Dalam bulan Julai yang lalu aku sekeluarga telah pergi ke dusun Mak Long aku di Sungai Lagong.

Ketika itu sedang musim durian dan kami telah makan durian sepuas-puasnya. Di dusun tersebut terdapat juga pokok langsat, rambutan dan manggis. Selepas puas makan kami mandi-manda di sebatang sungai yang mengalir tenang di situ.

Dusun ini telah diusahakan oleh Mak Long aku bersama arwah suaminya lebih daripada 15 tahun yang lalu. Aku diberitahu oleh Mak Long aku bahawa dusun di hadapan dusun beliau telah dijual oleh anak-anak selepas ibubapa mereka meninggal dunia. Manakala dusun bersebelahan hampir-hampir dijual jika tidak ketegasan abang sulong mereka tidak mahu menjualnya walaupun ditawarkan dengan harga yang agak tinggi.

Mak Long aku telah berpesan kepada anak-anaknya supaya tidak menjual dusun itu bila dia tiada lagi. Dia mahu dusun itu dijadikan salah satu cara untuk merapatkan hubungan kekeluargaan. Mak Long aku mempunyai 17 orang anak dan kira-kira 11 orang cucu. Dua tahun sekali apabila musim buah mereka semua akan berkumpul di dusun itu. Panjat pokok, kutip buah, makan buah, memasak, memanggang, mandi-manda, riuh rendah jadinya. Sungguh meriah apabila dah ramai-ramai berkumpul.

Itulah salah satu usaha Mak Long aku untuk memastikan ikatan kekeluargaan anak-anak beliau yang ramai itu terus rapat dan mesra.

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 10.12.05

0 comments

Post a Comment

Subscribe here