Seorang wanita dipercayai warganegara asing telah ditahan tengah malam tadi bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam Nurin Jazlin Jazimin. Suspek terbaru ini bekerja sebagai pembantu gerai menjual pakaian dan dikatakan orang yang bertanggungjawab memberi makan dan minum pada Nurin Jazlin sepanjang tempoh kehilangannya.

Wanita berusia 23 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur bersama polis Daerah Petaling Jaya pukul 12 tengah malam ketika sedang bekerja di sebuah gerai di Pasar Ramadan di Nilai, Negeri Sembilan. Selepas ditahan wanita itu terus dibawa ke Bukit Aman untuk disoal siasat.

Tengahari tadi suspek yang memakai baju berwarna kuning bercorak batik dan berseluar coklat telah dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya diiringi dua anggota polis wanita menaiki sebuah kereta polis. Setiba di hadapan pintu masuk mahkamah wanita itu tiba-tiba rebah seolah-olah pengsan dan telah diusung anggota polis wanita masuk ke dalam mahkamah.

Perintah tahanan reman selama tujuh hari telah dikeluarkan oleh Hakim Maimunah Aid selepas mendengar permohonan pegawai penyiasat ASP Loh Pei Pei, menjadikan kini sejumlah lima orang ditahan reman berhubung kes pembunuhan Nurin Jazlin Jazimin.

Sumber : Bernama

TERKINI: Wanita warga Indonesia ini telah dibebaskan oleh pihak polis hari ini, 10 Oktober 2007 tanpa sebarang syarat. Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur SAC II Ku Chin Wah, wanita ini dibebaskan kerana polis tidak mempunyai bukti kukuh yang cukup untuk mendakwanya di mahkamah. Memandangkan wanita berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan, dia telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut. Ini adalah seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

, , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 29.9.07

0 comments

Post a Comment

Subscribe here