Hari ini adalah hari terakhir untuk individu pemastautin dan bukan pemastautin yang tidak menjalankan perniagaan untuk menghantar borang cukai pendapatan masing-masing. Begitu juga untuk mereka yang dikategorikan dalam Harta Pusaka, Pertubuhan dan Keluarga Sekutu Hindu yang tidak menjalankan perniagaan, hari ini 30 April 2008 adalah hari terakhir untuk mengembalikan borang cukai pendapatan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

e-Filing 30 Apr 2008

Cara yang paling mudah untuk mengembalikan borang cukai pendapatan adalah dengan menggunakan perkhidmatan e-filing. Perkara pertama yang perlu dilakukan untuk menggunakan perkhidmatan e-filing ini adalah mendapatkan Sijil Digital dan mendaftarkannya.

Permohonan Sijil Digital dengan mendapatkan nombor pin boleh dibuat melalui surat, faks atau e-mel tetapi cara ini hanya boleh digunakan sehingga 25 April sahaja. Nombor pin ini juga boleh diperolehi pada borang cukai pendapatan yang dihantar secara pos oleh LHDNM. Cara terakhir ialah dengan datang sendiri ke mana-mana kaunter LHDNM yang berdekatan.

Apabila sudah dapat nombor pin ini, ianya perlu didaftarkan di laman web LHDNM pada bahagian Login Kali Pertama. Langkah seterusnya ialah dengan memasuki Login e-Borang dan memilih jenis borang yang berkaitan. Maklumat yang perlu diisi semuanya mudah difahami malah jika perlu, Panduan Pengguna e-Filing ada disediakan.

Sebenarnya terdapat beberapa jenis borang iaitu BE untuk individu pemastautin tidak menjalankan perniagaan, B untuk individu pemastautin yang menjalankan perniagaan, M untuk individu bukan pemastautin, TP untuk Harta Pusaka, TF untuk Pertubuhan, TJ untuk Keluarga Sekutu Hindu, P untuk Perkongsian, E untuk majikan, C1 untuk Koperasi, TC untuk Amanah Unit / Harta Tanah, TA Badan Amanah, TR untuk Amanah Pelaburan Harta Tanah / Tabung Amanah Harta, C dan R untuk syarikat.

Hanya tinggal beberapa jam sahaja lagi tempoh masa untuk menghantarkan borang cukai pendapatan bagi mereka yang tidak menjalankan perniagaan. Bagi mereka yang mempunyai sumber pendapatan daripada perniagaan tarikh akhir menghantar borang cukai pendapatan adalah pada 30 Jun 2008.

Kaunter Perkhidmatan e-Filing di Pusat Khidmat Pelanggan Pandan Indah yang terletak di Aras 12, Menara C, Persiaran MPAJ, Jalan Pandan Utama, Pandan Indah
55100 Kuala Lumpur dibuka dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam dari 21 April hingga 30 April 2008.

Sila hubungi Pusat Khidmat Pelanggan LHDN di 1300 88 3010 jika memerlukan sebarang maklumat lanjut.

Technorati Tags: , , , , , ,


Posted by Azhad 30.4.08 5 comments

Larian Obor Temasya Olimpik Beijing yang melambangkan keazaman sejagat berlangsung meriah di sekitar bandar raya Kuala Lumpur disambut dalam suasana harmoni oleh rakyat Malaysia pada 21 April 2008. Selain sedikit kekecohan kecil di Dataran Merdeka semuanya berjalan dengan lancar.

Larian Obor Olimpik Beijing @ KLObor Sukan Olimpik Beijing tiba dari Bangkok awal pagi 20 April, untuk peringkat ke-14 persinggahannya di Kuala Lumpur, yang menjadi simbol kepada keharmonian temasya ini yang akan dilangsungkan di Beijing, Ogos ini.

Larian obor sejauh 16.5 kilometer ini bermula di Dataran Merdeka melalui beberapa jalan utama di Kuala Lumpur, antaranya Jalan Duta, Jalan Syed Putra, Jalan P. Ramlee dan Jalan Sultan Ismail sehingga berakhir di KLCC, membabitkan sejumlah 80 pelari terdiri daripada orang kenamaan, personaliti terkemuka serta atlit.

Larian itu juga melalui beberapa kawasan bersejarah di Malaysia antaranya, Muzium Negara, Masjid Negara, Stadium Merdeka dan Menara Kuala Lumpur.

