3.1.08
at
11:23 AM
Posted by
Azhad
Tahun 2007 telah pun berlalu dengan berbagai peristiwa suka duka di seluruh dunia. Selain perkara yang mendapat perhatian seluruh negara, setiap kita pasti mempunyai peristiwa penting bagi diri kita. Mungkin ianya tidak memberi sebarang makna kepada orang lain tetapi ianya amat bererti dalam hidup kita. Tidak kira samada sedih atau gembira setiap kejadian itu akan menambahkan pengalaman dan kematangan diri kita.
Tidak dinafikan pada tahun 2007 terdapat banyak peristiwa yang mendukacitakan. Walaupun begitu diharap kejadian-kejadian tersebut telah membuka mata mereka yang bertanggungjawab untuk menghindarkannya daripada berulang dan membaiki kekurangan yang ada. Orang ramai juga boleh memainkan peranannya, sebagai contoh usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak yang perihatin untuk mewujudjan Nurin Alert.
Di antara peristiwa yang mendapat perhatian umum di tahun 2007 adalah seperti berikut;
- Nahas Helikopter Nuri - Seramai enam orang pegawai dan anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) telah terkorban apabila sebuah helikopter Nuri milik TUDM terhempas di Gunung Bunga Buah, Karak berhampiran Hutan Genting Sempah, Pahang.
- Nahas Bas Ekspress - Seramai 22 orang maut dalam nahas bas ekpress Super Express milik SKBG di kilometer 229 Lebuhraya Utara Selatan berdekatan Bukit Gantang, Taiping, Perak.
- Korban LIMA'07 - Seramai 3 orang anggota tentera maut dan 11 orang lagi cedera apabila terjunan mereka tersasar ketika menjalani latihan untuk pertunjukan Pameran Antarabangsa Udara dan Maritim Langkawi 2007 di Langkawi.
- Angkasawan Negara - Dr Sheikh Muszaphar Shukur Sheikh Mustapha telah menjadi rakyat Malaysia pertama meneroka angkasa apabila beliau berjaya sampai di Stesen Angkasa Antarabangsa dengan menaiki Soyuz 15-S.
- 50 Tahun Merdeka - Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaannya yang ke 50 pada 31 Ogos dengan tema Malaysiaku Gemilang.
- Eric Chia Bebas - Bekas Pengarah Urusan Perwaja Steel Sdn Bhd, Tan Sri Eric Chia Eng Hock telah dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pecah amanah RM76.4 juta tanpa dipanggil membela diri.
- Muhammad Nazrin @ Yin - Kanak-kanak yang berumur 5 tahun ini telah hilang semasa membeli belah di Kompleks Membeli Belah Sogo bersama ibubapanya dan dijumpai semula selepas 15 hari.
- Nurin Jazlin Jazimin - Kanak-kanak berumur 8 tahun ini telah hilang semasa pergi ke pasar malam berhampiran rumahnya. Mayatnya telah dijumpai di dalam sebuah beg sukan dan didapati telah mengalami penderaan seks.
- Preeshena Varshiny - Kanak-kanak 9 tahun ini telah dirogol dan kemudiannya dicampak dari rumahnya di Kondominium Casamila Tower, Batu Caves.
- Banjir - Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu telah dilanda banjir walaupun begitu kali ini semua pihak lebih bersedia menghadapinya berbanding tahun sebelumnya.
- Feri Terbakar - Seramai 7 orang penumpang feri Seagull Express yang dalam perjalanan bersama 100 orang penumpang dari Mersing ke Pulau Tioman telah maut apabila feri yang mereka menaiki terbakar di tengah laut.
Jadikan setiap peristiwa yang telah dilalui sepanjang tahun lalu sebagai panduan dan ikhtibar untuk kita membaiki kelemahan dan kekurangan diri kita serta memantapkan kelebihan dan kekuatan yang ada. Semoga tahun 2008 ini akan lebih baik daripada tahun 2007, insyaAllah.
Technorati Tags: nukilan, azhad, imbasan, sejarah, peristiwa, 2007
Read More...
Summary only...
1.12.07
at
12:18 AM
Posted by
Azhad
Kini telah tiba bulan yang terakhir bagi tahun 2007. Para pelajar semuanya sedang bercuti ketika ini. Begitu juga yang bekerja ada yang mengambil kesempatan musim cuti sekolah ini untuk menghabiskan cuti tahunan yang tidak boleh dibawa ke tahun hadapan. Mereka yang bekerja sendiri pula pun tidak ketinggalan yang bercuti supaya dapat bersama-sama dengan anak-anak. Secara amnya memang ramai yang bercuti di hujung tahun ini.
Tidak kiralah status anda samada sudah berkeluarga maupun masih bujang, cuti patutlah dirancang supaya kita akan mendapat memanfaatkannya dengan baik. Salah satu perkara yang patut dipertimbangkan ialah bagaimana masa cuti ini boleh mengeratkan ikatan kekeluargaan. Bagi ibubapa yang bekerja, semasa anak-anak bercuti inilah peluang untuk bersama-sama mereka dengan lebih mesra lagi.
Untuk bersama-sama anak-anak tidak semesti dilakukan dengan pergi bercuti ke tempat-tempat percutian atau peranginan sahaja. Malah di rumah juga boleh dilakukan berbagai aktiviti bersama sepanjang satu hari bercuti.
Bagi yang beragama Islam mungkin boleh dimulakan dengan sembahyang subuh berjemaah dan juga empat waktu sembahyang yang berikutnya. Selepas itu pastikan setiap waktu makan bermula dari sarapan dilakukan bersama-sama. Masa yang lain hendaklah diisikan dengan aktiviti yang melibatkan semua orang; ibu, bapa dan semua anak-anak. Sebenarnya jika kita pandai mengatur masa dan aktiviti harian, memang banyak yang boleh dilakukan bersama-sama seperti yang pernah saya tulis terdahulu di ikatan kekeluargaan.
Bagi yang bujang pula janganlah bila bercuti hanya hendak menghabis masa bersama-sama kekasih hati atau kawan-kawan sahaja. Apa kata kalau berpakat dengan adik beradik lain untuk mengambil cuti pada masa yang sama dan berkumpul ramai-ramai. Mungkin boleh diaturkan untuk pergi berkelah dan bersantai bersama-sama. Selain itu boleh juga berkumpul di rumah ibubapa atau salah seorang adik beradik. Selain merapatkan hubungan ibubapa dengan anak-anak, ikatan persaudaraan antara adik-beradik, biras dan sepupu juga boleh terus disemai.
Dewasa ini dengan masalah disiplin pelajar dan gejala sosial yang berleluasa di kalangan remaja salah satu cara untuk mengatasinya ialah dengan memperkukuhkan institusi keluarga. Jika setiap unit keluarga itu dianggotai oleh ahli yang baik sudah tentu akan menjurus kepada membentuk satu masyarakat yang harmoni.
