Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, kembali mewakili Parlimen Permatang Pauh selepas memenangi pilihan raya kecil kawasan itu. Keputusan rasmi diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya di pusat penjumlahan undi di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun, pada jam 10.05 malam tadi.
Anwar memperoleh 31,195 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah yang mendapat 15,524 undi. Seorang lagi calon dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat, pula hilang wang deposit selepas memperoleh hanya 92 undi.
Seramai 47,356 atau 81 peratus daripada 58,459 pemilih mengundi pada pilihan raya kecil itu yang diadakan selepas kerusi berkenaan dikosongkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bagi memberi laluan kepada suaminya bertanding semula di Permatang Pauh.
Detik-detik penjalanan pilihan raya semalam boleh dibaca di Laporan Pengundian Permatang Pauh.
Ringkasan Keputusan Pilihan Raya Parlimen Permatang Pauh
2008 - Ogos
Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR): 31,195 undi
Datuk Arif Shah Omar Shah (BN): 15,524 undi
Hanafi Mamat (AKIM): 92 undi
Jumlah mengundi: 47,258
Jumlah pengundi: 58,459
Peratus keluar mengundi: 81 peratus
Undi rosak: 447 undi
Majoriti: 15,671 undi
2008 - Mac
Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR): 30,348 undi
Pirdaus Ismail (BN): 16,950 undi
Majoriti: 13,398 undi
2004
Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR): 21,737 undi
Pirdaus Ismail (BN): 21,147 undi
Majoriti: 590 undi
1999
Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR): 23,820 undi
Pirdaus Ismail (BN): 14,743 undi
Majoriti: 9,077 undi
1995
Anwar Ibrahim (BN): 27,945 undi
A.Rahman Manap (DAP): 4,430 undi
Mazani Abdullah (PAS): 4,071 undi
Majoriti: 23,515 undi
1990
Anwar Ibrahim (BN): 23,793 undi
Mahfuz Omar (PAS): 7,643 undi
Majoriti: 16,150 undi
1986
Anwar Ibrahim (BN): 17,979 undi
Muhamad Sabu (PAS): 7,500 undi
Majoriti: 10,479 undi
1982
Anwar Ibrahim (BN): 18,849 undi
Mahfuz Omar (PAS): 4,497 undi
Tan Ah Huat (DAP): 1,825 undi
Majoriti: 14,352 undi
Sumber: BERNAMA, Berita Harian
Technorati Tags: pilihan raya, parlimen, permatang pauh, bn, pkr, keadilan, arif shah, anwar ibrahim
Begitu pantas masa berlalu dan tanpa kita sedari hari ini cukup setahun pemergian Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin yang dibunuh dengan kejam sehingga mendapat perhatian dan simpati daripada seluruh lapisan masyarakat di negara ini.
Mungkin ramai yang telah lupa peristiwa tersebut tetapi ahli keluarga dan mereka yang rapat dengan keluarga Allahyarham Nurin pasti merasa ianya seperti baru semalam sahaja berlaku. Blog ini juga ada melaporkan peristiwa kehilangan dan kematian beliau.
Bayangkanlah bila mayat kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu yang disumbat dalam beg pakaian sukan ditemui di luar sebuah rumah kedai di PJS 1, Petaling Jaya. Kanak-kanak itu diculik dalam perjalanan pulang ke rumah di Seksyen Satu, Wangsa Maju selepas pergi ke pasar malam berhampiran.
Malangnya, sehingga saat ini, kes pembunuhan kejam itu masih belum selesai dan lebih memilukan hati dan perasaan keluarga kanak-kanak malang berkenaan ialah mereka masih terkilan dan kecewa apabila sebuah akhbar melaporkan bahawa polis mengkaji kemungkinan Nurin diculik peminjam wang haram, yang mengaitkan seolah-olah keluarga itu berurusan dengan along.
Ditambah pula gambar bedah siasat Nurin tersebar menerusi internet yang dikirim menggunakan e-mel.
Kini selepas menunggu setahun, keluarga Nurin mahu menuntut keadilan dan pembelaan. Hari ini, mereka akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap polis dan kerajaan.
Mereka menuntut pampasan, permohonan maaf terbuka dan penarikan balik laporan akhbar yang membayangkan keluarga itu berurusan dengan along. Mereka juga menuntut permohonan maaf terbuka dan pampasan terhadap pengedaran gambar bedah siasat kanak-kanak itu.
Di laman web Nurin Jazlin ada turutan laporan akhbar yang berkaitan dengan pengedaran gambar bedah siasat itu. Bermula dari pengesahan gambar tersebut telah tersebar melalui e-mail sehingga kepada laporan polis memaklumkan individu yang bertanggungjawab mengedarkan gambar tersebut telah dikenal pasti dan akan didakwa di mahkamah.
Malangnya sehingga ke hari ini tiada sesiapa yang didakwa kerana menyebarkan gambar bedah siasat tersebut. Ibu bapa Nurin, Jazimin Abdul Jalil dan Norazian Bistaman, semalam melahirkan kekecewaan atas apa yang berlaku.
"Bukankah kami cukup terseksa dengan kematian Nurin? Mengapa jadikan kami lebih menderita dengan mengedar gambar bedah siasat anak perempuan kami?" kata Jazimin.
Sebenarnya sebelum kes Nurin Jazlin terdapat ramai mangsa kejadian culik, rogol dan bunuh. Malah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noriah Kasnon ada memaklumkan di Parlimen bahawa terdapat seramai 242 orang kanak-kanak dilaporkan hilang di antara bulan Januari dan Mac tahun ini. Hanya separuh sahaja yang telah dijumpai dan yang lain masih hilang.
