Nur Umaisarah Sameaun, 21, pelajar tahun akhir Diploma Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Arau, Perlis menjadi perhatian orang ramai apabila beliau hilang semasa sedang menuruni Gunung Tahan pada 7 Februari 2008 lalu. Nur Umaisarah atau lebih dikenali sebagai Umai telah dijumpai 19 hari kemudian pada pukul 6.30 petang oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Kuala Sungai Putih, Jerantut.

Nur Umaisarah Sameaun @ UmaiUmai adalah salah seorang daripada kumpulan 36 pelajar termasuk pegawai pengiring yang menyertai program ekspedisi Gunung Tahan unit beruniform Komander Kesatria anjuran UiTM. Mereka telah mendaki Gunung Tahan pada 5 Februari serta bermalam di Kem Kor dan pada hari kedua, mereka mendaki lagi dan bermalam di Kem Botak sebelum meneruskan pendakian ke puncak keesokannya dan terus turun ke Kem Kor semula untuk pulang. Kehilangan Umai hanya disedari rakan-rakan ketika mereka tiba di Kem Kor dari puncak gunung, kira-kira jam 11 pagi, 7 Februari.

Usaha mencari Umai telah dijalankan dengan bantuan pelbagai pihak dengan jumlah keseluruhan anggota operasi melebihi 150 orang termasuk Senoi Praaq, Unit Udara Polis, Pasukan Gerak Am (PGA), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Unit Komando Polis, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Pasukan Komando 69 dan unit pengesan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Umai akhirnya telah dijumpai 19 hari kemudian pada pukul 6.30 petang oleh seorang renjer Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama dua pelancong Rusia di Kuala Sungai Putih, Jerantut. Selepas ditemui Umai telah dibawa ke Kem Kuala Sungai Putih dekat Jerantut, sebelum diterbangkan dengan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang dari Jerantut dan tiba di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk rawatan jam 10.30 pagi keesokan harinya.

Ketika dijumpai oleh renjer berkenaan, Umai berada dalam keadaan lemah dan kelaparan tetapi sihat, malah pakaian yang dipakainya kelihatan bersih. Jarak Umai ditemui ialah kira-kira 30 kilometer dari lokasi beliau sesat dan agak jauh dari lokasi operasi mencari dan menyelamat yang dilakukan.

Umai yang menerima rawatan di Wad DiRaja HTAA, atas ihsan Sultan Pahang kelihatan kurus dan cengkung, disahkan doktor dalam keadaan sihat dan stabil, tetapi mengalami luka dan calar pada badan, lengan serta kaki.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 28.2.08 4 comments

Kementerian Pelajaran pada tahun lepas ada mengumumkan cadangan untuk melewatkan peperiksaan akhir tahun sehingga seminggu atau dua minggu sebelum cuti persekolahan akhir tahun bermula. Baru-baru ini Lembaga Peperiksaan Malaysia telah menetapkan tarikh baru untuk semua peperiksaan umum di Malaysia.

Jadual baru peperiksaan tersebut adalah seperti berikut;

Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)

Tarikh : 9, 10, 11 September 2008

Penilaian Menengah Rendah (PMR)

Tarikh: 13, 14, 15 Oktober 2008 dan 4, 5 November 2008
Tarikh peperiksaan PMR 2008 telah diubah sila rujuk Tarikh Baru PMR.

Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

Tarikh: 11 November - 6 Disember 2008
Untuk maklumat lanjut sila rujuk Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2008.

Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU)

Tarikh: 24, 25 Jun 2008

Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM)

Tarikh: 20, 21, 22, 28, 29 Oktober 2008


Tujuan utama anjakan tarikh peperiksaan ini merupakan satu usaha kerajaan untuk membendung masalah ponteng sekolah yang berleluasa setiap kali selepas peperiksaan umum. Paling ketara ialah bagi peperiksaan PMR di mana ianya telah dibahagikan kepada dua iaitu pada pertengahan Oktober dan awal November. Blog ini ada bercerita tentang ponteng adalah antara masalah disiplin pelajar sekolah sebelum ini.

Walaupun begitu sejauh mana berjayanya rancangan ini akan dapat dilihat pada penghujung tahun nanti. Sementara itu kepada mereka yang akan menghadapi peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STAM pada hujung tahun sepatutnya sudah mula membuat persiapan daripada sekarang. Rancanglah masa yang ada ni untuk memaksimumkan waktu untuk mengulangkaji.

