Aku telah berpeluang menonton Sepet dan aku pelawa anda semua menontonnya juga.

Aku bukanlah kaki wayang kerana dalam setahun cuma beberapa kali sahaja kaki aku akan menjejak ke panggung. Biasanya aku pergi bila betul-betul ada masa terluang atau diajak oleh sesiapa.

Filem Sepet adalah filem pertama yang aku tonton tahun ini. Bagi aku ianya mempunyai satu daya tarikan yang tersendiri. Malah semasa aku menonton menemani seseorang, hampir separuh daripada penonton ketika itu adalah bangsa Cina.

Semasa menonton filem ini, kita mesti menghayati bait-bait dialog yang dilafazkan oleh para pelakonnya. Banyak maksud dan pesanan yang cuba disampaikan melalui dialog filem ini. Suka atau tidak itulah kenyataan kehidupan kita di negara tercinta Malaysia.

Pergilah menonton Sepet dan cuba memahami apa yang cuba disampaikan oleh penulis dan pengarahnya. Selepas itu tanyalah di manakah kedudukan diri kita?

Posted by Azhad 26.2.05 0 comments

Filem Sepet akan mula ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 24 Februari 2005 ini. Berikut adalah petikan daripada akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 11 April 2004;


Sepet, dunia impian Yasmin

Selepas filem pertamanya,Rabun yang mendapat reaksi pelbagai daripada penonton, Yasmin Ahmad bakal muncul dengan sebuah lagi filem cereka. Filem keduanya ini masih lagi tentang cinta dan tajuknya kali ini kena-mengena dengan mata-Sepet.

Kalau Rabun mengangkat dunia cinta pasangan suami isteri yang sudah lanjut usia tetapi berkasih sayang seperti orang muda, Sepet pula terjun langsung ke dalam permasalahan cinta remaja.

Dalam Sepet, Yasmin memilih untuk mengangkat kisah cinta antara dua remaja yang berlainan bangsa dan agama - cinta lelaki cina penjual VCD haram bernama Jason@Ah Loong dengan Orked, gadis ayu daripada keluarga Melayu yang baru tamat tingkatan lima.

Dalam satu pertemuan baru-baru ini, Yasmin menegaskan bahawa Sepet bukan hanya tentang kisah cinta Jason@Ah Loong dan Orked.

“Ini sebuah cerita cinta yang tidak mengenal batas masa,bahasa,umur,sempadan,pangkat dan darjat. Ini kisah cinta yang tidak perlu kepada pengertian dan huraian,” katanya.

Sepet yang sudah siap penggambarannya akan menjalani proses akhir di India tidak lama lagi dan dijangka menemui para penonton di pawagam penghujung Ogos ini.

Dalam beberapa tayangan versi roughcut filem itu baru–baru ini, Sepet yang memakan masa 1 jam 50 minit itu mendapat sambutan dan reaksi yang cukup menggalakan. Mereka yang menontonnya nyata terhibur –ketawa dan sesetengahnya bertakung air mata.

Malah beberapa orang daripada mereka juga mengakui bahawa kekuatan Yasmin ialah keupayaaannya menggabungkan insiden yang komik sekali gus menyayat hati. Apabila dua perasaan itu bersatu kesan daripada sebuah adegan ia sudah tentu mengingatkan kita kepada apa yang pernah diucapkan oleh pengarah besar Perancis, Francois Truffaut bahawa itulah sebuah kerja seni yang mengagumkan.

Secara umumnya, mereka yang telah menontonnya sepakat mengatakan bahawa kekuatan Sepet banyak terletak kepada cerita dan tema yang diketengahkannya.

Selebihnya, filem itu secara jujur bercerita tentang Malaysia. Malah tidak keterlaluan kalau dirumuskan bahawa selepas Mekanik dan Spinning Gasing, Sepet adalah sebuah filem yang berjaya merakamkan dengan jujur tentang masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Cerita dalam Sepet itu diungkapkan dengan tepat sekali melalui dialog Keong, watak anak muda Cina kawan kepada Jason@Ah Loong. Kata Keong:”Sejak bertemu Orked, aku tidak pernah suka kepada orang Melayu. Bukan aku tidak suka tetapi aku tidak pernah memikirkan tentang mereka.”

