Hari Raya Aidil Fitri masih lagi meriah disambut terutama dengan majlis rumah terbuka dihujung minggu. Sementara itu Ops Sikap XIII telah pun berakhir dengan mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 15,911 berbanding 15,716 semasa Ops Sikap XI pada hari raya tahun lepas. Jumlah kematian semasa Ops Sikap XIII pula ialah seramai 225 orang di mana 53.8% atau 121 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.

Ini jelas menunjukkan bahawa korban terbesar di jalan raya sepanjang Ops Sikap XIII ialah mereka yang menggunakan motosikal. Begitu juga jika angka kemalangan dan korban untuk sepanjang tahun di semak pasti penunggang dan pembonceng motosikal mewakili jumlah yang tertinggi. Sebahagian besar mereka ini pula terdiri daripada remaja dan belia yang akan menjadi penyumbang kepada kemakmuran negara.

Pada tahun lepas saya sendiri pernah nyaris-nyaris melanggar seorang penunggang motosikal yang jatuh di hadapan kereta yang saya pandu. Jiran kami di kampung juga telah meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motosikal pada tahun lepas. Dia telah dilanggar oleh seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang sudah pastinya tidak mempunyai lesen. Kedua-dua cerita ini boleh dibaca di Kemalangan dan Kemalangan Motosikal.

Sepanjang bulan Syawal ini semua orang akan sibuk menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai. Kanak-kanak dan remaja juga tidak ketinggalan untuk pergi mengunjungi rumah kawan-kawan mereka. Apa yang dapat saya lihat semasa proses kunjung-mengunjung ini, ramai kanak-kanak dan remaja yang menunggang motosikal bersama kawan-kawan yang juga menunggang motosikal. Mereka ini yang sudah pasti tidak mempunyai lesen tetapi apa yang lebih memeranjatkan lagi ialah motosikal itu dibawa dengan kebenaran ibubapa. Malah ada ibubapa yang membenarkan anak remaja mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal jauh ke bandar lain untuk berhari raya di rumah kawan.

Kita semua sedia maklum apabila remaja ini berkumpul dengan rakan sebaya sudah pasti kelakuan dan lagak mereka lebih daripada biasa; menunggang dengan laju, kejar-mengejar dan seumpamanya. Apa yang lebih membimbangkan, laluan yang mereka tempohi ialah jalan yang tersenarai di dalam jalan-jalan yang mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi.

Kenapakah ibubapa begitu mudah membenarkan anak-anak mereka melanggarkan peraturan? Kanak-kanak dan remaja ini mungkin tahu membawa motosikal tetapi adakah mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan undang-undang jalanraya? Tujuan utama diwajibkan mengambil lesen memandu ialah untuk memastikan penunggang itu berkebolehan untuk membawa kenderaan dengan baik dan faham peraturan lalu lintas jalanraya.

Saya masih ingat kepada satu peristiwa yang menimpa kepada kawan adik saya beberapa tahun dahulu. Dia masih belajar di tingkatan tiga tetapi sering membawa kereta bapanya dan pernah ditahan oleh pihak polis. Walaupun pernah ditahan polis dia masih terus menggunakan kereta bapanya. Pada suatu malam dia telah keluar bersama-sama seorang kawan perempuan selepas majlis sambutan hari jadi ke 16. Mereka telah terserempak dengan sebuah kereta peronda dan anggota polis telah mengarahkan dia berhenti.

Bagi mengelakkan ditahan polis sekali lagi, kawan adik saya ini telah cuba melarikan diri. Setelah berlaku kejar-mengejar pihak polis telah berjaya menyekat kereta yang dipandu remaja ini. Semasa seorang anggota polis menghampiri kereta, remaja berkenaan telah tunduk untuk mengambil sesuatu dari bawah kerusi. Anggota polis yang menyangkakan remaja tersebut mengambil senjata api telah melepaskan tembakan. Remaja itu mati di dalam kereta bapanya di atas riba kawan perempuan yang bersamanya.