Semoga tindakan yang lebih konkrit dapat dilaksanakan dan kerjasama semua pihak dapat digembeling agar sesuatu yang positif dapat menjadi kenyataan.
Bapa Allahyarham Nurin Jazlin, Jazimin Abdul Jalil telah memfailkan saman malu bernilai RM2 juta terhadap Ketua Polis Negara berikutan kecuaian mendedahkan gambar bedah siasat anaknya pada 14 Ogos.
Beliau juga memfailkan saman fitnah terhadap polis dan kerajaan Malaysia kerana mendakwanya meminjam wang daripada along.
Jazimin menfailkan saman itu kepada Pandaftar Mahkamah Tinggi Jalan Duta, di sini.
Sumber: Berita Harian
Technorati Tags: nurin, nurin jazlin, saman, polis, culik, hilang, gambar, bedah siasat
Tema hari kemerdekaan bagi tahun 2008 ialah Perpaduan Teras Kejayaan. Jika berminat untuk mengetahui tema-tema sebelumnya bolehlah pergi ke Tema Hari Kemerdekaan yang lalu. Di bawah ini dipaparkan logo sambutan ulangtahun kemerdekaan bagi tahun ini yang merupakan yang ke 51.
Rekabentuk logo ini diilhamkan dari ikatan 3 figura yang saling berganding bahu menunjukkan perpaduan erat melambangkan ”Perpaduan Teras Kejayaan”.
3 ikatan figura manusia saling berganding bahu menunjukkan rakyat yang bekerjasama di antara satu sama lain dalam menjaga keamanan dan memajukan negara.
3 rupa bentuk manusia digayakan bergandingan bahu adalah mewakili kaum-kaum di Malaysia yang bersefahaman bagi menunjukkan mereka telah mencapai kejayaan dalam perpaduan.
Warna merah simbol keberanian rakyat. Putih simbol kesetiaan keseluruhan rakyat Malaysia. Warna biru melambangkan perpaduan yang dijalinkan oleh kaum-kaum di Malaysia. Manakala warna kuning pula melambangkan Sistem Beraja dan Yang di-Pertuan Agong. Ianya juga membawa maksud warna kegemilangan/keemasan yang dikecapi oleh rakyat Malaysia.
Jika sudah ada tema dan logo, tentu tidak lengkap jika tiada lagu khas untuknya. Berikut adalah lagu tema hari kemerdekaan ke 51 yang dicipta oleh Pak Ngah dan lirik oleh Lokgha;
PERPADUAN TERAS KEJAYAAN
Kini Semangat Jalan Seiring
Satu Amanah Kerjasama
Jadi Teras Bangsa Mulia
Sehati Sejiwa
Bangun Membantu Agar Sepakat
Moga Terserlah Perpaduan
Agar Teguh Dipersada
Dalam Hidup Harmoni
Sirami Rasa Kasih Sayang
Jadi Benteng Hidup Yang Harmoni
Nurani Ikhlas
Dihati Murni
Menjadi Kekuatan Kita
Bersatu.......Bersatu
Bersatu Gagah Bercerai Rebah
Hindarkan Hasrat Sengketa Kita
Perpaduan Teras Kejayaan
Berpadu......Berpadu
Berpadu Bulat Kata Sepakat
Menjadi Cita Negara Jaya
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan
Perpaduan Teras Kejayaan
Lagu di atas boleh dimuat turun di Lagu Tema Merdeka ke 51. Saya ada cuba mencari minus one untuk lagu ini tetapi tidak berjaya. Walaupun begitu di laman web Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional terdapat minus one beberapa lagu patriotik lain.
Sementara itu jika ingin mendapatkan maklumat lanjut yang berkaitan dengan kemerdekaan negara kita Malaysia bolehlah merujuk kepada Portal Hari Kemerdekaan.
Technorati Tags: azhad, tema, merdeka, malaysia, kemerdekaan, sambutan, logo
Malaysia Book Fair 2008 atau Pesta Buku Malaysia 2008 di konsepkan dengan pengisian berbagai program interaktif yang berupaya menarik tumpuan umum terhadap penganjurannya dan sebagai pengisian Kempen Membaca 2008. Oleh itu ia juga dikenali sebagai Pesta Buku Malaysia @ Kempen Membaca 2008 dengan motto "Menjana Modal Insan Cemerlang".
Pesta Buku Malaysia 2008 ini dianjurkan oleh Invent Solution Sdn Bhd dengan sokongan dan kerjasama pihak Perpustakaan Negara Malaysia termasuk juga lain-lain organisasi seperti Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia serta Majlis Buku Kebangsaan Malaysia sebagai program pemangkin Kempen Membaca 2008.
Pesta Buku Malaysia 2008 akan diadakan seperti berikut;
Tarikh : 31 Julai - 3 Ogos
Masa : 10.00 pagi - 10.00 malam
Tempat : Dewan Tun Razak 3, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC)
Masuk adalah percuma.
Di samping pameran dan penjualan buku terdapat juga sesi membuat boneka, kuiz, resensi buku, sesi bercerita, ikon buku dan lain-lain.
Semoga Kempen Membaca 2008 serta Pesta Buku Malaysia mampu memberi impak positif kepada amalan budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.
Technorati Tags: malaysia, book fair, pesta buku, kempen membaca, buku