dan suasana pembelajaran yang lebih selesa. Walaupun begitu ada juga mereka datang dari keluarga yang berkemampuan dan tinggal di bandar berjaya mendapat tempat di sekolah berasrama penuh.

Mereka yang berjaya diterima belajar di sekolah berasrama penuh patut menghargai peluang yang dberikan ini. Ibubapa pula perlu sedar bahawa dengan menghantar anak mereka ke sekolah berasrama penuh tidak bermakna tanggungjawab mereka tidak dikurangkan. Tidak dinafikan ada dikalangan para pelajar SBP yang alpa tentang betapa berharganya peluang yang diberikan kepada mereka itu sehingga menyebabkan mereka leka dan tidak memberi fokus kepada akademik dan kegiatan kokurikulum yang lain.

Malah ada ada ibubapa yang beranggapan apabila anak mereka belajar di sekolah berasrama, tanggungjawab untuk membimbing anak remaja mereka diserahkan kepada pihak sekolah semata-mata. Ini kerana menurut mereka anak-anak remaja mereka ini sepenuh masa di sekolah dan cuma berada di rumah semasa cuti sekolah sahaja. Maka apabila berlaku sesuatu kepada anak mereka dengan mudahnya pihak sekolah dipersalahkan. Walaupun begitu mereka yang bersifat negatif ini cuma segelintir sahaja, cuma diharap mereka ini tidak mempengaruhi para pelajar dan ibubapa lain yang tahu dan sedar apakah tanggungjawab dan amanah yang perlu dilaksanakan.

Belajar di sekolah berasrama penuh bukanlah satu-satunya tempat yang boleh menjadikan pelajar itu seorang yang cemerlang dan terpuji dari segi akademik dan sahsiah diri. Sekolah harian juga mampu melahirkan mereka yang berjaya dan terbilang dalam pelajaran dan jati diri. Malah terbukti mereka yang terbaik dalam akademik dan kegiatan kokurikulum bukan hanya yang belajar di sekolah berasrama penuh. Apa yang penting diri pelajar itu sendiri berserta sokongan dan dorongan dari ibubapa, guru dan kawan-kawan.

Jika berkehendak itu pasti ada seribu daya, tapi jika dah tak nak pasti ada seribu alasan.

Bagi mereka yang mendapat 5A dalam UPSR yang lalu dan telah memohon untuk belajar di sekolah berasrama penuh boleh pergi ke Semakan Tawaran Ke Tingkatan 1 Sekolah Berasrama Penuh Sesi 2008

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 19.11.07 2 comments

Tarikh 10 November 2007 pasti menjadi satu lagi catatan peristiwa yang mencorak kancah politik di Malaysia. Gelombang kuning yang bergerak pada hari Sabtu lepas memberi satu gambaran tentang apa yang diinginkan oleh sebahagian rakyat Malaysia. Perhimpunan Rakyat Aman di Dataran Merdeka ini dianjurkan oleh Bersih. Bersih merupakan gabungan beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang menuntut satu proses piliharaya yang bersih dan adil.

Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil - BERSIHPerhimpunan Rakyat Aman atau Perhimpunan Bersih mengikut perancangan awalnya ialah berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyerah satu memorandum kepada Yang DiPertuan Agong. Pihak polis telah membuat kawalan ketat dengan tidak membenarkan orang ramai masuk ke kawasan Dataran Merdeka. Beberapa sekatan jalan raya juga telah dibuat di jalan-jalan menuju ke ibukota. Memorandum berkenaan hanya dapat diserahkan kepada Pegawai Istana di hadapan Istana Negara. Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah, Lim Kit Siang, Salahuddin Ayub dan Azmin Ali antara yang berada di hadapan Istana Negara.

Untuk membaca cerita lanjut atau melihat gambar serta video mengenai apa yang telah berlaku pada 10 November, sila layari laman web www.bersih.org serta carian perkataan dan tag BERSIH di Technorati.

Menurut Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil, Perhimpunan Bersih ini diadakan bertujuan menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil. Bagi mencapai maksud itu empat perkara telah dituntut untuk dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu;

1. Penggunaan dakwat kekal yang dicelup ke jari pemilih berdaftar yang telah selesai membuang undi. Ia bagi mengelakkan pemilih sama mengundi berulangkali.