Technorati Tags: , , , , , ,





Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 24.2.08 1 comments

Hari ini 21 Februari 2008 sudah lebih 40 hari Sharlinie Mohd Nashar 5 tahun hilang di taman permainan kanak-kanak berhampiran dengan rumahnya. Pihak polis telah pun memberhentikan usaha mencari daripada rumah ke rumah tetapi cuma akan bertindak berdasarkan maklumat yang diterima. Walaupun begitu ini tidak bermakna kes ini telah ditutup.

di mana Sharlinie?

Pada masa yang sama ibubapa Sharlinie, Mohd Nashar dan Suraya terus berharap semua yang berkenaan termasuk pihak berkuasa, badan bukan kerajaan dan orang ramai tidak berputus asa dalam usaha mengesan anak mereka. Setakat ini pelbagai usaha telah dilakukan samada melalui risikan polis, cara tradisional dan pengedaran beribu-ribu poster tetapi tiada maklumat yang dapat membantu mengesan Sharlinie.

Paling terbaru adalah serbuan pihak polis ke sebuah rumah di Flat Sri Sabah. Cheras, Kuala Lumpur setelah mendapat maklumat kemungkinan Sharlinie disembunyikan di situ. Walaupun begitu operasi yang melibatkan sekumpulan 20 pegawai dan anggota pasukan khas itu tidak menemui sebarang hasil yang positif. Difahamkan seorang profesor madya matematik mendakwa beliau mempunyai kepandaian mencari orang hilang melalui nombor telah memberi maklumat tentang rumah yang diserbu itu.

Kes cubaan menculik yang berlaku di Puchong dan Klang baru-baru ini mungkin boleh memberi petunjuk baru dalam usaha mengesan kedudukan Sharlinie. Ada kemungkinan salah satu daripada kes tersebut atau kedua-duanya dilakukan oleh orang yang sama menculik Sharlinie.

Kes di Puchong pada 31 Januari pukul 9 malam apabila seorang lelaki cuba menculik 2 orang kanak-kanak perempuan yang ketika itu bersama-sama ibubapa mereka di sebuah restoran. Cubaan tersebut gagal apabila seorang wanita menjerit sebelum sempat kanak-kanak tersebut dilarikan dengan sebuah van.

Manakala satu lagi kes berlaku pada 27 Januari pukul 8 malam di hadapan pusat membeli belah Klang Parade, Klang telah digagalkan oleh seorang bekas anggota polis yang kebetulan lalu di situ. Beliau telah nampak seorang lelaki bertopi keledar bersama rakannya yang menaiki motosikal mengekori kanak-kanak tersebut. Budak perempuan tersebut telah menjerit apabila tangannya telah dicapai oleh lelaki itu. Apabila ditegur lelaki tersebut melepaskan budak perempuan itu dan memecut dengan motornya.

Pihak polis telah pun mempunyai dua fotofit yang baru tetapi ianya tidak akan diedarkan kepada orang ramai buat masa ini. Ini adalah kerana fotofit ini tidak sama dengan fotofit yang dikeluarkan pada 9 Januari lalu dan pihak polis tidak mahu mengelirukan orang ramai. Buat masa ini pihak polis mempunyai perancangannya yang tersendiri bagi meningkatkan gerakan mengesan Sharlinie Mohd Nashar.

Dilaporkan juga dua orang lelaki dan seorang wanita telah datang menemui bapa Sharlinie, Mohd Nashar Mat Hussin, mereka mendakwa mampu membantu kes kehilangan Sharlinie dan hanya akan mendedahkan maklumat itu kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Salah satu sebab mengapa Sharlinie sukar dikesan mungkin kerana rupa parasnya sekarang tidak serupa dengan gambar posternya. Gambar Sharlinie yang telah botak dan bertudung boleh dilihat di Sharlinie Lima Tahun Hari Ini.

Marilah kita sama-sama terus berdoa agar adik Sharlinie selamat dan akan dapat kembali bersama-sama keluarganya, insyaAllah.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 21.2.08 2 comments

Pilihan raya umum 2008 akan diadakan pada 8 Mac ini dan seramai 10,922,139 orang rakyat Malaysia adalah layak untuk mengundi pada hari tersebut. Mereka yang layak ini adalah rakyat Malaysia yang telah berumur 21 tahun ke atas dan telah mendaftarkan diri mereka untuk menjadi seorang pemilih.