Menurut adik saya, bapa kawannya itu tidak pernah melarang anaknya membawa kereta walaupun setelah ditahan pihak polis. Bapanya cuma menasihat supaya berhati-hati semasa memandu dan mengelak dari ditahan oleh pihak polis lagi.

Apabila ibubapa membenarkan anak mereka melanggar peraturan, ini secara langsung memberitahu mereka bahawa undang-undang itu tidak perlu dipatuhi. Oleh itu apabila remaja ini melanggarkan peraturan yang lain, siapakah yang harus dipersalahkan? Jika remaja sekarang semakin tidak berdisplin, dimanakah silapnya?

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 30.10.07 3 comments

Kanak-kanak perempuan Rekha Abdullah yang berumur 10 tahun yang hilang pada hari Isnin lepas telah dijumpai semula semalam. Pelajar tahun 4 Sekolah Kebangsaan (Perempuan) Island, Jalan Larut, Pulau Pinang telah hilang semasa pergi ke pasar malam untuk membeli VCD pada pukul 9.00 malam. Rekha telah pergi ke pasar malam yang terletak berhampiran rumahnya di Kampung Kolam berseorangan bersama wang RM5.00.

RekhaMenurut bapa tiri Rekha, Ahamad Omar anak tirinya telah ditemui berhampiran Masjid Kapitan Keling, di Lebuh Chulia malam semalam oleh sepasang suami isteri yang juga kenalannya. Ketika itu mangsa berkemeja T dan berseluar pendek coklat muda berbanding semasa dia hilang memakai kemeja T dan berseluar pendek putih.

Rekha mendakwa dia dikurung di rumah pangsa di Farlim oleh seorang wanita. Semasa disitu dia telah diberi makan dan minum serta pakaian. Rekha juga berkata wanita itu ada memukulnya semasa dikurung. Kemungkinan setelah menyedari usaha mencari Rekha telah dimulakan, wanita itu telah membawa Rekha ke sebuah hentian bas yang berhampiran dan mengarahkannya menaiki bas balik ke rumah.
\
RekhaPolis Pulau Pinang, Datuk Koh Hong Sun berkata pihak polis telah menghantar Rekha ke Hospital Pulau Pinang untuk pemeriksaan. Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas jenayah menculik. Pihak polis akan mengambil keterangan daripada Rekha dan keluarganya apabila mereka dalam tenang nanti.

Cerita lanjut boleh dibaca sebagaimana yang dilaporkan oleh Bernama, Utusan dan Berita Harian.

Syukur alhamdullilah Rekha telah berjaya ditemui semula hanya beberapa hari selepas dia hilang. Kebimbangan masyarakat kemungkinan berulangnya kes Nurin memang patut diberi perhatian. Wanita yang menculik Rekha ini pasti bimbang akan dikesan apabila adanya liputan meluas dan usaha yang dilakukan untuk mencari kanak-kanak itu. Ini jelas menunjukkan satu sistem yang teratur untuk menghebah dan mencari kanak-kanak yang hilang perlu dilaksanakan. Nurin Alert adalah sistem itu dan kita perlulah sama-sama menyokong usaha kearah menjadikannya satu kenyataan.

Terkini :
Pihak polis telah mengesahkan bahawa dakwaan Rekha Abdullah bahawa dirinya diculik dan dikurung oleh seorang wanita hanyalah rekaan kanak-kanak tersebut. Wanita tersebut yang bekerja di sebuah kedai menjual VCD mengenali Rekha dan membawa Rekha pulang selepas Rekha sendiri mahu mengikut dia balik. Rekha telah memberitahu wanita itu dia tidak mahu balik ke rumah kerana takut dipukul ibunya.

Hasil pemeriksaan pihak hospital tiada sebarang kesan penderaan atau kecederaan fizikal ditemui pada anggota badan Rekha. Pihak polis juga akan menghantar Rekha ke Jabatan Psikiatri bagi menjalani pemeriksaan lanjut. Rekha juga ada kemungkinan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat jika keadaan memerlukan. Berita lengkap boleh dibaca di Bernama.