Bilakah kali terakhir anda berkumpul bersama-sama ibubapa dan adik beradik selain semasa hari raya?
Technorati Tags: nukilan, azhad, cuti, sekolah, keluarga
Read More...
Summary only...
12.11.07
at
12:33 PM
Posted by
Azhad
Tarikh 10 November 2007 pasti menjadi satu lagi catatan peristiwa yang mencorak kancah politik di Malaysia. Gelombang kuning yang bergerak pada hari Sabtu lepas memberi satu gambaran tentang apa yang diinginkan oleh sebahagian rakyat Malaysia. Perhimpunan Rakyat Aman di Dataran Merdeka ini dianjurkan oleh Bersih. Bersih merupakan gabungan beberapa parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang menuntut satu proses piliharaya yang bersih dan adil.
Perhimpunan Rakyat Aman atau Perhimpunan Bersih mengikut perancangan awalnya ialah berkumpul di Dataran Merdeka sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyerah satu memorandum kepada Yang DiPertuan Agong. Pihak polis telah membuat kawalan ketat dengan tidak membenarkan orang ramai masuk ke kawasan Dataran Merdeka. Beberapa sekatan jalan raya juga telah dibuat di jalan-jalan menuju ke ibukota. Memorandum berkenaan hanya dapat diserahkan kepada Pegawai Istana di hadapan Istana Negara. Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah, Lim Kit Siang, Salahuddin Ayub dan Azmin Ali antara yang berada di hadapan Istana Negara.
Untuk membaca cerita lanjut atau melihat gambar serta video mengenai apa yang telah berlaku pada 10 November, sila layari laman web www.bersih.org serta carian perkataan dan tag BERSIH di Technorati.
Menurut Gabungan Tuntutan Pilihan Raya Bersih dan Adil, Perhimpunan Bersih ini diadakan bertujuan menuntut sebuah pilihan raya yang bersih dan adil. Bagi mencapai maksud itu empat perkara telah dituntut untuk dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya iaitu;
1. Penggunaan dakwat kekal yang dicelup ke jari pemilih berdaftar yang telah selesai membuang undi. Ia bagi mengelakkan pemilih sama mengundi berulangkali.
2. Pembersihan daftar pemilih daripada nama-nama yang tidak sayugia wujud. Ia termasuk apa yang disifatkan sebagai 'pengundi hantu', pemilih yang telah mati dan seumpamanya. Ia bagi mengelakkan sebarang kecenderungan penyalahgunaan nama terbabit atau penipuan oleh mana-mana pihak yang bertanding.
3. Pemansuhan undi pos. Pelaksanaan undi pos boleh dipertikaikan ketelusannya, terutama melibatkan dakwaan pemaksaan undi oleh pegawai atasan dan penipuan kertas undi yang sukar dibuktikan.
4. Akses kepada media yang lebih adil dan saksama bagi parti-parti pembangkang. Media massa cetak mahu pun elektronik sepatutnya bersikap lebih demokratik dan memberi ruang seadilnya kepada kesemua parti untuk menyatakan pandangan dan mesej masing-masing.
Ada di antara kita yang mungkin bersetuju dan juga tidak setuju dengan empat tuntutan di atas. Malah mungkin ada dikalangan kita yang bersetuju dengan empat tuntutan ini tetapi tidak berkenan dengan cara tuntutan itu dibuat. Ini semua bergantung kepada maklumat dan pengalaman yang kita ada tentang pilihanraya dan suasana politik di negara ini. Walau apapun pendirian kita mestilah disandarkan dengan ilmu supaya keputusan yang dibuat itu dapat disokong dengan fakta.
Jeff Ooi di blog beliau Screenshots ada menulis tentang Gelombang Kuning, detik-detik perhimpunan dan laporan berita utama serta Al-Jazeera, temuramah telefon Menteri Penerangan oleh Al-Jazeera dan carian Bersih di internet.
Technorati Tags: nukilan, azhad, perhimpunan bersih, rakyat aman, bersih
Read More...
Summary only...
5.11.07
at
6:13 PM
Posted by
Azhad
Ketika semua orang ternanti-nanti tertangkapnya pembunuh Nurin Jazlin, masyarakat telah dikejutkan pula dengan kematian Preeshena Varshiny seorang kanak-kanak berumur 9 tahun pada hari Khamis lepas di Kondominium Casa Mila Tower, Jalan Bukit Idaman, Selayang. Mayatnya telah ditemui oleh pengawal keselamatan di tingkat bawah kondominium berkenaan. Semasa kejadian anak kedua ini tinggal berseorangan di rumah ketika ibubapanya keluar bekerja. Abangnya pula berada di asrama sekolah dan adiknya dihantar ke rumah pengasuh kanak-kanak.
Menurut bapa Preeshena Varshiny yang bekerja sebagai pengurus pemasaran dan teknikal, pada hari Rabu anak perempuannya itu ada menelefon memberitahu ada orang mengentuk pintu dengan kuat. Dia telah berpesan kepada anaknya supaya tidak membuka pintu kerana dia ada kunci dan boleh masuk ke rumah sendiri bila balik dari kerja. Bapa mangsa percaya bahawa anaknya telah membuka pintu rumah mereka di tingkat 9 pada hari kejadian sebelum penjenayah itu membawa keluar secara paksa anaknya ke unit lain. Bapa Preeshena Varshiny juga percaya orang yang membunuh anaknya telah mengintip pergerakan mereka sekeluarga.
...dirogol dan diliwat...
Laporan forensik mendapati Preeshena Varshiny murid tahun 3 Sekolah Kebangsaan St Mary, Selayang cedera di kepala, patah tangan kanan, lebam pada dada dan belakang. Mangsa juga telah dirogol dan diliwat sebelum dicampak dari atas Kondominium Casa Mila Tower. Sungguh kejam dan tidak berhati perut orang yang sanggup melakukan jenayah ini. Setakat ini tiada sesiapa yang ditangkap berhubung kes ini. Penduduk setempat diminta menghubungi talian RakanCop di 03-2115 9999 atau hantar sms kepada 32728 untuk sebarang maklumat yang boleh membantu pihak polis.
Sila baca juga blog Tembam yang menulis tentang pembunuhan kejam Preeshena Varshiny ini.
Nampaknya tiada lagi tempat yang selamat bagi seorang kanak-kanak walaupun di kawasan yang berpengawal dan rumah yang berkunci. Orang yang tidak mempunyai perasaan dan perikemanusian ini sentiasa mencari peluang terhadap kanak-kanak yang bersendirian. Orang ini juga amat berani dan tidak takut jika dirinya dilihat oleh orang ramai kerana begitu yakin tidak akan berjaya ditangkap oleh pihak polis.
Maka ibubapa mestilah lebih waspada mengawasi anak masing-masing. Di samping itu masyarakat juga mestilah sama-sama memastikan kawasan persekitaran mereka selamat dengan mengambil tahu tentang jiran-jiran dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan. Pihak berkuasa pula perlu bertindak lebih aktif untuk memastikan pembunuh kanak-kanak ini dapat dikesan sebelum lebih ramai lagi yang menjadi mangsa.
