Image hosted by TinyPic.com

Benarkah Islam itu mudah?

Pertanyaan ini sering bersarang di dalam sanubari kita. Apatah lagi kepada saudara-saudara seagama yang baru mengenali Islam. Bagi menjelaskan pekara ini secara langsung, marilah kita rujuk kepada pegangan Allah S.W.T. yang mengatakan bahawa Dia tidak mahu lagi manusia kesusahan atau sesuatu yang membebankan. Allah S.W.T. menjelaskan dalam Surah Al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud : "Allah mengkehendakan kamu beroleh kemudahan dan Ia tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran."

Rasullullah S.A.W. juga bersabda bagi memperjelaskan lagi perkara ini, melalui hadisnya yang telah diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi yang bermaksud : "Sesungguhnya Islam itu mudah…"
Secara umum, perkataan mudah dan payah agak subjektif. Neraca pertimbangan yang paling tepat digunakan ialah samada perkara itu satu bebanan yang tidak berupaya manusia melakukan atau faktor persekitaran menyebabkan lingkungan keupayaannya terbatas.

Menurut prinsip Islam, semua perintah, tanggungjawab dan bebanan adalah dibuat dan dilaksanakan mengikut keupayaan manusia. Allah tidak membebankan hambaNya melainkan dalam lingkungan kemampuan manusia. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam surah Al-Baqarah; ayat 280 yang bermaksud : "Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakan, dan juga menanggung dosa kejahatan apa yang diusahakannya."

Contoh yang ketara yang boleh dibuat perumpamaan adalah perintah ibadat Solat. Permulaan memulakan solat adalah mengambil wudhuk dan bahan asas yang diperlukan adalah air. Dalam sesuatu keadaan jika ketiadaan air, Islam memberi kelonggaran dengan melakukan tayammum.

Perkara kedua adalah menutup aurat. Pakaian yang sediada boleh digunakan kecuali ada najis padannya. Garis panduan pakaian ditetapkan untuk lelaki ialah menutup antara pusat hingga ke lutut. Manakala bagi wanita pula adalah menutup keseluruh anggota badan kecuali muka dan tapak tangan. Dalam perkara ini, jika hanya ada tudung labuh dan memakai stoking ketika itu juga sudah membolehkan untuk kita mengerjakan solat.

Oleh kerana solat adalah merupakan ibadat yang tidak boleh ditinggalkan, maka Islam memberi kelonggaran dalam beberapa situasi dan keadaan tertentu.Jika kita musafir (dalam perjalanan dengan tujuan yang baik dan diluluskan hukum syarak), dan perjalanan itu melebihi 2 marhalah (lebih 91 KM), maka bolehlah kita menjamak dan mengqasarkan solat kita.

Begitu juga apabila kita sedang sakit, kita boleh mengerjakan solat secara duduk, berbaring, mengiring atau pun menggunakan isyarat. Hatta dalam beberapa kaedah, kita boleh membaca Allahu Akbar sebanyak 7 kali (menyamai 7 ayat Fatihah) atau 7 ayat Surah sebagai ganti Surah Al-Fatihah yang merupakan rukun dalam solat, jika masih tidak dapat membaca Surah Al-Fatihah setelah diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

Daripada contoh-contoh yang diberikan di atas, ternyatalah, Islam itu mudah. Ia akan menjadi sukar jika kita terlalu ekstrim dalam mengamalkannya. Penekanan bersederhana penting dalam ibadah di samping meletakkan prinsip istiqamah sebagai teras. Keterlaluan dalam ibadah tanpa mempunyai sandaran dan nas yang kukuh atau hanya sekadar ikut-ikutan akan menyebabkan ia membelenggu kita yang akhirnya menyebabkan kita terus meninggalkan ibadah tersebut.

  • Solat dalam Islam tidak membebankan manusia, malah ia merupakan suatu amalan yang digemari kerana selain dari menjadi ibadah menyembah Tuhan, ia juga akan;
  • Melatih daya pemusatan pemikiran
  • Meningkatkan rasa keikhlasan terhadap Allah
  • Melatih diri ke arah ketepatan waktu
  • Membiasakan diri mengamalkan kebersihan
  • Memberi kerehatan saraf
  • Menyatakan pengakuan terhadap kebesaran Allah S.W.T.
  • Menanamkan rasa muhibbah dan semangat perpaduan menerusi solat yang dilakukan secara berjemaah

Begitu juga aspek makanan dan minuman. Istilah darurat boleh digunakan terhadap sesuatu tindakan apabila tiada alternatif lain boleh dicari bagi meneruskan hidup. Kita boleh makan daging khinzir; sebagai contoh, sekiranya pada ketika itu, hanya itu sahaja makanan yang ada untuk menyambung nyawa bagi meneruskan kehidupan.

Demi menggambarkan bahawa Islam itu mudah dan tidak membebankan, kita selusuri sejarah pengharaman arak yang dibuat secara berperingkat-peringkat. Melihat kepada tahap keimanan Umat Islam ketika itu, ayat yang mengharamkan ialah ketika bersolat kerana ditakuti bacaan mereka di bawah sedar ini tersalah. Peringkat seterusnya pula, ia diharamkan terus kepada Umat Islam kerana memabukkan yang lebih membawa keburukan daripada kebaikan.

Setiap insan yang mengamalkan perintah Allah S.W.T. dengan yakin dan sempurna akan dapat merasai nikmat kegunaan dan faedah daripada perintah-perintah itu serta merasa bahagia. Oleh itu, marilah sama-sama kita hayati dalam kehidupan. Sesungguhnya Islam itu indah.

Gambar dan artikel ini dipetik dari laman web JAIS.

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 20.4.05

0 comments

Post a Comment

Subscribe here