2. Pembersihan daftar pemilih daripada nama-nama yang tidak sayugia wujud. Ia termasuk apa yang disifatkan sebagai 'pengundi hantu', pemilih yang telah mati dan seumpamanya. Ia bagi mengelakkan sebarang kecenderungan penyalahgunaan nama terbabit atau penipuan oleh mana-mana pihak yang bertanding.

3. Pemansuhan undi pos. Pelaksanaan undi pos boleh dipertikaikan ketelusannya, terutama melibatkan dakwaan pemaksaan undi oleh pegawai atasan dan penipuan kertas undi yang sukar dibuktikan.

4. Akses kepada media yang lebih adil dan saksama bagi parti-parti pembangkang. Media massa cetak mahu pun elektronik sepatutnya bersikap lebih demokratik dan memberi ruang seadilnya kepada kesemua parti untuk menyatakan pandangan dan mesej masing-masing.

Ada di antara kita yang mungkin bersetuju dan juga tidak setuju dengan empat tuntutan di atas. Malah mungkin ada dikalangan kita yang bersetuju dengan empat tuntutan ini tetapi tidak berkenan dengan cara tuntutan itu dibuat. Ini semua bergantung kepada maklumat dan pengalaman yang kita ada tentang pilihanraya dan suasana politik di negara ini. Walau apapun pendirian kita mestilah disandarkan dengan ilmu supaya keputusan yang dibuat itu dapat disokong dengan fakta.

Jeff Ooi di blog beliau Screenshots ada menulis tentang Gelombang Kuning, detik-detik perhimpunan dan laporan berita utama serta Al-Jazeera, temuramah telefon Menteri Penerangan oleh Al-Jazeera dan carian Bersih di internet.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 12.11.07 5 comments

Jenayah seks terhadap kanak-kanak dan remaja di negara yang tercinta ini sungguh membimbangkan. Semenjak kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin masyarakat mula sedar betapa di luar sana terdapat manusia yang tidak berperikemanusian demi untuk memuaskan nafsu serakah mereka. Sebelum Nurin Jazlin pun sudah terdapat banyak kes rogol yang melibatkan kanak-kanak dan remaja.

Selepas Nurin Jazlin terdapat lagi beberapa kes rogol dan liwat yang dilaporkan. Terbaru ialah seorang kanak-kanak berumur lima tahun telah dirogol oleh seorang warga Bangladesh. Lelaki warga asing ini duduk menyewa bilik di rumah keluarga mangsa di Pangsapuri Intan Baiduri, Seksyen 15, Petaling Jaya. Kanak-kanak tersebut dipercayai telah dirogol 3 kali sejak bulan Oktober semasa keluarganya tiada di rumah. Lelaki berkenaan telah melarikan diri sehelai sepinggang dan sedang dicari polis selepas menyedari seorang tukang sapu ternampak perbuatannya.

Pada 9 Novemeber 2007 seorang pemandu lori, Mohamad Tuah Mahmood, 37 telah dituduh di mahkamah di Klang kerana merogol seorang budak perempuan berusia 15 tahun. Kes ini akan disebut semula pada 17 Disember 2007. Manakala itu seorang pengawal keselamatan sebuah sekolah berumur 37 tahun mengaku bersalah di mahkamah merogol anaknya yang berumur 11 tahun 8 bulan di rumah mereka di Hiliran Ampang off Jalan Ampang. Mahkamah menetapkan 21 November 2007 untuk sebutan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.

Seorang peneroka yang berumur 56 tahun pula telah dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas mengaku bersalah di mahkamah di Kuantan merogol anaknya yang berusia 11 tahun 7 bulan. Hukuman bermula dari 30 Oktober 2007 iaitu tarikh dia ditangkap. Perbuatan rogol itu dilakukan di rumah mereka di Chini, Perak pada Februari 2004.

Pada 18 Oktober 2007 seorang kanak-kanak berumur lapan tahun telah dirogol oleh jirannya. Kejadian berlaku pada minggu pertama hari raya di flat Desa Mentari, Jalan PJS5, Petaling Jaya. Dua orang kanak-kanak berumur 8 dan 7 tahun ini telah datang ke rumah jiran tersebut untuk berhari raya. Mereka berdua telah dibenarkan masuk dan tuan rumah telah merogol kanak-kanak yang berumur 8 tahun. Ahli keluarga kanak-kanak tersebut telah membuat laporan polis dan sehingga kini polis masih lagi mencari seorang lelaki berusia 20an yang melarikan diri dari rumah sewanya.

