Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke 50 tahun.

Logo Sambutan 50 Tahun Kemerdekaan - Malaysiaku Gemilang

Malaysiaku Gemilang

Marilah kita semua
Atas nama negarabangsa
Dengan tekad mulia
Maju berwawasan
Mencipta keagungan

Berpadulah kita semua
Di dalam satu suara
Dengan degupan Merdeka
Menjulang budaya bangsa
Untuk Malaysia tercinta

Malaysiaku gemilang
Merdekanya terbilang
Berdaulat dan makmur
Berjaya kami syukur

Malaysia, kebebasan kedamaian
Malaysia, kebahagiaan kebanggaan
Malaysia, cemerlang terbilang
Malaysiaku gagah gemilang

Muzik oleh : Nik Nizam Jaafar - Istana Budaya
Lirik oleh : Rais Yatim & Hairul Anuar Harun

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 31.8.07 0 comments

Semalam telah berlangsung raptai penuh sambutan perayaan hari kemerdekaan ke 50 di Dataran Merdeka pada sebelah pagi dan di Stadium Merdeka pada sebelah malamnya. Di Dataran Merdeka adalah raptai penuh Majlis Perarakan dan Pebarisan Merdeka dan di Stadium Merdeka pula adalah raptai penuh Majlis Perhimpunan Raksasa Merdeka. Berpuluh ribu lapisan masyarakat terlibat bagi menjayakan kedua-dua majlis ini.

Malaysiaku Gemilang

Majlis di Dataran Merdeka mempunyai aturcara yang hampir sama seperti mana sambutan pada tahun-tahun yang lepas. Walaupun begitu acara padang dan perbarisan tahun ini lebih menumpukan kepada komponen rakyat bersepadu. Salah satu daya tarikan utama pagi itu ialah lintas hormat dan aksi akrobatik pesawat tempur termoden dunia, Sukhoi SU 30-MKM. Dilaporkan Duke Of York, Putera Andrew, Sultan Brunei Darulsalam, Perdana Menteri Singapura dan Presiden Filipina dan beberapa lagi pemimpin negara luar dijangka akan hadir di majlis tersebut.

Logo 50 tahun merdekaSementara itu di Stadium Merdeka pula majlis ini lebih tertumpu kepada mengenang sejarah kemerdekaan dan kepimpinan kesemua Perdana Menteri Malaysia. Bagi zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj digambarkan pencapaian kemerdekaan itu, Tun Abdul Razak Hussein dengan pembangunan pertanian, Tun Hussein Onn dengan Perpaduan Kaum, Tun Dr Mahathir Mohamed dengan pembangunan infrastruktur sementara Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pula dengan pembangunan modal insan.
Raptai Sambutan Kemerdekaan ke 50Raptai Sambutan Kemerdekaan ke 50Raptai Sambutan Kemerdekaan ke 50Raptai Sambutan Kemerdekaan ke 50

Semoga sambutan ulangtahun kemerdekaan ke 50 ini akan berlangsung dengan jayanya.

Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 30.8.07 1 comments

Bendera Persekutuan Tanah MelayuGambar di sebelah menunjukkan bendera Persekutuan Tanah Melayu yang telah digunakan dari tahun 1896 hingga 1950. Pada tahun 1949 sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung rekacipta bendera Persekutuan Tanah Melayu. Di dalam satu pertandingan peringkat kebangsaan sebanyak 373 penyertaan telah diterima di mana tiga rekaan bendera telah terpilih ke peringkat akhir.

Orang ramai telah dijemput untuk memberikan pendapat serta membuat undian tentang ketiga-tiga rekaan tersebut. Rekaan ciptaan seorang arkitek kerajaan dari Johor iaitu En Mohamad bin Hamzah telah terpilih. Rekaannya menggambarkan sebelas jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di sebelah kiri. Beberapa pindaan telah dibuat kepada rekaan tersebut dan rekaan akhir telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara untuk menerima rekaan berkenaan. Rekaan bendera itu akhirnya telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950.

