Bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga ahli Umno seumur hidup, telah mengumumkan keluar daripada parti itu pada hari Isnin 19 Mei 2008. Dr Mahathir menegaskan, tindakan itu diambil kerana beliau sudah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Umno sekarang, terutama Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang didakwanya gagal memperjuangkan nasib bangsa Melayu.

Dr Siti Hasmah turut keluar parti

Beliau akan berada di luar sehingga Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah meletakkan jawatan. Beliau juga meminta ahli Umno yang sayangkan parti, mengambil tindakan yang sama untuk keluar parti dan menyertai semula Umno apabila Datuk Seri Abdullah melepaskan jawatannya.

Tun Dr Mahathir MohamadDr Mahathir membuat pengumuman ini di hadapan lebih 1,500 hadirin, kebanyakannya ahli Umno Kedah pada majlis dialog 'Nasib Kedudukan Bangsa Melayu' di sebuah hotel. Majlis anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah (DPMK) itu turut dihadiri Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Nerang yang juga Timbalan Ketua Umno Bahagian Padang Terap, Datuk Syed Sobri Syed Hashim; Adun Sungai Tiang, Suraya Yaacob; bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid dan Pengerusi DPMK, Tan Sri Khalid Abdullah.

Secara berkias, Dr Mahathir berkata, mengikut amalan kedoktoran jika sesuatu anggota pada tubuh manusia tidak boleh lagi digunakan kerana penyakit serius, ia perlu dibuang supaya tidak merebak dan mengancam nyawa individu berkenaan.

Dr Mahathir bagaimanapun menafikan tindakannya itu mempunyai kaitan dengan arahan terbaru Kabinet supaya Peguam Negara memulakan siasatan serta merta berhubung segala tuduhan terhadap individu yang dinamakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai klip video peguam Datuk V K Lingam.

Dr Mahathir juga mendakwa Abdullah tidak sesuai menjadi pemimpin kerana terlalu lembut dan lembik apabila terlalu mudah tunduk kepada Singapura, Amerika Syarikat, Barisan Pejuang Hak-hak Hindu (Hindraf) dan Majlis Peguam.

Katanya, Abdullah tidak mahu menerima hakikat bahawa parti yang dipimpinnya, termasuk komponen Barisan Nasional (BN) kini di ambang kehancuran apabila tewas di lima negeri, termasuk Wilayah Persekutuan serta gagal merampas semula Kelantan.

Dr Mahathir juga berkata, rakyat Kedah juga wajar berbuat sesuatu kerana dilayan secara tidak adil apabila mereka tiada wakil dalam Kabinet sedangkan di sesetengah negeri jumlahnya terlalu ramai. Menurut beliau Perak, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan walaupun kalah ada wakil dalam Kabinet tetapi mengapa Kedah tiada seorang pun dilantik sebagai menteri penuh.

Dr. Mahathir merupakan bekas Perdana Menteri yang ketiga mengumumkan keluar Umno. Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tun Hussein Onn pernah keluar parti apabila Tengku Razaleigh menubuhkan Parti Semangat 46 ekoran krisis Umno 1987/88. Pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar juga pernah bertindak demikian.

Dr. Mahathir pernah dipecat pada 1969 selepas beliau menulis surat terbuka kepada Tunku Abdul Rahman mengkritik kepimpinannya ekoran pilihan raya umum tahun itu dan Peristiwa 13 Mei.

Turut mengikuti jejak Dr. Mahathir yang memegang nombor keahlian '0000001' untuk keluar Umno di Alor Star adalah isteri beliau Dr Siti Hasmah binti Mohd Ali yang memegang nombor keahlian '0000002' dan bekas Naib Presiden dan Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Sanusi Junid.

Sementara itu 300 orang ahli UMNO cawangan Jalan Badlishah di Merbok turut keluar dari parti. Mereka ini adalah antara yang turut hadir di majlis dialog 'Nasib Kedudukan Bangsa Melayu'. Menurut Pengerusi Cawangan Jalan Badlishah Mejar(B) Anuar Abdul Hamid, ahli bahagian Pemuda, Wanita dan Puteri akan turut sama meninggalkan parti.

Pengumuman Dr Mahathir keluar daripada parti UMNO ini boleh dibaca di laman blog beliau Che Det.

Technorati Tags: , , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 20.5.08

2 comments

  1. StuckS Says:
  2. pemikiran Dr.M memang di luar jangkaan :D ..

     
  3. nena Says:
  4. kdg2 rse takot ng dunia politik skrg...

     

Post a Comment

Subscribe here