Larian Obor Olimpik Beijing @ KLPresiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Tunku Imran Tuanku Jaafar menjadi pelari pertama yang memulakan acara larian tersebut. Pembawa obor ke-79, Duta China ke Malaysia, Cheng Yong Hou menyerahkannya kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah selaku individu terakhir memegang obor tersebut dan dinyalakan di dalam kawah khas sebagai tanda penamat larian tersebut.

Seramai 1,000 pegawai dan anggota polis dikerah untuk mengawal laluan larian obor itu. Mereka yang berlari membawa obor turut diiringi dan dikawal rapi puluhan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) dan Komando 69.

Larian Obor Olimpik ini akan bersambung di Jakarta, Indonesia sebelum meneruskan pengembaraan ke Canberra, Australia.

Berikut adalah senarai penuh pembawa obor Olimpik Beijing di Kuala Lumpur;

1. Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaafar
2. Tan Sri Hamzah Abu Samah
3. Mohd Kadri Mohamed Taib
4. Wang Ji
5. Datuk Tony Fernandes
6. Datuk Abdul Hakim Borhan
7. Datuk Mohd Yasin Salleh
8. Karu Selvaratnam
9. Datuk Ramlan Aziz
10. Shaharuddin Jaafar
11. Teng Mui Ngee
12. Lim Keng Liat
13. Soon Lay In
14. Shi Fangfan
15. Cheah Soon Kit
16. Yuan Yufang
17. Christopher Charles Moses
18. Rashid Sidek
19. Ng Ping Loong
20. Abdul Ghafar Mahmud
21. Datuk Zolkples Embong
22. Francis Toh
23. Shalin Zulkifli
24. Datuk Dr Jemilah Mahmood
25. Liew Kian Meng
26. Bryan Nickson Lomas
27. Yap Kim Hock
28. Datuk Ho Koh Chye
29. Datuk Soh Chin Aun
30. Wilfred Vias
31. Mohd Raduan Emeari
32. Neo Chwee Yeen
33. Tan Sri Ahmad Sarji
34. Datuk Punch Gunalan
35. Razif Sidek
36. Muhd Salam Sidik
37. Fu Chee Cheng
38. Jalani Sidek
39. Lim Yee Chung
40. Seow Swee Pin
41. Mohan Gurusamy
42. Faridah Abdul Rahman
43. Johnson Tan Soo Lim
44. Ang Shiao Chin
45. Nik Lazaridis
46. Datuk Paduka Marina Mahathir
47. Ras Adiba Radzi
48. Min Yong Ho
49. Nicol David
50. Suh Dug Kun
51. Datin Paduka Sharifah Mazlina
52. Lee Chong Wei
53. Fu Choong Sin
54. Teh Muhd Amir
55. Tan Sri Azman Hashim
56. Balakrishnan Vishalache
57. Jamali Johari
58. Tan Ming Sen
59. Thomas Kok
60. Khairussaleh Ramli
61. Dr Sheikh Muszaphar Shukhor
62. Datuk Kamal Harun
63. Datuk James Selvaraj
64. Gerry Jaya Simhan
65. Maya Heng
66. Rohana Rozhan
67. Teo Hong Beng
68. Datuk Dr Hashim Abdul Wahab
69. Dr Reza Azmi
70. Khadijah Abdul Rahman
71. Aznir Malek
72. Karam Singh Walia
73. Datuk Dr Mikaail Kavanah
74. Marina Chin
75. Nurul Huda Abdullah
76. Datuk Abdul Majid Ahmad Khan
77. Tan Sri Musa Hassan
78. Hashim Wahir
79. Cheng Yonghua
80. Sultan Azlan Shah

Technorati Tags: , , , ,


Posted by Azhad 23.4.08 0 comments

Hari ini keputusan kemasukan ke matrikulasi anjuran Kementerian Pelajaran bagi sesi 2008/2009 sudah boleh disemak. Seramai 26,000 orang lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2007 akan diberi peluang untuk mengikuti program matrikulasi ini. Di samping itu keputusan permohonan untuk melanjutkan pelajaran yang dianjurkan oleh pelbagai pihak akan turut mula diumumkan.

asasi & matrikulasi

Begitu juga peluang untuk mendapatkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) bagi melanjutkan pelajaran ke luar di peringkat ijazah pertama menjadi idaman ramai para pelajar. Bagi tahun ini seramai 2,000 orang pelajar cemerlang SPM 2007 akan ditawarkan biasiswa JPA ini. Khabarnya jumlah perbelanjaan yang dijangkakan untuk menampung 2,000 orang pelajar ini sepanjang tempoh pengajian mereka nanti adalah RM 1.74 bilion.