, , , ,

Posted by Azhad 26.10.07 2 comments

Nurin Alert yang cuba diwujudkan oleh beberapa orang yang perihatin termasuk pakcik Nurin Jazlin, Jasni telah mula mendapat perhatian. Nurin Alert yang mengambil contoh daripada kejayaan Amber Alert diharap dapat membantu kes kehilangan dan penculikan kanak-kanak di Malaysia. Setakat ini Nurin Alert masih lagi dalam peringkat perancangan dan sokongan semua pihak diperlukan untuk menjadikannya satu kenyataan.

Pada hari Jumaat 19 Oktober 2007 yang lalu akhbar The Star telah melaporkan tentang rancangan untuk mengadakan Nurin Alert di bawah tajuk; Uncle comes up with Nurin Alert. Antara lain ianya menyebut pertemuan dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan kertas kerja yang dipinta oleh beliau. Penglibatan beberapa blogger seperti Nuraina A. Samad, Tembam dan Nik Faris juga disebut di samping sokongan yang diberi oleh Kamal Affandi Hashim dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, pengarah Pelindung dan Penyelamat Kanak-kanak, Madeline Yong dan Abang Ariffin Abang Bohan seorang peguam.

Citizens for Nurin Alert

Diharap pihak media massa akan terus membantu memberi kesedaran tentang usaha untuk menjadikan Nurin Alert ini satu kenyataan. Begitu juga dengan para blogger dan masyarakat umum patut sama-sama mencanangkan dan memberi sokongan kepada Nurin Alert ini. Sementara itu penganalisa jenayah, Kamal Affandi Hashim telah memberi maksud kepada perkataan NURIN iaitu Nationwide Urgent Response Information Network. Laman blog Tembam, Nuraina, RockyBru dan Jasni pula masih terus bercerita tentang usaha mewujudkan Nurin Alert ini.

Hari ini rancangan Wanita Hari Ini di TV3 telah menjemput Nuraina A. Samad seorang penulis blog, Jasni Abdul Jalil bapa saudara Nurin Jazlin dan Kamal Affandi Hashim dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia sebagai tetamu untuk menjelaskan lebih lanjut tentang cadangan mewujudkan Nurin Alert. Diharap ini akan dapat memberi kesan yang positif kepada usaha menjadikan Nurin Alert satu kenyataan.

Jika anda berminat untuk menghulurkan sebarang jenis bantuan atau memberi sokongan kepada Nurin Alert sila sertai "Citizens for Nurin Alert" dengan menghantar email kepada sos@nurinalert.org.

, , ,

Posted by Azhad 23.10.07 4 comments

Seorang lagi kanak-kanak telah dibunuh ketika masyarakat masih menanti tertangkapnya pembunuh Nurin Jazlin Jazimin. Kejadian yang berlaku pada pukul 4 petang di Taman Perangsang. Kapar, Selangor Darul Ehsan telah menyaksikan Mohamad Khairulnizam Riza Azmi yang baru berumur 7 tahun mati dibunuh di sebuah rumah kosong dua tingkat di belakang rumahnya.

Pelajar tahun satu Sekolah Kebangsaan Abdul Samad, Kapar ini telah ditemui dalam keadaan tertiarap berlumuran darah di dalam bilik tidur utama di tingkat atas rumah kosong tersebut dengan kesan tikaman menggunakan serpihan kaca tingkap di perut, di pipi kanan dan di bahagian belakang badannya. Mohamad Khairulnizam dipercayai telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat perdarahan teruk akibat luka tikaman berkenaan.

ditikam di perut, pipi dan belakang badan

Seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah agama di Hulu Langat telah ditangkap dan ditahan reman oleh pihak polis berhubung kes ini. Difahamkan perkara ini bermula apabila remaja berumur 15 tahun itu tidak berpuas hati dengan mangsa yang baru dua minggu berpindah ke kawasan tersebut sering mengganggu ayam belanda peliharaannya.

