Sekali lagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah pun bermula. Kedua-dua peperiksaan bertulis untuk SPM dan STPM ini bermula hari ini iaitu 23 November 2010. Peperiksaan SPM 2010 akan berakhir pada 20 Disember dan STPM pula pada 16 Disember. Peperiksaan ini akan menentukan arah seterusnya di mana para pelajar ini berpeluang untuk melanjutkan pelajaran.

Jumlah Calon

Dewan Peperiksaan
Peperiksaan SPM 2010 menyaksikan seramai 467,970 orang calon mendudukinya di 3,594 buah pusat peperiksaan di seluruh negara. Calon Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan merupakan bilangan yang terbesar iaitu seramai 410,083 orang. Calon Persendirian Individu pula di tempat kedua iaitu seramai 31,296 orang. Ini diikuti dengan calon Sekolah Swasta dan Sekolah Menengah Agama Rakyat seramai 11,248 orang. Sementara calon dari Sekolah Menengah Agama Negeri seramai 8,127 orang. Bilangan yang paling sedikit adalah calon dari MRSM, MTD dan Sekolah Perantis Tentera iaitu seramai 7,216 orang.

Manakala itu seramai 53,674 orang calon menduduki peperiksaan STPM 2010 di 760 pusat peperiksaan di seluruh negara. Sama seperti SPM bilangan yang terbesar adalah dari calon Sekolah Kerajaan iaitu seramai 47,369 orang. Diikuti dengan calon Persendirian Individu seramai 4,593 orang, 1,467 calon Sekolah Swasta, 235 calon Sekolah Kerajaan Negeri dan 10 calon Sekolah Integriti.

Keputusan Peperiksaan SPM dan STPM 2010

Keputusan peperiksaan SPM 2010 dijangka akan diumumkan dalam bulan Mac 2011. Pada tahun ini keputusan SPM 2009 telah diumumkan pada 11 Mac 2010. Pada tahun hadapan bagi SPM 2010 mungkin akan diumumkan dalam minggu 7 - 11 Mac 2011 itu.

Keputusan peperiksaan STPM 2010 pula dijangka akan diumumkan pada penghujung bulan Februari 2011. Pada tahun ini keputusan STPM 2009 telah diumumkan pada 25 Februari 2010. Oleh itu pada tahun hadapan bagi STPM 2010 ada kemungkinan akan diumumkan dalam minggu terakhir iaitu 21 - 25 Februari 2011.

Walaupun begitu janganlah memandang peperiksaan SPM atau STPM ini sebagai penghujung atau destinasi pembelajaran. Sebaliknya anggaplah peperiksaan ini sebagai satu titik dari berbagai titik peristiwa dalam perjalanan kehidupan. Oleh itu walau apapun keputusan peperiksaan ini nanti fikirkan cara yang terbaik untuk meneruskan usaha untuk mencapai cita-cita atau melaksanakan apa yang diminati.

All the best untuk semua calon kedua-dua peperiksaan ini.

Tags: , , , , , , , , , ,

Posted by Azhad 23.11.10 5 comments

Ibadah haji adalah merupakan salah satu Rukun Islam yang wajib dilaksanakan oIeh setiap umat Islam yang telah mencapai syarat-syarat kemampuannya. Satu daripada acara penting yang mengiringi ibadah haji di dalam bulan ini ialah Ibadah Korban.

Ia merupakan satu amalan yang disunatkan oIeh Islam dan amat digalakkan oIeh Baginda Rasulullah s.a.w. sebagaimana hadith daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'Anhu bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

Salam Aidil Adha
"Barangsiapa yang mempunyai kelapangan untuk berkorban tetapi ia tidak melakukannya, maka janganlah ia menghampiri tempat kami bersolat ini"
(Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah)

Hadith ini menunjukkan betapa amalan korban ini sesuatu yang amat dititik-beratkan oIeh Baginda Rasulullah s.a.w. Ibadah korban disyariatkan apabila nabi Ibrahim Alaihissalam menerima ujian yang amat berat daripada Allah SWT. sebagaimana yang dirakamkan di dalam surah As-Soffaat ayat 102-109 yang bermaksud;

