Hari ini 14 November 2004 bersamaan dengan 1 Syawal 1425. Tentu ramai yang sedang bergembira dapat bersama kaum keluarga dan sanak saudara meraikan hari yang berbahagia ini. Tapi kita harus ingat ada dikalangan kita yang kurang bernasib baik semasa menyambut Aidil Fitri kali ini.
Aku selalu mengingatkan diriku bahawa bagaimana susah diriku pasti ada yang orang lain yang lebih susah daripada aku. Malah jika kita senangpun pasti ada orang lebih senang daripada kita. Oleh itu kita harus bersyukur dan menghargai dengan apa yang kita ada ketika ini. Di samping itu kita jangan ambil mudah dengan apa yang ada di sekeliling kita. Kita tidak akan tahu kelebihan sesuatu jika kita tidak pernah memilikinya dan kita tidak akan tahu pentingnya sesuatu itu selagi kita belum kehilangannya.
Setiap insan pasti mempunyai sesuatu dan seseorang yang disayangi. Anda sendiri tentu disayangi oleh seseorang di dunia ini. Tetapi tahukah anda siapa yang menyayangi anda? Adakah orang yang anda sayangi tahu betapa kasihnya anda kepada beliau? Itulah kekadang kita memang selalu mengambil jalan mudah dan berkata tak apa tentu dia tahu. Kasih dan sayang kita kepada ibubapa, adik-beradik, suami isteri, kaum keluarga, sanak saudara, rakan taulan dan jiran tetangga.
Kita harus menyayangi mereka sebagaimana kita mahu mereka menyayangi kita. Walaupun begitu aku percaya hanya segelintir sahaja yang boleh dan bersedia menunjukkan rasa kasih dan sayang mereka. Paling mudah ialah dengan ibubapa kita sendiri, bagaimanakah cara kita tunjukkan kasih kita kepada mereka? Memang ada berbagai cara tetapi tahukah anda apa yang paling penting bagi mereka? Bukan wang ringgit mahupun harta benda yang utama tetapi kehadiran dan ingatan kitalah yang amat diperlukan. Ada ibubapa akan merasa gembira hanya sekadar melihat anak-anak di depan mata. Malah ada juga yang cukup bahagia walaupun sekadar mendengar suara anak-anak di telefon.
Aku selalu merasa sayu melihat seorang anak yang bersalaman sambil mencium tangan dan terus memeluk mencium pipi dan atau dahi ibubapa mereka. Tindakan ini akan dibalas oleh ibubapa dengan memeluk dan mencium pipi dan atau dahi anak mereka. Anak-anak mereka ini bukan lagi kanak-kanak tetapi diperingkat remaja dan dewasa. Kita boleh lihat betapa eratnya ikatan kasih sayang mereka. Adakah ini berlaku dalam keluarga kita? Aku tidak terkejut jika ramai yang kata ianya tidak pernah atau kalau ada pun setahun sekali.
Mungkin sistem pendidikan dan cara kita dibesarkan tidak mengasuh kita untuk melahirkan rasa kasih sayang kita kepada ibubapa atau anak-anak secara sedemikian rupa. Tetapi tidak ada ruginya jika kita memulakan hari ini. Hari ini sempena hari yang bahagia dan istimewa ini kita bagi sesuatu yang khas untuk ibubapa dan anak-anak kita. Peluk dan kucuplah kedua-dua ibubapa dan anak-anak kita. Mungkin mulanya merasa agak janggal tetapi kesan pasti hebat dan menjadi kenangan.
Kita sendiri tidak tahu bila masanya kita akan meninggal alam fana ini. Malah kita tidak boleh pasti samada dapatkah kita bersama ibubapa kita lagi di Aidil Fitri tahun depan. Jangan ambil mudah dengan apa yang ada di sekeliling kita hari ini. Hargailah apa yang anda miliki sebab ada orang lain yang tidak sebertuah anda. Mereka yang telah kehilangan orang yang dikasihi, jangan lupa sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah.
Sekali lagi aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya dan maaf jika ada sebarang pendapat atau penulisan di blog ini yang menyinggung mana-mana pihak.
0 comments