Pada 21 Oktober 2007 pula seorang kanak-kanak berusia 12 tahun telah dirogol oleh bapanya sendiri ketika sedang tidur di rumah mereka di Subang Perdana, Petaling Jaya. Difahamkan mangsa anak sulung daripada lima beradik telah dirogol sebanyak dua kali sebelum ini. Sehingga hari ini Mohd Ali Mohd Shariff yang berumur dalam lingkungan 40an bekerja sebagai kelindan lori sedang dicari polis setelah isterinya membuat laporan.

Di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2 Oktober 2007, seorang pegawai kebajikan sebuah asrama Perkim telah ditambah hukuman ke atasnya kepada 24 tahun dan 7 sebatan selepas mahkamah menerima rayuan pihak pendakwaraya. Hukuman asalnya ialah 12 tahun penjara dan 4 sebatan yang dijatuhkan oleh Mahkaah Sesyen Petaling Jaya. Dia telah dituduh meliwat beberapa orang pelajar lelaki berusia 12 tahun yang tinggal di asrama Perkim di Damansara Utama.

Seorang pemandu lori, Normi Osman, 55 telah dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun oleh mahkamah di Ipoh atas kesalahan merogol seorang kanak-kanak berumur 12 tahun. Hukuman yang dijatuhkan pada 3 Oktober 2007 ini akan bermula dari tarikh dia ditangkap pada 26 Ogos 1997. Normi telah mengaku bersalah semasa dihadapkan di mahkamah pada 11 September 2007 selepas Lembaga Pelawat Hospital Bahagia Ulu Kinta memutuskan dia sihat untuk dibicarakan. Dia yang pernah dirawat di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan selama 10 tahun telah pertama kali didakwa pada 8 September 1997 selepas merogol mangsa pada 24 Ogos 2007.

Pada 21 September 2007 pula seorang penyelia kilang dihukum penjara 19 tahun dan 5 kali sebatan oleh mahkamah di Shah Alam setelah didapati bersalah merogol dan menculik seorang budak berusia 12 tahun 10 bulan. Mohd Noor Annuar Othman, 28 tahun dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 5 sebatan untuk kesalahan merogol yang dilakukan pada April 2004 dan 4 tahun penjara untuk kesalahan menculik. Hukuman penjara ditangguhkan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.

Sementara itu pada 14 September 2007, seorang penyelia kebersihan sebuah sekolah telah mengaku tidak bersalah di atas tuduhan meliwat seorang pelajar lelaki berumur 14 tahun di Kilometer 27, Jalan Kuang Gombak. Shamsul Anuar Mohamed. 30, dari Bandar Tun Razak, Cheras yang didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan akan mula dibicara pada 10 Mac 2008.

Apa yang dipaparkan di atas adalah kes rogol dan liwat terhadap kanak-kanak yang dilaporkan di akhbar sepanjang bulan September hingga November 2007 sahaja. Jika ada kes yang tidak disebut di atas mungkin saya terlepas pandang. Manakala jika diimbas dari awal tahun mungkin ada banyak lagi kes. Ini tidak termasuk kes yang tidak dilaporkan terutama apabila siperlaku adalah ahli keluarga mangsa sendiri.

Setiap ahli masyarakat perlulah sama-sama membantu untuk mengelakkan daripada berlakunya lagi kejadian seumpama ini dengan lebih prihatin terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Ibubapa juga perlu lebih waspada dengan keselamatan anak-anak supaya mereka tidak terdedah kepada kemungkinan menjadi mangsa. Kanak-kanak juga mesti diterangkan tentang batas-batas sentuhan terhadap tubuh mereka termasuk ahli keluarga dan apa yang patut dilakukan jika ada orang cuba melangkaui batasan itu. Jangan bersikap tidak apa dan menganggap ianya tidak akan berlaku kepada keluarga kita.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 10.11.07 0 comments

Ketika semua orang ternanti-nanti tertangkapnya pembunuh Nurin Jazlin, masyarakat telah dikejutkan pula dengan kematian Preeshena Varshiny seorang kanak-kanak berumur 9 tahun pada hari Khamis lepas di Kondominium Casa Mila Tower, Jalan Bukit Idaman, Selayang. Mayatnya telah ditemui oleh pengawal keselamatan di tingkat bawah kondominium berkenaan. Semasa kejadian anak kedua ini tinggal berseorangan di rumah ketika ibubapanya keluar bekerja. Abangnya pula berada di asrama sekolah dan adiknya dihantar ke rumah pengasuh kanak-kanak.

