Salam bahagia, dah lama juga aku tak menulis. Sejak kebelakangan ini aku hanya memaparkan semula kiriman e-mail yang aku terima daripada rakan-rakanku.
Tak mengapalah bila ada kelapangan dan idea aku akan menulis. Bila aku terima sebarang e-mail yang menarik untuk dikongsi, akan aku paparkan di sini.
Baru-baru ini aku telah berpeluang menghadiri satu majlis konvokesyen sebuah tadika di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Selangor. Sungguh menarik kerana ada berbagai persembahan, penyampaian sijil tamat tadika dan penyampaian beberapa anugerah khas.
Apabila menyaksikan telatah kanak-kanak ini membuat persembahan, kita merasa amat terhibur walaupun ada yang membuat silap atau menangis di atas pentas. Maklumlah mereka ini baru berumur antara 4 hingga 6 tahun sahaja. Ada ketikanya hati tersentuh apabila kanak-kanak ini berpuisi memuji keagongan Allah dan menyanjung jasa ibu bapa dan guru.
Di majlis tersebut juga kanak-kanak yang berumur 6 tahun telah menerima sijil tamat tadika dengan jubah khas masing-masing. Terfikir juga aku, adakah mereka akan berpeluang memakai jubah tamat pengajian sekali lagi selepas ini.
Di antara mereka pasti ada yang akan berjaya menjejakkan kaki ke institut pengajian tinggi dan berpeluang memakai jubah sekali lagi. Itupun kira-kira 16 tahun dari sekarang. Sebahagian lagi yang lain hari ini merupakan kali pertama dan terakhir memakai jubah tamat pengajian.
Bagi aku bukan jubah atau berjaya ke institut pengajian tinggi yang penting tetapi pengalaman dan perkembangan rohani jasmani kanak-kanak tersebutlah yang lebih utama. Pengalaman hidup mereka dari bayi, kanak-kanak, remaja dan seterusnya ke dewasa akan menentukan corak diri dan kehidupan mereka.
Pada majlis tersebut beberapa anugerah khas juga telah disampaikan. Mereka yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam akademi dan yang menonjol secara keseluruhan telah diberi penghargaan. Harap ini akan menjadi pemangkin untuk ibubapa dan kanak-kanak itu sendiri untuk terus berusaha apabila melangkah ke sekolah rendah nanti.
Pada peringkat ini, sebenarnya pencapaian ilmu tidak begitu penting sebaliknya pertumbuhan dan kemahiran pemikiran adalah lebih utama. Galakan, dorongan dan penghargaan akan membantu kanak-kanak ini untuk terus maju dan berani mencuba untuk melangkah di muka bumi yang penuh cabaran dan godaan.
Pada awal puasa tempohari aku telah menerima satu email yang bercerita tentang panduan tindak balas dan gejala jasmani semasa berpuasa. Oleh itu aku paparkan di sini untuk tatapan dan panduan bersama;
Matahari Pagi
Renungan jasmani semasa berpuasa.
Beberapa perkara akan berlaku disebabkan oleh pembuangan toksin dan bahan buangan ketika kita berpuasa seperti nafas berbau, peluh juga berbau, kulit kering bersisik dan gatal, air kencing pekat dan berbau dan mungkin juga kerap kencing, buang air besar selepas beberapa hari berpuasa, sakit kepala, lenguh badan dan demam (kesan toksin keluar dari lemak ke darah, sebelum keluar dari badan), dan mungkin juga berlaku selsema dan kahak serta lendir dan keputihan.
Pesanan: Jika gejala ini tidak serius, jangan cuba ubatkan kerana ia akan berhenti dengan sendirinya.
Cara berbuka dan bersahur yang berkesan:
(i) Berbuka dengan buah dan air bertapis yang tidak dimasak (guna water-filter).
(ii) Solat Maghrib terlebih dahulu bagi memberi peluang perut mencerna makanan
(iii) Makan makanan yang senang hadam dan kurangkan masakan berminyak, berempah dan pedas. Seelok-eloknya makan sayur, tahu dan kekacang.
(iv) Kurangkan kadar makanan dari biasa
(v) JANGAN minum air sambil makan. Insya-Allah jika makan secara perlahan-lahan, masalah tercekik tidak akan berlaku.
(vi) Minum air putih atau teh herba atau minuman yang mengandungi getah anggur, buah kembang semangkuk dan biji selasih sebanyak yang terminum.Waktu sahur elok makan buah dan susu atau sebarang makanan cecair.
Cara berpuasa yang tidak berkesan:
(i) Makan terlalu banyak (waktu sahur dan berbuka)
(ii) Makan makanan yang pedas dan berempah serta payah hadam
(iii) Makan terlalu banyak daging binatang terutama bagi pengidap batu karang, gout dan alahan.
(iv) Mengulangi makan sepanjang malam.
