Detik masa terus berlalu tanpa ada sesiapa yang dapat menghalang maupun memperlahankannya. Cuba kita renungkan sebentar bagaimana masa yang telah berlalu itu kita habiskan. Berapakah umur anda sekarang? Apakah yang telah anda lakukan semasa zaman kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa anda? Apa pula perancangan anda untuk esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan dan seterusnya?

1430H ~ 2009M

Masa juga membawa kita melangkah masuk ke tahun 1430 Hijrah dan selang beberapa hari lagi tahun 2009 Masihi pula. Maal Hijrah disambut setiap tahun oleh umat Islam seluruh dunia dengan berbagai aktiviti begitu juga dengan tahun baru Masihi. Apa yang penting adalah penghayatan rohani dan jasmani untuk menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Walaupun kita merasa kita telah buat yang terbaik selama ini pasti masih ada ruang untuk meningkatnya. Masa yang kita ada ini terutama di waktu lapang dan sihat selalulah dimanfaatkan ke jalan yang diredhai oleh Yang Maha Esa.

Sebagai permulaan mungkin kita boleh membaharui azam atau kepada yang tidak ada azam jadikan saat ini untuk meletakkan satu azam sempena bermula tahun baru ini. Azam untuk berubah, azam untuk bergerak ke arah yang lebih baik daripada sebelum ini, azam untuk mencapai sesuatu yang kita inginkan.

Setelah azam itu ditetapkan maka kita telah pun mempunyai satu matlamat yang hendak dituju. Bagi memastikan azam itu tidak tinggal sekadar azam semata-mata, kita perlulah pula menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai matlamat yang ditetapkan itu.

Apabila destinasi telah ditentukan dan laluannya telah dirancangkan, insyaAllah azam kita itu akan tercapai. Cuma kuatkan iman dan tabahkan hati semasa menuju ke arahnya kerana pasti ada pelbagai godaan, gangguan dan rintangan yang terpaksa ditempohi.

Firman Allah ta'ala: “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, yang mengerjakan amal soleh, yang berpesan-pesan dengan kebaikan, dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.”

Nabi s.a.w. bersabda; “Berusahalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan berusahalah untuk Akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari.” - Sahih Muslim

Semoga bila tiba tahun 1431 Hijrah dan 2010 Masihi nanti, anda boleh menoleh kebelakang dan merasa satu kepuasan dalam menjalani kehidupan ini.

Selamat Tahun Baru...

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 29.12.08 1 comments

PC Fair 2008 pusingan ketiga dan terakhir untuk tahun ini telah pun bermula minggu lepas di lima buah bandar seluruh negara. Pesta jualan komputer anjuran Persatuan Industri Komputer dan Komunikasi Multimedia Malaysia (PIKOM) diadakan tiga kali setahun.

PC Fair 2008PC Fair 2008 yang pertama tahun ini telah diadakan dalam bulan April dan yang kedua pula pada bulan September yang lalu memberi kesempatan kepada yang ingin membeli barangan IT dengan tawaran harga istimewa.

PC Fair 2008 kali ketiga ini telah dimulakan pada hujung minggu lepas di Pulau Pinang, Sabah, Kedah, Perak dan Pahang.

Hujung minggu ini pula iaitu dari 12 hingga 14 Disember PC Fair 2008 akan diadakan di Kuala Lumpur, Melaka, Bintulu dan Batu Pahat.

Akhir sekali pada minggu berikutnya PC Fair 2008 akan berlangsung di Johor Bahru, Kangar dan Kluang.

Berikut adalah tarikh dan lokasi PC Fair 2008 kali ketiga dan terakhir bagi tahun ini;

5 - 7 Disember 2008

  • Penang International Sports Arena, Penang
  • Sabah Trade Centre, Kota Kinabalu, Sabah
  • Central Square, Sungai Petani, Kedah
  • Dewan SJK(C) Yuk Choy, Ipoh, Perak
  • Berjaya Megamall, Kuantan, Pahang
12 - 14 Disember 2008
  • KL Convention Centre, Kuala Lumpur
  • Mahkota Parade Melaka, Melaka
  • Dewan Suarah, Bintulu, Sarawak
  • Batu Pahat (BP) Mall, Batu Pahat, Johor
19 - 21 Disember 2008
  • Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru
  • Dewan 2020, Kangar, Perlis
  • Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang, Johor

Masuk adalah percuma dan dibuka dari pukul 11:00 pagi sehingga 9:00 malam.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 11.12.08 3 comments

Subscribe here