Bendera MalayaBendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan buat kali pertama dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.

Kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru iaitu Malaysia. Majlis Raja-Raja telah memperkenankan rekaan Bendera Malaysia berdasarkan rekaan asal Bendera Persekutuan Tanah Melayu, dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur dan pecahan bintang bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan kelahiran Malaysia pada 16 September 1963.

Bendera Malaysia Jalur GemilangSungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang. Empatbelas jalur dan empatbelas pecahan bintang melambangkan maksud yang baru iaitu tigabelas buah Kerajaan Negeri dan satu Kerajaan Persekutuan.

Pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke40, Perdana Menteri Malaysia Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan Jalur Gemilang sebagai nama rasmi bendera Malaysia.

Sumber : Jabatan Penerangan Malaysia

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 27.8.07 0 comments

Bendera Malaysia - Jalur Gemilang
NEGARAKU

Negaraku
Tanah tumpahnya darahku
Rakyat hidup
Bersatu dan maju
Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan
Raja Kita
Selamat bertakhta


Semasa bersekolah lagu kebangsaan Negaraku akan dinyanyikan hampir setiap hari atau sekurang-kurangnya seminggu sekali. Apabila melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi lagu ini akan dinyanyikan pada majlis-majlis yang tertentu sahaja. Apabila melangkah ke alam pekerjaan pula kekerapan menyanyikan lagu ini akan berkurangan melainkan syarikat tempat kita bekerja itu ada melaksanakan perjumpaan atau perhimpunan yang menyelitkan nyanyian lagu kebangsaan.

Selain Jalur Gemilang, lagu Negaraku perlu dihormati sebagai tanda kebanggaan dan kesetiaan kita menjadi warganegara Malaysia. Di samping bangun dan berdiri tegak semasa lagu ini dimainkan, kita digalakkan menyanyikannya bersama-sama. Dukacita dikatakan tidak semua rakyak Malaysia yang menghormati lagu Negaraku. Masih ramai yang mengambil ringan malah ada yang secara terang-terangan memperlekehkannya.

Logo 50 tahun merdekaCubalah kita perhatikan reaksi orang di sekeliling apabila lagu Negaraku dimainkan. Kita pasti akan dapat melihat mereka yang dengan selambanya tidak menghiraukan lagu kebangsaan yang sedang berkemundang. Mereka ini akan terus duduk meneruskan apa sahaja aktiviti yang sedang dilakukan. Membaca, menghisap rokok, berbual atau sekadar duduk sahaja walaupun orang disekeliling sedang berdiri. Baru-baru ini kita dikejutkan pula dengan perbuatan seorang pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Taiwan telah mempersendakan lagu Negaraku. Rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai taat setia dan hormat terhadap negaranya sendiri. Kitalah orang pertama yang mesti sentiasa bersedia untuk mempertahankan kedaulatan dan maruahnya bukan sebaliknya.

Stambul Satu .. Terang Bulan .. Negaraku

Mengenang kembali asal usul lagu Negaraku membawa kita ke zaman sebelum merdeka. Lagu Negaraku sebenarnya berasal daripada sebuah lagu cinta, Terang Bulan. Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama telah memilih lagu itu untuk dijadikan lagu kebangsaan. Ahmad Merican, Lanthall, Croft, Bert Read, Alfonso Soliano dan Dol Ramli pula telah membantu mengolah semula lagu itu. Tunku jugalah yang mencadangkan supaya lagu tersebut dimulakan dengan pukulan drum.

Sementara itu lagu Terang Bulan pula dipercayai berasal daripada sebuah lagu yang popular di Seychelles yang digubah oleh seorang komposer Perancis, Beranger sekitar 1870an. Lagu tersebut juga telah selalu dimainkan oleh kumpulan bangsawan Indonesia yang kenali sebagai Indra Zanibar atau Wayang Kassim semasa membuat persembahan di Singapura. Lagu yang diberi nama Stambul Satu itu menjadi amat popular dan turut dinyanyikan oleh kumpulan bangsawan lain sebelum namanya ditukar kepada Terang Bulan.