(v) Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan
(vi) Tidur selepas kenyang makan
Makanan yang menjejaskan khasiat puasa kerana mengandungi bahan kimia:
(i) Kopi dan teh.
(ii) Air paip masak yang tidak ditapis.
(iii) Makanan yang ada bahan pengawet, pewarna, perasa tiruan seperti burger, sosej, mee segera, air tin & kotak, air squash, nugget dan seumpamanya.
(iv) Makanan masin perlu dielakkan semasa berpuasa kerana ia menyebabkan air bertakung dalam badan (water retention)
(v) Merokok
Fasa-fasa puasa yang berjaya:
Fasa pertama (2-3 hari): Perut akan terasa lapar, badan cepat letih, cepat marah kerana kadar glukosa dalam darah rendah
Fasa kedua (3-14 hari): Kurang selera makan, senang gelap mata, nafas berbau, lidah menjadi putih atau berdaki manakala badan menjadi lesu.
Fasa ketiga (14-akhir puasa): Lidah menjadi bersih, nafas hilang bau, selera makan baik, tenaga mula pulih dan kadar glukosa menjadi normal kembali. Di fasa ini juga mental, emosi dan badan semakin optimum dan diri menjadi orang baru.
Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses asidosis dan ketosis di dalam badan berjalan lancar.
Amalan hari raya yang merosakkan manfaat puasa:
(i) Makan banyak (terutamanya daging, berempah, berlemak dan berminyak)
(ii) Makan kerap
(iii) Kuih-muih yang payah dihadam
(iv) Air yang mengandungi pewarna, perasa tiruan
Manfaat puasa yang berkekalan:
(i) Kurang makan kerana perut dah kecut
(ii) Kesihatan bertambah baik
Saya akhiri dengan sabda Rasulullah s. a. w. yang bermaksud: "Ada banyak orang yang berpuasa tetapi ia tiada memperolehi dari puasanya itu, selain dari lapar dan dahaga (yakni tiada mendapat pahala)."
Matahari Petang
Sekali lagi bulan yang mulia ini tiba tanpa sesiapa dapat menyekatnya. Ramai yang gembira dengan kedatangannya dan tak kurang juga yang gelisah.
Bulan ini seluruh umat Islam akan berpuasa, bukan sahaja tidak makan dan minum tetapi segala perbuatan yang lain yang membatalkannya. Bagaimanapun aku dapati kebanyakan kita hanya menekan tentang aspek tidak boleh makan dan minum sahaja. Perkara-perkara lain yang boleh meningkat atau mengurangkan nilai puasa kita itu kurang dititik beratkan. Mungkin cara didikan atau pendedahan yang kita semua perolehi mempengaruhi perkara ini.
Walau apapun aku harap kita semua dapat memenuhi ibadat puasa ini dengan sempurna dan cemerlang.
Baru-baru ini aku ada menerima beberapa e-mail yang menarik untuk dijadikan panduan. Salah satunya adalah tentang rahsia menjadi orang cemerlang oleh Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah. Aku paparkan di sini isi kandungannya untuk kita berkongsi bersama-sama.
Dato' Dr Fadzilah
Tips menjadi orang cemerlang oleh Dato Dr. Fadzilah Kamsah
Tatacara makan dan minum
- Sebelum tidur, maafkan semua orang tak kira siapa ~ insyaAllah, Allah lipat gandakan rezeki.
- Sebelum tidur, berdoa, bergantung kepada apa yang kita hendak ~ sepanjang tidur, otak akan berlegar pada kehendak kita itu dan insyaAllah, kita akan ada tenaga dan ada semangat ke arah kehendak itu diesok harinya.
- Makan buah sebelum sarapan, makan tengahari dan makan malam ~ ikut sunnah dan dapat pahala. Jika dirujuk kepada pakar pemakanan, jumlah vitamin yang diperolehi dari buah-buahan yang dimakan selepas waktu makan menghampiri 0%.
- Jangan minum air semasa sedang makan. Minum air selepas 15-30 minit selesai makan.Untuk minum, bagi teguk yg pertama, biarkan air dalam mulut selama lebih kurang 10 saat, baru telan. Bagi teguk kedua dan seterusnya boleh diminum terus. Air liur ada enzyme yang boleh membunuh kuman dalam pankreas, perut dan seterusnya. Ini akan dibawa oleh air tegukan pertama tadi.
- Seelok-eloknya makan malam sebelum maghrib ~ ikut sunnah, Rasullullah makan sebelum maghrib kecuali bulan Ramadhan sahaja iaitu masa maghrib. Bagi mereka yang sedang belajar atau kanak-kanak, otak akan berfungsi cemerlang menyerap ilmu kira-kira 2 jam selepas makan. Oleh itu jika makan pukul 8:30pm, dalam pukul 10:30pm baru mula belajar dan biasanya hanya boleh bertahan hingga jam 12 tengah malam saja. Jadi, tak banyak yang boleh dipelajari berbanding kalau makan pukul 6:30pm. Bangsa Cina biasa makan waktu ini. Malah kita tak tidur dalam kekenyangan di mana boleh menghindar dari membuat sembahyang malam.