Terkini :
6 Nov 2007 - Empat orang lelaki warga asing telah ditangkap dan ditahan reman sehari selepas Preeshena Varshiny dijumpai mati. Mereka yang dalam lingkungan umur 20an ini adalah pekerja kedai serbanika di dalam kawasan Kondominium Casa Mila Tower itu sendiri. Difahamkan pihak polis juga telah mengambil DNA para pengawal keselamatan dan pekerja am yang bekerja di kondominium berkenaan.
9 Nov 2007 - Empat lelaki warga asing ini telah dibebaskan setelah pihak polis berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan. Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Senior Assiten Komisioner I Mohmad Salleh, mereka didapati tidak terlibat dengan kes Preeshena Varshiny yang dirogol dan diliwat sebelum dicampak ke bawah kondominium. Walaupun begitu mereka kini di tahan di bawah akta imigresen kerana tidak mempunyai permit kerja yang sah.
23 Nov 2007 - Sampel DNA 26 pengawal keselamatan dan 5 pekerja am di kondominium berkenaan telah diambil bagi membantu siasatan polis. Difahamkan sampel DNA berkenaan diuji untuk dipadankan dengan sampel air mani yang ditemui di lokasi Preeshena dipercayai dirogol serta diliwat.
Technorati Tags: nukilan, azhad, bunuh, preeshena varshiny
Read More...
Summary only...
4.11.07
at
11:58 PM
Posted by
Azhad
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil telah membawa usaha untuk Nurin Alert menjadi satu kenyataan semakin cerah. Ini berikutan Nurin Alert akan dimasukkan di dalam kandungan draf Dasar Perlindungan Kanak-kanak yang akan dibentangkan kepada Kabinet. Menurut beliau, kementerian berhasrat menjadikan mekanisme itu sebagai sistem khas atau alternatif dalam mengesan dan memberi amaran awal jika ada kes kanak-kanak hilang. Terima kasih!!
Nationwide Urgent Response Information Network
Nurin Alert atau
Nationwide
Urgent
Response
Information
Network Alert sekarang maju setapak lagi kearah kewujudannya. Mereka yang terlibat dengan Nurin Alert ini pasti gembira dengan penglibatan secara langsung Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam proses ini. Diharap konsep Nurin Alert ini akan dapat diterima oleh kabinet supaya ianya dapat bergerak peringkat yang berikutnya dengan segera.
nukilan,
azhad,
nurin alert
Read More...
Summary only...
2.11.07
at
4:56 PM
Posted by
Azhad
Selepas menulis tentang Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan, tergerak dihati untuk mengetahui jumlah kemalangan dan kematian yang telah berlaku sepanjang tahun 2007. Lebih-lebih lagi untuk melihat seteruk mana kemalangan dan kematian yang melibatkan motosikal di Malaysia ini. Memang tidak dapat dinafikan motosikal merupakan kenderaan yang paling banyak terlibat dalam kemalangan dan kehilangan nyawa.
Pada tahun 2006 jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya adalah seramai 6,287 orang. Dari jumlah ini penunggang dan pembonceng motosikal sahaja melibatkan 3,693 orang atau 58.7%. Sementara itu bagi tahun ini sehingga September 2007 jumlah keseluruhan kematian akibat kemalangan jalan raya ialah 4,646 dan penunggang serta pembonceng motosikal sahaja ialah 2,476 atau 53.3%.
Bagi kategori lain setakat September 2007, jumlah kematian yang melibatkan pemandu dan penumpang kereta ialah seramai 1,113 (24%), pejalan kaki 482 (10.4%), penunggang dan pembonceng basikal 141 (3%)pemandu dan kelindan lori 145 (3.1%), pemandu dan kelindan van 101 (2.1%), pemandu dan kelindan pacuan 4 roda 65 (1.4%), pemandu dan penumpang bas 64 (1.4%) dan kenderaan lain 59 (1.3%). Menurut perangkaan bagi 2005 kadar kematian jalan raya adalah 4.2 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan bagi 2006 3.95 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar.
Perangkaan Kematian Jalan Raya
Kategori
| 2006
| Jan-Sept'06
| Jan-Sept'07 |
Pemandu/Penumpang Kereta
| 1,215
| 920
| 1113
|
Penunggang/Pembonceng Motosikal
| 3,693
| 2,736
| 2,476
|
Pejalan Kaki
| 595
| 438
| 482
|
Penunggang/Pembonceng Basikal
| 242
| 183
| 141
|
Pemandu/Penumpang Bas
| 39
| 26
| 64
|
Pemandu/Kelindan Lori
| 229
| 174
| 145
|
Pemandu/Kelindan Van
| 103
| 73
| 101
|
Pemandu/Kelindan Pacuan 4 Roda
| 110
| 73
| 65
|
Lain-lain
| 61
| 48
| 59
|
JUMLAH
| 6,287
| 4,671
| 4,646
|
Sumber : PanduCermat
Bagaimanakah jumlah kemalangan dan kematian ini boleh dikurangkan dimasa akan datang? Apakah punca kemalangan jalan raya ini boleh berlaku? Pihak berkuasa boleh mengadakan undang-undang dan menguatkuasakannya, di mana mereka yang tertangkap akan dihukum. Berbagai kempen dan program boleh diatur untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya. Didikan di sekolah dan di rumah juga perlu seiring dalam usaha untuk menjadikan jalan raya lebih selamat.
Pihak kerajaan telah menubuhkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya dengan misi menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai tahap keselamatan jalanraya setaraf dengan negara maju menjelang 2010 iaitu 10 kematian setiap 100,000 penduduk, 2 kematian setiap 10,000 kenderaan berdaftar dan 10 kematian setiap satu billion kilometer perjalanan kenderaan. Objektif jabatan ini diwujudkan adalah sebagai "One Stop Agency" bagi memantau dan menyelaras program keselamatan jalanraya dari aspek Pendidikan, Penguatkuasaan, Kejuruteraan dan Persekitaran.
Walaupun begitu akhirnya bergantung kepada kesedaran dan sikap para pengguna jalan raya itu sendiri. Rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat ramah mesra dan berbudi pekertinya tetapi kenapa apabila menggunakan jalan raya bertukar menjadi kurang ajar dan tidak bertimbang rasa? Adakah sistem pendidikan kita yang terlalu menjurus kepada peperiksaan telah mengabaikan aspek-aspek sahsiah diri seorang itu? Mungkin juga ibubapa gagal memupuk nilai-nilai murni kehidupan kepada anak-anak? Sebelum menuding jari kepada sesiapa, cuba kita periksa dulu diri kita, bagaimanakah cara pemanduan kita?
Technorati Tags: nukilan, azhad, statistik, kemalangan, jalanraya
Read More...