03 8885 6600

Bagi pilihan raya umum ke 12 ini daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Februari 2008 lalu akan digunakan. Ini bermakna hanya mereka yang telah mendaftar pada atau sebelum 31 Disember 2007 sahaja boleh mengundi. Manakala mereka yang mendaftar pada dan selepas 1 Januari 2008 terpaksa menunggu pilihan raya yang datang untuk melaksanakan hak anda.

Bagi mereka yang telah berumur 21 tahun tetapi langsung tidak pernah mendaftarkan diri sebagai pemilih, anda tidak akan layak untuk mengundi. Sebenarnya mudah sahaja untuk mendaftar sebagai pengundi dengan Suruhanjaya Pilihan Raya. Pendaftaran boleh boleh dibuat di mana-mana pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya atau pejabat-pejabat pos berkomputer atau kaunter-kaunter sementara SPR yang dibuka di tempat-tempat awam.

Menjelang pilihan raya umum kali ini pihak Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyediakan Pusat Panggilan SPR 03-8885 6600 untuk orang ramai. Pusat panggilan ini bagi memudahkan orang ramai menyemak samada nama mereka tersenarai dalam Daftar Pemilih yang terbaru. Ini penting untuk mereka yang baru mendaftar dan tidak pernah mengundi sebelum ini.

Mereka yang pernah mengundi pun boleh menyemak nama mereka untuk kepastian, lebih-lebih lagi jika mereka ada membuat perubahan alamat dalam rekod daftar pemilih. Maklumat yang boleh diperolehi daripada pusat ini ialah kawasan mengundi untuk Parlimen dan Negeri, pusat mengundi, saluran peti undi, nombor siri pemilih dan waktu mengundi dengan hanya menyatakan nombor kad pengenalan.

Pusat Panggilan SPR ini akan beroperasi dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam setiap hari sehingga ditamatkan perkhidmatannya pada pukul 5 petang 8 Mac 2008. Maklumat yang sama boleh juga diperolehi sepanjang tahun dengan melayari laman web Surahanjaya Pilihan Raya di Semak Daftar Pemilih.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 17.2.08 3 comments

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa bagi Pilihan Raya Umum ke 12 akan diadakan dengan tarikh penamaan calon pada hari Ahad 24 Februari dan tarikh pengundian pada hari Sabtu 8 Mac. Ini telah dinyatakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Tan Sri Ab. Rashid Ab.Rahman di satu sidang akhbar di pejabatnya di Putrajaya.

Pilihan Raya UmumPilihan raya umum 2008 ini akan melibatkan pertandingan untuk merebut sebanyak 222 kerusi Dewan Rakyat untuk Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk. Ini tidak termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak kerana telah mengadakan pilihan raya negeri dalam tahun 2006.

penamaan calon 24 Februari

Pilihan Raya Umum Ke12 yang akan diadakan pada hari Sabtu 8 Mac 2008 ini memberi tempoh berkempen selama tigabelas hari. Ini sebenarnya tempoh yang paling lama berbanding dengan beberapa pilihan raya yang lalu. Pilihan raya umum 2004 dahulu cuma lapan hari, pilihan raya umum 1999 pula sembilan hari dan pilihan raya umum 1986, 1990 dan 1995, 10 hari.

pengundian 8 Mac

Mengikut rekod tempoh berkempen yang paling lama ialah semasa pilihan raya umum 1955 iaitu 42 hari. Selepas itu tempoh berkempen telah dikurangkan pada setiap kali pilihan raya umum di mana pada pilihan raya umum 1959, 1964, 1969 35 hari, 1974 16 hari, 1978 17 hari dan 1982 15 hari.

Disepanjang tempoh berkempen ini kita akan dapat menyaksikan kesemua parti politik yang bertanding akan mengeluarkan kenyataan dan hujah kenapa pengundi mesti memilih mereka dan bukannya parti lawan. Berbagai teknik dan usaha akan dilakukan bagi menyokong perjuangan masing-masing.

Berdasarkan daftar pemilih yang diwartakan pada 5 Februari 2008 terdapat seramai 10,922,139 pengundi yang layak mengundi iaitu 10,701,054 merupakan pengundi biasa dan 221.085 pula adalah pengundi pos. Hanya mereka yang namanya terdapat dalam daftar tersebut sahaja yang boleh mengundi pada 8 Mac kelak.