Sepet adalah sebuah lakon layar yang ditulis oleh Yasmin lebih 10 tahun lalu. Ketika itu tajuk asalnya ialah Petaling Street dan kemudian ditukar menjadi Ah Loong dan Intan.

Filem ini nyaris-nyaris hampir tidak jadi dibuat kerana fail lakon layarnya yang tersimpan dalam komputer peribadi Yasmin secara tidak sengaja telah hilang terpadam.

Mujur salinan naskah Ah Loong dan Itan itu ada dalam simpanan Dominique Hee, penerbit filem Spinning Gasing yang juga seorang kenalan rapat Yasmin.

“Saya meminjam naskah itu daripadanya dan menaipnya semula pada penghujung tahun lalu,”kata Yasmin.

Setelah proses menaip semula itu,Yasmin berpeluang melihat kembali naskah itu, kali ini dengan mata yang lebih segar dan pandangan yang lebih terbuka.

Ah Loong dan Intan sekali lagi melalui rombakan dan diberi judul baru, Sepet. Setelah siap itu pun, Sepet dirombak lagi beberapa kali.

Dalam tempoh antara Petaling Street sehingga membawa kepada Sepet itu, cerita tentang kasih sayang yang tidak mengenal batas kaum dan agama itu sememangnya begitu kental dalam pemikiran Yasmin.

Malah beberapa iklan Petronas sempena musim perayaan seperti Friends Again, Different World, Lee Yan's Best Friend dan Rokiah & Letchumi yang ditulis oleh Yasmin juga menyentuh tentang isu yang sama. Yasmin mengakui bahawa dia mengimpikan sebuah Malaysia yang penduduk berbilang bangsanya boleh hidup dengan lebih bersatu padu tanpa beza-membeza.

“Secara jujur saya katakan begini saja. Sehingga hari ini saya rasa bersalah melihat orang bukan Melayu yang cemerlang tidak mendapat bantuan yang sama seperti anak-anak Melayu,”katanya.

Setelah yakin dengan naskah yang ada di tanganya dan setelah didesak oleh rakan-rakan yang tidak sabar mahu terlibat menyiapkan Sepet, pemilihan pelakon dilakukan.

Ketika kebanyakan pengarah masa kini mengambil jalan mudah menampilkan bintang popular-penyanyi dan model sebagai pelaris filem arahan mereka, Yasmin memilih jalan yang sebaliknya. Dua watak utama, Jason @Ah Loong dan Orked yang menjadi penggerak kepada keseluruhan cerita dalam filem ini dimainkan oleh muka baru, Ng Choo Seong dan Sharifah Amani.

Choo Seong, seorang pengarah kreatif di Leo Burnett Advertising Sdn.Bhd, pejabat tempat Yasmin bekerja. Sepet adalah pendedahannya yang pertama kepada dunia lakonan.

“Saya ada beberapa orang calon untuk watak itu tetapi saya tidak pernah menyangka bahawa Jason@Ah Loong setiap hari sebenarnya melintas di depan mata saya,” kata Yasmin.

SepetWatak Orked pula dimainkan dengan cukup berkesan oleh Sharifah Amani Syed Zainal Rashid al-Yahya, anak kepada pelakon terkenal dan pengarang kanan di New Straits Times, Fatimah Abu Bakar. Adik kepada pelakon Sharifah Aleya sebelum ini muncul sebagai pelakon pembantu dalam Mimpi Moon arahan Shuhaimi Baba. Sepet merupakan pengalaman pertamanya berlakon sebagai watak utama.

Mereka dibantu antara lain oleh Harith iskandar, Ida Nerina, Adibah Noor dan Thor Khar Hoong. Dari sudut teknikal, Sepet yang diterbitkan oleh MHz Sdn Bhd mengekalkan tenaga krew yang sama dalam Rabun dengan Keong Low sebagai pengarah sinematografi dan Affandi Jamaludin sebagai penyunting.

