Hujung tahun menjelma lagi begitu juga dengan air yang melimpah ke dalam rumah-rumah di negeri Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu. Pada tahun lepas kita telah dikejutkan dengan banjir besar yang melanda negeri Johor yang mengakibatkan kerugian besar termasuk harta benda dan nyawa. Bagi meringankan kesusahan yang dihadapai oleh mangsa banjir, semua pihak sudah lebih bersedia kali ini untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Setakat semalam di Johor, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di negeri ini ialah seramai 13,945 orang daripada 3,353 keluarga. Sementara di Terengganu, jumlah mangsa banjir ialah 260 orang daripada 63 keluarga. Manakala di Kelantan pula jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan ialah seramai 2,600 orang. Di Pahang, bilangan penduduk di negeri itu yang ditempatkan di pusat-pusat pemindahan kini mencecah 10,097 orang.

Jumlah korban semasa musim banjir setakat semalam adalah 10 orang. Diharapkan angka ini tidak meningkat lagi. Apa yang penting ialah semua pihak mengetahui apa yang perlu dilakukan apabila berdepan dengan situasi banjir ini bagi meminimakan risiko kerosakan dan kehilangan harta-benda serta nyawa.

Berikut adalah adalah panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa;

Persediaan menghadapi banjir

* Dapatkan maklumat tentang banjir di tempat anda seperti sistem amaran banjir dan lokasi pusat pemindahan
* Periksa dan bersihkan semua lubang air semada longkang atau saluran perparitan
* Pastikan seluruh ahli keluarga mengetahui cara-cara bertindak semasa kecemasan

Tindakan semasa banjir

Di dalam rumah

* Dengar pengumuman dari radio dan televisyen
* Simpan air bersih
* Bawa masuk perabut dari luar rumah
* Simpan dokumen penting di tempat yang selamat
* Bersedia untuk menutup suis elektrik, injap utama bekalan air dan gas
* Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan
* Ikut laluan yang ditentukan

Di luar rumah

* Berpindah awal dan semasa hari siang, ianya lebih mudah dan selamat
* Pergi ke tempat tinggi dan selamat
* Jangan bersiar-siar di kawasan banjir
* Jangan sentuh kabel atau wayar yang jatuh
* Jangan minum air yang tercemar
* Jika diarahkan keluar dan berpindah, segera lakukan
* Awasi kanak-kanak

Tindakan selepas banjir

* Jangan kembali ke rumah sebelum dibenarkan
* Beri bantuan kepada jiran atau orang kurang upaya
* Jangan terus memasuki rumah. Periksa kerosakan dinding, lantai, siling, pintu dan tingkap.
* Lihat tanda-tanda rekahan atau mendapan
* Gunakan kayu untuk mengalihkan sebarang halangan di lantai rumah. Periksa kehadiran binatang atau serangga berbisa dan berbahaya
* Periksa paip saluran gas, wayar elektrik, peralatan elektrik dan bahan-bahan mudah terbakar.
* Periksa kerosakan tangki septik
* Buang bahan-bahan makanan dan minuman yang terendam
* Laporkan sebarang kerosakan kemudahan-kemudahan awam kepada pihak berkuasa

Jika kenderaan anda terperangkap di dalam banjir

* Kurangkan kelajuan kenderaan anda ketika hujan
* Nyalakan lampu kerana ini membolehkan anda melihat dengan lebih jelas
* Pilih laluan yang lebih selamat
* Jangan melalui jalan yang sedang dinaiki air
* Jangan memandu di dalam keadaan hujan yang terlalu lebat
* Berhenti di tempat yang selamat dan nyalakan lampu isyarat kecemasan (hazard light)
* Ikut arahan pihak berkuasa
* Jika enjin kenderaan anda mati di tengah banjir, keluar segera dan beredar ke kawasan yang lebih tinggi
* Jangan cemas dan bersedialah untuk meninggalkan kenderaan anda
* Segera tinggalkan kenderaan anda apabila keadaan bertambah buruk
* Segera ke tempat yang tinggi dan dapatkan bantuan
* Hubungi polis atau bomba untuk mendapatkan bantuan
* Ingat, tindakan awal dapat menyelamatkan nyawa anda dan orang yang disayangi


Berikut pula adalah panduan penjagaan kesihatan semasa banjir;

• Sentiasa minum air yang telah dimasak
• Makan makanan yang dimasak sahaja. Elakkan memakan makanan mentah seperti sayur-sayuran yang belum dimasak dan ulam-ulaman
• Tudung semua makanan dan jangan makan makanan yang terdedah
• Jaga kebersihan diri dan kawasan sekeliling
• Basuh tangan sebelum makan dan selepas ke tandas
• Guna tandas yang sempurna
• Buang sampah di tempat yang betul
• Dapatkan suntikan vaksin mengikut nasihat doktor
• Dapatkan rawatan segera sekiranya anda mengalami cirit-birit dan muntah-muntah

Technorati Tags: , , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 12.12.07

0 comments

Post a Comment

Subscribe here