Ramadhan tinggal beberapa hari lagi dan Aidil Fitri pun menjelang tiba. Mulai hari ini mereka yang mencari rezeki di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur akan mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing untuk berhari raya. Ini secara langsung akan meningkatkan jumlah kenderaan di jalan raya dan lebuh raya lalu menyebabkan kesesakan lalu lintas.



Apabila jumlah kenderaan bertambah maka bilangan kemalangan juga meningkat. Menurut statistik kemalangan jalan raya jumlah kematian bagi tahun 2005 ialah 6188 orang, 2006 seramai 6287 orang dan 2007 seramai 6282 orang. Maka sebab itulah sebelum sesuatu perjalanan dimulakan dan ketika dalam perjalanan semua langkah-langkah keselamatan perlu diambil.

Sebelum memulakan perjalanan pastikan kenderaan telah diperiksa dan diservis. Masa perjalanan dan jalan yang akan diikuti juga perlulah dirancangkan dengan baik. Di samping itu semak juga jalan alternatif lain sebagai persedian jika jalan yang biasa digunakan terlalu sesak. Malah pemandu juga perlulah mendapat rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan.

Semasa dalam perjalanan memandulah dengan cara berhemah dan berhenti berehat bagi menghilangkan rasa letih atau mengantuk. Apa yang penting jangan berjanji dengan mereka yang menunggu di kampung pukul berapa kita akan sampai kerana ini akan menyebabkan kita tergesa-gesa memandu untuk sampai pada waktu yang ditetapkan.

Bagi memudahkan para pengguna, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM1) akan menyiarkan keadaan trafik terkini pada masa nyata bagi memudahkan lebih 1.4 juta pengguna lebuh raya merancang perjalanan pulang ke kampung.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Mohamad Razali Othman, berkata pihaknya akan 'berkongsi' pemantauan lebuh raya dengan pengguna sepanjang musim perayaan untuk menggalakkan pengguna memilih masa sesuai serta merancang perjalanan mereka.

Katanya, untuk tujuan itu lebih 200 unit kamera di lebuh raya termasuk di sekitar Kuala Lumpur akan digunakan bagi memastikan kelancaran trafik selain menambah jumlah kakitangan bertugas sepanjang tempoh puncak yang dijangka bermula sabtu ini.

Sementara itu Plus Expressways Berhad (Plus) pula telah mengeluarkan jadual perjalanan sempena Aidilfitri membabitkan tiga peringkat bermula hari Sabtu 27 September bagi mengelak kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Jadual perjalanan itu disarankan pelaksanaannya sepanjang lima hari waktu puncak warga kota menggunakan lebuh raya berkenaan iaitu mulai Sabtu dan Ahad ini, 30 September (sehari sebelum Aidilfitri), serta 4 dan 5 Oktober ini bagi perjalanan pulang ke ibu kota.

Jadual Perjalanan Lebuh Raya Utara Selatan
Ketua Pegawai Operasi Plus, Nik Airina Nik Jaffar meminta pengguna lebuh raya mengikuti cadangan waktu perjalanan berkenaan yang dirangka hasil kerjasama Plus dengan Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mendengar stesen radio Era, Sinarfm, MY Fm, Hitz.fm, LiteFM, XFresh, THR Raaga dan THR Gegar untuk maklumat trafik terkini.

"Plus juga menawarkan perkhidmatan SMS Plus Mobile Alert (PlusMA) pada 27, 28 dan 30 September serta 4 dan 5 Oktober ini, dengan kadar 30 sen satu SMS bagi maklumat trafik terkini Lebuh Raya Utara-Selatan," katanya.

Beliau berkata, laluan kontra tiga lorong akan dibuka mulai Persimpangan Sungkai ke Persimpangan Slim River bagi perjalanan pulang ke ibu kota pada 4 dan 5 Oktober ini jika keadaan trafik didapati sesak.

Bagi sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan SMS PlusMA serta berita trafik mutakhir, pengguna lebuh raya berkenaan boleh menghubungi PLUSLine di 1 800-88-0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Technorati Tags: , , , , , , ,

Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 27.9.08 2 comments

Hari ini 17 September bersamaan dengan 17 Ramadhan adalah salah satu hari yang berlaku peristiwa penting dalam Islam. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini.

al-QuranPeristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadhan, tahun ke 41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran.

Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan).
(Al-An’am:38)

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi Muhammad SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.
(Al-‘Alaq:1-5)

Ditulis oleh Dr Samsu Adabi Mamat, Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sumber: Jakim

Technorati Tags: , , , ,

Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 17.9.08 1 comments

Umat Islam sudah hampir dua minggu berpuasa dan ramai yang berebut-rebut untuk melakukan amal ibadat di bulan yang mulia ini. Segala amal yang kita lakukan disepanjang bulan Ramadhan ini akan digandakan pahalanya oleh Allah swt. Di harap tiada yang ketinggalan beramal kerana kita belum tahu samada Ramadhan tahun hadapan akan dapat kita tempohi.

WP RM5.20

Bulan Ramadhan ini adalah bulan Barkah. Bulan yang disebut juga Syahrul Tarbiyyah dan Tazkiyyah. Bulan ini sepatutnya menjadi medan melunakkan akal, mematuhi arahan Allah dan menundukkan nafsu.

Satu lagi perkara rukun yang perlu dilakukan ialah membayar zakat fitrah. Kadar zakat fitrah bagi tahun ini telah ditetapkan dan hampir semua negeri di Malaysia telah menaikkan kadarnya. Ini selari dengan kenaikan harga beras baru-baru ini.

Untuk panduan bersama berikut adalah kadar zakat fitrah 2008 / 1429H;

Kuala Lumpur RM5.20
Labuan RM5.20
Putrajaya RM5.20
Johor RM6.50
Kedah RM7.00
Kelantan RM7.60
Melaka RM6.30
N.Sembilan RM6.50
Pahang RM7.30
Perak RM7.00
Perlis RM5.00/RM7.00
P.Pinang RM7.30
Sabah RM7.70
Sarawak RM7.50
Selangor RM5.20
Terengganu RM6.00/RM7.00/RM8.00

Di samping zakat fitrah jangan terlupa pula bahawa ada juga zakat harta. Zakat harta termasuklah zakat pendapatan, zakat perniagaan, zakat binatang ternakan, zakat pertanian, zakat wang simpanan, zakat emas dan perak, zakat saham serta zakat ma'adin (galian perut bumi), zakat kunuz (harta tertanam dalam bumi; harta karun) dan zakat rikaz (harta tersimpan dalam bumi sebelum kedatangan Islam).

Semoga dengan mengeluarkan zakat akan membersihkan harta yang dimiliki dan dapat membantu mereka yang memerlukannya.

Technorati Tags: , , , , , ,

Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 11.9.08 4 comments

Tokoh Kewartawanan Negara Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia kira-kira pukul 5.58 petang 4 September 2008 di Pusat Perubatan Pantai selepas menghadapi jangkitan paru-paru penghujung bulan lalu. Abdul Samad, 84, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Pantai pada 25 Ogos lalu akibat jangkitan paru-paru.

Tan Sri Abdul SamadKeadaan kesihatan beliau, yang juga mesra dengan panggilan Pak Samad, menunjukkan kemajuan pada peringkat awal sebelum kembali tenat sejak Sabtu lepas setelah masalah jangkitan paru-parunya merebak ke organ lain.

Anak kelahiran Singapura itu meninggalkan seorang balu Puan Sri Habibah Hamid dan dua anak lelaki dan lapan anak perempuan termasuk blogger dan bekas wartawan Nuraina dan Maria selain 26 cucu serta empat cicit. Habibah dan anak perempuannya, Nurazrina berada di sisi ketika beliau menghembuskan nafas terakhir. Isteri pertamanya Hamidah Hassan meninggal dunia pada 2 Jun 1990.

Jenazah beliau akan disemadikan di perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat, hari ini.

Pak Samad, dilahirkan di Geylang, Singapura pada 18 April 1924. Beliau menamatkan persekolahan Senior Cambridge pada 1940.

Pak Samad mula menempuh alam pekerjaan dengan Utusan Melayu ketika berusia 16 tahun, kemudian sebagai pengarang Berita Malai (1944) pada zaman Jepun sewaktu berusia 20 tahun.