Ditanya tentang harapannya terhadap Sepet, Yasmin berkata, "dia hanya mahu orang menikmati filem itu dan kemudian berbincang mengenainya.” Sepet mahu memberitahu bahawa kita boleh menyayangi orang lain yang sama sekali berbeza dengan kita. Kita boleh mengasihi orang yang langsung tidak kita fahami.

“Orang Melayu boleh mengasihi orang Cina dan begitu sebaliknya. Majikan boleh menyayangi pekerja mereka. Orang Cina boleh menyukai puisi yang ditulis oleh orang benggali,”kata Yasmin.

Itulah yang dapat dilihat dalam Sepet. Di dalam filem itu, Kak Yam yang berkerja di rumah Orked tidak dilayan seperti orang gaji. Jason@Ah Loong yang lahir dalam sebuah keluarga peranakan minat kepada puisi dan cukup menggemari puisi-puisi Rabindranath Tagore.

“Selebihnya saya mahu anak-anak muda Melayu dan Cina bersama-sama ke panggung menonton filem ini dan saling mengenali dunia satu sama lain,”tambahnya.


PANCAINDERA
MINGGUAN MALAYSIA
AHAD 11 APRIL ,2004

Laman web rasmi Sepet - http://www.sepet.com.my
Laman blog pengarah Sepet, Yasmin Ahmad - http://yasminthestoryteller.blogspot.com

Posted by Azhad 22.2.05 0 comments

Hari ini pada tahun 1973 adikku telah dilahirkan dan pada 11 Julai 1993 pula beliau telah kembali meninggalkan kami semua dengan mengejut.
Tarikh tersebut merupakan satu detik hitam bagi diriku dan keluargaku. Aku telah kehilangan seorang adik yang sangat rapat denganku. Beliau telah meninggal dunia akibat satu kemalangan kapal terbang.

Sehingga kini walaupun sudah hampir 11 tahun beliau tiada tetapi aku masih terbayang gurau senda dan tawa riang beliau. Begitu juga dengan sikap beliau yang begitu manja denganku.

Tiada siapa menyangka beliau akan pergi pada usia semuda 20 tahun. Aku sungguh tersentap dan mengambil masa yang lama untuk menerima ketiadaan beliau. Memandangkan beliau bukan sahaja rapat malah manja denganku, kehilangan beliau secara tiba-tiba telah membawa kesan yang mendalam kepada diriku.

Aku masih merindui beliau .......................

Posted by Azhad 21.2.05 0 comments

Pernahkah anda ditipu atau dibohong? Atau pernahkah anda berbohong atau menipu? Kenapa perlu anda berbohong atau menipu?

Sesiapa sahaja tidak mahu dan tidak suka diri mereka dibohongi tetapi tidak kisah jika diri sendiri menipu. Jika kita tidak mahu dibohongi sepatut kita tidak berbohong. Tentu kita akan terasa apabila orang lain menipu kita. Oleh itu fikirkanlah perasaan orang lain sebelum kita menipu.

Lambat laun orang akan tahu kita berbohong dan ketika itu kita akan kehilangan kepercayaan orang lain terhadap diri kita. Ingat kisah sigembala dengan musang. Kita pasti akan susah bila orang tidak lagi mempercayai kita. Kita juga tidak akan disukai bila diketahui kita ini suka berbohong.

'Berani kerana benar!', begitulah kata pepatah Melayu. Oleh itu kuatkan pendirian diri dan jadilah orang yang berani kerana orang yang berbohong itu sebenarnya penakut. Malah kita sebenarnya berbohong kepada diri kita sendiri apabila kita berbohong kepada orang lain. Hari ini mungkin kita mendapat keuntungan apabila berbohong tetapi hari esok belum tentu lagi.

Jangan lupa bahawa hati orang yang menyayangi kita akan lebih terasa jika kita berbohong. Sanggupkah kita melukakan hati orang yang kita sayangi?

