Pernahkah anda ditipu atau dibohong? Atau pernahkah anda berbohong atau menipu? Kenapa perlu anda berbohong atau menipu?
Sesiapa sahaja tidak mahu dan tidak suka diri mereka dibohongi tetapi tidak kisah jika diri sendiri menipu. Jika kita tidak mahu dibohongi sepatut kita tidak berbohong. Tentu kita akan terasa apabila orang lain menipu kita. Oleh itu fikirkanlah perasaan orang lain sebelum kita menipu.
Lambat laun orang akan tahu kita berbohong dan ketika itu kita akan kehilangan kepercayaan orang lain terhadap diri kita. Ingat kisah sigembala dengan musang. Kita pasti akan susah bila orang tidak lagi mempercayai kita. Kita juga tidak akan disukai bila diketahui kita ini suka berbohong.
'Berani kerana benar!', begitulah kata pepatah Melayu. Oleh itu kuatkan pendirian diri dan jadilah orang yang berani kerana orang yang berbohong itu sebenarnya penakut. Malah kita sebenarnya berbohong kepada diri kita sendiri apabila kita berbohong kepada orang lain. Hari ini mungkin kita mendapat keuntungan apabila berbohong tetapi hari esok belum tentu lagi.
Jangan lupa bahawa hati orang yang menyayangi kita akan lebih terasa jika kita berbohong. Sanggupkah kita melukakan hati orang yang kita sayangi?
0 comments