Mereka sanggup mencuri, merogol, menjual diri serta membunuh selain terbabit dalam pergaduhan dan samseng. Malah ada yang bertindak di luar batasan adab dan pegangan apabila sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang.

Ini bukanlah profil penjenayah yang diburu mahupun sudah bergelar banduan, sebaliknya senario terkini golongan pelajar yang kian membimbangkan.

curi, rogol, lacur, buli, bunuh

Pelajar yang menjadi harapan sebagai generasi pelapis dan sepatutnya bergelut memperlengkapkan diri menjadi insan serba boleh demi masa depan, sebaliknya mencurah tumpuan dan masa muda berharga dengan melakukan pelbagai jenayah seperti mereka yang bertaraf profesional.

Atas alasan mahu mendapatkan populariti, meraih wang mudah serta mendapat perhatian rakan sebaya, pelajar berusia 13 hingga 18 tahun ini sudah tidak lagi malu melakukan jenayah.

Silap jika ada yang beranggapan ini trend semasa bersifat sementara dan hanyalah gelojak jiwa muda remaja yang lebih suka mencuba perkara baru.

Buktinya, statistik serta kajian pihak berkuasa, badan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi tempatan, menunjukkan betapa jenayah pelajar di dalam mahu pun di luar sekolah, bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Ia diakui sendiri Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah bunuh, rogol, samun, merusuh, mencuri dan kesalahan lain membabitkan anak muda itu.

Pelajar Perempuan MerokokSelain peningkatan kes, jumlah tangkapan pelajar berumur antara 13 hingga 18 tahun juga turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Buktinya, bagi sepanjang 2007, sejumlah 1,836 kes jenayah dilaporkan dengan 3,383 pelajar ditahan. Angka itu meningkat sebanyak 382 kes kepada 2,218 kes tahun lalu yang menyaksikan seramai 3,725 pelajar ditahan.

Belum pun reda kejutan akibat kenyataan Musa, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye pula mendedahkan, dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, seramai 295 pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun terbabit pelbagai kes jenayah termasuk membunuh.

Sambil mengakui trend itu amat membimbangkan, Lee berkata kebanyakan pelajar itu terbabit dalam kes curi motosikal selain kes pecah rumah, mencederakan orang lain dan rogol. Lebih menyedihkan, walaupun kelab pencegahan jenayah sudah dilancarkan di 3,764 sekolah sejak 1994, ia ternyata tidak berjaya membendung kadar peningkatan jenayah di kalangan pelajar.

Keadaan juga tiada jauh bezanya di sekolah. Hasil kajian Petunjuk Keselamatan dan Jenayah di Sekolah anjuran Universiti Malaya yang diumumkan tahun lalu, menunjukkan empat masalah utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme atau samseng.

Kajian setahun pada 2006 - 2007 dilakukan Pensyarah Fakulti Pendidikan UM Profesor Madya Dr Tie Fatt Hee, membabitkan 740 responden di kira-kira 12 sekolah di Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Kajian awal ini cuma membabitkan pelajar berusia 16 tahun yang disifatkan tahap usia penting sebelum memasuki Tingkatan Lima dan seterusnya menyertai masyarakat. Apa yang boleh dirumuskan, jenayah di sekolah tetap berlaku sama ada di kawasan bandar mahu pun luar bandar.

"Bagi saya, perkembangan ini amat membimbangkan biarpun hakikatnya jenayah di sekolah ini masih dianggap terkawal jika dibandingkan dengan bilangan murid di seluruh negara," kata Dr Tie ketika ditemui, baru-baru ini.

Lebih membimbangkan, katanya, 46 peratus responden itu mengakui pembelajaran mereka terganggu akibat ancaman jenayah di sekolah yang sekali gus boleh menjejaskan pencapaian akademik mereka.

"Kita perlu ingat, masalah disiplin di sekolah ini bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba sebaliknya ia membabitkan proses yang berpanjangan. Seperti juga penyakit, ia mempunyai simptom atau petanda awal tertentu yang perlu ditangani seberapa segera.

