Pada 20 Jun yang baru lepas umur ibuku telah mencecah 70 tahun. Kami adik beradik telah bersepakat untuk mengadakan majlis sambutan ulangtahun kelahiran ibu kami dan majlis tersebut telah pun selamat berlangsung pada hari Sabtu lalu. Jemputan adalah terdiri daripada jiran-jiran terdekat dan saudara-mara kami. Sungguh puas melihat ibuku sungguh gembira pada hari tersebut. Kami bertuah mempunyai seorang ibu yang sungguh istimewa.

Pulut KuningIbuku adalah bekas kakitangan kerajaan dan telah bekerja sebagai jururawat. Semasa ibuku masih bekerja beliau pernah menyambut kelahiran beberapa orang sepupuku. Sekarang ini ibuku hanya duduk di rumah memerhatikan cucu-cucunya membesar.

Majlis pada hari itu telah dimulakan dengan bacaan doa selamat oleh Abang Remy anak saudara ibuku sendiri. Selepas itu ibuku telah dijemput untuk memotong pulut kuning yang berbentuk nombor tujuh puluh. Di antara hidangan pada hari tersebut adalah pulut kuning dengan rendang, ayam dan udang bakar, tauhu dan sosej bakar, kerang bakar, nasi goreng cina, sup daging, beberapa kuih muih dan buah-buahan.

Apa yang menyeronokkan pada malam tersebut apabila beberapa orang sepupu dan anak buahku sama-sama membakar dan memanggang ayam, udang, kerang, tauhu dan sosej. Suasana pada malam tersebut boleh dilihat melalui koleksi gambar-gambar yang telah diambil.

Sebenarnya majlis sebegini memberi peluang kepada semua orang berjumpa dan beramah mesra dengan sanak-saudara. Maklumlah kehidupan di ibukota menjerat kita dengan berbagai kesibukan dan aktiviti setiap hari. Malah ada suasana di beberapa kampung yang sudah hampir sama dengan kesibukan di kota. Mungkin inilah yang terpaksa dibayar untuk pembangunan.

Terima kasih kepada semua yang telah hadir dan sama-sama memeriah sambutan ulangtahun kelahiran ibuku yang ke 70.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 23.6.08 3 comments

Akademi Al Quran musim ketiga telah pun berakhir semalam dengan menobatkan Mohd. Fakhrul Radhi Khamaruddin berumur 22 tahun sebagai juara pertandingan program realiti terbitan TV9 ini. Ini bermakna Mohd Fakhrul yang berasal daripada Kedah membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM30,000 beserta sebuah kereta Proton Saga dan piala kristal berbentuk al-Quran.

Mohd Fakhrul

Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzaman berumur 25 tahun yang berasal dari Perak pula diisytiharkan sebagai Naib Johan. Beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM20,000.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berumur 25 tahun telah memenangi tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai berjumlah RM10,000. Seorang lagi finalis yang bertanding pada peringkat akhir Akademi Al Quran dan memenangi tempat keempat ialah Syamsul Abu Hassan Alshaari berumur 24 tahun.

Seramai empat orang peserta bertanding di peringkat akhir Akademi Al Quran musim 3 ini, sebuah program realiti TV tempatan pertama yang memerlukan peserta memperdengarkan bacaan al-Quran mengikut kaedah tertentu.

Peringkat akhir Akademi Al-Quran musim ketiga ini telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan disiarkan secara langsung oleh TV9.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 20.6.08 2 comments

Akademi Al-Quran musim ketiga (AQ3) akan sampai ke penghujungnya pada hari Khamis ini, 19 Jun 2008. Empat orang peserta akan bersaing merebut gelaran juara AQ3 mengikuti jejak juara terdahulu Abdullah Fahmi dan Anuar Hashim. Peserta akhir AQ3 kali ini adalah Ahmad Tarmizi Abd. Rahman, Mohd. Fakhrul Radhi Khamarudin, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd. Badiuzzaman dan Syamsul Abu Hassan Al- Shaari.