"Maka Tatkala anaknya berumur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Ibrahim berkata; "Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?". Anaknya menjawab, "Wahai ayah! jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah, ayah akan dapati aku adalah daripada orang yang sabar". Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan (nabi) Ibrahim membaringkan anaknya dengan mengerengkan mukanya di atas tompok tanah, lalu Kami menyerunya: "Wahai Ibrahim!, engkau telah membenarkan mimpi itu". Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang yang berbuat baik. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; dan Kami abadikan baginya (nama yang dikenang) di kalangan umat akan datang: "Salam sejahtera kepada Ibrahim".

Demikianlah betapa besarnya pengorbanan yang dilakukan oIeh nabi Ibrahim dan anaknya Ismail Alaihimassalam yang menjadi bukti betapa teguh dan kukuhnya keimanan dan ketakwaan mereka kepada Allah SWT.

Ibadah Korban ialah dengan menyembelih binatang ternakan seperti unta, lembu, kerbau dan kambing. Ia dilakukan pada 10 Zulhijjah atau tiga hari selepasnya dengan mengagihkan sebahagian daripada daging itu kepada golongan fakir dan miskin.

Konsep korban bukan sahaja terbatas dengan penyembelihan atau pun waktu, bahkah ianya juga termasuk dengan pengorbanan harta, wang ringgit, masa, tenaga dan seluruh kehidupan kita. Namun fenomena dan cabaran yang kita hadapi pada ketika ini berlaku pada setiap detik dan saat.

Cabaran yang dihadapi ini memerlukan kita melakukan banyak pengorbanan pada setiap masa. Masyarakat kita umumnya mengahadapi cabaran dari Anasir-anasir Barat yang cuba meruntuhkan akhlak dan moral muda-mudi kita pada hari ini. Hasilnya apa yang kita dapat lihat bayi-bayi kecil yang tidak berdosa menjadi korban ibu bapanya yang tidak bertangggungjawab. Krisis akhlak seperti ini telah pun menular bukan sahaja pada peringkat umur remaja, bahkah juga pada peringkat dewasa mahu pun orang tua.

Begitu juga dengan para pemimpin kita yang tidak terlepas menghadapi cabaran dalam menunaikan amanah mereka sebagai pemimpin masyarakat. Inilah antara bentuk cabaran yang amat menduga keimanan dan ketakwaan kita dalam menunaikan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah. Maka sudah pastilah memerlukan pengorbanan yang besar untuk memelihara keimanan dan
ketakwaan kita kepada-Nya.

Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya harus dijadikan contoh teladan yang utama kepada setiap individu Muslim sebagai motivasi melakukan pengorbanan. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w. dan sahabat-sahabatnya telah pun membuktikan kejayaan mempertahankan iman dan memartabatkan Islam melalui pengorbanan harta dan jiwa raga mereka sehinggakan Islam dapat dinikmati oIeh seluruh umat manusia pada hari ini.

Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq sebagai contohnya, telah menafkahkan seluruh harta kekayaannya untuk digunakan pada jalan Allah SWT. Apabila ditanya oIeh Rasulullah s.a.w. apa yang ditinggalkan untuk ahli keluarganya, beliau menjawab; Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga dengan sahabatsahabatnya yang lain seperti Zubir bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf, Talhah bin Ubaidillah dan ramai lagi. Mereka ini adalah ahli perniagaan yang berjaya dan memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi mereka tidak pernah lupa menafkahkan hasil perniagaan mereka untuk kepentingan Islam. Jiwa dan keimanan mereka amat kental sehingga tidak mampu ditewaskan oIeh harta kekayaan yang mengelilingi kehidupan mereka.

Dalam usaha mempertahankan keimanan dan mempertingkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT., sudah semestinya memerlukan kepada berbagai-bagai pengorbanan. Maka apakah pengorbanan-pengorbanan itu?
  1. Pengorbanan Harta Benda

    Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT. di dalam surah Ali Imran ayat 92 yang bermaksud 

    "Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu mendermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi. Sesuatu apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya".