Manakala sebahagian besar lagi pula akan menantikan keputusan kemasukan ke institut pengajian tinggi awam (IPTA) samada bagi program asasi maupun diploma. Sebanyak 13 buah IPTA yang menawarkan program pengajian kepada lulusan SPM 2007. Selain itu ada juga yang akan mendaftar untuk melanjutkan pelajaran di institut pengajian tinggi swasta (IPTS) untuk mengikuti pengajian yang mereka minati.

Tidak kiralah di mana pun anda akan melanjutkan pelajaran, apa yang penting adalah anda menjalankan tanggungjawab anda sebagai pelajar dengan sebaik mungkin dan tidak mensia-siakan peluang yang diberi. Perlu diingatkan bahawa proses pembelajaran semasa di asasi atau matrikulasi agar berbeza sedikit daripada semasa SPM dahulu. Tempoh masa yang singkat dengan begitu banyak yang perlu dipelajari menuntut kesungguhan dan perhatian yang tinggi para pelajar.

Dalam kesibukan menuntut ilmu itu nanti seimbangkan juga dengan meningkatkan ilmu agama dan sahsiah diri. Kecemerlangan di dalam akademik perlulah selari dengan kecemerlangan sahsiah diri dan iman. Apabila ianya berada pada aras yang sama barulah kita akan berjaya dengan lebih bermakna.

Segala tabiat yang ada pada diri semasa belajar tidak kira samada baik atau buruk sebenarnya akan dibawa ke alam kerja. Oleh itu adalah lebih baik jika semua tabiat buruk yang ada dihapuskan seawal mungkin dan tabiat yang baik pula dipupuk serta dicambahkan. Ini akan membantu memantapkan prestasi kerja dan keharmonian kehidupan seharian.

Apa yang kita buat hari ini akan menentukan apa yang akan kita hadapi di masa hadapan.

Technorati Tags: , , , , , , ,

Posted by Azhad 16.4.08 1 comments

Muhamad Asmawi Jalaludin atau Awie telah dilaporkan hilang semasa dalam perjalanan pulang bersama rakannya dari taman permainan berdekatan Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi ke rumahnya yang terletak kira-kira 200 meter di Lot 127, Jalan Permai Tujuh, Lembah Pantai pada petang 9 Mac lalu.

Muhamad Asmawi Jalaludin @ AwieMinggu ini genaplah sebulan Asmawi yang berumur 11 tahun hilang. Setakat ini pihak polis masih tidak mendapat sebarang petunjuk atau maklumat terbaru daripada orang awam. Proses mencari Asmawi kini telah masuk ke fasa ketiga di mana operasi mencari kini berfokus di kawasan tumpuan ramai seperti di pusat beli-belah dan taman permainan di sekitar Lembah Klang.

hilang 9 Mac 2008

Muhamad Affiz Muhamad Noor salah seorang rakan Awie berkata dia bersama Muhamad Asmawi dan seorang lagi rakan menyertai pertandingan mewarna anjuran restoran makanan segera Kentucky Fried Chicken pada hari kejadian. Mereka berpisah ketika perjalanan pulang dan dia tidak tahu apa yang terjadi selepas itu.

Muhamad Asmawi dipercayai masih berada di sekitar Lembah Klang dan polis mengklasifikasikan kes ini sebagai hilang dalam jagaan keluarga. Polis juga tidak menemui sebarang petunjuk yang menunjukkan Awie diculik walaupun begitu polis akan terus menyiasat.

Di samping itu operasi mencari di waktu malam telah diadakan kerana jika tidak diculik pasti Asmawi akan mencari tempat untuk berteduh dan tidur. Oleh itu di sebelah malam polis akan memberi tumpuan di tempat-tempat seperti di tepi jalan, pusat beli-belah, jambatan, pasar-pasar atau kawasan yang sesuai dijadikan tempat berteduh.

Pada peringkat awal polis mencari Muhamad Asmawi pada siang hari kerana dia dipercayai akan keluar ke tempat permainan video atau berjumpa rakan-rakan pada waktu itu tetapi tidak berhasil. Pihak polis ada menerima maklumat bahawa Muhamad Asmawi dilihat di Kompleks Membeli Belah Mid Valley. Walaupun begitu ianya tidak dapat dipastikan kerana gambar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diperolehi polis tidak jelas.

