Showing posts with label alam. Show all posts
Showing posts with label alam. Show all posts

Pada hari Sabtu ini 28 Mac 2009 seluruh manusia di bumi ini layak untuk mengundi dan diseru untuk mengundi untuk memilih samada bumi atau pemanasan global. Ini merupakan lakaran pertama sejarah, seluruh umat sejagat di semua peringkat umur, kerakyatan, bangsa, latarbelakang mempunyai peluang untuk menggunakan suis lampu sebagai undi mereka. Memadamkan lampu adalah undi kepada bumi manakala membiarkan lampu menyala adalah undi kepada pemanasan global.

Kempen ini dipelopori oleh World Wide Fund For Nature (WWF) Australia dan akhbar Sydney Morning Herald pada 2007 di Bandaraya Sydney yang mana mendapat sokongan dari 2,100 syarikat dan menyaksikan 2.2 juta orang memadam lampu yang membawa kepada penjimatan tenaga sebanyak 10.2% dari kegunaan pada kadar biasa. Pada tahun 2008 kempen ini telah mendapat sokongan penduduk dunia yang lain dan menyaksikan sokongan penyertaan lebih 50 juta orang di lebih 370 bandar dari 35 negara.

Melalui kempen ini, orang ramai diminta memadamkan suis lampu atau kelengkapan elektrik yang lain bagi tempoh sejam. Ini bertujuan meningkatkan kesedaran perlunya tindakan segera diambil dalam menghadapi perubahan iklim dunia.

Pada tahun ini penganjur Earth Hour 2009 mengajak penduduk dunia mengundi bumi bagi mencapai sasaran satu bilion undi yang akan dibentangkan kepada pemimpin dunia di Persidangan Perubahan Iklim Global (Global Climate Change Conference), di Copenhagen, Denmark, tidak lama lagi. Persidangan itu bakal menentukan polisi kerajaan untuk bertindak terhadap ancaman pemanasan global menggantikan Protokol Kyoto.

Inilah peluang bagi penduduk dunia menyatakan suara hati mereka. Undi yang diberi kepada bumi adalah seruan kepada penduduk dunia melakukan sesuatu demi menjamin masa depan planet ini. Mengikut laporan yang dikeluarkan WWF tahun lalu, kesan pemanasan global sekarang lebih cepat berkembang daripada apa yang diramal kumpulan saintis terkemuka dunia.

Kempen 60 Earth Hour : Vote For Earth buat pertama kalinya diperkenalkan di Malaysia pada tahun ini. Mereka yang bercadang untuk turut serta memadamkan lampu dijemput untuk membuat pendaftaran di laman web Earth Hour Malaysia. Pendaftaran ini akan membantu pihak WWF mengira jumlah undi untuk Bumi.

Setakat ini, 1,189 bandar raya dan bandar di 80 negara memberi komitmen untuk menyertai kempen ini. Sementara itu, pengurus kanan perhubungan korporat Tabung Alam Sekitar Sedunia-Malaysia (WWF-Malaysia) S. Devan berkata lebih 100 perbadanan dan beribu-ribu isi rumah di Malaysia telah berikrar akan menyertai kempen ini juga.

Di antara bangunan dan tempat yang telah memberi makluman akan memadamkan lampu yang tidak penting selama sejam dari 8.30 malam hingga 9.30 malam pada 28 Mac ini adalah KL Sentral, Menara Berkembar Petronas, Putrajaya, Angkasapuri, Bangunan Sultan Abdul Samad, Menara Kuala Lumpur, Jambatan Pulau Pinang, Sunway Intergrate Resort , Mid Valley Megamall, Bangunan DBKL dan Dataran Merdeka.

Rangkaian Radio Media Prima yang terdiri daripada Hot FM, Fly FM dan One FM turut menyumbangkan inisiatif untuk kempen Earth Hour ini. Ketiga-tiga stesen ini mengambil langkah untuk menghentikan siaran selama sejam dalam tempoh kempen tersebut.
8TV juga telah mengambil keputusan untuk mematikan waktu siaran perdana mereka pada 28 Mac 2009 nanti dari jam 8.30 hingga 9.30 malam supaya dapat memberikan impak yang lebih besar kepada masyarakat. Ini sekaligus menjadikan 8TV sebagai stesen televisyen pertama yang mengambil tindakan sedemikian.

Kempen Earth Hour ini juga akan berlangsung di beberapa lokasi dengan pelbagai aktiviti telah pun diatur. Di antaranya di Capital Square, Sunway Pyramid, Dataran Merdeka, Sunrise Mont Kiara, Starhill Gallery, IOI Group, Island Plaza, Green Heights Mall, Starbuck dan I-City.

Semoga kempen Earth Hour ini akan memberi kesan lebih daripada setakat satu jam itu sahaja. Bermula daripada sini diharap akan tercetus kesedaran di kalangan masyarakat bahawa kita perlu prihatin dengan keadaan bumi sekarang. Kehidupan seharian bolehlah dilalui dengan mengelak daripada membuat sesuatu yang mengancam bumi. Ini termasuklah usaha kitar semula perlu dilaksanakan dengan lebih menyeluruh dan bersungguh-sungguh oleh semua pihak.