Logo Akademi Al Quran AQProgram Akademi Al -Quran (AQ) telah meyaksikan maklum balas dan kepekaan masyarakat terhadap ilmu agama itu semakin bercambah. Sedikit sebanyak ia kembali bernyawa kerana semakin ramai yang mula menunjukkan minat untuk belajar perihal pengajian itu. Tambahnya lagi, peluang pekerjaan juga kian terbuka kepada peserta yang pernah menyertai AQ.

Program AQ juga telah menimbulkan minat dan kesedaran masyarakat kita untuk mempelajari ilmu agama dalam hafazan al-Quran. Secara tidak langsung, guru-guru agama juga sudah mula dicari semata-mata melengkapkan keinginan syurgawi mereka. AQ juga banyak membuka jalan kepada bekas peserta terdahulu daripada segi mendapat peluang menjawat jawatan di beberapa sektor pekerjaan. Ada yang menjadi pensyarah, ada yang bekerja di JAKIM dan ada juga yang menjawat jawatan sebagai Pengarah Tabung Haji bahagian Masjid di syarikat itu.

TV9 sebagai stesen yang merintis program realiti berasaskan agama akan berusaha untuk memastikan bakat-bakat yang diasah menerusi AQ tidak tercicir daripada mendapat perhatian masyarakat. Apa lagi stesen berkenaan menyifatkan AQ merupakan platform terbaik untuk membudayakan bacaan kitab suci Al-Quran, khususnya di kalangan generasi muda.

Peserta akhir AQ3TV9 akan melipatgandakan usaha untuk mempromosikan bakat-bakat AQ agar mereka boleh menjadi ikon muda yang disegani ramai. Jika pemenang rancangan realiti lain berjaya di luar sana selepas tamat pengajian mereka, begitu juga dengan peserta AQ. Mereka yakin, usaha dan pendekatan promosi yang baik akan membantu memperkenalkan bakat-bakat AQ ke peringkat yang lebih luas. Antara pendekatan yang dijangka paling efektif untuk mempromosikan qari dan qariah yang dilahirkan menerusi AQ ialah menerusi sesi jelajah Perkampungan Islam Hadhari yang dianjurkan stesen berkenaan.

AQ yang kini memasuki musim ketiga penerbitannya sudah membuktikan kemampuannya menarik perhatian khalayak televisyen. AQ yang diterbitkan oleh stesen yang berbangga dengan slogannya, Dekat Di Hati sehingga kini itu berjaya mencatat jumlah penonton sehingga 700,000 penonton setiap kali bersiaran.

Musim pertama dan kedua AQ sangat berbeza dengan musim AQ kali ini kerana setiap peserta akan memperdengarkan ayat-ayat suci (surah) Al-Quran secara ‘back to back’, di mana mereka membaca ayat yang sama tetapi dengan cara yang berbeza mengikut ilmu tajwid, qiraat dan taranum yang ditekankan.

Musim ketiga ini masih mengekalkan juri yang sama seperti musim lepas. Mereka terdiri daripada Ustaz Zambri Mohd Zainuddin (juri tajwid), Ustaz Nazri Abdullah (juri Qiraat) dan Ustaz Radzi Kamarul Hailan (taranum dan lagu).
Farrah Adeeba Mohamed Ashraff dan Abu Talib Husin akan bertindak sebagai pengacara.

Pemenang utama AQ3 akan memenangi sebuah kereta Proton Saga BML, piala kristal berbentuk Al-Quran serta wang tunai berjumlah RM30,000. Keputusan Akademi Al-Quran terletak 100 peratus di tangan pihak juri.

Akademi Al-Quran 3 peringkat akhir akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 19 Jun 2008 ini dan akan disiarkan secara langsung oleh TV9 mulai pukul 8.30 malam.

Technorati Tags: , , , ,

Zemanta Pixie

Posted by Azhad 17.6.08 0 comments

Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan baru-baru ini kenaikan harga petrol kepada RM2.70 seliter dan diesel kepada RM2.58 seliter. Bagi meringankan beban rakyat berikutan kenaikan harga minyak ini pemilik kereta yang berkuasa enjin sehingga 2,000cc, serta pikap, trak dan jip sehingga 2,500cc, akan mendapat rebet RM625 bagi setiap kenderaan manakala motosikal 250cc akan menerima RM150.

