Saudara Mawi,
Di samping turut berkongsi mengucap tahniah atas kemenangan luar biasa saudara sebagai juara AF3, saya ingin memberi pandangan yang saya kira tidak dapat disampaikan secara peribadi meman-dangkan kita berada di lingkaran kenalan yang berbeza.
Maka surat terbuka menerusi kolum akhbar arus perdana seperti ini barangkali dapat menyampaikan pandangan ikhlas daripada saya.
Sesungguhnya kemenangan saudara ini akan meletakkan diri saudara dalam situasi yang amat berbeza daripada sebelum ini.
Kemunculan mendadak saudara yang dicetuskan oleh fenomena AF3, sekali gus merubah warna hidup dan akan menukarkan budaya pemikiran serta gaya hidup saudara.
Dari seorang pemuda luar bandar yang hanya dikenali di daerah saudara sebagai seorang DJ yang sedang mencari-cari stail persembahan, saudara telah menempuh satu proses transformasi yang melonjak saudara kepada status selebriti, satu lompatan yang amat jarang dicapai lain-lain orang.
Kejayaan saudara sebenarnya tidak banyak berbeza daripada kejayaan peribadi seseorang dalam bidang politik, kenaikan pangkat, kejayaan korporat malah kemewahan kewangan.
Kejayaan peribadi seperti ini biasanya akan mengetemukan seseorang itu dengan kesukaran dalam proses mengurus kejayaan berkenaan.
Kalau dahulu saudara mempunyai kenalan terhad di Felda Taib Andak, kini saudara menjadi `milik' negara.
Malah rakan sekolah di suatu ketika dahulu, yang tidak begitu rapat dengan saudara pun akan berebut-rebut mengaku bahawa mereka pernah sebangku sekolah dengan saudara.
Guru-guru saudara juga akan turut menumpang kebanggaan kerana pernah mengajar saudara.
Dalam pada itu, tentu sekali ramai pula kenalan baru yang akan muncul dan ingin merapati saudara terutama sekali mereka yang berkepentingan. Ini amat lumrah dan merupakan `pakej' yang datang bersama-sama kejayaan itu.
Sebagai seorang yang pernah bergaul dan melihat kenalan meningkat naik dalam politik, jabatan kerajaan, korporat dan sebagainya, saya dapat melihat bagaimana di antara mereka yang berjaya mengurus kejayaan dan ada yang gagal.
Ada yang pernah minum teh tarik dengan kenalan lama sebelum mereka berjaya tetapi apabila bertemu selepas berjaya, salam mereka longgar dan mata tidak bertentangan lagi.
Sapaan pun hanya sekadar menerusi satu dua patah perkataan sahaja. Sedangkan sebelum berjaya mereka sering menyebut ``Saya tidak akan lupakan kawan-kawan seperti saudara ini, yang rapat masa saya susah.''
Tetapi sesungguhnya manusia cepat lupa kerana kejayaan merubah diri mereka.
Untuk berlaku sedikit adil bolehlah kita katakan keutamaan berubah mengikut kedudukan.
Seperti kata seorang bekas tokoh politik negara kepada saya, kenaikan pangkat dan kedudukan seseorang adalah umpama menaiki tingkat bangunan.
Semasa di tingkat bawah, kita rapat satu sama lain. Apabila naik ke tingkat satu, kenalan kita bertukar dan kita hanya boleh melambai-lambai kepada kawan-kawan di tingkat bawah. Apabila naik ke tingkat dua pula, rangkaian kenalan terus berubah dan begitulah seterusnya.
Sesungguhnya ujian bagi seseorang itu, seperti kata bijak pandai, ialah semasa dia berada di atas umpamanya lupakah dia kepada kenalan lamanya?''
Atau masih ingatkah dia kepada mereka yang bertungkus lumus membantunya untuk naik dahulu. Masih ingatkah dia kepada `akarnya', tempat asalnya, kekurangannya.
Ingatan-ingatan tersebut amat penting kerana lazimnya dalam dunia glamor seperti yang saudara baru tempuh ini adalah sementara.
Naik turun pasti berlaku. Hanya cepat dan lambatnya sahaja yang boleh dikawal menerusi daya pengurusan yang baik oleh diri saudara sendiri.
Jelas sekali penampilan dan kerjaya saudara melalui dari saat ini akan dikawal oleh orang yang dikatakan profesional, seperti mana mereka yang mengasah bakat saudara di AF3.
Bezanya kini, saudara bukan hanya berada dalam lingkungan akademi, tetapi dalam dunia hiburan yang lebih mencabar dan tidak kurang juga kejam.
Bagi mereka perhitungan lebih kepada ringgit dan sen. Tanyalah ramai artis yang telah naik dan jatuh.
Dalam menempuh semua itu, hanya kekuatan diri saudaralah yang akan membantu mengekalkan saudara di persada kejuaraan itu.
Dalam pada itu harus juga diambil ingat bahawa AF akan sentiasa mengeluarkan juara-juara baru setiap tahun. Maka setiap tahun jugalah juara-juara AF yang lepas merasai diri semakin disaingi.
Amat wajar fenomena `Mawi World' yang tercetus oleh aura diri saudara itu dikekalkan dalam alam hiburan yang bakal saudara ceburi ini. Pihak pengurusan saudara mungkin sudah mempunyai strategi pemasaran mereka.
Namun akhirnya kekuatan dalaman Mawilah yang menjadi faktor sebenarnya.
Saya percaya kebimbangan penyokong-penyokong setia saudara adalah kut-kut mengejut Mawi sampai, mengejut juga Mawi pergi.
Selepas memperkatakan semua ini, saya yakin, setelah mengikuti `isyarat tubuh' Mawi sepanjang musim AF3 ini, Mawi akan menjadi seorang juara yang baik, berdaya tahan, tidak lupa diri dan akhirnya seorang penghibur glokal.
- HAMDAN SULAIMAN, Kuala Lumpur.
Dipetik dari ruangan forum akhbar Utusan 10 Ogos 2005
0 comments