"Jika ia dibiarkan melarat, tanpa sebarang tindakan oleh pihak sekolah, jenayah ini boleh melarat melangkaui kawasan sekolah."

Dr Tie yang berpengalaman luas dalam bidang pendidikan dan undang-undang, berkata apa yang menyedihkan, majoriti pelajar yang ditemui menerusi kajian itu, mengakui menjadikan kawan atau rakan sebagai rujukan utama dalam sistem sokongan mereka.

"Di mana peranan ibu bapa dan guru-guru yang sepatutnya di hierarki atas sistem sokongan itu dan menjadi tempat utama pelajar mengadu masalah mereka? Ini jelas menjadi satu kepincangan kerana kita perlu sedari, ada bahayanya apabila pelajar menjadikan rakan sebagai pakar rujuk mereka, terutama jika rakan itu juga bermasalah."

Sehubungan itu, beliau menegaskan, sudah tiba masanya semua pihak - ibu bapa, sekolah dan masyarakat menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah jenayah di kalangan pelajar ini.

"Guru yang menyedari pelajar bermasalah perlu segera memaklumkan kepada pihak sekolah bagi tindakan susulan termasuk memanggil ibu bapa dan pihak polis. Ibu bapa pula harus bersikap prihatin apabila dipanggil dan bukannya menuding jari ke arah pihak sekolah.

"Selain itu, kita juga harus menerapkan kepentingan kaedah pendidikan berkaitan undang-undang yang mana pelajar didedahkan dengan jenayah dan jenis hukuman serta hak mereka," katanya.

Maklumat
  • 5.4 juta pelajar di seluruh negara
  • Indeks pembabitan pelajar dalam jenayah - 0.03 peratus berbanding jumlah keseluruhan
  • Usia pelajar bermasalah 13 - 18 tahun
  • Statistik polis, penglibatan remaja;
    • 2007 - 1,837 kes jenayah dan 3,383 pelajar ditahan
    • 2008 - 2,218 kes jenayah dan 3,725 pelajar ditahan
  • Kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia dengan kerjasama Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Malaysia, punca terlibat gejala mat rempit;
    • 48.1 peratus akibat kebosanan
    • 38 peratus bertujuan mengisi masa lapang
    • 27.8 peratus dipengaruhi kawan
  • Kajian Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia - Seramai 295 pelajar terbabit dalam pelbagai jenayah sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun 2009
  • Kajian Universiti Malaya - masalah disiplin utama di sekolah adalah kecurian, buli, pergaduhan dan gangsterisme.
Sumber : Berita Harian

Technorati Tags: , , , , , , , , , , ,

Posted by Azhad 14.10.09 11 comments

Berdasarkan kajian 'Norton Online Living Report' (NOLR) di Malaysia mengenai tabiat penggunaan internet di negara ini, remaja di negara ini sebenarnya menghabiskan masa 16 jam seminggu melayari internet.

Jumlah itu sebenarnya enam jam lebih banyak daripada masa purata NOLR peringkat global berdasarkan kajian ke atas 12 negara utama dunia dan ia juga empat jam lebih banyak daripada ibu bapa mereka.

Online 16 Jam Seminggu

Hakikatnya, itulah yang tidak disedari ibu bapa yang menyangkakan anak mereka cuma melayari internet pada masa tertentu saja, sedangkan kajian mendapati mereka sebenarnya menghabiskan masa dua kali lebih banyak daripada apa yang difikirkan mereka.

Walaupun di rumah dan sekolah, remaja hanya dibenarkan memasuki akses internet popular iaitu yang dibenarkan saja. Keadaan ini sebenarnya menjadikan mereka semakin ghairah mencari persekitaran alternatif yang jauh dari pandangan ibu bapa, terutama keluarga yang sentiasa sibuk.

Disebabkan itulah, 31 peratus daripada mereka melayari internet di kafe siber yang boleh didapati di mana-mana, manakala bagi remaja yang mempunyai rakan atau komputer riba persendirian, kajian mendapati 26 peratus daripada mereka gemar melepak di rumah rakan melayari internet.

