Hari ini 1 Ramadhan 1427 umat Islam mula berpuasa menunaikan salah satu rukun Islam. Di kalangan mereka ini tentu ada yang baru pertama kali belajar untuk berpuasa terutama kanak-kanak dan yang baru memeluk agama Islam.
Ingat lagi masa zaman kanak-kanak dahulu, begitu lambat sekali masa bergerak apabila menunggu masa untuk berbuka puasa dan menjadi orang pertama duduk mengadap juadah berbuka. Bagi yang baru memeluk agama Islam tentu mempunyai cabaran yang lebih hebat kerana sebelum ini puasa adalah sesuatu yang tidak pernah dilalui. Isteri sepupuku berbangsa Cina dan dia telah memeluk agama Islam dua tahun sebelum bernikah. Pada peringkat awal ini memang agak mencabar kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan hukum hakam agama Islam.
Di samping itu ada juga di kalangan kita yang tahun ini berazam untuk mula berpuasa dengan erti kata sebenar. Kita mungkin pernah melalui atau mengetahui bahawa ada yang tidak berpuasa atau berpura-pura berpuasa dalam bulan Ramadhan ini. Baik semasa di sekolah, di IPT atau di pejabat mereka ini akan begitu kreatif untuk mendapatkan makanan di siang hari.
Sebagai sokongan kepada kesungguhan kita melalui bulan yang mulia ini mungkin Panduan Jasmani Puasa ini boleh membantu. Selamat berpuasa dan beribadat di bulan Ramadhan ini, semoga tahun ini kualiti amalan kita lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, insyaAllah.
Technorati Tags: nukilan, azhad, puasa, ramadhan
0 comments