Sejumlah 86 kes telah dilaporkan di seluruh negara pada minggu ke 6 2009 (8 hingga 14 Februari 2009) iaitu penurunan sebanyak 23 kes (21%) jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya (109 kes). Daripada jumlah tersebut, seramai 55 (63.9%) pesakit Chikungunya telah mendapatkan rawatan pesakit luar dan selebihnya memerlukan rawatan di hospital. Tiada kes yang melibatkan kematian dilaporkan setakat ini.

86 kes yang dilaporkan adalah dari 81 lokaliti di 10 buah negeri iaitu Kelantan (27 kes), Selangor (20 kes), Perak (17 kes), Johor (7 kes), Pulau Pinang (4 kes), Perlis (3 kes), Pahang (3 kes), Terengganu (2 kes), WP Kuala Lumpur (2 kes), Putrajaya (1 kes).

1. Apa itu Penyakit Chikungunya?

Chikungunya adalah sejenis penyakit bawaan nyamuk.

Chikungunya pertama kali dikesan melalui ujian darah di Tanzania pada tahun 1953. Semenjak itu ia berlaku di negara-negara Afrika, Asia dan akhir-akhir ini ia berlaku di beberapa buah tempat di Negara Eropah. Ia endemik (selalu berlaku) di kebanyakan negara Sub Sahara Afrika, India, Asia Tenggara, Indonesia dan Filipina.

Ia bukanlah satu penyakit misteri yang tidak diketahui puncanya.

2. Bagaimana penyakit ini boleh berlaku?

Chikungunya adalah demam yang disebabkan oleh virus daripada genus Alphavirus di dalam keluarga Togaviridae.

3. Adakah ia berjangkit?

Ya. Virus Chikungunya berjangkit melalui gigitan nyamuk Aedes albopictus atau Aedes aegypti yang membawa virus tersebut. Nyamuk Aedes juga menyebarkan virus penyakit demam denggi.

4. Apakah masa pengeraman bagi Chikungunya?

Masa pengeraman bagi Chikungunya boleh menjangkau dari 3 hingga 12 hari tetapi pada kebiasaannya di antara dari 3 hingga 7 hari.

5. Apakah tanda-tanda dan gejala penyakit ini?

• Demam panas mengejut
• Sakit teruk pada sendi
• Ruam pada badan
• Sakit kepala

Seorang pesakit boleh demam dari dari 1 hingga 7 hari (kebiasaannya 5 hari).

Penyakit Chikungunya boleh disalah anggap sebagai demam denggi kerana tanda-tanda penyakit yang menyerupai demam denggi.

6. Adakah penyakit ini boleh membawa maut?

Di Malaysia, Chikungunya tidak pernah dilaporkan boleh menyebabkan pendarahan atau kematian. Tetapi, sesetengah pesakit mengalami gejala yang berpanjangan.

Pesakit yang berumur boleh mengalami kesakitan berulang pada sendi sehingga beberapa bulan atau tahun.

7. Apakah rawatan bagi penyakit ini?

Seperti penyakit-penyakit yang disebabkan oleh virus, ia tiada rawatan yang khusus. Selalunya rawatan diberi berdasarkan gejala klinikal yang dialami oleh seseorang pesakit.

Kebanyakan kes yang terjadi hanya memerlukan rawatan pesakit luar sahaja.

Tiada vaksin bagi penyakit ini.

8. Apakah yang perlu dilakukan jika dijangkiti penyakit?

Jika mengalami tanda-tanda dan gejala penyakit Chikungunya, orang ramai adalah dinasihatkan segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital terdekat.

9. Cara pencegahan penyakit Chikungunya

• Bersihkan kawasan rumah dan persekitaran supaya bebas daripada tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes. Ini boleh dilakukan melalui aktiviti gotong royong. Adalah terbukti tiada kes baru yang dilaporkan di kawasan-kawasan yang melakukan gotong- royong.
• Periksa rumah dan persekitaran sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk memastikan tiada pembiakan nyamuk Aedes.
• Dapatkan rawatan dengan segera di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mengalami tanda dan gejala penyakit.

10. Bolehkah kawasan saya dijangkiti penyakit Chikungunya?

Boleh, kerana penyakit ini dibawa oleh nyamuk Aedes albopictus dan Aedes aegypti yang terdapat di negara kita.

11. Tindakan Kementerian Kesihatan

Langkah–langkah kawalan yang telah diambil:
• Pengesanan kes secara aktif
• Melakukan kajian Aedes
• Semburan kabus dan ULV
• Aktiviti gotong-royong bersama masyarakat setempat
• Aktiviti promosi kesihatan
Kejadian penyakit ini adalah terkawal dan terhad kepada kawasan-kawasan tertentu sahaja.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:
Bilik Gerakan
Bahagian Kawalan Penyakit
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 3, Blok E10, Parcel E,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62590 Putrajaya
No. Tel. : 03-8881 0600 / 03-8881 0700

Sumber : Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia

Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 24.2.09 4 comments

Subscribe here