Pada masa yang sama ketika itu lagu tersebut telah dijadikan lagu kebangsaan negeri Perak. Ini pun telah berlaku secara kebetulan ketika Sultan Idris dijemput oleh Ratu Victoria ke London pada tahun 1888. Ketika kapal yang membawa Sultan Perak berlabuh di Southampton, pihak kerajaan British telah meminta lagu kebangsaan negeri Perak untuk dimainkan semasa majlis sambutan diRaja. Raja Mansur yang mengiringi Sultan Perak memaklumkan beliau tidak ada membawa nota lagu tersebut tetapi boleh menyanyikan melodinya. Apabila Bandmaster tiba Raja Mansur telah menyanyikan melodi lagu kegemarannya yang pernah di dengar di Seychelles. Sebenarnya negeri Perak ketika itu tidak ada lagi lagu kebangsaan dan Raja Mansur berpendapat tidak berhemah jika memberitahu kepada kerajaan British sedemikian.

Begitulah serba ringkas cerita di sebalik lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 24.8.07 3 comments



Satu perjumpaan untuk blogger-blogger khususnya yang menulis dalam Bahasa Malaysia akan diadakan pada 25 Ogos ini di Pelita Nasi Kandar berdekatan dengan KLCC. Rumpun 2007 merupakan satu usaha yang dilakukan oleh HappyPeople Media dan ditaja oleh Advertlets. Setakat ini dianggarkan seramai 100 orang akan hadir. Jika berminat untuk menghadirkan diri silalah mendaftar.

Terkini :
Dilaporkan Rumpun 2007 telah berlangsung dengan jayanya. Cerita lanjut tentang perjumpaan ini boleh di baca di Terima Kasih Kerana Menjayakan Rumpun 07.

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 21.8.07 0 comments

Bendera Malaysia - Jalur GemilangTidak sampai dua minggu lagi kita akan menyambut ulangtahun kemerdekaan kali yang ke 50. Oleh itu apa kata kita mengimbas semula tema-tema hari kemerdekaan pada tahun-tahun lepas. Sebenarnya hari kemerdekaan hanya mempunyai tema bermula daripada tahun 1970. Setiap tahun tema ini diubah mengikut situasi semasa kecuali tahun 1988-1989 dan tahun 2000-2006.

1970 Muhibah dan Perpaduan
1971 Masyarakat Progresif
1972 Masyarakat Adil
1973 Masyarakat Berkebudayaan Malaysia
1974 Sains dan Teknologi Alat Perpaduan
1975 Masyarakat Berdikari
1976 Ketahanan Rakyat
1977 Bersatu Maju
1978 Kebudayaan Sendi Perpaduan
1979 Bersatu Berdisiplin
1980 Berdisiplin Berbakti
1981 Berdisiplin Berharmoni
1982 Berdisiplin Giat Maju
1983 Bersama Ke Arah Kemajuan
1984 Amanah Asas Kejayaan
1985 Nasionalisme Teras Perpaduan
1986 Bangsa Tegas Negara Teguh
1987 Setia Bersatu Berusaha Maju
1988 Bersatu
1989 Bersatu
1990 Berjaya
1991 Wawasan 2020
1992 Wawasan Asas Kemajuan
1993 Bersatu Menuju Wawasan
1994 Nilai Murni Jayakan Wawasan
1995 Jatidiri Pengerak Wawasan
1996 Budaya Penentu Kecapaian
1997 Akhlak Mulia Masyarakat Jaya
1998 Negara Kita, Tanggungjawab Kita
1999 Bersatu Ke Alaf Baru
2000-
2006 Keranamu Malaysia
2007 Malaysiaku Gemilang
2008 Perpaduan Teras Kejayaan
2009 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapian Diutamakan

Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 20.8.07 0 comments

Lima puluh tahun atau setengah abad merupakan satu jangkamasa agak panjang. Selama itulah negara Malaysia telah mengecap kemerdekaan daripada cengkaman penjajahan British. Sebelum itu Malaysia atau Malaya atau Semenanjung Tanah Melayu pernah juga ditakluki oleh Jepun, Belanda dan Portugis. Siri penjajahan ini bermula bila runtuhnya empayar Melaka.