RM625 & RM150

Pada asalnya rebet ini akan hanya mula dibayar pada 1 Julai 2008 tetapi telah diawal kepada hari Sabtu ini 14 Jun 2008. Tuntutan rebet tunai minyak ini boleh dibuat di mana-mana pejabat pos. Semua pejabat pos beroperasi dari 8.30 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Sabtu kecuali di Kedah, Kelantan dan Terengganu berikutan Jumaat merupakan cuti hujung minggu. Pejabat pos ditutup pada Sabtu pertama setiap bulan dan juga pada cuti umum.

Berikut adalah prosedur untuk menuntut rebet tunai minyak tersebut;

  1. 1. Membawa kad pengenalan atau MyKad atau kad pengenalan polis/tentera.

  2. 2. Pemilik asal kenderaan sahaja.

  3. 3. Maksimum lima kenderaan persendirian bagi setiap pemilik.

  4. 4. Mengisi butiran seperti nama penuh, nombor kad pengenalan dan nombor pendaftaran kenderaan pada borang yang terdapat di pejabat pos.

  5. 5. Mengisi borang berasingan bagi setiap kenderaan.

  6. 6. Pos Malaysia akan mengesahkan butiran dengan sistem pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk menentukan kelayakan rebet tunai.

  7. 7. Pihak ketiga tidak dibenarkan membuat tuntutan bagi pihak pemilik kenderaan.

Selain membuat bayaran tuntutan secara tunai, Pos Malaysia juga menyediakan kemudahan bayaran rebet tunai menerusi kiriman wang.

Bagi mendapatkan bayaran melalui kiriman wang, pemilik kenderaan perlu melakukan prosedur yang sama dan juga menulis alamat tetap atau alamat surat menyurat serta nombor telefon untuk dihubungi pada borang yang sama. Borang ini hendaklah dimasukkan ke dalam kotak yang disediakan di pejabat pos.

Tempoh masa penerimaan bayaran kiriman wang melalui pos ini adalah lebih kurang tujuh hari. Kiriman wang ini boleh ditunaikan oleh pemilik kenderaan di pejabat pos atau memasukkannya ke dalam akaun bank persendirian.

Bagi tempoh Fasa 1, pemilik kenderaan yang telah membeli atau memperbaharui cukai jalan dari 1 April hingga 31 Mei tahun ini boleh membuat tuntutan mulai Sabtu ini sehingga 31 Mac tahun depan.

Bagi Fasa 2, pemilik kenderaan yang membeli atau memperbaharui cukai jalan dari 1 Jun tahun ini sehingga 31 Mac, 2009, boleh membuat tuntutan bagi rebet tunai di semua pejabat pos mulai 1 Julai.

Maklumat yang lebih terperinci mengenai tuntutan subsidi rebet tunai dan borang tuntutan rebet tunai ini boleh didapati di laman web Pos Malaysia.

Mampukankah rebet RM625 dan RM150 ini menampung bebanan rakyat dengan kenaikan petrol sebanyak 41% dan diesel 63% ?

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 13.6.08 7 comments

Tarikh Hari Bapa adalah pada hari Ahad ketiga bulan Jun pada setiap tahun, ini bermakna tahun ini jatuh pada 16 Jun 2008. Macam biasa hari bapa kurang disambut berbanding hari ibu seperti yang pernah disentuh blog ini tahun lepas. Di samping itu ada juga pihak yang menyarankan untuk tidak menyambut hari bapa ataupun hari ibu ini. Walaupun begitu ada juga pihak yang mengambungkan sambutan kedua-dua hari ini dan mengingatkan bahawa ibubapa perlulah sentiasa diingati sepanjang tahun.

selamat hari bapa

Ketika hari ibu bulan lepas saya telah menyenaraikan beberapa sajak yang ada kaitan dengan ibu. Jadi pada bulan ini saya ingin mengambil kesempatan untuk memaparkan beberapa sajak yang ada kaitan dengan insan yang dipanggil bapa, ayah, papa, atau abah pula. Akhir sekali adalah lagu Sentuhanmu dari kumpulan In-Team.