Sign up for Earth Hour

Maklumat lanjut tentang Earth Hour 2009 dan cara untuk menyertainya boleh didapati dengan melayari www.earthhour.org/malaysia.
Technorati Tags: , , , ,
Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 26.3.09 4 comments

Nur Umaisarah Sameaun, 21, pelajar tahun akhir Diploma Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis menjadi perhatian orang ramai apabila beliau hilang semasa sedang menuruni Gunung Tahan pada 7 Februari 2008 lalu. Nur Umaisarah atau lebih dikenali sebagai Umai telah dijumpai 19 hari kemudian pada pukul 6.30 petang oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kuala Sungai Putih, Jerantut.

Nur Umaisarah Sameaun @ UmaiUmai adalah salah seorang daripada kumpulan 36 pelajar termasuk pegawai pengiring yang menyertai program ekspedisi Gunung Tahan unit beruniform Komander Kesatria anjuran UiTM. Mereka telah mendaki Gunung Tahan pada 5 Februari serta bermalam di Kem Kor dan pada hari kedua, mereka mendaki lagi dan bermalam di Kem Botak sebelum meneruskan pendakian ke puncak keesokannya dan terus turun ke Kem Kor semula untuk pulang. Kehilangan Umai hanya disedari rakan-rakan ketika mereka tiba di Kem Kor dari puncak gunung, kira-kira jam 11 pagi, 7 Februari.

Usaha mencari Umai telah dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak dengan jumlah keseluruhan anggota operasi melebihi 150 orang termasuk Senoi Praaq, Unit Udara Polis, Pasukan Gerak Am (PGA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Unit Komando Polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Komando 69 dan unit pengesan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Umai akhirnya telah dijumpai 19 hari kemudian pada pukul 6.30 petang oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama dua pelancong Rusia di Kuala Sungai Putih, Jerantut. Selepas ditemui Umai telah dibawa ke Kem Kuala Sungai Putih dekat Jerantut, sebelum diterbangkan dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dari Jerantut dan tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan jam 10.30 pagi keesokan harinya.

Ketika dijumpai oleh renjer berkenaan, Umai berada dalam keadaan lemah dan kelaparan tetapi sihat, malah pakaian yang dipakainya kelihatan bersih. Jarak Umai ditemui ialah kira-kira 30 kilometer dari lokasi beliau sesat dan agak jauh dari lokasi operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan.

Umai yang menerima rawatan di Wad DiRaja HTAA, atas ihsan Sultan Pahang kelihatan kurus dan cengkung, disahkan doktor dalam keadaan sihat dan stabil, tetapi mengalami luka dan calar pada badan, lengan serta kaki.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 28.2.08 4 comments

Hujung tahun menjelma lagi begitu juga dengan air yang melimpah ke dalam rumah-rumah di negeri Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Pada tahun lepas kita telah dikejutkan dengan banjir besar yang melanda negeri Johor yang mengakibatkan kerugian besar termasuk harta benda dan nyawa. Bagi meringankan kesusahan yang dihadapai oleh mangsa banjir, semua pihak sudah lebih bersedia kali ini untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Setakat semalam di Johor, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini ialah seramai 13,945 orang daripada 3,353 keluarga. Sementara di Terengganu, jumlah mangsa banjir ialah 260 orang daripada 63 keluarga. Manakala di Kelantan pula jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan ialah seramai 2,600 orang. Di Pahang, bilangan penduduk di negeri itu yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan kini mencecah 10,097 orang.

Jumlah korban semasa musim banjir setakat semalam adalah 10 orang. Diharapkan angka ini tidak meningkat lagi. Apa yang penting ialah semua pihak mengetahui apa yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan situasi banjir ini bagi meminimakan risiko kerosakan dan kehilangan harta-benda serta nyawa.

Berikut adalah adalah panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa;

Persediaan menghadapi banjir

* Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda seperti sistem amaran banjir dan lokasi pusat pemindahan
* Periksa dan bersihkan semua lubang air semada longkang atau saluran perparitan
* Pastikan seluruh ahli keluarga mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan

Tindakan semasa banjir

Di dalam rumah

* Dengar pengumuman dari radio dan televisyen
* Simpan air bersih
* Bawa masuk perabut dari luar rumah
* Simpan dokumen penting di tempat yang selamat
* Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas
* Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan
* Ikut laluan yang ditentukan

Di luar rumah

* Berpindah awal dan semasa hari siang, ianya lebih mudah dan selamat
* Pergi ke tempat tinggi dan selamat
* Jangan bersiar-siar di kawasan banjir
* Jangan sentuh kabel atau wayar yang jatuh
* Jangan minum air yang tercemar
* Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan
* Awasi kanak-kanak

