Hari ini ialah penghujung kepada cuti sekolah selama dua minggu. Mereka yang belajar di sekolah berasrama hari ini akan mula kembali ke sekolah masing-masing. Mereka yang di sekolah harian mungkin sudah pun menyiapkan keperluan untuk pergi kelas esok. Bagi pemandu pula khususnya di bandar-bandar utama, esok akan kembalilah kesesakan lalulintas.
Cuti sekolah ini saya dapat mengisikannya dengan beberapa aktiviti bersama keluarga. Walaupun begitu ada juga beberapa perkara yang dirancang semasa cuti ini tidak dapat dilakukan samada kerana bertindih masa atau keadaan tidak mengizinkan. Saya tidak dapat menolong adik saya yang berpindah ke rumah baru di Semenyih kerana demam, maaf ye. Undangan kenduri seorang sahabat di Kajang juga tidak dapat dipenuhi kerana pada waktu yang sama kami sekeluarga berada di kampung.
Sebenarnya bagi mereka yang mempunyai anak, masa cuti sekolah inilah kita berpeluang untuk meluangkan lebih masa dengan mereka. Tidak kira samada mereka, belum bersekolah, masih bersekolah atau tidak lagi bersekolah. Masa yang diluangkan secara berkualiti ini pasti memberi kesan yang baik kepada diri anak-anak.
Ramai yang mengatakan semakin dewasa anak semakin renggang hubungan dengan ibubapa. Begitu juga dengan anak-anak bila semakin dewasa mereka semakin menjauhkan diri dari ibubapa. Memang biasa kita mendengar jawapan anak tidak dibawa bersama kerana mereka tidak mahu mengikut terutama apabila menziarahi kaum keluarga. Anak-anak sebenarnya secara amnya boleh dibahagikan kepada 3 peringkat. Jika ibubapa bijak melaksanakan peranan disetiap peringkat, insyaAllah akan sentiasa seronok dan suka bersama-sama keluarga.
Peringkat pertama adalah ketika anak dikandung sehingga berumur 5-6 tahun. Ketika ini anak adalah raja dan seboleh-boleh kita cuba memenuhi segala kehendak dirinya. Peringkat kedua pula ialah tawanan perang iaitu apabila anak mula masuk sekolah sehingga berumur 11-12 tahun. Ketika ini segala jenis peraturan dan panduan hendaklah diwajibkan kepada anak bagi membentuk displin dan tabiat anak. Jika peraturan atau panduan ini tidak dipatuhi hukuman mesti dikenakan. Peringkat ketiga dan terakhir ialah kawan apabila anak mencapai umur akil baligh dan ke atas. Pada masa ini anak hendaklah dilayan seperti kawan dan kita perlu banyak bertolak ansur serta selalu berbincang dengan anak.
Semoga setiap cuti sekolah akan dapat dimanfaatkan dengan baik bersama keluarga. Masa akan terus beredar dan umur semakin meningkat. Kita tidak tahu berapa lama kita dapat meluangkan masa dengan keluarga di masa akan datang. Ibubapa luangkanlah masa untuk anak-anak manakala anak-anak janganlah menjauhkan diri dari keluarga.
Technorati Tags: nukilan, azhad, cuti, sekolah, keluarga
0 comments