Setiap perkara dalam Islam samada yang berupa suruhan ataupun tegahan, mengandungi tujuan bagi kebaikan hambanya. Begitulah halnya dengan ibadah puasa yang sedang kita kerjakan sekarang ini. Natijah dari puasa akan melahirkan insan yang bertaqwa. Taqwa memberi maksud mengerjakan apa yang diperintah dan meninggalkan apa yang dilarang.

Puasa juga boleh menjadikan seseorang sihat tubuh badan. Punca penyakit biasanya akan dikaitkan dari faktor keturunan atau memang telah ditakdirkan sakit sejak dari ia dilahirkan atau keadaan alam dunia yang semakin tercemar. Namun berdasarkan kajian, penyumbang terbesar punca penyakit adalah disebabkan amalan dan tabiat pemakanan serta gaya hidup seseorang. Walaupun nabi S.A.W ada menyatakan bahawa: "setiap penyakit ada ubatnya kecuali tua dan mati" namun nabi juga berpesan: "mencegah itu lebih baik dari mengubati".

Kelebihan Berpuasa
Maka dapat kita fahami bahawa penyakit amat berkait dengan makanan. Pakar-pakar pemakanan pun telah menetapkan tentang piramid makanan iaitu cara pemakanan yang betul. Jika diamalkan maka ia adalah satu jaminan kepada kesihatan tubuh badan. Sebab itu nabi menyatakan: "Punca penyakit adalah dari perut (makanan)".

Makan dan minum adalah satu keperluan kita sebagai manusia. Dari sudut Islam bahawa makan dan minum diletakkan sebagai wajib pada adat tetapi harus pada syarak. Allah S.W.T menyatakan dalam al-Quran: "Makanlah dan minumlah tetapi jangan berlebih-lebihan".

Satu perkara yang sangat baik untuk kita fikirkan bersama ialah apa yang dinyatakan oleh nabi S.A.W, "makanlah ketika kamu lapar dan berhentilah sebelum kenyang". Amalan ini kalau dapat dilakukan pastinya tahap kesihatan kita terjamin. Maka ibadah puasa adalah antara cara kita untuk merealisasikan pesanan nabi dalam mengawal pemakanan. Disamping itu juga aktiviti riadhah patut dilakukan sekurang-kurangnya pada tahap yang minima. Jika kita mampu lakukan sebagaimana yang dibicarakan tadi maka kita yakin apa yang dinyatakan oleh nabi S.A.W akan berlaku: "Berpuasalah kamu nescaya kamu akan sihat". Islam amat menitik beratkan soal kesihatan. Oleh kerana itulah nabi bersabda: "Mukmin yang kuat (sihat) itu lebih baik dari seorang mukmin yang lemah"

Wallahua'lam.

Posted by Azhad 3.8.11 13 comments

Subscribe here