Logo 50 tahun merdekaMajoriti rakyat Malaysia sekarang terdiri daripada mereka yang dilahirkan selepas merdeka. Jumlah penduduk Malaysia sekarang ialah 26.6 juta orang di mana 32% berumur 15 tahun dan ke bawah, 61% berumur di antara 16 hingga 59 tahun dan 7% berumur 60 tahun dan lebih. Ini bermakna sebahagian besar rakyat Malaysia tidak pernah merasai zaman sebelum merdeka. Ketika susahnya kehidupan semasa pendudukan Jepun atau merasai perjuangan kemerdekaan.

Kisah itu hanya boleh ketahui melalui pembacaan atau cerita yang disampaikan oleh atuk nenek atau emak ayah kita. Walaupun begitu berapa ramai dari kita yang berminat membaca cerita-cerita sejarah ini dan bertanya kepada mereka yang pernah melalui sejarah itu sendiri. Memandangkan rakyat Malaysia tidak minat membaca kecuali untuk peperiksaan atau yang berkaitan dengan pekerjaan sudah tentu pengetahuan tentang perkara ini amat kurang.

Setelah 50 tahun berlalu, bolehkah kita terus mengekalkan semangat kemerdekaan itu? Bagaimana pula dengan perkembangan rohani dan minda rakyat Malaysia selepas 50 tahun merdeka? Adakah generasi sekarang menghayati erti kemerdekaan itu? Banggakah kita menjadi rakyat Malaysia dan adakah kita bangsa Malaysia yang sejati?

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 3.8.07 1 comments

Sejak kebelakangan ini berbagai cerita tentang isu yang berkaitan tentang masalah disiplin di sekolah telah ditimbulkan. Pelajar merokok, melawan, kurang ajar, ponteng dan sebagainya. Masalah ini berlaku tidak kira samada di sekolah bandar atau luar bandar maupun sekolah biasa atau sekolah berasrama penuh. Sikap para pelajar sekarang ada yang menjangkau fikiran kita.

Sebenarnya terdapat beberapa pihak yang perlu bertanggungjawab tentang masalah disiplin ini termasuklah para pelajar sendiri, para guru, ibubapa, masyarakat serta kerajaan. Ketika ini apabila berlaku sesuatu insiden dengan mudahnya semua orang menunding jari ke arah guru. Sepatutnya setiap kes diteliti supaya punca kejadian itu dapat dikenalpasti. Selepas itu satu kajian yang lebih menyeluruh mesti dibuat bagi mencari ke akar umbi faktor yang menyumbang kepada berbagai masalah disiplin pelajar masa kini.

Para pelajar sekarang terdedah dengan pelbagai perkara di sekeliling mereka. Bahan bacaan, televisyen, wayang, internet, kawan, keluarga dan persekitaran masyarakat adalah antara yang banyak memainkan peranan dalam pembentukan peribadi seseorang itu. Ini termasuk keadaan dunia yang tanpa sempadan kini menyaksikan pelbagai pengaruh dari luar menjajah minda para pelajar sekarang. Walaupun begitu institusi keluarga dan sahabat merupakan sumber yang paling rapat dapat mempengaruhi pelajar.

Institusi keluargalah bermulanya peranan ibubapa mencorak kehidupan anak-anak yang dilahirkan bagai kain putih. Guru yang pertama seorang insan adalah ibubapa dan keluarganya sendiri. Seorang bayi akan belajar dengan melihat dan mencuba apa yang dilakukan dan disebut oleh orang di sekelilingnya. Oleh kerana keperluan kehidupan ibubapa terpaksa bekerja maka anak-anak kecil ini sehinggalah ke peringkat remaja biasanya diasuh oleh pembantu rumah.