Remaja berumur 15 tahun itu bersama seorang lagi rakannya yang berumur 16 tahun telah mengajak Mohamad Khairulnizam dan seorang lagi kanak-kanak yang sebaya Kharulnizam untuk bermain mercun di rumah kosong dua tingkat itu. Setiba di rumah kosong itu Mohamad Khairulnizam dan rakannya telah diikat dengan tali tetapi rakan Khairulnizam berjaya melepaskan diri dan memberitahu jiran berdekatan. Remaja yang berumur 16 tahun masih dicari oleh pihak polis.

Jenazah Mohamad Khairulnizam Riza Azmi telahpun selamat dikebumikan selepas dibedah siasat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Ketika kejadian itu nenek Mohamad Khairulnizam, Normaimun Mohamad, 59 tahun dan ibunya Noraliza Abdul Yazid, 40 tahun berada di rumah. Manakala bapa Mohamad Khairulnizam, Riza Azmi Ramli, 35 tahun bekerja sebagai pemandu lori kontena.

Sudah tentu yang menjadi persoalannya ialah bagaimana seorang remaja 15 tahun tergamak dan boleh bertindak mengikat dan menikam beberapa kali seorang kanak-kanak yang berumur 7 tahun semata-mata kerana ayam belandanya diganggu? Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim seseorang kanak-kanak atau remaja itu boleh dikesan mempunyai masalah apabila dia mempunyai semua atau sebahagian dari 3 sikap yang ketara.

Pertama, suka mendera, mencedera atau membunuh binatang peliharaan. Kedua, suka bermain dengan api dan membakar benda. Akhirnya yang ketiga, sering kencing malam walaupun pada peringkat umur yang sudah boleh mengawal waktu buang air. Kanak-kanak atau remaja yang didapati mempunyai walaupun satu daripada tanda ini patut diberi perhatian dan rawatan oleh ibubapa. Mencegah itu lebih baik dan berkesan dari mengatasi kejadian buruk yang telah terjadi.

Terkini : Remaja yang berumur 15 tahun tersebut telah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkamah Juvana atas tuduhan menyebabkan kematian Mohd Khairul Nizam Riza Azmi, 7 tahun. Dia mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan, kesnya akan disebut semula pada 13 Disember 2007. Pihak polis mengesahkan sebelum ini remaja berkenaan telah cuba mengelirukan polis dengan memberitahu wujudnya suspek kedua.

, , , ,

Posted by Azhad 22.10.07 2 comments

Setiap hari kita membuang sampah dan sampah ini akan dilupuskan oleh pihak yang berkuasa untuk memastikan kebersihan terus terjaga. Kos untuk melupuskan sampah ini pula mencecah berjuta-juta ringgit Setiap tahun jumlah sampah yang dibuang oleh orangramai akan terus meningkat dan kawasan pelupusan sampah pula semakin penuh. Dalam sehari kita menghasilkan lebih daripada 16,000 tan sampah setiap hari.

Blog Action Day Kita boleh membantu mengurangkan jumlah sampah yang dibuang dengan melakukan kitar semula. Sebelum boleh melakukan kitar semula, kita perlu tahu jenis sampah yang boleh dikitar semula. Sampah kitar semula boleh dibahagikan kepada 4 jenis iaitu kaca, plastik, kertas dan aluminium. Setelah diasingkan sampah ini boleh di hantar ke pusat kitar semula atau ke pusat pungutan atau dimasukkan ke dalam tong sampah khas kitar semula.

Semua bekas kaca yang berwarna atau jernih termasuk botol minuman, bekas makanan, botol vitamin, bekas alat solek dan seumpamanya boleh dikitar semula. Barangan kaca perlu dimasukkan ke dalam tong kitar semula berwarna coklat. Manakala semua jenis tin aluminium dan besi seperti tin minuman dan tin makanan juga boleh dikitar semula. Barangan berasaskan kaca ini perlu dimasukkan ke dalam tong kitar semula berwarna oren.