Summary only...
30.10.07
at
11:03 AM
Posted by
Azhad
Hari Raya Aidil Fitri masih lagi meriah disambut terutama dengan majlis rumah terbuka dihujung minggu. Sementara itu Ops Sikap XIII telah pun berakhir dengan mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 15,911 berbanding 15,716 semasa Ops Sikap XI pada hari raya tahun lepas. Jumlah kematian semasa Ops Sikap XIII pula ialah seramai 225 orang di mana 53.8% atau 121 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.
Ini jelas menunjukkan bahawa korban terbesar di jalan raya sepanjang Ops Sikap XIII ialah mereka yang menggunakan motosikal. Begitu juga jika angka kemalangan dan korban untuk sepanjang tahun di semak pasti penunggang dan pembonceng motosikal mewakili jumlah yang tertinggi. Sebahagian besar mereka ini pula terdiri daripada remaja dan belia yang akan menjadi penyumbang kepada kemakmuran negara.
Pada tahun lepas saya sendiri pernah nyaris-nyaris melanggar seorang penunggang motosikal yang jatuh di hadapan kereta yang saya pandu. Jiran kami di kampung juga telah meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motosikal pada tahun lepas. Dia telah dilanggar oleh seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang sudah pastinya tidak mempunyai lesen. Kedua-dua cerita ini boleh dibaca di Kemalangan dan Kemalangan Motosikal.
Sepanjang bulan Syawal ini semua orang akan sibuk menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai. Kanak-kanak dan remaja juga tidak ketinggalan untuk pergi mengunjungi rumah kawan-kawan mereka. Apa yang dapat saya lihat semasa proses kunjung-mengunjung ini, ramai kanak-kanak dan remaja yang menunggang motosikal bersama kawan-kawan yang juga menunggang motosikal. Mereka ini yang sudah pasti tidak mempunyai lesen tetapi apa yang lebih memeranjatkan lagi ialah motosikal itu dibawa dengan kebenaran ibubapa. Malah ada ibubapa yang membenarkan anak remaja mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal jauh ke bandar lain untuk berhari raya di rumah kawan.
Kita semua sedia maklum apabila remaja ini berkumpul dengan rakan sebaya sudah pasti kelakuan dan lagak mereka lebih daripada biasa; menunggang dengan laju, kejar-mengejar dan seumpamanya. Apa yang lebih membimbangkan, laluan yang mereka tempohi ialah jalan yang tersenarai di dalam jalan-jalan yang mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi.
Kenapakah ibubapa begitu mudah membenarkan anak-anak mereka melanggarkan peraturan? Kanak-kanak dan remaja ini mungkin tahu membawa motosikal tetapi adakah mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan undang-undang jalanraya? Tujuan utama diwajibkan mengambil lesen memandu ialah untuk memastikan penunggang itu berkebolehan untuk membawa kenderaan dengan baik dan faham peraturan lalu lintas jalanraya.
Saya masih ingat kepada satu peristiwa yang menimpa kepada kawan adik saya beberapa tahun dahulu. Dia masih belajar di tingkatan tiga tetapi sering membawa kereta bapanya dan pernah ditahan oleh pihak polis. Walaupun pernah ditahan polis dia masih terus menggunakan kereta bapanya. Pada suatu malam dia telah keluar bersama-sama seorang kawan perempuan selepas majlis sambutan hari jadi ke 16. Mereka telah terserempak dengan sebuah kereta peronda dan anggota polis telah mengarahkan dia berhenti.
Bagi mengelakkan ditahan polis sekali lagi, kawan adik saya ini telah cuba melarikan diri. Setelah berlaku kejar-mengejar pihak polis telah berjaya menyekat kereta yang dipandu remaja ini. Semasa seorang anggota polis menghampiri kereta, remaja berkenaan telah tunduk untuk mengambil sesuatu dari bawah kerusi. Anggota polis yang menyangkakan remaja tersebut mengambil senjata api telah melepaskan tembakan. Remaja itu mati di dalam kereta bapanya di atas riba kawan perempuan yang bersamanya.
Menurut adik saya, bapa kawannya itu tidak pernah melarang anaknya membawa kereta walaupun setelah ditahan pihak polis. Bapanya cuma menasihat supaya berhati-hati semasa memandu dan mengelak dari ditahan oleh pihak polis lagi.
Apabila ibubapa membenarkan anak mereka melanggar peraturan, ini secara langsung memberitahu mereka bahawa undang-undang itu tidak perlu dipatuhi. Oleh itu apabila remaja ini melanggarkan peraturan yang lain, siapakah yang harus dipersalahkan? Jika remaja sekarang semakin tidak berdisplin, dimanakah silapnya?
Technorati Tags: nukilan, azhad, remaja, motosikal, kemalangan
Read More...
Summary only...
23.10.07
at
10:23 AM
Posted by
Azhad
Nurin Alert yang cuba diwujudkan oleh beberapa orang yang perihatin termasuk pakcik Nurin Jazlin, Jasni telah mula mendapat perhatian. Nurin Alert yang mengambil contoh daripada kejayaan Amber Alert diharap dapat membantu kes kehilangan dan penculikan kanak-kanak di Malaysia. Setakat ini Nurin Alert masih lagi dalam peringkat perancangan dan sokongan semua pihak diperlukan untuk menjadikannya satu kenyataan.
Pada hari Jumaat 19 Oktober 2007 yang lalu akhbar The Star telah melaporkan tentang rancangan untuk mengadakan Nurin Alert di bawah tajuk; Uncle comes up with Nurin Alert. Antara lain ianya menyebut pertemuan dengan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan kertas kerja yang dipinta oleh beliau. Penglibatan beberapa blogger seperti Nuraina A. Samad, Tembam dan Nik Faris juga disebut di samping sokongan yang diberi oleh Kamal Affandi Hashim dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, pengarah Pelindung dan Penyelamat Kanak-kanak, Madeline Yong dan Abang Ariffin Abang Bohan seorang peguam.
Citizens for Nurin Alert
Diharap pihak media massa akan terus membantu memberi kesedaran tentang usaha untuk menjadikan Nurin Alert ini satu kenyataan. Begitu juga dengan para blogger dan masyarakat umum patut sama-sama mencanangkan dan memberi sokongan kepada Nurin Alert ini. Sementara itu penganalisa jenayah, Kamal Affandi Hashim telah memberi maksud kepada perkataan NURIN iaitu Nationwide Urgent Response Information Network. Laman blog Tembam, Nuraina, RockyBru dan Jasni pula masih terus bercerita tentang usaha mewujudkan Nurin Alert ini.
Hari ini rancangan Wanita Hari Ini di TV3 telah menjemput Nuraina A. Samad seorang penulis blog, Jasni Abdul Jalil bapa saudara Nurin Jazlin dan Kamal Affandi Hashim dari Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia sebagai tetamu untuk menjelaskan lebih lanjut tentang cadangan mewujudkan Nurin Alert. Diharap ini akan dapat memberi kesan yang positif kepada usaha menjadikan Nurin Alert satu kenyataan.
