PMR

Mulai 2 Oktober hingga 6 Oktober 2006 ini akan berlangsungnya peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi para pelajar tingkatan tiga. PMR telah diperkenalkan dalam tahun 1993 menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Di antara matapelajaran yang akan diuji ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam.

Pada tahun ini seramai 448,328 orang calon dari 3,333 buah sekolah menengah akan menduduki peperiksaan ini. Majoritinya dari Sekolah Menengah dan Sekolah Berasrama Penuh iaitu 420,177 orang calon dan bakinya 10,766 orang calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama , 2,894 orang calon dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maktab Tentera DiRaja (MTD), 1,603 orang calon daripada Sekolah Agama Rakyat dan 1,110 orang calon persendirian.

Selepas ini peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan bermula pada 9 Oktober dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan bermula pada 14 November.

Diucapkan selamat menempuh peperiksaan dengan tenang kepada semua calon dan semoga akan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 30.9.06 0 comments

Hari ini 1 Ramadhan 1427 umat Islam mula berpuasa menunaikan salah satu rukun Islam. Di kalangan mereka ini tentu ada yang baru pertama kali belajar untuk berpuasa terutama kanak-kanak dan yang baru memeluk agama Islam.

Ingat lagi masa zaman kanak-kanak dahulu, begitu lambat sekali masa bergerak apabila menunggu masa untuk berbuka puasa dan menjadi orang pertama duduk mengadap juadah berbuka. Bagi yang baru memeluk agama Islam tentu mempunyai cabaran yang lebih hebat kerana sebelum ini puasa adalah sesuatu yang tidak pernah dilalui. Isteri sepupuku berbangsa Cina dan dia telah memeluk agama Islam dua tahun sebelum bernikah. Pada peringkat awal ini memang agak mencabar kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan hukum hakam agama Islam.

Di samping itu ada juga di kalangan kita yang tahun ini berazam untuk mula berpuasa dengan erti kata sebenar. Kita mungkin pernah melalui atau mengetahui bahawa ada yang tidak berpuasa atau berpura-pura berpuasa dalam bulan Ramadhan ini. Baik semasa di sekolah, di IPT atau di pejabat mereka ini akan begitu kreatif untuk mendapatkan makanan di siang hari.

Sebagai sokongan kepada kesungguhan kita melalui bulan yang mulia ini mungkin Panduan Jasmani Puasa ini boleh membantu. Selamat berpuasa dan beribadat di bulan Ramadhan ini, semoga tahun ini kualiti amalan kita lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, insyaAllah.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 24.9.06 0 comments

Sejak kebelakangan ini semakin banyak kemalangan yang melibat kenderaan berlaku. Kebanyakan kemalangan ini melibatkan motosikal. Aku sendiri baru-baru ini nyaris melanggar seorang pemandu motosikal yang jatuh di hadapan keretaku. Kejadian berlaku diwaktu pagi semasa semua orang sedang sibuk hendak pergi kerja. Ianya berpunca apabila sebuah kereta telah menukar lorong secara tiba-tiba dan motosikal tersebut tidak sempat mengelak terus melanggar sisi kereta itu.

Syukur aku sempat memberhentikan kereta apabila pemandu motosikal itu jatuh betul-betul di hadapanku. Dia cuma calar-calar dan motosikalnya tidak mengalami kerosakan teruk. Manakala kereta itu pula kemek dikedua-dua pintu belakang dan depan.

Apabila bercerita tentang kemalangan aku teringat tentang beberapa kemalangan yang melibatkan ahli keluargaku. Adik bongsuku pernah terlibat dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan dia terlantar di hospital. Kakinya patah dan terpaksa dimasukkan besi.

Seluruh ahli keluargaku pernah terbabit dalam kemalangan yang agak mengerikan apabila kereta yang dipandu oleh bapaku telah hilang kawalan dan terhumban ke dalam gaung. Alhamdullilah mereka semua selamat tanpa ada satu calar pun di badan tetapi jika melihat keadaan kereta tentu tak percaya. Ketika berlakunya kemalangan itu aku tidak ada bersama-sama kerana ada aktiviti di sekolah.

Walaupun begitu satu ada satu kemalangan yang telah mengubah hidupku. Kemalangan tersebut telah menyebabkan aku kehilangan salah seorang adik yang sangat rapat denganku.

Penulisan yang berkaitan; Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 19.9.06 0 comments

Hari ini bermulalah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 3 hari. Dilaporkan seramai 508,434 orang murid menduduki ujian ini. Ini meliputi 500,561 orang murid dari sekolah bantuan kerajaan dan sebahagian kecilnya 7,783 orang murid adalah dari sekolah swasta. Keputusan ujian ini akan digunakan bagi penepatan ke sekolah menengah terutamanya untuk ke sekolah berasrama penuh dan sekolah terpilih.

Selepas ini Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan menyusul. Sudah pasti bukan saja calon-calon peperiksaan tersebut sahaja yang berdebar-debar malah ibubapa juga turut merasa debarannya.

Bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan-peperiksaan tersebut, haruslah bersedia daripada awal dan gunakan hari-hari yang berbaki ini dengan sebaik mungkin. Berkat usaha yang gigih dan restu ibubapa, insyaAllah kejayaan cemerlang akan dikecapi.

Technorati Tags: , , , , , , ,

Posted by Azhad 4.9.06 0 comments

Subscribe here