Mula-mula aku ingin meminta maaf kepada semua penghujung blog ini kerana lama aku tak menulis di sini. Masa aku banyak dihabiskan dengan tugasan harian dan aktiviti bersama keluarga.

Syawal dah lama berlalu dan kini ramai sibuk dengan pemergian kaum keluarga atau sahabat handai ke tanah suci Mekah mengerjakan Haji. Maka ramai yang membuat kenduri doa selamat.

Ada dua orang makcik dan seorang pakcik aku yang akan berangkat menjadi tetamu Allah pada hujung bulan ini. Aku mendoakan mereka dan semua yang akan menunaikan ibadat haji tahun ini semoga selamat pergi dan balik. Insya Allah aku akan menyusul satu hari nanti.

Posted by Azhad 25.12.04 0 comments

Ketika ini ramai yang sibuk membuat rumah terbuka sempena Syawal yang tinggal kira-kira seminggu lagi. Biasanya minggu ketiga Syawal ramai yang membuat rumah terbuka kerana pada minggu pertama ramai yang beraya di kampung dan minggu kedua kebanyakan orang berpuasa enam. Maka tinggal minggu ketiga dan terakhir yang paling sesuai. Kekadang walaupun bulan Syawal telah berlalu masih ada yang membuat rumah terbuka kerana faktor masa.

Aku sendiri tidak membuat rumah terbuka tetapi sentiasa mengalu-alukan kunjungan jiran, sahabat-handai dan saudara-mara pada bila-bila masa sahaja mereka ada kelapangan dan aku ada di rumah.

Pada hujung minggu yang baru lalu ini, memang begitu banyak rumah terbuka yang diadakan oleh jiran-jiranku. Memang tak makan di rumah selama dua hari tu, dari pagi sampai ke malam dari satu rumah ke satu rumah. Sungguh meriah bila dapat berjumpa dengan jiran kerana kesempatan berjumpa memang terhad kerana pada hari-hari biasa masing-masing sibuk dengan tugas dan tanggungjawab. Aku berpendapat semangat kejiranan di kawasan perumahan terutama di jalan tempat aku menetap amat baik. Kami saling mengenali dan membantu antara satu sama lain.

Tapi perlu ingat semasa kita seronok menghadiri rumah terbuka dan menikmati hidangan yang disediakan oleh tuan rumah, jaga jumlah dan jenis makanan yang diambil. Ini lebih penting bagi mereka yang sudah meningkat usia dan mempunyai penyakit. Berat badan aku pun dah bertambah jika dibandingkan pada penghujung Ramadhan dulu.

Posted by Azhad 6.12.04 0 comments

Subscribe here