Mereka inilah yang akan memegang amanah untuk memilih wakil untuk membentuk kerajaan selama lima tahun lagi di peringkat negara dan negeri. Barisan Nasional telah memenangi 199 kerusi daripada 219 kerusi di peringkat Parlimen dan 453 kerusi daripada 505 kerusi diperingkat negeri di mana hanya kerajaan negeri Kelantan tidak diterajui oleh Barisan Nasional tetapi PAS.

Bagaimanakah pula keputusan pilihan raya umum ke 12 ini nanti? Semuanya akan terjawab pada awal 9 Mac dan penentunya adalah undi rakyat Malaysia yang berdaftar sebagai pemilih.

Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 15.2.08 1 comments

Tanda tanya yang telah berlegar beberapa minggu kebelakangan ini telah terjawab pada tengahari 13 Februari 2008. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memilih tarikh ini untuk mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke 12 diadakan. Pengumuman ini telah dibuat pada satu sidang media yang disiarkan secara langsung oleh televisyen dari pejabat beliau di Putrajaya.

Pilihan Raya UmumPada masa yang sama semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak juga dinasihatkan agar dibubarkan supaya pilihan raya negeri boleh dijalankan secara serentak. Perdana Menteri telah mengadap Yang di Pertuan Agong Tunku Mizan Zainal Abidin pada sebelah paginya untuk mendapat perkenan baginda.

ini pilihan raya ke 12

Satu penggal Parlimen bersamaan dengan lima tahun tetapi selepas pilihan raya umum 1969, Parlimen sering dibubarkan awal untuk mendapat mandat baru daripada rakyat. Begitu juga kali ini penggal Parlimen sepatutnya berakhir pada 16 Mei 2009 depan dan ini bermakna ianya dibubarkan 15 bulan lebih awal.

Perlembagaan Persekutuan ada menggariskan bahawa pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 1969, pilihan raya telah berlangsung dalam tempoh 16 hingga 20 hari sahaja dari tarikh Parlimen dibubarkan. Pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 umpamanya dijalankan dalam tempoh 17 hari dari tarikh pembubaran.

Sejumlah 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan dalam pilihan raya umum kali ke 12 ini. Manakala semasa pilihan raya umum 2004 yang lalu, sejumlah 219 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri telah menjadi rebutan.

Pada ketika itu Barisan Nasional telah memenangi 199 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang 20 kerusi, iaitu DAP 12 kerusi, PAS enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat dan Bebas masing-masing satu kerusi. Manakala di Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional memperolehi 453 kerusi, PAS 36 kerusi, DAP 15 kerusi dan Bebas 1 kerusi.

Difahamkan terdapat kira-kira 700,000 orang pengundi baru daripada sejumlah 10.9 juta pemilih berdaftar yang layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini. Para pengundi boleh menyemak daftar pemilih secara online untuk memastikan tempat mengundi dan nama masing-masing ada tersenarai. Untuk pertama kalinya peti undi lutsinar dan dakwat kekal dalam urusan pengundian akan diperkenalkan.

Tarikh penamaan calon dan juga hari mengundi untuk pilihan raya umum ke 12 ini akan hanya diketahui selepas Suruhanjaya Pilihan Raya bermesyuarat. Walaupun tarikhnya belum diketahui semua parti politik pasti telah pun mengerakkan jentera pilihan raya masing-masing.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 13.2.08 1 comments

Sebelum ini saya ada menulis tentang beberapa masalah disiplin pelajar walaupun sekolah baru sahaja dibuka selama tiga minggu pada tahun ini. Cerita bagaimana seorang pelajar yang maut setelah jatuh daripada tingkat dua sekolahnya, ketua pengawas dipukul oleh sekumpulan pelajar sehingga mendapat jahitan di kepala dan kisah seorang pelajar tingkatan satu yang dibelasah beramai-ramai oleh pelajar tingkatan dua dan tiga ini boleh dibaca di Masalah Disiplin Pelajar Sekolah.

Sementara itu pada tahun lepas pula saya ada menulis tentang beberapa aspek yang perlu diambil kira dalam usaha untuk menanggani masalah disiplin ini. Cerita tentang bagaimana pentingnya peranan ibubapa, keluarga, sekolah dan rakan sebaya. Malah arah tuju sistem pendidikan yang lebih menjurus kepada peperiksaan ini boleh dibaca di Masalah Disiplin Sekolah.

ponteng sekolah

Salah satu masalah disiplin yang paling besar adalah ponteng sekolah. Masalah ponteng sekolah ini pun bukan perkara baru malah semua orang pernah terlibat atau mengetahui tentangnya semasa bersekolah dahulu. Masalah ini sebenarnya berlaku sepanjang tahun cuma bilangannya meningkat setiap kali selepas peperiksaan sebelum cuti bermula.

