Penyakit selesema babi atau swine influenza kini sedang mendapat perhatian ramai. Sehingga 27 April 2009 berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkaitan wabak Swine Influenza A (H1N1) terdapat 40 kes yang disahkan di Amerika Syarikat, 6 kes di Kanada, 2 kes di Scotland dan 1 kes di Sepanyol. Sementara itu 1,840 kes yang disyaki dengan 104 kematian di Mexico dan 25 kes disyaki di New Zealand.

Wabak Selesema Babi

Di Malaysia buat masa ini tiada kes yang disyaki memenuhi kriteria penyakit Swine Influenza. Berdasarkan pemerhatian 'influenza like illness', tiada peningkatan kes dan kes berkelompok yang dilaporkan.

Bagi meningkat pengetahuan mengenai wabak selesema babi atau swine influenza ini, berikut adalah soalan-soalan lazim mengenainya;

1. Apakah Selesema Babi?

Selesema Babi adalah penyakit respiratori akut yang berjangkit daripada babi dan disebabkan oleh virus influenza A. Di kalangan babi, virus ini tersebar melalui titisan air dan hubungan secara langsung atau tidak langsung. Ia juga boleh tersebar melalui babi yang asimptomatik (tidak mempunyai sebarang gejala penyakit tetapi membawa virus Selesema Babi).

2. Berapakah subtypes (jenis) Virus Selesema Babi yang wujud?

Babi Selesema Babi sentiasa berubah seperti virus influenza yang lain. Terdapat 4 subtypes utama virus influenza A yang diasingkan daripada haiwan ini iaitu H1N1 (virus yang biasa ditemui pada babi), H1N2, H3N1 dan H3N2. Babi boleh dijangkiti virus Avian Influenza (Selesema Burung), virus influenza bermusim manusia, serta virus Swine Influenza (Selesema Babi).

Babi boleh dijangkiti lebih daripada satu jenis virus pada satu masa. Ini menyebabkan gen virus tersebut bercampur dan menghasilkan virus influenza yang mengandungi gen daripada pelbagai sumber, dikenali sebagai virus yang bercampur (reassortant).

Walaupun virus Selesema Babi pada kebiasaannya adalah spesis yang spesifik dan hanya menjangkiti babi, namun, virus ini boleh menyebabkan penyakit di kalangan manusia.

Terbaru, virus influenza yang diasingkan daripada babi telah dikenal pasti sebagai virus H1N1.

3. Di manakah kes jangkitan terhadap manusia pernah terjadi?

Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah menerima laporan kes Selesema Babi dari Amerika Syarikat dan Sepanyol.

4. Apakah tanda dan gejala Selesema Babi pada manusia?

Tanda dan gejala Selesema Babi pada manusia adalah serupa dengan gejala selesema manusia termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit-sakit badan, sakit kepala serta badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga sesetengah kes yang mengalami cirit birit dan muntah.

5. Adakah babi dan produknya selamat untuk dimakan?

Ya. Tiada bukti mengaitkan Selesema Babi boleh dipindahkan melalui makanan sekiranya daging atau produk babi disediakan atau dimasak secara betul. Virus Selesema Babi boleh dihapuskan dengan suhu masakan 160°F/70°C, sejajar dengan panduan am bagi menyediakan daging babi dan daging lain.

6. Bagaimana manusia boleh dijangkiti?

Manusia selalunya dijangkiti Selesema Babi melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus Selesema Babi. Terdapat juga kes di mana manusia yang dijangkiti tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan haiwan ini atau persekitarannya. Jangkitan manusia kepada manusia yang telah dilaporkan adalah terhad kepada hubungan secara langsung.

7. Adakah terdapat vaksin bagi melindungi manusia daripada jangkitan Selesema Babi?

Tiada. Vaksin influenza bermusim yang dihasilkan mengikut cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia tidak mengandungi virus Selesema Babi. Tidak juga diketahui sama ada vaksin bermusim boleh menyediakan perlindungan silang bagi mencegah jangkitan virus Selesema Babi.

8. Apakah rawatan bagi Selesema Babi?

Kebanyakkan kes Selesema Babi yang dilaporkan sebelum ini pulih sepenuhnya daripada penyakit itu tanpa memerlukan rawatan dan antiviral.