Semua kertas yang berwarna dan tidak berwarna seperti suratkhabar, majalah, buku, panduan telefon, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat, kotak dan seumpamanya boleh dikitar semula. Tong kitar semula berwarna biru hendaklah digunakan untuk semua jenis kertas. Begitu juga semua plastik yang berwarna atau tidak berwarna seperti beg membeli-belah, beg pasaraya, botol minuman, botol air mineral, bekas makanan, bekas sabun, bekas vitamin dan seumpamanya boleh dikitar semula. Barangan berasaskan plastik perlu dimasukkan ke tong kitar semula berwarna oren.

Kitar semula akan mengurangkan jumlah barangan buangan dan ini akan mengurangkan keperluan serta jangka hayat tapak pelupusan sampah. Pencemaran juga dapat dikurangkan dan menyelamatkan penggunaan tenaga yang berlebihan. Dari segi jangkamasa panjang kitar semula lebih murah daripada penyelenggaraan tapak atau sistem pelupusan sampah yang lain. Paling penting kitar semula meningkatkan kebersihan dan kualiti hidup kita.

Oleh itu fikir dahulu sebelum membuang sampah. Segalanya perlu bermula dari rumah dan diri kita.

, , , ,

Posted by Azhad 15.10.07 6 comments

Tiga lelaki yang dilihat dalam rakaman CCTV berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin telah menghubungi polis. Mereka telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya untuk memberi penjelasan tentang tujuan mereka berhenti di hadapan kedai di mana mayat Nurin Jazlin ditemui.

Menurut Pengarah Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee, ketiga-tiga lelaki berkenaan memberi kerjasama yang baik dan kenyataan mereka telah direkodkan. Pihak polis juga tidak menahan mereka bagi membantu siasatan.

Sebelum itu pada 11 Oktober yang baru lalu pihak polis telah mempertontonkan dan mengedarkan salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat mayat Nurin Jazlin ditemui. Rakaman CCTV ini telah dihantar ke Makmal Forensik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk dilakukan proses "enhancement".

Rakaman pada 16 September 2007 pukul 1.00 petang itu menunjukkan seorang lelaki menaiki motosikal Modenas Kriss tiba dengan membawa beg Diadora berwarna biru hitam. Dia dilihat membuat panggilan telefon dan selepas itu mengangkat beg yang dipercayai mengandungi mayat Nurin Jazlin ke tepi bangunan. Lelaki itu kemudian terus meninggalkan tempat itu dengan motosikalnya. Sila ke laman video The Star Online untuk menyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Kira-kira sejam kemudian seorang wanita berbaju merah kelihatan mundar mandir di depan kedai berkenaan sebelum berdiri menunggu sesuatu di situ. Gambar lakaran wanita tersebut telah diedarkan oleh pihak polis sebelum ini. Sila ke laman video The Star Online untuk meyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Tidak lama kemudian sebuah kereta Perodua Kenari berwarna perak yang dinaiki oleh tiga orang lelaki kelihatan berhenti di hadapan kedai di tempat mayat Nurin Jazlin ditemui. Tiga orang lelaki yang berada di dalam kereta ini telah pun hadir ke balai polis untuk memberi keterangan. Walaupun begitu wanita berbaju merah yang turut beredar dari situ bersama-sama kereta yang sama belum lagi tampil ke hadapan. Sila ke laman video The Star Online untuk meyaksikan rakaman CCTV berkenaan.

Terkini :
Seorang wanita berbaju merah yang dapat dilihat di dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran tempat beg berisi mayat Nurin Jazlin ditemui telah hadir di Ibu Pejabat Polis Petaling pada hari Sabtu 20 Oktober lalu. Menurut Datuk Christopher Wan Soo Kee, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, pihak polis telah merekodkan keterangan wanita yang berumur 15 tahun itu dan berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan. Beliau juga menegaskan, ketika ini pihak polis memberi tumpuan kepada usaha mengesan lelaki yang membawa dan meletak beg Diadora di tepi tangga kedai di Taman Petaling Utama pada 16 September lalu.