    Melalui ayat ini, Allah SWT. mendidik hamba-Nya supaya menjauhi sifat tamak atau bakhil dengan cara mendermakan sebahagian harta yang mereka sayangi kepada orang lain yang memerlukan. Para sahabat Rasulullah s.a.w. seperti Abu Bakar, Omar, Abu Talhah dan lain-lain lagi, apabila mendengar Rasulullah s.a.w. membacakan ayat ini, maka mereka terus berlumba-lumba mendermakan harta mereka pada jalan kebajikan. Hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

    "Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah".
     
  2. Pengorbanan Masa

    Masa mempunyai nilai yang amat tinggi di sisi Allah SWT. dan juga di sisi manusia. Allah SWT. telah menjelaskan bahawa manusia akan mengalami kerugian apabila mereka tidak menggunakan masa dengan sebaiknya. Firman Allah SWT. dalam surah Al-Asr ayat 1 - 3:

    "Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran".

    Manusia di zaman ini banyak mengorbankan masanya pada perkara-perkara keduniaan. Mereka beralasan bahawa bahagian kehidupan di dunia ini tidak boleh ditinggalkan semata-mata kerana mengejar kehidupan akhirat. Lantaran itu mereka terus disibukkan dengan mengejar kekayaan dunia siang dan malam sehingga mereka lupa akan kewajipan mereka terhadap Allah SWT.

    Inilah golongan manusia yang mendapat kerugian di akhirat kerana masa yang telah mereka korbankan hanyalah untuk mendapatkan keuntungan di dunia semata-mata.
     
  3. Pengorbanan Tenaga Dan Jiwa Raga

    Sesungguhnya seseorang yang sanggup mengorbankan jiwa raga untuk mencapai sesuatu matlamat memerlukan kekuatan dalaman yang amat luar biasa. Kekuatan ini hanya akan dapat dilahirkan apabila kita mempunyai keimanan yang teguh kepada Allah SWT.

    Inilah pengorbanan terbesar nabi Ibrahim Alaihissalam dalam melaksanakan perintah Allah SWT. Inilah juga pengorbanan terbesar para sahabat Rasulullah s.a.w. dalam perjuangan menegakkan panji-panji Islam di muka bumi Allah ini.

    Di kalangan para sahabat ini ada yang gugur syahid di medan peperangan, ada yang luka parah terkena tusukan pedang dan anak panah dan ada juga yang cacat anggota tubuhnya semata-mata kerana mempertahankan maruah dan kesucian agama Islam. Firman Allah SWT. di dalam surah At-Taubah ayat 111;

    "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang yang beriman, jiwa dan harta benda mereka dengan mengurniakan ganjaran syurga kepada mereka, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah, lalu ada antara mereka yang membunuh dan terbunuh"
Kita seharusnya mengambil iktibar dari pengorbanan para sahabat dalam menegakkan dan mendaulatkan Islam di atas muka bumi ini. Semangat dan kekentalan jiwa mereka mestilah disematkan ke dalam diri kita untuk meneruskan perjuangan mengajak manusia ke arah kebaikan di dunia ini.

Kita berbangga kerana masih ada saudara seislam kita yang sanggup bergadai nyawa meredah lautan semata-mata ingin membantu umat Islam lain yang sedang menderita. Kita juga berbangga kerana para pemimpin kita di pelbagai peringkat tidak berbelah bahagi dalam memberi sokongan padu kepada perjuangan membela nasib umat Islam di serata dunia.

Mudah-mudahan dengan segala bentuk pengorbanan ini akan dapat terus memantapkan iman dan memartabatkan Islam di muka bumi Allah ini.

"Sesiapa yang berjihad maka sesungguhnya dia hanyalah berjihad untuk kebaikan dirinya sendiri, sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk".
(Al-Ankabut : 6)

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat-Mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan.

Justeru kami pohon kehadrat-Mu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang Engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianMu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain, supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Sumber : Jabatan Agama Islam Selangor

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 17.11.10 12 comments


Riwayat Seorang Ibu

Ibu...
Setelah kau tiada
Kenangan manis bersamamu sering muncul
Keheningan malam begini sering menggamit
Belai kasih dan ukiran senyummu ibu...

