Detik masa terus berlalu tanpa ada sesiapa yang dapat menghalang maupun memperlahankannya. Cuba kita renungkan sebentar bagaimana masa yang telah berlalu itu kita habiskan. Berapakah umur anda sekarang? Apakah yang telah anda lakukan semasa zaman kanak-kanak, remaja, belia dan dewasa anda? Apa pula perancangan anda untuk esok, minggu depan, bulan depan, tahun depan dan seterusnya?
1430H ~ 2009M
Masa juga membawa kita melangkah masuk ke tahun 1430 Hijrah dan selang beberapa hari lagi tahun 2009 Masihi pula. Maal Hijrah disambut setiap tahun oleh umat Islam seluruh dunia dengan berbagai aktiviti begitu juga dengan tahun baru Masihi. Apa yang penting adalah penghayatan rohani dan jasmani untuk menjadi lebih baik daripada tahun sebelumnya.Walaupun kita merasa kita telah buat yang terbaik selama ini pasti masih ada ruang untuk meningkatnya. Masa yang kita ada ini terutama di waktu lapang dan sihat selalulah dimanfaatkan ke jalan yang diredhai oleh Yang Maha Esa.
Sebagai permulaan mungkin kita boleh membaharui azam atau kepada yang tidak ada azam jadikan saat ini untuk meletakkan satu azam sempena bermula tahun baru ini. Azam untuk berubah, azam untuk bergerak ke arah yang lebih baik daripada sebelum ini, azam untuk mencapai sesuatu yang kita inginkan.
Setelah azam itu ditetapkan maka kita telah pun mempunyai satu matlamat yang hendak dituju. Bagi memastikan azam itu tidak tinggal sekadar azam semata-mata, kita perlulah pula menggariskan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapai matlamat yang ditetapkan itu.
Apabila destinasi telah ditentukan dan laluannya telah dirancangkan, insyaAllah azam kita itu akan tercapai. Cuma kuatkan iman dan tabahkan hati semasa menuju ke arahnya kerana pasti ada pelbagai godaan, gangguan dan rintangan yang terpaksa ditempohi.
Firman Allah ta'ala: “Demi masa, sesungguhnya manusia dalam kerugian, kecuali mereka yang beriman, yang mengerjakan amal soleh, yang berpesan-pesan dengan kebaikan, dan yang berpesan-pesan dengan kesabaran.”
Nabi s.a.w. bersabda; “Berusahalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan berusahalah untuk Akhiratmu seolah-olah kamu akan mati esok hari.” - Sahih Muslim
Semoga bila tiba tahun 1431 Hijrah dan 2010 Masihi nanti, anda boleh menoleh kebelakang dan merasa satu kepuasan dalam menjalani kehidupan ini.
Selamat Tahun Baru...
Technorati Tags: azhad, masihi, hijrah, tahun baru, azam, matlamat
This is such a nice and wonderful post. Thank you for sharing this blog. Pool Screen Installation Kissimmee, FL