, , ,

Posted by Azhad 14.10.07 0 comments

Salam Aidil Fitri kepada semua pembaca Nukilan Jejari Azhad. Pada bulan Ramadhan tahun ini pelbagai peristiwa telah berlaku tetapi yang paling mendapat perhatian ialah kes bunuh Nurin Jazlin dan penerbangan angkasawan negara yang pertama, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha. Keluarga arwah Nurin Jazlin khabarnya akan berhari raya di Selama, Perak manakala Dr Sheikh Muszaphar pula sudah pasti di angkasa.

Semoga bulan Ramadhan pada tahun ini kita telah sama-sama berjaya merebut peluang-peluang meningkatkan amal ibadah. Segala perubahan yang baik di bulan Ramadhan ini patutlah diteruskan ke bulan-bulan yang mendatang. Sesuatu perbuatan itu jika diteruskan pasti menjadi tabiat diri, tidak kira baik atau buruk.



Ekad : Portal E-Zakat

Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf jika ada sebarang penulisan di dalam blog ini yang menyinggung perasaan sesiapa. Di samping itu terima kasih juga kepada semua yang menjadi pengunjung dan pembaca blog ini. Bagi mereka yang akan balik kampung, berhati-hatilah semasa memandu.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri.

, , ,

Posted by Azhad 11.10.07 2 comments

Angkasawan Negara
Hari ini 10 Oktober 2007 pada pukul 9.21 malam, kapal angkasa Soyuz TMA-11 telah melonjak meninggalkan bumi dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan. Tiga orang penumpang di dalamnya ialah Komander Peggy A. Whitson dari Amerika Syarikat, Jurutera Penerbangan Yuri Malenchenko dari Russia dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Mereka akan menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa yang terletak lebih daripada 300km dari bumi.

Ini merupakan satu detik bersejarah kepada negara Malaysia kerana telah berjaya menghantar seorang rakyatnya ke angkasa lepas. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan berada di angkasa selama 10 hari, ini ternasuk 8 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa. Kapal angkasa Soyuz TMA-11 dijangka akan bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa pada 12 Oktober pukul 10.51 malam. Di situ nanti Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan mengadakan tiga ujikaji membabitkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa serta pengkristalan protein.

Dr. Sheikh Muszaphar Shukor - Angkasawan NegaraDr. Sheikh Muszaphar Shukor dilahirkan pada 27 Julai 1972 di Kuala Lumpur. Beliau telah belajar dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Maktab Rendah Sains MARA Muar, Johor. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mempunyai MBBS dari KMC Manipal, India dan Master in Orthopaedic Surgery dari HUKM. Sekarang ini bekerja di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia semenjak tahun 2005. Sebelum itu beliau pernah bertugas di Hospital Seremban (1998), Hospital Kuala Lumpur (1999) dan Hospital Selayang (2000-2001).

Beliau merupakan orang Islam ke sembilan ke angkasa dan yang pertama akan merayakan Aidil Fitri nun jauh dari bumi. Pada 1 Syawal nanti beliau akan menjamu 16 orang angkasawan lain di Stesen Angkasa Antarabangsa. Makanan yang dibawa untuk dihidangkan ialah biryani ayam, satay ayam, rendang tok, kepingan mangga kering, gulungan pisang, tempe, jeli halia, Roselle Granola bar dan kuih raya bangkit.

Beberapa isu juga telah timbul berkaitan dengan program angkasawan negara ini. Bermula dengan wang yang begitu banyak yang dibelanjakan untuk menjayakan program ini walaupun setelah pihak kerajaan memaklumkan bahawa kosnya merupakan sebahagian daripada perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30MKM bernilai RM3.42 bilion buatan Russia oleh Malaysia pada 5 Ogos 2003. Ini diikuti pula dengan pihak NASA yang hanya menyebut Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai "spaceflight participant" sahaja bukannya angkasawan.