Jika anda berminat untuk menghulurkan sebarang jenis bantuan atau memberi sokongan kepada Nurin Alert sila sertai "Citizens for Nurin Alert" dengan menghantar email kepada sos@nurinalert.org.
nukilan,
azhad,
nurin alert,
nurin jazlin
Read More...
Summary only...
15.10.07
at
11:53 PM
Posted by
Azhad
Setiap hari kita membuang sampah dan sampah ini akan dilupuskan oleh pihak yang berkuasa untuk memastikan kebersihan terus terjaga. Kos untuk melupuskan sampah ini pula mencecah berjuta-juta ringgit Setiap tahun jumlah sampah yang dibuang oleh orangramai akan terus meningkat dan kawasan pelupusan sampah pula semakin penuh. Dalam sehari kita menghasilkan lebih daripada 16,000 tan sampah setiap hari.
Kita boleh membantu mengurangkan jumlah sampah yang dibuang dengan melakukan kitar semula. Sebelum boleh melakukan kitar semula, kita perlu tahu jenis sampah yang boleh dikitar semula. Sampah kitar semula boleh dibahagikan kepada 4 jenis iaitu kaca, plastik, kertas dan aluminium. Setelah diasingkan sampah ini boleh di hantar ke pusat kitar semula atau ke pusat pungutan atau dimasukkan ke dalam tong sampah khas kitar semula.
Semua bekas kaca yang berwarna atau jernih termasuk botol minuman, bekas makanan, botol vitamin, bekas alat solek dan seumpamanya boleh dikitar semula. Barangan kaca perlu dimasukkan ke dalam tong kitar semula berwarna coklat. Manakala semua jenis tin aluminium dan besi seperti tin minuman dan tin makanan juga boleh dikitar semula. Barangan berasaskan kaca ini perlu dimasukkan ke dalam tong kitar semula berwarna oren.
Semua kertas yang berwarna dan tidak berwarna seperti suratkhabar, majalah, buku, panduan telefon, katalog, risalah, kalendar, kad, sampul surat, kotak dan seumpamanya boleh dikitar semula. Tong kitar semula berwarna biru hendaklah digunakan untuk semua jenis kertas. Begitu juga semua plastik yang berwarna atau tidak berwarna seperti beg membeli-belah, beg pasaraya, botol minuman, botol air mineral, bekas makanan, bekas sabun, bekas vitamin dan seumpamanya boleh dikitar semula. Barangan berasaskan plastik perlu dimasukkan ke tong kitar semula berwarna oren.
Kitar semula akan mengurangkan jumlah barangan buangan dan ini akan mengurangkan keperluan serta jangka hayat tapak pelupusan sampah. Pencemaran juga dapat dikurangkan dan menyelamatkan penggunaan tenaga yang berlebihan. Dari segi jangkamasa panjang kitar semula lebih murah daripada penyelenggaraan tapak atau sistem pelupusan sampah yang lain. Paling penting kitar semula meningkatkan kebersihan dan kualiti hidup kita.
Oleh itu fikir dahulu sebelum membuang sampah. Segalanya perlu bermula dari rumah dan diri kita.
nukilan,
azhad,
sampah,
kitar semula,
blog action day
Read More...
Summary only...
11.10.07
at
10:38 PM
Posted by
Azhad
Salam Aidil Fitri kepada semua pembaca Nukilan Jejari Azhad. Pada bulan Ramadhan tahun ini pelbagai peristiwa telah berlaku tetapi yang paling mendapat perhatian ialah kes bunuh Nurin Jazlin dan penerbangan angkasawan negara yang pertama, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha. Keluarga arwah Nurin Jazlin khabarnya akan berhari raya di Selama, Perak manakala Dr Sheikh Muszaphar pula sudah pasti di angkasa.
Semoga bulan Ramadhan pada tahun ini kita telah sama-sama berjaya merebut peluang-peluang meningkatkan amal ibadah. Segala perubahan yang baik di bulan Ramadhan ini patutlah diteruskan ke bulan-bulan yang mendatang. Sesuatu perbuatan itu jika diteruskan pasti menjadi tabiat diri, tidak kira baik atau buruk.
Ekad : Portal E-Zakat
Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk memohon maaf jika ada sebarang penulisan di dalam blog ini yang menyinggung perasaan sesiapa. Di samping itu terima kasih juga kepada semua yang menjadi pengunjung dan pembaca blog ini. Bagi mereka yang akan balik kampung, berhati-hatilah semasa memandu.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri.
nukilan,
azhad,
syawal,
aidil fitri
Read More...
Summary only...
10.10.07
at
11:03 PM
Posted by
Azhad

Hari ini 10 Oktober 2007 pada pukul 9.21 malam, kapal angkasa Soyuz TMA-11 telah melonjak meninggalkan bumi dari Baikonur Cosmodrome di Kazakhstan. Tiga orang penumpang di dalamnya ialah Komander Peggy A. Whitson dari Amerika Syarikat, Jurutera Penerbangan Yuri Malenchenko dari Russia dan Dr. Sheikh Muszaphar Shukor. Mereka akan menuju ke Stesen Angkasa Antarabangsa yang terletak lebih daripada 300km dari bumi.
Ini merupakan satu detik bersejarah kepada negara Malaysia kerana telah berjaya menghantar seorang rakyatnya ke angkasa lepas. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan berada di angkasa selama 10 hari, ini ternasuk 8 hari di Stesen Angkasa Antarabangsa. Kapal angkasa Soyuz TMA-11 dijangka akan bercantum dengan Stesen Angkasa Antarabangsa pada 12 Oktober pukul 10.51 malam. Di situ nanti Dr. Sheikh Muszaphar Shukor akan mengadakan tiga ujikaji membabitkan tiga komponen penting iaitu sel di angkasa, mikrob di angkasa serta pengkristalan protein.
Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dilahirkan pada 27 Julai 1972 di Kuala Lumpur. Beliau telah belajar dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia di Maktab Rendah Sains MARA Muar, Johor. Dr. Sheikh Muszaphar Shukor mempunyai MBBS dari KMC Manipal, India dan Master in Orthopaedic Surgery dari HUKM. Sekarang ini bekerja di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia semenjak tahun 2005. Sebelum itu beliau pernah bertugas di Hospital Seremban (1998), Hospital Kuala Lumpur (1999) dan Hospital Selayang (2000-2001).
Beliau merupakan orang Islam ke sembilan ke angkasa dan yang pertama akan merayakan Aidil Fitri nun jauh dari bumi. Pada 1 Syawal nanti beliau akan menjamu 16 orang angkasawan lain di Stesen Angkasa Antarabangsa. Makanan yang dibawa untuk dihidangkan ialah biryani ayam, satay ayam, rendang tok, kepingan mangga kering, gulungan pisang, tempe, jeli halia, Roselle Granola bar dan kuih raya bangkit.