Isu yang menarik dibincangkan ialah apa sebenarnya yang dilakukan remaja di dalam talian, adakah mereka memanfaatkan kemudahan itu untuk sesuatu yang berfaedah atau sekadar mencari keseronokan yang akhirnya memakan diri serta menjadi faktor penyumbang gejala sosial.

Ketua Urusan Pengguna, Kawasan Asia Selatan Symantec, Effendy Ibrahim, berkata bagi ibu bapa yang cetek pengetahuan dan pengalaman mengenai internet berbanding anak mereka, isu itu boleh menjadi punca kebimbangan utama mereka seperti ditemui melalui hasil kajian NOLR.

"Internet ialah satu sumber yang bagus, pelbagai, peluang mencari sesuatu maklumat yang agak mustahil untuk didapati serta mempunyai sejuta peluang mencari kawan baru dan mengenai pelbagai jenis manusia di dalam talian. Namun bagaimana penggunaannya, itu yang menjadi persoalan," katanya.
Walaupun 72 peratus ibu bapa mendakwa mengetahui aktiviti anak mereka ketika melayari internet, bukti kajian menunjukkan daripada senarai aktiviti yang dipilih, dipersetujui bersama ia sebenarnya berlawanan, berbeza daripada tanggapan serta realiti apa yang dilakukan anak mereka.

Dengan kata mudah, lain yang dibenarkan, lain pula yang dicari. Itu yang ditegah, itulah yang akan diselongkar dan dibongkar kerana melakukan sesuatu yang terlarang itu memang godaan kuat.

Jika ibu bapa bersikap sambil lewa dan tidak begitu menghiraukan aktiviti internet anak mereka, sudah pasti mereka terkejut dengan hasil laporan NOLR kerana 60 peratus daripada mereka cuma menghabiskan masa melayari laman sembang dan berbual di dalam talian dengan individu tidak dikenali.

Effendy berkata, ia berlaku lebih daripada sekali dalam tempoh seminggu dan 51 peratus daripada mereka berdepan risiko tanpa disedari kerana mendedahkan maklumat peribadi di dalam talian.

"Empat daripada lima remaja didapati mengakses bahan haram atau tidak berlesen. Ibu bapa percaya sebahagian besar aktiviti di dalam talian yang dilayari anak cuma terbatas kepada elemen hiburan dan aktiviti perjudian komputer (games) tetapi elemen itu bukan keutamaan remaja.

"Hakikatnya, mereka melayari sesuatu di luar batasan dan kawalan kerana internet boleh dilayari tanpa sempadan. Mereka melayari aktiviti yang dikategorikan berfrekuensi tinggi iaitu video (91 peratus), rangkaian sosial (89 peratus) dan muat turun pelbagai fail (91 peratus)," katanya.

Jika diacukan kepada ibu bapa soalan 'Adakah anda tahu di mana anak anda di dalam talian semasa menggunakan internet?' Jawapan yang biasa didengar ialah tidak tahu'.

Sememangnya biarpun dilanda kesibukan bekerja tanpa banyak masa dihabiskan memantau aktiviti anak di rumah atau sekolah, ramai ibu bapa di Malaysia mengakui mereka sanggup dan sudah melakukan sesuatu yang lebih baik untuk melindungi anak mereka ketika melayari internet.

Sebanyak 58 peratus daripada responden percaya kawalan ibu bapa adalah kaedah berkesan mencapai sasaran mengurangkan penularan gejala negatif melalui internet.

Kajian mendapati 45 peratus ibu bapa menegur anak mereka melakukan sesuatu yang salah atau tidak sesuai dalam talian dan 39 peratus daripada mereka mengintip penggunaan internet anak.

Menyedari keadaan yang tidak begitu sihat kerana mudah terdedah kepada pelbagai ancaman dan risiko, 77 peratus ibu bapa sudah menasihati anak mereka supaya mengamalkan tabiat baik dan memilih talian selamat, manakala 60 peratus daripada mereka menyediakan set kawalan internet yang dikawal ibu bapa.