Preeshena VarshinyMenurut bapa Preeshena Varshiny yang bekerja sebagai pengurus pemasaran dan teknikal, pada hari Rabu anak perempuannya itu ada menelefon memberitahu ada orang mengentuk pintu dengan kuat. Dia telah berpesan kepada anaknya supaya tidak membuka pintu kerana dia ada kunci dan boleh masuk ke rumah sendiri bila balik dari kerja. Bapa mangsa percaya bahawa anaknya telah membuka pintu rumah mereka di tingkat 9 pada hari kejadian sebelum penjenayah itu membawa keluar secara paksa anaknya ke unit lain. Bapa Preeshena Varshiny juga percaya orang yang membunuh anaknya telah mengintip pergerakan mereka sekeluarga.

...dirogol dan diliwat...

Laporan forensik mendapati Preeshena Varshiny murid tahun 3 Sekolah Kebangsaan St Mary, Selayang cedera di kepala, patah tangan kanan, lebam pada dada dan belakang. Mangsa juga telah dirogol dan diliwat sebelum dicampak dari atas Kondominium Casa Mila Tower. Sungguh kejam dan tidak berhati perut orang yang sanggup melakukan jenayah ini. Setakat ini tiada sesiapa yang ditangkap berhubung kes ini. Penduduk setempat diminta menghubungi talian RakanCop di 03-2115 9999 atau hantar sms kepada 32728 untuk sebarang maklumat yang boleh membantu pihak polis.

Sila baca juga blog Tembam yang menulis tentang pembunuhan kejam Preeshena Varshiny ini.

Nampaknya tiada lagi tempat yang selamat bagi seorang kanak-kanak walaupun di kawasan yang berpengawal dan rumah yang berkunci. Orang yang tidak mempunyai perasaan dan perikemanusian ini sentiasa mencari peluang terhadap kanak-kanak yang bersendirian. Orang ini juga amat berani dan tidak takut jika dirinya dilihat oleh orang ramai kerana begitu yakin tidak akan berjaya ditangkap oleh pihak polis.

Maka ibubapa mestilah lebih waspada mengawasi anak masing-masing. Di samping itu masyarakat juga mestilah sama-sama memastikan kawasan persekitaran mereka selamat dengan mengambil tahu tentang jiran-jiran dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan. Pihak berkuasa pula perlu bertindak lebih aktif untuk memastikan pembunuh kanak-kanak ini dapat dikesan sebelum lebih ramai lagi yang menjadi mangsa.

Terkini :
6 Nov 2007 - Empat orang lelaki warga asing telah ditangkap dan ditahan reman sehari selepas Preeshena Varshiny dijumpai mati. Mereka yang dalam lingkungan umur 20an ini adalah pekerja kedai serbanika di dalam kawasan Kondominium Casa Mila Tower itu sendiri. Difahamkan pihak polis juga telah mengambil DNA para pengawal keselamatan dan pekerja am yang bekerja di kondominium berkenaan.

9 Nov 2007 - Empat lelaki warga asing ini telah dibebaskan setelah pihak polis berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan. Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Senior Assiten Komisioner I Mohmad Salleh, mereka didapati tidak terlibat dengan kes Preeshena Varshiny yang dirogol dan diliwat sebelum dicampak ke bawah kondominium. Walaupun begitu mereka kini di tahan di bawah akta imigresen kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.

23 Nov 2007 - Sampel DNA 26 pengawal keselamatan dan 5 pekerja am di kondominium berkenaan telah diambil bagi membantu siasatan polis. Difahamkan sampel DNA berkenaan diuji untuk dipadankan dengan sampel air mani yang ditemui di lokasi Preeshena dipercayai dirogol serta diliwat.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 5.11.07 0 comments

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil telah membawa usaha untuk Nurin Alert menjadi satu kenyataan semakin cerah. Ini berikutan Nurin Alert akan dimasukkan di dalam kandungan draf Dasar Perlindungan Kanak-kanak yang akan dibentangkan kepada Kabinet. Menurut beliau, kementerian berhasrat menjadikan mekanisme itu sebagai sistem khas atau alternatif dalam mengesan dan memberi amaran awal jika ada kes kanak-kanak hilang. Terima kasih!!