Beberapa isu juga telah timbul berkaitan dengan program angkasawan negara ini. Bermula dengan wang yang begitu banyak yang dibelanjakan untuk menjayakan program ini walaupun setelah pihak kerajaan memaklumkan bahawa kosnya merupakan sebahagian daripada perjanjian pembelian 18 jet pejuang Sukhoi 30MKM bernilai RM3.42 bilion buatan Russia oleh Malaysia pada 5 Ogos 2003. Ini diikuti pula dengan pihak NASA yang hanya menyebut Dr. Sheikh Muszaphar Shukor sebagai "spaceflight participant" sahaja bukannya angkasawan.
Walau apapun pendapat anda, kita berdoalah supaya misi yang diikuti oleh Dr. Sheikh Muszaphar Shukor ini akan berjalan dengan selamat dan lancar sehinggalah beliau balik ke bumi pada 21 Oktober nanti.


nukilan,
azhad,
angkasawan,
soyuz,
sheikh muszaphar shukor
Read More...
Summary only...
6.10.07
at
9:20 AM
Posted by
Azhad
Kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin sedang dalam siasatan pihak polis. Setakat ini seorang wanita pendatang tanpa izin masih ditahan reman dan kad sim yang ditelan telah berjaya diperolehi. Peluang untuk mendapatkan sebarang maklumat daripada kad tersebut belum dapat dipastikan lagi. Jika berjaya, diharap maklumat tersebut dapat membantu pihak polis menyelesaikan kes ini.
Sementara itu dua orang suspek yang lakaran gambar mereka dikeluarkan oleh pihak polis masih belum dapat dikesan. Pada hari Khamis, pihak polis ada menerima beberapa sms daripada orang awam yang mendakwa melihat dua orang suspek ini di kawasan Masjid Jamek di Jalan Tun Perak di antara pukul 6.00 pagi dan 9.00 pagi. Walaupun begitu setelah diperiksa tiada orang yang menyerupai lakaran polis itu di kawasan berkenaan.
Malam semalam satu majlis kenangan untuk Nurin Jazlin dan semua kanak-kanak mangsa penderaan seks telah diadakan di Bed @ Asian Heritage Row oleh TLC Team, B.Comm (Hons) Final Year Persuasive Communication Student 2007, Taylor's College Petaling Jaya. Bapa Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata di penutup majlis tersebut. Ucapan beliau telah disampaikan oleh Jasni Abdul Jalil, abang sulong Jazimin kerana beliau tidak dapat hadir. Transkrip pesanan Jazimin boleh dibaca di blog Nurin Jazlin.
Beberapa blogger bersama-sama keluarga Nurin Jazlin sedang berusaha untuk mengadakan Amber Alert seperti di Amerika Syarikat. Mereka telah mencadangkan untuk menamakannya Nurin Alert untuk di Malaysia seperti yang dibincangkan di blog Nurin Jazlin. Saya menyokong cadangan ini dan akan membantu melalui blog ini. Nurin Alert merupakan satu usaha yang murni dan diharap semua pihak yang terbabit turut membantu menjadikannya satu kenyataan dan kematian Nurin Jazlin membawa satu titik perubahan kepada masyarakat.
Salah seorang blogger yang sedang berusaha supaya konsep Amber Alert digunakan di Malaysia ialah Tembam. Di blog beliau terdapat beberapa penulisan dan perbincangan mengenainya serta senarai blogger yang menyokong usaha ini. Jika anda seorang blogger marilah sama-sama kita menyokong usaha ini, sekurang-kurangnya dengan menyediakan ruang di blog masing-masing tentang Nurin Alert.
Berkaitan :
Nurin Alert Mula Mendapat Perhatian
Nurin Alert Terus Melangkah
Nurin Alert Di Tell Dan Mastika
nukilan,
azhad,
nurin alert,
nurin jazlin
Read More...
Summary only...
26.9.07
at
9:00 AM
Posted by
Azhad
Apa yang telah berlaku kepada Nurin Jazlin Jazimin merupakan satu peristiwa yang telah mendapat perhatian seluruh negara. Kesakitan dan penderitaan yang dialami oleh kanak-kanak yang hanya berumur 8 tahun ini tidak dapat dibayangkan. Begitu juga dengan trauma yang terpaksa dihadapi oleh ibubapa, adik beradik dan keluarga arwah Nurin Jazlin, berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul.
Sedarkah kita bahawa kejadian culik, rogol dan bunuh ini bukanlah perkara yang baru tetapi sebelum ini ada beberapa kes lagi. Kebanyakan kes-kes ini melibatkan remaja dan kanak-kanak.
Pada 18 Mei 1999 Audrey Melissa Bathinathan, 17 tahun telah dijumpai berhampiran Sekolah Perempuan Methodist Kuala Lumpur, tempat beliau belajar. Hasil bedah siasat mendapati mangsa telah dipukul di kepala, dirogol dan dijerut lehernya. Noor Suzaily Mukhtar, 24 tahun telah ditemui di Taman Bukit Tinggi pada 7 Oktober 2000 Klang. Mangsa telah dirogol dan bunuh dalam sebuah bas ekspres dan mayatnya dicampak di sebuah jalan di kawasan pembinaan Taman Bukit Tinggi, Klang.
Pada 23 Oktober 2000 Nor Shuhada Borak, 6 tahun ditemui mati dalam tangki air di bumbung bangunan kediaman tiga tingkat jenis townhouse di Selayang dalam keadaan separuh bogel dan lebam pada muka dan tangan. Mangsa dipercayai telah dirogol sebelum dibunuh. Gadis berusia 17 tahun, Farrah Deeba Rustam dirogol dan dibunuh di bawah jambatan jalan masuk ke Kampung Tersusun Batu 2, Jalan Lama Bidor-Tapah pada 14 Februari 2001. Mangsa mati akibat dijerut dengan menggunakan tali.
Nurul Hanis Kamil telah dibunuh dalam semak selepas pulang dari sekolah di Serkam Darat, Merlimau, Melaka pada 3 Julai 2001. Sementara itu seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dirogol dan diliwat sehingga terkeluar usus oleh dua remaja berusia 19 tahun tahun ketika merompak keluarga mangsa di rumahnya di Taman Bukit Maluri, Kepong pada 13 Ogos 2001. Norshakila Ramli Choo, 6 tahun telah dirogol sebelum dibunuh di Taman Tasik Permai Ampang pada 1 April 2002.