9. Berapakah tempoh masa jangkitan Selesema Babi daripada manusia kepada manusia yang lain?

Mereka yang dijangkiti virus Selesema Babi boleh menyebarkan penyakit ini selagi mereka mempunyai gejala penyakit dan boleh berlanjutan selama 7 hari daripada tarikh mendapat jangkitan (onset).

Kanak-kanak, terutamanya yang masih kecil, berpotensi menyebarkan penyakit ini pada tempoh yang lebih panjang.

10. Apa yang boleh dilakukan untuk melindungi diri anda daripada sakit?

Elakkan penyebaran kuman penyebab penyakit respiratori seperti selesema.

Ambil langkah-langkah berikut:

* Jika anda batuk atau bersin:
- Lindungi hidung dan mulut anda dengan tisu atau sapu tangan
- Buang tisu yang telah digunakan di bakul sampah
- Basuh tangan dengan sabun dan air bersih

* Amalkan kebersihan diri.
Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, terutamanya selepas anda batuk. Pembersih tangan berasaskan alkohol sangat berkesan.

* Cuba elakkan berhubung rapat dengan mereka yang sakit.

* Jika anda sakit kerana selesema, duduk di rumah dan hadkan hubungan dengan orang lain bagi memastikan anda tidak menjangkiti mereka.

* Elakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut anda.

Segera dapatkan rawatan di kemudahan kesihatan berdekatan sekiranya anda mengalami tanda dan gejala penyakit setelah pulang dari negara atau kawasan yang dijangkiti Selesema Babi.

Kementerian Kesihatan menasihatkan rakyat Malaysia agar tidak melakukan lawatan ke luar negara terutamanya ke negara yang sedang dilanda wabak sekiranya tidak perlu dan keadaan kesihatan tidak mengizinkan.

Maklumat lanjut mengenai wabak selesema babi atau swine flu ini boleh diperolehi dengan menghubungi Bilik Gerakan CPRC Kebangsaan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03–8881 0200 / 03-8881 0300 atau e-mel ke cprc@moh.gov.my. Orang ramai boleh juga melayari laman web Kementerian Kesihatan di www.moh.gov.my untuk maklumat terkini.

Technorati Tags: , , , , , ,
Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 29.4.09 1 comments

Pikom PC Fair pusingan pertama untuk tahun ini telah pun bermula hujung minggu lepas. PC Fair memang ditunggu-tunggu oleh orang ramai kerana mereka berpeluang untuk mendapatkan barangan komputer dan yang berkaitan di bawah satu bumbung. Ini memberi peluang orang ramai untuk melihat barangan terbaru di pasaran dan juga membuat perbandingan harga.

Untuk makluman berikut adalah tarikh dan lokasi PC Fair 2009 yang pertama tahun ini;

3 - 5 April 2009

  • Permata Car Park (Level 5), Kuching - Sarawak
  • Dewan Masyarakat Sandakan, Sandakan - Sabah
  • Berjaya Megamall, Kuantan - Jalan Tun Ismail, Sri Dagangan, Pahang
  • Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak - Jalan Ghazali Jawi, Ipoh
10 - 12 April 2009
  • KL Convention Centre, Kuala Lumpur - Kuala Lumpur City Centre, Kuala Lumpur
  • Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru - Jalan Abdullah Ibrahim, Johor Bahru
  • Village Mall, Sungai Petani - Kedah
  • Dewan Masyarakat Tawau, Tawau - Sabah
17 - 19 April 2009
  • Miri Indoor Stadium, Miri - Sawarak
  • Sibu Trade & Exhibition Centre, Sibu - Sarawak
  • Penang International Sports Arena, Penang - Jalan Tun Dr Awang, Relau
  • Mahkota Parade Melaka, Melaka - Jalan Merdeka, Bandar Hilir
24 - 26 April 2009
  • Dewan Jubli Intan, Muar - Johor

PC Fair 2009 ini dibuka secara percuma dari pukul 11.00 pagi hingga 9.00 malam. Maklumat lanjut mengenai PC Fair ini boleh diperolehi di laman web rasmi PC Fair 2009.

Technorati Tags: , , , , ,

Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 6.4.09 6 comments

Subscribe here