Tindakan selepas banjir

* Jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan
* Beri bantuan kepada jiran atau orang kurang upaya
* Jangan terus memasuki rumah. Periksa kerosakan dinding, lantai, siling, pintu dan tingkap.
* Lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan
* Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan di lantai rumah. Periksa kehadiran binatang atau serangga berbisa dan berbahaya
* Periksa paip saluran gas, wayar elektrik, peralatan elektrik dan bahan-bahan mudah terbakar.
* Periksa kerosakan tangki septik
* Buang bahan-bahan makanan dan minuman yang terendam
* Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak berkuasa

Jika kenderaan anda terperangkap di dalam banjir

* Kurangkan kelajuan kenderaan anda ketika hujan
* Nyalakan lampu kerana ini membolehkan anda melihat dengan lebih jelas
* Pilih laluan yang lebih selamat
* Jangan melalui jalan yang sedang dinaiki air
* Jangan memandu di dalam keadaan hujan yang terlalu lebat
* Berhenti di tempat yang selamat dan nyalakan lampu isyarat kecemasan (hazard light)
* Ikut arahan pihak berkuasa
* Jika enjin kenderaan anda mati di tengah banjir, keluar segera dan beredar ke kawasan yang lebih tinggi
* Jangan cemas dan bersedialah untuk meninggalkan kenderaan anda
* Segera tinggalkan kenderaan anda apabila keadaan bertambah buruk
* Segera ke tempat yang tinggi dan dapatkan bantuan
* Hubungi polis atau bomba untuk mendapatkan bantuan
* Ingat, tindakan awal dapat menyelamatkan nyawa anda dan orang yang disayangi


Berikut pula adalah panduan penjagaan kesihatan semasa banjir;

• Sentiasa minum air yang telah dimasak
• Makan makanan yang dimasak sahaja. Elakkan memakan makanan mentah seperti sayur-sayuran yang belum dimasak dan ulam-ulaman
• Tudung semua makanan dan jangan makan makanan yang terdedah
• Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling
• Basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas
• Guna tandas yang sempurna
• Buang sampah di tempat yang betul
• Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor
• Dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami cirit-birit dan muntah-muntah

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 12.12.07 1 comments

Setiap hari kita membuang sampah dan sampah ini akan dilupuskan oleh pihak yang berkuasa untuk memastikan kebersihan terus terjaga. Kos untuk melupuskan sampah ini pula mencecah berjuta-juta ringgit Setiap tahun jumlah sampah yang dibuang oleh orangramai akan terus meningkat dan kawasan pelupusan sampah pula semakin penuh. Dalam sehari kita menghasilkan lebih daripada 16,000 tan sampah setiap hari.

Blog Action Day Kita boleh membantu mengurangkan jumlah sampah yang dibuang dengan melakukan kitar semula. Sebelum boleh melakukan kitar semula, kita perlu tahu jenis sampah yang boleh dikitar semula. Sampah kitar semula boleh dibahagikan kepada 4 jenis iaitu kaca, plastik, kertas dan aluminium. Setelah diasingkan sampah ini boleh di hantar ke pusat kitar semula atau ke pusat pungutan atau dimasukkan ke dalam tong sampah khas kitar semula.

Semua bekas kaca yang berwarna atau jernih termasuk botol minuman, bekas makanan, botol vitamin, bekas alat solek dan seumpamanya boleh dikitar semula. Barangan kaca perlu dimasukkan ke dalam tong kitar semula berwarna coklat. Manakala semua jenis tin aluminium dan besi seperti tin minuman dan tin makanan juga boleh dikitar semula. Barangan berasaskan kaca ini perlu dimasukkan ke dalam tong kitar semula berwarna oren.

Semua kertas yang berwarna dan tidak berwarna seperti suratkhabar, majalah, buku, panduan telefon, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat, kotak dan seumpamanya boleh dikitar semula. Tong kitar semula berwarna biru hendaklah digunakan untuk semua jenis kertas. Begitu juga semua plastik yang berwarna atau tidak berwarna seperti beg membeli-belah, beg pasaraya, botol minuman, botol air mineral, bekas makanan, bekas sabun, bekas vitamin dan seumpamanya boleh dikitar semula. Barangan berasaskan plastik perlu dimasukkan ke tong kitar semula berwarna oren.

Kitar semula akan mengurangkan jumlah barangan buangan dan ini akan mengurangkan keperluan serta jangka hayat tapak pelupusan sampah. Pencemaran juga dapat dikurangkan dan menyelamatkan penggunaan tenaga yang berlebihan. Dari segi jangkamasa panjang kitar semula lebih murah daripada penyelenggaraan tapak atau sistem pelupusan sampah yang lain. Paling penting kitar semula meningkatkan kebersihan dan kualiti hidup kita.

Oleh itu fikir dahulu sebelum membuang sampah. Segalanya perlu bermula dari rumah dan diri kita.

, , , ,

Posted by Azhad 15.10.07 7 comments

Subscribe here