Walau apapun pendapat anda, kita berdoalah supaya misi yang diikuti oleh Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ini akan berjalan dengan selamat dan lancar sehinggalah beliau balik ke bumi pada 21 Oktober nanti.

Program Angkasawan Negara

Angkasawan Negara

, , , ,

Posted by Azhad 10.10.07 5 comments

Siapakah yang sanggup mengedarkan beberapa gambar seorang kanak-kanak yang telah didera dan longlai tidak bernyawa lagi. Gambar-gambar yang mengaibkankan menunjukkan kesan-kesan kekejaman yang terpaksa ditanggung oleh seorang insan kecil yang tidak berdosa. Sesiapa yang mempunyai perasaan pasti tersentuh apabila melihat gambar-gambar tersebut, apatah lagi jika kaum keluarga terutama ibubapa beliau yang melihatnya.

Gambar-gambar bedah siasat Nurin Jazlin telah disebar melalui emel hari ini oleh orang tertentu. Penyebaran gambar-gambar tersebut menjadi meluas apabila ramai yang menerimanya telah menyebarkannya semula kepada kenalan masing-masing. Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar telah membuat laporan polis selepas melihat gambar-gambar yang disebarkan melalui emel itu.

Beliau memberi amaran keras kepada sesiapa yang mengedarkan gambar-gambar tersebut kerana mereka boleh didakwa mengikut Akta Rahsia Rasmi atau didakwa memiliki bahan-bahan lucah. Menurut beliau amaran ini ditujukan kepada anggota polis yang mempunyai akses secara langsung kepada gambar-gambar itu serta mereka yang ada menyimpan gambar itu sekarang, ini adalah seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Pihak keluarga arwah Nurin Jazlin juga ada membuat kenyataan melalui laman blog Nurin bahawa mereka juga akan membuat laporan polis dan memohon orang ramai menghentikan mengedarkan gambar-gambar tersebut. Oleh itu sesiapa yang telah atau akan menerima gambar-gambar tersebut tidak akan menyimpan atau menyebarkannya kepada orang lain.

Terkini : Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memaklumkan bahawa individu yang menyebarkan gambar bedah siasat Nurin Jazlin Jazimin telah dikenal pasti. Individu berkenaan telah pun ditangkap dan akan dihadapkan ke mahkamah. Maklumat lanjut berkenaan individu tersebut belum boleh didedahkan sehinggalah pihak polis telah sedia untuk mendakwanya. Berita penuh boleh dibaca di Bernama.

, , , ,

Posted by Azhad 9.10.07 0 comments

Selang beberapa hari lagi kita akan meninggalkan bulan Ramadhan ini. Semoga bulan yang mulia ini telah berjaya kita isi dengan pelbagai ibadah di samping berpuasa di siang hari. Di hari-hari yang berbaki di bulan Ramadhan ini, kita patut terus meningkatkan lagi amal ibadat walaupun sibuk dengan persiapan untuk menyambut Syawal.

Pada masa yang sama ambillah peluang minggu terakhir Ramadhan ini untuk menunaikan zakat fitrah. Berikut adalah kadar zakat fitrah mengikut negeri di Malaysia;

  • Wilayah Persekutuan RM 4.70
  • Negeri Sembilan RM 5.00
  • Johor RM 5.00
  • Selangor RM 5.20
  • Kedah RM5.00
  • Kelantan RM4.80
  • Melaka RM 4.70
  • Pahang RM 4.80
  • Perak RM 5.00
  • Perlis RM5.00 & RM6.00
  • Pulau Pinang RM5.00
  • Terengganu RM5.50, RM5.00 & RM4.80
  • Sabah RM5.20
  • Sarawak RM5.20
Sumber : Jabatan Wakaf, Zakat & Haji, Jabatan Perdana Menteri.

, , , , ,

Posted by Azhad 8.10.07 2 comments

Subscribe here