Ibu...
Setiap kesusahan hidup insan yang ku lihat
Aku sering membayangkan
Itulah pengalamanmu

Melahir dan membesarkan 10 orang anak-anakmu
Sudah cukup menyiksakan
Tetapi menerima dugaan dari karenah anak-anakmu
Jauh lebih berat dari itu

Ibu...
Sewaktu hayatmu dulu
Telah ku cuba semampuku
Untuk membahagiakanmu

Dan waktu itu aku kira cukup
Memadai dengan kemampuanku
Waktu itu aku kira, ia cukup
Untuk membalas jasamu

Tapi kini ibu..
Seringku rasakan
Bahawa aku tidak pernah berbakti
Sama sekali untukmu

Tidak cukup dan tidak mungkin
Akan cukup sama sekali
Untuk membalas pengorbananmu

Oh ibu...
Aku ingin sekali kiranya
Kau ada di sisi saat ini
Mengecap nikmat hidup bersama kami
Menikmati hidup hasil pengorbananmu

Ibu...
Masih ku ingat lagi di zaman kecilku
Saban hari kau hidup berpanas berhujan

Di gelap pekat sebelum subuh lagi
Di waktu insan lain masih lena tidur
Ibu berlampu minyak keluar bekerja

Diterik mentari siang engkau menjemur diri
Bersawah, berladang
Di getah tua ibu sabar memotong
Engkau tabah tidak meminta tolong

Ibu...
Berbelas tahun aku merantau menuntut ilmu
Berjuang atas keringat dan pengorbananmu
Abang dan kakak juga begitu
Kononnya berusaha untuk membahagiakanmu

Namun
Alangkah malangnya dikau wahai ibu
Belum pun puas aku berbakti kepadamu
Dikau pergi ke pangkuan Ilahi
Pergi buat selamanya tidak kembali lagi

Masih ku ingat lagi ibu
Di tapak rumah usang ini
Ku tinggalkan dikau kesepian mengurus diri
Di rumah yang bocor di sana sini

Di bawah panas zink yang tidak bersiling
Di lantai simen engkau berguling
Tidak beralas mencari dingin
Mengimbangi bahang panas atap zink

Tidak seperti anak cucumu ibu
Semuanya kini tinggal di rumah batu
Lengkap dengan kipas angin
Lengkap dengan hawa dingin

Ibu...
Mulia hatimu tidak terperi
Ibarat lilin membakar diri
Berbakti dengan setulus hati
Dan darimu ibu banyak aku pelajari

Erti kepatuhan pertiwi
Erti pengabdian Ilahi
Erti kebaktian di alam ini
Erti pengorbanan insani

Ibu...
Aku amat bersyukur sekali
Mendapat ibu yang sangat disenangi
Dinilai amal budi dan bakti
Hingga pemergianmu ibu ditangisi

Seluruh laman dan rumah usang dibanjiri
Memberi penghormatan terakhir kali
Mengirim jasadmu ke pusara sepi
Pergi menemui Ilahi

Ibu...
Ampunkanlah aku
Jika pernah mengecewakanmu
Halalkanlah setiap tetes susumu ibu
Yang kau beri untuk menghisupkan aku

Halalkan setiap tetes
Keringat pengorbananmu ibu
Sepanjang hayatmu
Untuk membahagiakan ku

Ya Tuhan...
Ampunilah segala dosa ibu
Janganlah kau siksa ia
Kau rahmatilah, kau kasihilah ia
Sepertimana ia mengasihi aku sejak kecil

Berilah aku petunjuk dan hidayahMu ya Tuhan
Agar aku dapat menyambung amal ibu
Dan demi mu ibu
Aku wakafkan harta dan diri ini

Aku rasakan hidup ini singkat sekali
Ingin ku sambung amal dan bakti mu
Untuk membahagiakan insan seperti mu
Insan yang bernama ibu

Al-fatihah buatmu ibu
Al-Fatihah...

Lihat juga Sajak Untuk Ibu

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 3.11.10 6 comments

Subscribe here