Tatacara di bilik air
- Selepas buang air kecil, berdehem 3x (teran sikit) ~ boleh mengelakkan daripada mendapat batu karang.
- Semasa buang air besar, mengiring sedikit ke kiri ~ ikut sunnah sebab bila mengiring ke kiri, perut akan tekan bladder dan senang buang air besar
Tatacara didik anak
- Antara tips untuk dapat anak bijak atau genius, ajar anak atau bayi tidur mengiring ke kanan ~ sebab jantung yang terletak sebelah kiri akan lebih "lapang" dan "lega" dan mudah berdegup, yakni perjalanan darah sempurna dan otak anak akan berkembang pesat
Bagi anak-anak yang dah azalinya active atau hyper-active, kurangkan atau jangan pakaikan baju warna orange ~ sebab warna ini boleh merangsang secara aktifnya tindak tanduk anak, dia akan lebih nakal, sentiasa bersemangat waja dan exuberant.
Tatacara didik diri sendiri
- Amalkan apa-apa yang baik dan juga amalan-amalan baru selama 21+ hari berturut-turut ~ Rasullullah (saw) bersabda, sesuatu amalan yg diamalkan sekitar 21-30 hari terus menerus, akan menjadi tabiat. Kalau tak, ilmu itu akan mati.
- Buang segala rasa hasad dengki, dendam dan lain-lain yang negatif ~ emosi-emosi ini akan membenarkan otak mengeluarkan adrenaline, cortisone dan toxine secara berlebihan. Ini boleh membawa kepada beberapa penyakit seperti cepat letih, wajah cepat nampak tua, selalu sakit perut dan sebagainya.
Ada 3 kategori manusia:-
- BERJAYA : Hari ini lebih baik daripada semalam
- TERPEDAYA : Hari ini sama seperti semalam
- CELAKA : Hari ini lebih teruk daripada semalam
Beberapa hari ini petang hujan telah turun membasahi bumi. Minggu lepas hujan telah tidak berhenti sehingga pagi. Ini telah menyebabkan beberapa tempat telah dinaiki air.
Bagi orang yang berkebun dan mempunyai tanaman tentu suka dengan kehadiran hujan. Manakala untuk mereka yang memerlukan cahaya matahari tentu mengeluh bila hujan.
Hujan atau panas adalah rahmat dari Tuhan. Kita wajib bersukur dengan kejadian alam ini.
Sudah dua hari aku tidak membaca suratkhabar dan menonton berita di tv maupun mendengarnya di radio. Terasa macam ada suatu kekurangan apabila tidak tahu apa yang terjadi di luar sana.
Rasanya apa berita yang hangat di dalam dan di luar negara ketika ini? Isu-isu semasa yang bagaimanakah sedang rancak dibincangkan baik di kedai-kedai kopi atau Dewan Rakyat?
Bagi aku suratkhabar, tv, radio dan internet adalah sumber berita yang terbaik di samping cerita yang disampaikan dari mulut ke mulut. Bagaimanapun kita harus ingat supaya tidak mempercayai segala apa yang kita baca dan dengar melainkan jika kita melihat dan mengalaminya sendiri.
Aku bercakap berdasarkan pengalaman yang pernah aku lalui sendiri satu masa dahulu. Satu kejadian sedih telah menimpa keluarga aku lebih 10 tahun yang sudah. Kesemuanya akhbar melaporkan tentang kejadian itu setiap hari selama hampir satu minggu. Aku tidak ketinggalan membeli beberapa akhbar untuk bacaan kami sekeluarga.
Apa yang aku dapati semasa membaca kesemua akhbar itu ialah ada beberapa faktanya yang kurang tepat atau langsung tersasar. Walau bagaimanapun aku tidak pernah menyalahkan pemberita atau akhbar berkenaan kerana aku faham. Mereka ingin mendapat seberapa banyak fakta daripada seberapa banyak sumber yang ada. Oleh itu tidak mustahil ada fakta dan sumber yang tidak begitu sahih.
Selepas daripada kejadian itu, aku lebih berhati-hati apabila menerima sebarang berita atau cerita. Aku tidak menerimanya bulat-bulat. Kekadang jika ada kesempatan aku buat sedikit kajian dan pembandingan fakta. Biasanya memang ada pencanggahan fakta. Kini aku menganggap itu perkara biasa kerana segala berita yang ingin disampaikan itu tidak semesti 100% betul. Malah ada setengah berita itu diolah sebegitu rupa untuk mencapai sesuatu matlamat.