Seorang pelajar sekolah menengah telah ditolak dari atas jejantas, ditendang dan dicekik sebelum dirogol di bawah jejantas Jalan Reko, Kajang antara jam 2.35 petang dan 4.00 petang pada 8 Oktober 2002. Mangsa mengalami patah tulang belakang dan nyaris meninggal dunia. Kaki dan tangan mangsa juga diikat ke belakang dan badannya ditutup dengan plastik hitam, mulut disumbat dengan stokin dan diikat dengan sapu tangan sebelum ditinggalkan
Pada 6 November 2002 Siti Nurliyana Shamimi Rosdi seorang kanak-kanak berumur dua tahun telah diculik, dirogol dan dibunuh, dijumpai dalam keadaan bogel di tebing Sungai Kedah, kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Seberang Terus. Hasil bedah siasat mendapati ada kesan koyak pada kemaluan mangsa, selain lebih 40 kesan luka pada badan. Mangsa juga mengalami pendarahan dalam otak dipercayai akibat dipukul dengan benda keras.
Noritta Samsudin berumur 22 tahun telah dijumpai mati di Kondominium Puncak PrimaGalleria, Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 5 Disember 2003. Mangsa dikatakan telah dirogol sebelum dibunuh. Pada 13 Jun 2003 Canny Ong lay Kian telah dilarikan dari tempat letak kereta Bangsar Shopping Center. Mayat mangsa ditemui separuh rentung di dalam sebuah longkang di tepi Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
Kanak-kanak berusia 10 tahun, Hasirawati Saridi ditemui mati dipercayai dibunuh dan dirogol ketika dalam perjalanan ke sekolah di Kampung Ratau, Menggatal, Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Januari 2004.
Pada 17 Januari 2004 seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, Nurul Huda Abdul Ghani telah dirogol, diliwat sebelum dibunuh di pondok pengawal stesen pencawang Tenaga Nasional Berhad Kampung Pekajang, Gelang Patah, Johor. Mayatnya ditemui berbogel tersandar pada dinding tandas pondok pengawal tersebut dalam keadaan mencangkung.
Mazny Abdullah dari Junjung, Bukit Mertajam, Pulau Pinang telah dibunuh pada 23 November 2004. Siti Syazwani Ahmad Dusuki, 9 tahun telah dibunuh selepas dirogol di Taman Rhu pada 22 Disember 2004.
Masih ingatkah lagi kita kepada apa yang telah berlaku kepada mereka ini? Bila membaca kisah Nurin Jazlin ramai yang merasa sedih dan hiba malah ada juga yang terkejut dan marah. Kita merasa perkara yang sama bila kejadian sebelum Nurin Jazlin berlaku tapi selepas itu kita lupa.
Sudah tiba masanya sesuatu dilakukan untuk mencegah daripada berulangnya kes-kes seumpama ini. Ketika ini ramai yang bercakap dan memberi pelbagai cadangan selepas apa yang berlaku pada Nurin Jazlin. Persoalannya bilakah pandangan dan cadangan ini boleh dilaksanakan? Bila pula kita sendiri akan mengambil tindakan untuk mengubah keadaan ini? Adakah kita hendak menunggu Siapa Selepas Nurin Jazlin baru ada kesedaran?
Nota : Penulisan di atas telah juga dipetik oleh laman blog In Memory Of Nurin Jazlin.
nukilan,
azhad,
nurin,
nurin jazlin,
rogol,
bunuh
Read More...
Summary only...
12.9.07
at
2:55 PM
Posted by
Azhad
Esok umat Islam akan melangkah ke bulan Ramadhan dan bermulalah ibadat puasa, salah satu rukun Islam. Pada Ramadhan 1427 yang lalu saya ada bercerita tentang nostalgia kisah di bulan puasa. Bulan Ramadhan ini memang dinantikan oleh kebanyakan orang termasuk yang bukan Islam. Mereka yang bukan beragama Islam biasanya akan sama-sama mengunjungi tempat-tempat jualan juadah berbuka puasa untuk mendapatkan berbagai jenis makanan. Walaupun begitu janganlah kita rambang mata tetapi ikutilah Panduan Memilih Makanan Sihat di bulan Ramadhan ini.
Manakala bagi umat Islam perkara yang mesti diutamakan ialah kualiti ibadat puasa itu sendiri dan menambahkan ibadat yang lain. Alangkah sedihnya ada dikalangan umat Islam yang memberi pelbagai alasan untuk tidak berpuasa dan tidak merebut peluang meningkatkan amal ibadat. Malah mereka yang perlu mengambil ubat setiap hari pun sepatutnya tidak ada masalah untuk berpuasa sebab jadual mengambil ubat boleh disesuaikan. Dr Rahmat Awang dari Universiti Sains Malaysia ada memberi Panduan Mematuhi Preskripsi dalam Bulan Puasa.
Begitu juga kepada ibu-ibu yang sedang hamil tidak perlu risau kerana ada Panduan Kehamilan di Bulan Ramadhan. Di samping itu para ibu yang sedang menyusukan anak juga boleh mengikuti Petua Menyusu Bayi Semasa Ramadhan. Sementara akhbar Utusan Malaysia dan MStar Online pula ada menyiarkan Panduan Berpuasa Penghidap Diabetes dan Panduan Untuk Pesakit Diabetes Berpuasa. Jelaslah bahawa ibadat puasa ini boleh dilaksanakan oleh sesiapa sahaja, ianya banyak bergantung kepada tahap iman kita.
Bagi mereka yang sihat pula mungkin boleh membaca Panduan Kesihatan di bulan Ramadhan dan Panduan Jasmani Semasa Berpuasa. Ibadat puasa ini banyak kebaikannya dari segi kesihatan dan memberi peluang untuk membaiki diri. Mereka yang mempunyai berat badan yang berlebihan boleh menjadikan bulan puasa sebagai titik permulaan untuk mengurangkan berat badan. Begitu juga kepada mereka yang berniat untuk berhenti merokok bolehlah memulakannya di bulan Ramadhan ini. Para perokok bolehlah membaca Puasa Cara Terbaik Berhenti Merokok dan Puasa Boleh Atasi Ketagihan Merokok sebagai pencetus usaha berhenti merokok.
Jika ada sesuatu yang kurang pasti tentang ibadat puasa bolehlah membaca Persoalan Semasa Berkaitan Ibadah di bulan Ramadhan oleh Datuk Wira Hj. Rashid Redza bin Hj Md. Saleh. Sebagai bacaan tambahan saudara Franky Lahir di marchsya blog ada menyediakan pautan e-book berkenaan Panduan Ibadah Ramadhan. Sebenarnya ada banyak lagi cerita tentang puasa ini cuma perlu dicari sahaja.
Perlulah diingat bahawa berpuasa bukan sahaja bermaksud menahan daripada makan dan minum di siang hari tetapi tubuh badan dan semua deria kita mestilah dikawal juga. Pastikan sahsiah diri kita di bulan Ramadhan ini jauh lebih baik daripada bulan-bulan yang lain. Rebutlah peluang yang disediakan di bulan yang penuh berkat ini sebab tahun hadapan belum tentu kita dapat bertemunya.