Jangan terkejut jika ada yang ponteng sekolah ini dihalalkan oleh ibubapa sendiri terutama mereka yang bersekolah rendah. Ini amat ketara semasa kelas ganti pada hari Sabtu dan ketika selepas peperiksaan. Kedatangan yang merosot ini boleh dilihat apabila pelajar beberapa kelas terpaksa digabungkan untuk memenuhkan sebuah kelas. Cubalah tanya kepada anak atau adik anda bila ada kelas gantian hari Sabtu atau selepas peperiksaan nanti.

Bukankah sikap sebahagian ibubapa yang menghalalkan tidak perlu hadir ke sekolah ini memberi pengajaran yang kurang sihat kepada anak-anak mereka sendiri. Apabila di sekolah menengah nanti pelajar ini akan dengan sendirinya mencari berbagai alasan untuk membolehkan dia tidak datang ke sekolah. Akhirnya mereka ini akan menganggap pergi ke sekolah ini satu bebanan dan seringlah dia melencong ke tempat lain.

Pihak sekolah juga perlu mengambil perhatian kerana antara punca pelajar ponteng ialah kegagalan pihak sekolah menyediakan program yang menarik setelah selesainya peperiksaan. Ini telah dijadikan alasan oleh ibubapa dan para pelajar yang mengatakan membuang masa dan bosan untuk ke sekolah.

Oleh itu sekolah patut mengadakan program yang menarik minat pelajar hadir ke sekolah selepas menduduki peperiksaan. Sementara itu ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak mereka supaya terus ke sekolah meskipun peperiksaan telah berakhir.

Pada tahun lepas Kementerian Pelajaran ada mengumumkan cadangan untuk melewatkan peperiksaan akhir tahun sehingga seminggu atau dua minggu sebelum cuti persekolahan akhir tahun bermula. Perubahan yang dicadangkan ini juga membabitkan peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Apabila ianya dilaksanakan tahun ini pihak kementerian berharap masalah ponteng sekolah akan dapat dibendung.

Semoga secara beransur-ansur masalah disiplin pelajar sekolah ini akan dapat dikurangkan. Di masa akan datang saya akan menyentuh tentang cara terbaik untuk mengendalikan anak yang mempunyai masalah disiplin di sekolah.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 9.2.08 11 comments

Bermula dengan Abdullah Fahmi Che Nor @ Shukri sebagai juara Akademi al-Quran yang pertama dan diikuti oleh Anuar Hasin yang bergelar juara bagi musim yang kedua. Kini pencarian untuk peserta dan seterusnya juara bagi Akademi al-Quran musim ketiga telah pun bermula. Uji bakat rancangan Akademi al-Quran musim ketiga sedang berlangsung sekarang di beberapa lokasi.

Berikut adalah senarai tarikh dan lokasi uji bakat untuk Akademi al-Quran 3;

2 & 3 Februari 2008
Perkampungan Hadhari, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu, Terengganu
5 & 6 Februari 2008
Balai Islam Kota Baharu, Kota Baharu, Kelantan
9 & 10 Februari 2008
Kolej Universiti Insaniah, Alor Setar, Kedah
12 & 13 Februari 2008
Dewan Masjid Negeri, Georgetown, Pulau Pinang
15 & 16 Februari 2008
Dewan Masjid Negeri Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak
18 & 19 Februari 2008
Sri Pentas Bandar Utama, Petaling Jaya, Selangor
21 & 22 Februari 2008
Masjid Al-Azim, Melaka
24 & 25 Februari 2008
Dewan Kompleks Agama Islam, Johor Bahru, Johor
28 & 29 Februari 2008
Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang

Mereka yang berminat untuk menyertai Akademi al-Quran 3 jangan lupa untuk menghadiri uji bakat ini. Warganegara Malaysia yang berumur antara 15 sehingga 25 tahun layak untuk menghadiri sesi uji bakat yang disenaraikan di atas.

Akademi Al-Quran 3 peringkat akhir berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Jun 2008.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 5.2.08 1 comments

Subscribe here