Bagi aku membaca, mendengar atau menonton berita adalah sesuatu yang penting dalam hidup. Sekarang ini bukannya susah hendak mendapatkan berita. Berbagai cara ada suratkhabar, majalah, radio, tv, internet malah handphone juga. Kita tidak seharus terkongkong dengan dunia kita sendiri tanpa mengetahui apa yang berlaku di sekeliling kita. Sebagai seorang pelajar perkara ini penting juga.
Semasa aku belajar dahulu memang ada segolongan pelajar yang terlalu menumpukan perhatian kepada apa yang dipelajari tanpa memperdulikan dunia sekelilingnya. Mereka ini mungkin bijak dalam matapelajaran mereka tetapi fikiran mereka belum tentu bernas.
Oleh itu kita harus membaca, mendengar dan melihat apa berita yang disebarkan. Lalu terus menganalisa dan memikirkannya sebelum kita menerima.
Semalam aku balik kampung, hampir dua minggu sekali aku akan balik kampung. Kali ini ada kenduri arwah dan juga bersempena kedatangan bulan Ramadhan.
Sebenarnya ini adalah kampung isteri aku dan aku sendiri tak ada kampung sebab aku dilahirkan dan dibesarkan di KL. Seronok dapat berjumpa dengan sanak saudara dan bertanya khabar. Aku lebih banyak mendengar dan memerhati daripada bercakap. Memang aku ini seorang yang agak pendiam tapi aku suka melihat gelagat orang lain.
Malam itu memang ramai pak cik, mak cik, sepupu dan anak buah berkumpul. Berbagai gelagat yang dapat aku perhatikan. Dari kesemua mereka itu yang selalu mendapat perhatian aku bila balik kampung ialah tingkah laku seorang anak buah aku yang sedang beralih ke alam remaja. Umur dia baru masuk 13 tahun kira-kira satu bulan lepas. Mungkin di lain masa aku akan bercerita lanjut tentang anak buah aku ini.
Antara tajuk perbualan yang mendapat perhatian aku ialah tentang cerita di sekolah asrama penuh. Pak cik dan mak cik aku ni suami isteri cikgu dan mengajar di sebuah sekolah asrama penuh. Ceritanya berlegar berkenaan masalah para pelajar yang belajar di sekolah berasrama. Mencuri, memukul, mengugut, mendera termasuk gangguan seksual. Bagi peringkat umur 13 - 17 tahun merupakan satu peringkat umur yang kritikal bagi seorang insan. Pada peringkat umur inilah peralihan dan perubahan berlaku dari segi rohani dan jasmani daripada kanak-kanak ke alam remaja.
Perubahan pada fizikal, emosi dan perasaan inilah yang mempengaruhi tutur kata dan tingkah laku seorang itu. Aku sendiri telah melalui zaman itu dan aku tahu bagaimana keadaannya. Aku juga berkesempatan membantu beberapa insan melalui zaman itu dan secara langsung menambahkan pengalaman hidupku.
Ketika peringkat umur ini sokongan daripada keluarga amatlah pentingnya. Kekadang ibu bapa tidak sedar atau buat-buat tak tahu tentang perkara ini. Akibatnya mereka ini akan mencari jalan penyelesaian sendiri. Jiwa mereka mudah terasa dan sentiasa memberontak. Perasaan ingin tahu dan mencuba sentiasa membuak. Kekeliruan fikiran sentiasa berlegar di kepala. Semua ini perlu dikendali dengan bijak kerana ia akan mempengaruhi pembentukan sahsiah diri insan itu.
Aku sedar, aku menjadi aku hari ini adalah berdasarkan pengalaman hidup aku selama ini. Dan aku tahu yang banyak mempengaruhi bentuk diri aku hari ini ialah kutipan kehidupan aku semasa berumur 13 - 17 tahun dulu.
Pagi ini tiada apa yang ingin aku perkatakan. Belum ada sebarang idea yang masuk ke fikiranku ini. Lama juga aku tidak menulis sajak. Mungkin bila ada kelapangan akan aku cuba mengubah satu. Wah! Rasanya kali terakhir aku menyiapkan sebuah sajak hampir berbelas tahun yang sudah. Begitu pantas masa berlalu..............
Hari ini merupakan satu sejarah dalam hidup aku kerana memberanikan diri untuk membuka satu lembaran baru. Ini merupakan kali pertama aku menulis dan tulisan aku boleh dibaca sesiapa sahaja.
Aku membuka blog ini sebagai satu landasan kepada aku membuat sesuatu yang aku suka dan tak pernah bersungguh-sungguh terhadapnya.Aku suka menulis dan rakan-rakan aku pernah menbaca penulisanku tapi aku tak pernah meneruskannya.
Aku harap dengan adanya blog ini memboleh aku berani menulis apa sahaja yang terlintas di hati dan di fikiran.