Bersempena bulan puasa ini, saya ingin memohon maaf kepada semua pembaca blog ini jika ada ada sebarang kesalahan samada yang tidak disengajakan maupun yang disengajakan secara langsung atau tidak langsung. Semoga kita akan sama-sama dapat menjalani bulan puasa ini dengan melakukan amal ibadat secara khusyuk, diberkati dan dirahmati Allah Subhana wa Ta’ala, insyaAllah.
“Sesungguhnye yang baik itu adalah dari Allah Subhana wa Ta’ala manakala yang buruk datang dari diri kita sendiri.” Wallahua’lam.
Technorati Tags: nukilan, azhad, ramadhan, puasa, panduan
Read More...
Summary only...
30.8.07
at
7:48 AM
Posted by
Azhad
Semalam telah berlangsung raptai penuh sambutan perayaan hari kemerdekaan ke 50 di Dataran Merdeka pada sebelah pagi dan di Stadium Merdeka pada sebelah malamnya. Di Dataran Merdeka adalah raptai penuh Majlis Perarakan dan Pebarisan Merdeka dan di Stadium Merdeka pula adalah raptai penuh Majlis Perhimpunan Raksasa Merdeka. Berpuluh ribu lapisan masyarakat terlibat bagi menjayakan kedua-dua majlis ini.
Malaysiaku Gemilang
Majlis di Dataran Merdeka mempunyai aturcara yang hampir sama seperti mana sambutan pada tahun-tahun yang lepas. Walaupun begitu acara padang dan perbarisan tahun ini lebih menumpukan kepada komponen rakyat bersepadu. Salah satu daya tarikan utama pagi itu ialah lintas hormat dan aksi akrobatik pesawat tempur termoden dunia, Sukhoi SU 30-MKM. Dilaporkan Duke Of York, Putera Andrew, Sultan Brunei Darulsalam, Perdana Menteri Singapura dan Presiden Filipina dan beberapa lagi pemimpin negara luar dijangka akan hadir di majlis tersebut.
Sementara itu di Stadium Merdeka pula majlis ini lebih tertumpu kepada mengenang sejarah kemerdekaan dan kepimpinan kesemua Perdana Menteri Malaysia. Bagi zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj digambarkan pencapaian kemerdekaan itu, Tun Abdul Razak Hussein dengan pembangunan pertanian, Tun Hussein Onn dengan Perpaduan Kaum, Tun Dr Mahathir Mohamed dengan pembangunan infrastruktur sementara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula dengan pembangunan modal insan.




Semoga sambutan ulangtahun kemerdekaan ke 50 ini akan berlangsung dengan jayanya.
Technorati Tags: nukilan, azhad, merdeka, 50, sambutan, Dataran Merdeka, Stadium Merdeka
Read More...
Summary only...
24.8.07
at
3:28 PM
Posted by
Azhad

NEGARAKU
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup
Bersatu dan maju
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan
Raja Kita
Selamat bertakhta
Semasa bersekolah lagu kebangsaan Negaraku akan dinyanyikan hampir setiap hari atau sekurang-kurangnya seminggu sekali. Apabila melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi lagu ini akan dinyanyikan pada majlis-majlis yang tertentu sahaja. Apabila melangkah ke alam pekerjaan pula kekerapan menyanyikan lagu ini akan berkurangan melainkan syarikat tempat kita bekerja itu ada melaksanakan perjumpaan atau perhimpunan yang menyelitkan nyanyian lagu kebangsaan.
Selain Jalur Gemilang, lagu Negaraku perlu dihormati sebagai tanda kebanggaan dan kesetiaan kita menjadi warganegara Malaysia. Di samping bangun dan berdiri tegak semasa lagu ini dimainkan, kita digalakkan menyanyikannya bersama-sama. Dukacita dikatakan tidak semua rakyak Malaysia yang menghormati lagu Negaraku. Masih ramai yang mengambil ringan malah ada yang secara terang-terangan memperlekehkannya.
Cubalah kita perhatikan reaksi orang di sekeliling apabila lagu Negaraku dimainkan. Kita pasti akan dapat melihat mereka yang dengan selambanya tidak menghiraukan lagu kebangsaan yang sedang berkemundang. Mereka ini akan terus duduk meneruskan apa sahaja aktiviti yang sedang dilakukan. Membaca, menghisap rokok, berbual atau sekadar duduk sahaja walaupun orang disekeliling sedang berdiri. Baru-baru ini kita dikejutkan pula dengan perbuatan seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Taiwan telah mempersendakan lagu Negaraku. Rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai taat setia dan hormat terhadap negaranya sendiri. Kitalah orang pertama yang mesti sentiasa bersedia untuk mempertahankan kedaulatan dan maruahnya bukan sebaliknya.
Stambul Satu .. Terang Bulan .. Negaraku
Mengenang kembali asal usul lagu Negaraku membawa kita ke zaman sebelum merdeka. Lagu Negaraku sebenarnya berasal daripada sebuah lagu cinta, Terang Bulan. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah memilih lagu itu untuk dijadikan lagu kebangsaan. Ahmad Merican, Lanthall, Croft, Bert Read, Alfonso Soliano dan Dol Ramli pula telah membantu mengolah semula lagu itu. Tunku jugalah yang mencadangkan supaya lagu tersebut dimulakan dengan pukulan drum.
Sementara itu lagu Terang Bulan pula dipercayai berasal daripada sebuah lagu yang popular di Seychelles yang digubah oleh seorang komposer Perancis, Beranger sekitar 1870an. Lagu tersebut juga telah selalu dimainkan oleh kumpulan bangsawan Indonesia yang kenali sebagai Indra Zanibar atau Wayang Kassim semasa membuat persembahan di Singapura. Lagu yang diberi nama Stambul Satu itu menjadi amat popular dan turut dinyanyikan oleh kumpulan bangsawan lain sebelum namanya ditukar kepada Terang Bulan.
Pada masa yang sama ketika itu lagu tersebut telah dijadikan lagu kebangsaan negeri Perak. Ini pun telah berlaku secara kebetulan ketika Sultan Idris dijemput oleh Ratu Victoria ke London pada tahun 1888. Ketika kapal yang membawa Sultan Perak berlabuh di Southampton, pihak kerajaan British telah meminta lagu kebangsaan negeri Perak untuk dimainkan semasa majlis sambutan diRaja. Raja Mansur yang mengiringi Sultan Perak memaklumkan beliau tidak ada membawa nota lagu tersebut tetapi boleh menyanyikan melodinya. Apabila Bandmaster tiba Raja Mansur telah menyanyikan melodi lagu kegemarannya yang pernah di dengar di Seychelles. Sebenarnya negeri Perak ketika itu tidak ada lagi lagu kebangsaan dan Raja Mansur berpendapat tidak berhemah jika memberitahu kepada kerajaan British sedemikian.
Begitulah serba ringkas cerita di sebalik lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku.
Technorati Tags:
nukilan,
azhad,
merdeka,
malaysia,