Polis masih terus mengedar poster Muhamad Asmawi Jalaludin di sekitar Lembah Klang dalam usaha mengesan kanak- kanak yang hilang kira-kira sebulan ini. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta hubungi balai polis yang berhampiran atau talian 03-22742222.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 11.4.08 1 comments

PIKOM PC Fair yang pertama bagi tahun ini bermula hari ini di Johor Bahru, Taiping, Kuching, Sandakan dan Tawau. Sebenarnya PC Fair anjuran PIKOM ini diadakan tiga kali setahun iaitu pada bulan April, Ogos dan Disember. Oleh itu jika tidak berpeluang untuk datang kali ini, anda boleh pergi di bulan Ogos atau Disember nanti.



Berikut adalah tarikh dan lokasi PC Fair 2008 yang akan berlangsung dalam bulan April ini;

4 - 6 April 2008
11:00 am - 9:00 pm

  • Persada Johor International Convention Centre, Jalan Abdullah Ibrahim, 80000 Johor Bahru, Johor
  • Dewan Perbandaran Taiping, Jalan Taming Sari, 34000 Taiping, Perak
  • Permata Car Park Building, Level 5, Jalan Padungan, 93100 Kuching, Sarawak
  • Dewan Masyarakat Sandakan, Jalan Leila, 90000 Sandakan, Sabah
  • Dewan Masyarakat Tawau, Jalan Bakau, 91000 Tawau, Sabah


11 - 13 April 2008
11:00 am - 9:00 pm

  • KL Convention Centre, Kuala Lumpur City Centre, 50888 Kuala Lumpur
  • Stadium Indera Mulia, Jalan Stadium Perak, 31400 Ipoh, Perak
  • Berjaya Megamall, Jalan Tun Ismail, Sri Dagangan, 25000 Kuantan, Pahang
  • Dewan Milenium, Bertam, 13200 Kepala Batas, Pulau Pinang
  • Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Jalan Arab, 84000 Muar, Johor

18 - 20 April 2008
11:00 am - 9:00 pm

  • Penang International Sports Arena, Jalan Tun Dr Awang, 11900 Relau, Pulau Pinang
  • Mahkota Parade Melaka, Jalan Merdeka, 75000 Bandar Hilir, Melaka
  • Sibu Trade & Exhibition Centre, Power Road, 96000 Sibu, Sarawak
  • Miri Indoor Stadium, Jalan Sukan, 98000 Miri, Sarawak
  • Dewan Merdeka MPM, Jalan Pinang Raja, 32040 Seri Manjung, Perak


Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 4.4.08 4 comments

Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi tahun 2008 telah diubah tarikhnya sekali lagi oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, jadual peperiksaan PMR telah diubah selepas mengambil kira kebimbangan, keprihatinan dan pandangan pelbagai pihak mengenai jadual waktu berperingkat sebelum ini.

TERKINI : Menurut ePutra keputusan peperiksaan PMR 2008 akan diumumkan pada 30 Disember 2008.

PMR 13-17 Okt

Tarikh baru peperiksaan PMR 2008 telah diubah kepada 13 hingga 17 Oktober depan, berbanding tarikh asal 13,14,15 Oktober dan 4,5 November. Sebelum ini, pelbagai pihak membantah tarikh asal peperiksaan PMR 2008 kerana jarak masa antara 13,14 dan 15 Oktober dengan 4 dan 5 November adalah terlalu panjang iaitu selama 19 hari dan ibu bapa bimbang ia boleh mengganggu fokus pelajar.

Jadual baru PMR ini dianjakkan kebelakang pada minggu ketiga Oktober berbanding 1 hingga 5 Oktober pada tahun lalu, diputuskan selepas kajian semula LPM bersama pegawai kanan peperiksaan dan penilaian negeri. Tarikh baru bagi peperiksaan PMR 2008 dibuat bagi menjaga keselamatan, kelancaran, urusan dan kebolehpercayaan pengendalian peperiksaan.

Menurut Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia lagi, penyusunan semula tarikh peperiksaan tahun ini juga sudah mengambil kira aspek pengurusan dan profesional serta membabitkan banyak pihak terutama berkaitan percetakan, pengedaran, penyimpanan kertas soalan dan skrip jawapan, pemeriksaan, pemprosesan data, penentuan standard serta pengumuman keputusan.

Tarikh peperiksaan bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun ini kekal seperti diumumkan sebelum ini dan boleh dirujuk di Tarikh Baru Peperiksaan UPSR, PMR, SPM & STAM.

Technorati Tags: , , , , ,



Posted by Azhad 3.4.08 1 comments

Subscribe here