Pada 1946, beliau dilantik sebagai penolong pengarang, Utusan Melayu. Beliau juga pernah bertugas sebagai wakil Utusan Melayu di Jakarta.

Pada 1959, Pak Samad dilantik sebagai pengarang pertama akhbar Berita Harian, sebelum menjadi pengarang urusan bagi kumpulan akhbar The New Straits Times (1974).

Pada 1984, Pak Samad dilantik sebagai penasihat jabatan pengarang bagi kumpulan akhbar berkenaan sehingga beliau bersara pada 1988.

Pak Samad aktif dalam pergerakan politik. Pada 1947, bersama-sama Abdul Aziz Ishak, beliau menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (Geram). Penubuhan itu menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bawah pimpinan Dr Buhanuddin Al-Helmi dan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) di bawah pimpinan Tan Cheng Lock.

Pak Samad juga terbabit dalaqm pakatan Anti-British League bersama-sama PB Sharma, JJ Putucheary, Devan Nair dan John Eber.

Beliau pernah ditangkap dua kali di Singapura oleh pemerintah British (1946 dan 1951). Ekoran daripada Peristiwa Natrah pada 1951, beliau dipenjarakan di Pulau Sekinchan kerana dituduh sebagai penghasut yang menyebabkan peristiwa perkauman.

Pada 1976, Pak Samad ditangkap lagi, tetapi kali ini oleh kerajaan Malaysia, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dituduh bersimpati dengan komunis.

Beliau dibebaskan pada 1981 oleh pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran daripada Tun Hussein Onn (yang memenjarakan Pak Samad).

Pak Samad turut menyertai rombongan "Malaysia Merdeka" yang pertama ke London (1953). Pembabitan Pak Samad dalam politik secara aktif bermula pada pertengahan dekad 1950-an apabila beliau turut terbabit dalam penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura pada 1954.

Beliau kemudian menyertai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) Singapura pada 1958.

Pak Samad menceburi bidang penulisan kreatif sejak zaman pemerintahan Jepun. Cerpen ciptaan awalnya terkumpul dalam antologi seperti Mekar dan Segar (1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan (1963).

Cerpen yang ditulis pada dekad 1960-an dan belum pernah tersiar sebelum itu, akhirnya dikumpulkan dalam dua kumpulan persendiriannya yang berjudul Temasya Tinta (1967) dan Mastura (1967).

Antara 1966 hingga 1975, Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkannya ialah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Detik-Detik Cemas (1969), Hussen Zet (1960) dan Sutinah (1975).

Buku lain termasuklah Mengasah Bakat (1966), Kursus Wartawan (1966), Bimbingan Penulis (1967) dan Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993).

Sebagai seorang aktivis bahasa dan budaya, Samad turut menyarankan peningkatan penggunaan bahasa Melayu dan di kemuncak perjuangannya, beliau menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula dicetuskan pada 1968.

Selaras dengan perjuangannya dalam bidang sastera, beliau menjadi pengasas Angkatan Sastewawan 50 (Asas 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur.

Pada 1971, Pak Samad dilantik sebagai ahli panel Hadiah Karya Sastera anjuran kerajaan. Pada 1974, Pak Samad menerima Anugerah Ramon Magsaysay.

Pada 1976, Kerajaan Malaysia menganugerahkan Hadiah Pejuang Sastera kepada Pak Samad di atas jasa dan sumbangannya dalam bidang penulisan.

Pada 1987, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh UKM, sementara Institut Akhbar Malaysia (IAM) memberikannya gelaran Tokoh Wartawan Negara.

Tan Sri Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun di UKM (1991-1993). Kemudian mulai Oktober 1993, beliau menjadi Karyawan Tamu di Jabatan Penulisan Universiti Malaya.

Sejak 1992, Pak Samad dilantik sbeagai pengerusi Panel Menggubal Dasar Komunikasi Negara. Pada tahun itu beliau dianugerahi darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri.

Cerita lanjut tentang keadaan Pak Samad sebelum ini diceritakan oleh anak beliau di blognya Nuraina A Samad's 3540 Jalan Sudin.

Salam takziah kepada ahli keluarga allahyarham, al-Fatihah.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 5.9.08 2 comments

Subscribe here