Komputer Urusan Pengguna, Kawasan Asia Selatan Symantec, Effendy Ibrahim, menjelaskan walaupun beberapa langkah positif sudah diambil, hakikatnya internet sudah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan hingga menyebabkan wujudnya batas sempadan antara ibu bapa dan anak kanak.

"Isu mengenai kanak-kanak bertemu dalam talian dan bagaimana kita boleh melindungi mereka dengan pengetahuan yang cetek, sedangkan semua risiko itu tidak pernah berkurangan.

"Hasil kajian ini boleh dijadikan peringatan kepada keluarga kerana ibu bapa mengambil masa untuk memahami tabiat dan hala tuju anak sama ada di dalam talian atau aktiviti luar. Pendekatan sesuai ialah membenarkan mereka melayari internet tetapi dengan pengawasan dan perlindungan mencukupi," katanya.

Selain remaja, orang dewasa juga sebenarnya berisiko ketika berurusan dan melayari internet kerana 45 peratus daripada mereka tidak yakin maklumat peribadi mereka di talian tidak selamat.

Namun, sebahagian besar percaya penipuan dalam talian hanya berlaku kepada individu cuai terhadap maklumat peribadi dan mereka cukup yakin boleh melayari laman web rasmi tanpa sebarang keraguan.

Hakikatnya, semua itu bukannya satu hak eksklusif kerana sebarang pencerobohan, memanipulasi dan penipuan boleh dilakukan oleh mereka yang berniat jahat. Laman web sah dan rasmi juga berisiko dan boleh menjadi ancaman kepada pelawat tanpa mereka sedari.

Maklumat

Hakikatnya, orang dewasa dan remaja Malaysia sebenarnya berdepan dengan sesuatu yang sangat berisiko berdasarkan fakta kajian berikut iaitu:
  • Seorang daripada setiap lima dewasa menyimpan kata laluan mereka dengan menulis pada sekeping nota yang diletakkan berhampiran komputer mereka.
  • 24 peratus orang dewasa menggunakan kata laluan sama untuk semua urusan.
  • 48 peratus orang dewasa terlalu bergantung kepada perisian bebas AV dengan hanya 16 peratus menganggap tahap kemahiran komputer mereka cemerlang.
  • Lebih satu perempat orang dewasa itu memeriksa 'lari imbas' AV setiap bulan atau kurang.
  • Hanya 34 peratus remaja mempunyai fail sokongan dalam komputer.
Info Kajian NLOR di Malaysia
  • Dikendalikan Saffron Hill bagi pihak Symantec antara 14 April 2009 hingga 4 Mei 2009. 
  • Responden 397 orang dewasa berusia 20 tahun ke atas, termasuk 93 keluarga yang mempunyai anak berusia 8 hingga 17 tahun)
  • Responden 35 remaja berusia 15 hingga 19 tahun.
Info Kajian NLOR global
  • Responden: 9,000 dewasa dan remaja
  • 12 negara: Amerika Syarikat, Kanada, United Kingdom, Perancis, Jerman, Itali, Sweden China, Jepun, India, Australia, Brazil.
  • 7 daripada 10 dewasa berpendapat internet membantu mereka menjadikan hubungan lebih baik.
Hasil kajian global
  • 92 peratus menggunakan pangkalan e-mel untuk komunikasi dengan kawan dan keluarga.
  • 42 peratus menggunakan web cam, dengan China mencatatkan penggunaan paling tinggi (74 peratus), India (68 peratus), Brazil (66 peratus) dan Perancis (53 peratus).
  • Separuh daripada orang dewasa menggunakan jaringan sosial.
  • 7 daripada 10 mengakses foto secara on-line dan guna IM
  • 24 peratus layari laman sosial Twitter.
Sumber : Kajian Norton Online Living Report
Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 8.10.09 6 comments

Subscribe here