Oleh itu amat penting bagi ibubapa melengkapkan diri dengan ilmu keibubapaan supaya dapat membesar dan mendidik anak dengan lebih sempurna. Ini perlu memandangkan ibubapa yang bekerja mempunyai masa yang terhad bersama dengan anak-anak. Masa yang singkat ini perlulah dimanfaatkan dengan sebaik mungkin supaya kasih sayang dan kemesraan kekeluargaan itu dapat dieratkan.

Sifat berdisiplin, akhlak yang mulia, budi yang pekerti serta patuh kepada ajaran agama semuanya perlu di semai dari rumah lagi. Seterusnya dipupuk di sekolah dan di semarakkan oleh masyarakat. Ibubapa sendiri perlulah menjadi teladan yang terbaik kepada anak-anak. Sekolah dan masyarakat juga perlu sama-sama mewujudkan suasana yang positif kepada perkembangan jati diri para pelajar yang meningkat remaja dan dewasa.

Kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran pula perlu membuat satu kajian yang menyeluruh berkenaan dengan sistem pendidikan dan peraturan sekolah yang sedia ada. Ketika ini sistem sekolah lebih menjurus kepada kecemerlangan akademik tetapi kurang ke arah kecemerlangan sahsiah. Ini dapat dilihat masalah disiplin dan moral juga ketara di sekolah sekolah berasrama penuh walaupun mereka yang belajar di situ terdiri dari mereka yang terpilih.

Jelaslah masalah disiplin pelajar ini akan hanya dapat dibendung jika semua pihak yang terbabit memainkan peranan masing-masing. Cuba fikirkanlah apa yang akan terjadi kepada negara kita yang tercinta ini jika mereka yang bijak tetapi tidak mempunyai jati diri serta rosak akhlaknya menjadi pemimpin. Menjatuhkan hukuman semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah. Mereka yang mempunyai masalah disiplin dan moral ini sebenarnya sedang sakit. Samada sakit jiwa, sakit hati, sakit fikiran atau sakit rohaninya. Mereka yang sakit perlu dirawat supaya dapat pulih semula. Mereka yang terjatuh perlu dibantu untuk bangun semula. Mereka yang tersesat perlu dibimbing ke pangkal jalan.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 2.8.07 4 comments

Bulan Ogos ini PIKOM PC Fair akan diadakan di beberapa lokasi sekitar bandar-bandar utama di Malaysia. Sebenarnya PIKOM PC Fair ini diadakan 3 kali setahun iaitu pada bulan April, Ogos dan Disember. Ini adalah kesempatan yang tidak harus dilepaskan oleh sesiapa yang ingin mencari apa sahaja yang berkaitan dengan komputer.

PIKOM PC Fair 2007
    3 - 5 Ogos 2007
    11:00 am - 9:00 pm

  • KL Convention Centre, Kuala Lumpur City Centre, 50888 Kuala Lumpur

  • Penang International Sports Arena, Penang

  • Dewan Jubli Intan, Kluang, Johor

  • Sabah Trade Centre, Kota Kinabalu, Sabah

  • Dewan Tun Hj Mustapha, Lahad Datu, Sabah

    10 - 12 Ogos 2007
    11:00 am - 9:00 pm

  • Johor Bahru City Square, Johor

  • Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak

  • Central Square, Sungai Petani, Kedah

  • Dewan Sri Mentakab, Pahang

    16 - 18 Ogos 2007
    11:00 am - 9:00 pm

  • KB Mall, Kota Bharu, Kelantan

  • Terengganu Trade Centre, Kuala Terengganu, Terengganu

    17 - 19 Ogos 2007
    11:00 am - 9:00 pm

  • Mahkota Parade Melaka, Melaka

  • Star Parade, Alor Star, Kedah

  • Dewan Merdeka MP Manjung, Perak
Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 1.8.07 0 comments

Subscribe here