Nationwide Urgent Response Information Network

Nurin Alert atau Nationwide Urgent Response Information Network Alert sekarang maju setapak lagi kearah kewujudannya. Mereka yang terlibat dengan Nurin Alert ini pasti gembira dengan penglibatan secara langsung Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam proses ini. Diharap konsep Nurin Alert ini akan dapat diterima oleh kabinet supaya ianya dapat bergerak peringkat yang berikutnya dengan segera.

, ,

Posted by Azhad 4.11.07 1 comments

Selepas menulis tentang Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan, tergerak dihati untuk mengetahui jumlah kemalangan dan kematian yang telah berlaku sepanjang tahun 2007. Lebih-lebih lagi untuk melihat seteruk mana kemalangan dan kematian yang melibatkan motosikal di Malaysia ini. Memang tidak dapat dinafikan motosikal merupakan kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan dan kehilangan nyawa.

Pada tahun 2006 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 6,287 orang. Dari jumlah ini penunggang dan pembonceng motosikal sahaja melibatkan 3,693 orang atau 58.7%. Sementara itu bagi tahun ini sehingga September 2007 jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya ialah 4,646 dan penunggang serta pembonceng motosikal sahaja ialah 2,476 atau 53.3%.

Bagi kategori lain setakat September 2007, jumlah kematian yang melibatkan pemandu dan penumpang kereta ialah seramai 1,113 (24%), pejalan kaki 482 (10.4%), penunggang dan pembonceng basikal 141 (3%)pemandu dan kelindan lori 145 (3.1%), pemandu dan kelindan van 101 (2.1%), pemandu dan kelindan pacuan 4 roda 65 (1.4%), pemandu dan penumpang bas 64 (1.4%) dan kenderaan lain 59 (1.3%). Menurut perangkaan bagi 2005 kadar kematian jalan raya adalah 4.2 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan bagi 2006 3.95 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar.

Perangkaan Kematian Jalan Raya
Kategori
2006
Jan-Sept'06
Jan-Sept'07
Pemandu/Penumpang Kereta
1,215
920
1113
Penunggang/Pembonceng Motosikal
3,693
2,736
2,476
Pejalan Kaki
595
438
482
Penunggang/Pembonceng Basikal
242
183
141
Pemandu/Penumpang Bas
39
26
64
Pemandu/Kelindan Lori
229
174
145
Pemandu/Kelindan Van
103
73
101
Pemandu/Kelindan Pacuan 4 Roda
110
73
65
Lain-lain
61
48
59
JUMLAH
6,287
4,671
4,646
Sumber : PanduCermat

Menurut statistik terkini jumlah kematian untuk tahun 2007 ialah 6282 orang.

Bagaimanakah jumlah kemalangan dan kematian ini boleh dikurangkan dimasa akan datang? Apakah punca kemalangan jalan raya ini boleh berlaku? Pihak berkuasa boleh mengadakan undang-undang dan menguatkuasakannya, di mana mereka yang tertangkap akan dihukum. Berbagai kempen dan program boleh diatur untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya. Didikan di sekolah dan di rumah juga perlu seiring dalam usaha untuk menjadikan jalan raya lebih selamat.

Pihak kerajaan telah menubuhkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya dengan misi menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai tahap keselamatan jalanraya setaraf dengan negara maju menjelang 2010 iaitu 10 kematian setiap 100,000 penduduk, 2 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan 10 kematian setiap satu billion kilometer perjalanan kenderaan. Objektif jabatan ini diwujudkan adalah sebagai "One Stop Agency" bagi memantau dan menyelaras program keselamatan jalanraya dari aspek Pendidikan, Penguatkuasaan, Kejuruteraan dan Persekitaran.

Walaupun begitu akhirnya bergantung kepada kesedaran dan sikap para pengguna jalan raya itu sendiri. Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat ramah mesra dan berbudi pekertinya tetapi kenapa apabila menggunakan jalan raya bertukar menjadi kurang ajar dan tidak bertimbang rasa? Adakah sistem pendidikan kita yang terlalu menjurus kepada peperiksaan telah mengabaikan aspek-aspek sahsiah diri seorang itu? Mungkin juga ibubapa gagal memupuk nilai-nilai murni kehidupan kepada anak-anak? Sebelum menuding jari kepada sesiapa, cuba kita periksa dulu diri kita, bagaimanakah cara pemanduan kita?

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 2.11.07 4 comments

Subscribe here