Musim perayaan begitu selari dengan kemalangan jalan raya kerana pada masa inilah banyak nyawa yang terkorban. Jumlah kemalangan di Malaysia telah mencecah sehingga 300,000 dan dengan lebih 6,000 kematian setahun. Ini sudah tentu satu perkembangan amat membimbangkan. Di blog ini juga pernah ada penulisan yang bertajuk Statistik Kemalangan Jalan Raya dan Raya, Remaja, Motosikal Dan Kemalangan.
Salah satu punca utama berlakunya kemalangan jalan raya adalah sikap pemandu yang cuai dan tidak berhati-hati. Secara kasarnya difahamkan seramai 18 orang terbunuh setiap hari akibat kemalangan jalan raya. Saban tahun pelbagai kempen dan operasi yang telah dilaksanakan tetapi angka kemalangan dan kematian tidak menampakkan pengurangan yang diharapkan.
Berdasarkan itu Projek Lebuh Raya Utara Selatan (Plus) telah mengadakan kempen Malaysians Unite for Road Safety (Mufors) 090909. Ia dianjurkan bagi membolehkan rakyat Malaysia terutama para pemandu berfikir sejenak serta berikrar untuk melakukan sesuatu bagi mengurangkan jumlah nahas serta kematian di jalan raya.
090909.org.my
Ikrar untuk membendung kemalangan jalan raya ini boleh dibuat samada dalam bentuk kenyataan bertulis, gambar maupun video di laman web yang dibangunkan khas untuk kempen ini iaitu www.090909.org.my.Kempen berkenaan jatuh pada 9 September 2009 bersempena dengan Mufors 090909. Semua rakyat Malaysia digesa untuk menyatakan ikrar mereka dalam mengurangkan kemalangan dan menyelamatkan nyawa pada hari terbabit, antara jam 9 pagi hingga 9 malam. Matlamat kempen selama 12 jam itu mungkin berjaya merubah suasana perayaan tahun ini kepada yang lebih baik.
Tidak ketinggalan beberapa artis turut memberi pandangan dan sokongn mereka dalam kempen ini. Di antaranya Datuk Siti Nurhaliza yang berkata, “Kempen keselamatan jalan raya seperti yang dianjurkan kali ini seharusnya diadakan pada setiap masa. Maklum saja, sebahagian daripada kita mudah lupa. Di samping itu, usah kita bergantung kepada kempen kesedaran itu saja. Paling penting, sikap pemandu itu sendiri. Mereka hendaklah berhemah di jalan raya , selain sentiasa berhemah pada diri sendiri.
"Usah sekali-sekali cuba mengambil risiko apabila berada di atas jalan raya. Ingat, apa-apa keputusan yang kita lakukan, ia turut membabitkan orang lain juga. Jadi, bersedialah sebaiknya sebelum memulakan sesuatu perjalanan. Periksa kereta sebelum memandu. Kita tahu bukan faktor kenderaan saja yang membolehkan berlakunya sesuatu kemalangan, jadi sentiasalah berhati-hati. Mungkin keadaan cuaca, jalan raya serta sikap pemandu lain boleh mengakibatkan kecelakaan sebegini.
"Sebagai pemandu, kita kena ingat, ada nyawa lain yang menjadi tanggungjawab kita. Manakala penumpang pula, kenalah mereka selalu mengingatkan pemandu untuk berhati-hati. Tanyakan keadaan mereka, terutama bagi mereka yang memandu jauh. Jika pemandu kepenatan, ajaklah mereka berhenti untuk berehat seketika."
Oleh itu marilah sama-sama kita berikrar memberi sokongan terhadap usaha membendung kemalangan jalan raya ini Semoga satu perubahan akan dapat dilihat mulai 9 September ini.
Technorati Tags: kemalangan, jalan raya, kematian, pemandu, ikrar, bendong, keselamatan, 090909