Selamat Hari Bapa Kepada Abah Wan….

tiap saat aku menghitung kerinduan terhadapmu…
hinggalah sekarang baru aku tersedar
ia sudah melimpah ruah….

kerana abah aku disini
kerana abah aku gembira
kerana abah kuterasa bahagia…
abah oh abah

abah…
semenjak kecil aku dibesarkan bagai menatang minyak yang penuh
semenjak kecil aku dimanjakan dengan belaian gurauanmu yang indah
semenjak kecil aku diberi penghargaan umpama seorang raja
abah…
ketika aku mengalah…
engkau semangatku
ketika aku sakit…
engkau penawarku
ketika aku bersedih…
kau air mataku
ketika aku ketawa
engkau riangku
dan ketika engkau berduka?
aku harap akulah penawar duka laramu
selamat hari bapa kepada abah wan…

Syazwan
June 2007


A Dad

A Dad is a person
who is loving and kind,
And often he knows
what you have on your mind.
He's someone who listens,
suggests, and defends.
A dad can be one
of your very best friends!
He's proud of your triumphs,
but when things go wrong,
A dad can be patient
and helpful and strong
In all that you do,
a dad's love plays a part.
There's always a place for him
deep in your heart.
And each year that passes,
you're even more glad,
More grateful and proud
just to call him your dad!
Thank you, Dad...
for listening and caring,
for giving and sharing,
but, especially, for just being you!

Nur 87
Jan 07


Ayahanda Tercinta

Ketika kejauhan
masihku hangat kasihmu ayah
betapaku rindukan redup wajahmu
hadir menemaniku

Terbayang ketenangan
yang selalu kau pemerkan
bagaikan tiada keresahan

Walau hatimu sering terluka
tika diriku terlanjur kata
tak pernah sekali kau tinggalkan
diriku sendirian

Ketikaku dalam kedukaan
kau mendakap penuh pengertian
disaat diriku kehampaan
kau setia mengajarku
erti kekuatan

Terpancar kebanggaan
dalam senyummu
melihatku berjaya
bilaku kegagalan
tak kau biarkan
aku terus kecewa
dengan kata azimat
engkau nyalakan semangat
restu dan doa kau iringkan

Tak dapatku bayangkan
hidupku ayah
tanpa engkau disisi
semua kasih sayang
yang kau curahkan
tersemat dihati.....

ya..pergorbanan ayah tercinta tidak dapat digambarkan..betapa besarnya pengorbanan ayah..tanpa ayah tiada ana di dunia..

airmata mengalir lagi..tak dapat dibendung...

ayah...
adik terlalu merinduimu..bilakah kita dapat bersua..

ayah...
adik sayangkan ayah..Kenapa kita dipisahkan??
Kenapa kita tak dapat bersama seperti mereka2 yang lain..terlalu dalam kerinduan ini pada mu ayah...

ayah...
diri ini ingin mengucup pipimu..mengucup dahimu...
diri ini bersama meluangkan masa denganmu..
tapi...
apakan daya...jarak memisahkan kita..

ayah...
ketahuilah diri ini terlalu merindui diri mu..rindukan belaianmu..kasih sayangmu
setiap malam diri ini berdoa agar dapat bertemu denganmu..

ayah..adik menyanyangi mu!!

abid 19
Jun 2007


Ayah

Pagi ini suluh mentari menghantar pulang
Jejak sepatuku masih ada debu kota meminggir
Diasak embun desa termanggu di halaman
Seratus langkahku menghampiri anak tangga usang
Rumah papan atap rumbia menyentak perantau
Sepi di beranda...

Kuatur langkahku sebak
Syahdu dan gementar
Ada tangisan di wajah
Menyentuh kenangan di gerbang pintu
Ayah selalu berkisah
Kuakan pintu itu ada nasihat
Masih basah keringat
Memantul warna senja kepulanganmu
Tanpa sungutan

Cepat benar masa berlalu
Waktu ayah menyambutku pulang
Usiamu diterjah putih kelabu
Ada perit getir di wajahmu
Kedut yang membungkus wajahmu
Mengasak kudrat ke telapak kesat tanganmu
Sering dahulu memeluk kami sebelum ke sekolah
Menghantar seribu luka di tumitmu
Dulunya menguak rahsia jalan
Aku menyambut memapah tubuh gementarmu
Kulihat dengan genang air mata
Sejuk dahiku kau kucup penuh restu

Sepohon pokok rendang tua
Ayah duduk memerhatikanku yang sudah dewasa
Membawaku ke sisi dan bercerita lagi kepadaku
Tentang kerinduan yang pernah ada dalam rumah
Tentang kasihan ibu kepada kami
Kata ayah “ibumu selalu sabar
Memahat senyuman pada dedaun padi
Yang menjadi alas kehidupan”

Ayah,
Seperti ibu yang selalu menangis gementar
Memanjat harapan ke hadirat-Nya
Anak-anakmu juga tidak dapat membezakan
Di antara turun hujan dan air matamu
Waktu ayah menghambakan hayat
Menyuah seluruh nafasmu ke bendang
Antara tergesa-gesa dan mengah
Dalam cahaya senja

Ayah,
Anak-anakmu yang sudah dewasa ini
Sesal dan terharu
Bagai kehilangan kuasa lidah
Sekalipun untuk mahu memohon maaf
Atau....
Berbicara tentang cinta dan kasih sayangmu
Yang waktu kecil kami dahulu
Selalu juga gagal ...
.....Gagal kami temui dalam setiap dakapan
.....Gagal kami hayati dalam setiap bilah rotanmu
.....Gagal kami dengar dalam setiap doamu
Hanya pelukan yang dapat kami bahasakan
Mengharapkan naluri ayah
bertemu bisik hati kami
Betapa kami....
tidak mampu pun suarakan
saat kami menyusun jari di pangkuan mu
dalam tangisan

Ayah,
Terima kasih kerana airmata mu
Tidak pernah gagal prihatin untuk kami
Terima kasih kerana ingatanmu di hujung rotan
Tidak pernah gagal mengasihani kami
Terima kasih kasih sayangmu yang takjub
Tidak pernah gagal mengingatkan kami dalam hati mu
Terima kasih atas segala susah payah
Tidak pernah gagal memanjatkan doa

Doa ibu membawa ke syurga
Doa ayah jalan ke syurga

Little Mike
Jun 2007


Sentuhanmu

Album : Damba Kasih
Munsyid : In-Team

Terpanar aku pada sentuhan keramatmu
Mengheret aku mentafsir memori silammu
Dulu ku ragu apa terbungkam dibenakmu
Kini ku tahu apa yang terbuku di hatimu

Surut dedarku pada usapan manteramu
Tunduk ungkalku pada ketegasan dirimu
Terpasak semangat pada keyakinan tekadmu
Keakuranku pada tunjuk dan titah arahanmu

C/O
Oh ayah,
Tak pernah ku tanya
Kemana tumpahnya keringatmu
Oh ayah,
Tak pernah ku hitung
Berapa banyak kerutan di dahimu
Yang ku pinta hanyalah kemahuan hatiku
Yang sedaya ayah laksanakan

Kau pendorong bukanlah pendesak
apalagi memaksa diriku
Aku terlorong bukan terdesak
apalagi rasa terdera

Tak terkuis dugaan menduga
Apalagi takdir yang menerpa
Aku mengharap bukan menolak
Apalagi cuba melupa

Lestari kasihmu tanpa batasan
Sempadan waktu yang memisahkan
Abadi hingga ke hujung usia akhiran masa
Sentuhanmu amat bermakna..

Melodi: Abai Os (Hijjaz Records)
Senikata: ITO Lara (Gurindam Entertainment)
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.


Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 6.6.08 12 comments

Subscribe here