Posted by Azhad 18.2.05 0 comments

Mengapa kita dikatakan kurang membaca? Adakah disebabkan pengaruh kajian membaca kebangsaan? Sejauh manakah kebenaran itu? Bolehkah ia dibuktikan dengan kajian pemerhatian sendiri? Apakah kajian itu mengambilkira faktor-faktor mengapa keadaan sebegitu berlaku? Adakah kita perlukan kajian benchmarking ke atas budaya membaca kita berbanding dengan negara-negara yang mempunyai tahap membaca yang tinggi?

Inilah antara persoalan-persoalan yang berlegar-legar di fikiran saya ketika melihat senario yang berlaku di kalangan masyarakat kita apabila disentuh tentang budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Tak keterlaluan untuk saya katakan bahawa purata jumlah 2 buah buku dibaca oleh rakyat Malaysia setahun merupakan nombor yang perlu dikaji dengan lebih mendalam.

Kita perlu lebih kritis. Mengapa hanya 2 buah buku secara puratanya dibaca oleh rakyat Malaysia setahun? Tentunya bersebab.


Artikel ini dipetik dari BukuOnline. Sila ke sana untuk mengetahui sebab-sebab mengapa rakyat Malaysia terlalu kurang membaca.

Posted by Azhad 17.2.05 0 comments

Setiap insan di dunia ini sudah pasti mahukan sesuatu yang lebih baik kepada diri mereka. Dalam masa yang sama kita semua mahu mengubah diri kita ke satu tahap yang lebih sempurna dari apa yang kita punyai sekarang.

Untuk berubah sebenarnya bukan semudah menyebutnya. Di samping berbagai faktor yang akan mempengaruhi perubahan itu. Perubahan yang kita semua tak dapat elak ialah perubahan kepada peningkatan umur. Seorang kanak-kanak berubah menjadi seorang remaja (lihat Nurjenna), seorang remaja menjadi dewasa dan dewasa menjadi tua.

Bagaimana pula dengan pegangan dan matlamat hidup kita? Begitu juga dengan tabiat, perangai dan sikap diri kita? Pasti ini semua akan berubah selari dengan peningkatan usia kita tetapi bolehkah ianya dikawal dan dibentuk?

Semasa kanak-kanak, ibubapa ialah orang bertanggungjawab membentuk sahsiah diri kita. Ketika remaja, kawan-kawan yang banyak memainkan peranan. Apabila dewasa, keadaan sekeliling pula yang mempengaruhi.

Adakah ini bermakna kita tidak boleh menentukan perubahan pada diri kita? Cuba imbas kembali perubahan yang telah kita lakukan pada diri kita. Apakah faktor yang menyebabkan kita berubah?

Posted by Azhad 15.2.05 0 comments

Kira-Kira 15 hari yang lalu, seorang hamba Allah, telah pun kembali ke rahmatullah secara mengejut kerana sakit jantung. Allahyarham adalah merupakan seorang yang amat dihormati dan disegani di kampung beliau.

Semasa jenazah Allahyarham diletakkan di ruang tamu rumahnya sementara menunggu untuk diuruskan oleh saudara mara dan sahabat handai, isteri Allahyarham tidak berhenti-henti meratapi jenazahnya sambil merungut-rungut.

Penulis asal cerita ini yang kebetulan anak saudara Allahyarham, ada di sebelah balu Allahyarham pada ketika itu. Beliau merasa amat hairan dengan sikap balu arwah itu. Si balu sepatutnya membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk dihadiahkan kepada arwah. Kira-kira 10 minit kemudian, kakak ipar arwah (kakak balunya)pun sampai.

Beliau turut merasa hairan dengan sikap adiknya yang meratapi dan merungut itu, lantas beliau melarang adiknya berbuat demikian sambil bertanya akan sebabnya.

Penulis yang masih berada di situ merasa amat terkejut apabila mendengar jawapan yang diberikan oleh balu Allahyarham itu.

Sila ke http://nurjenna.blogspot.com untuk membaca kisah sepenuhnya.

Posted by Azhad 12.2.05 0 comments

Aku telah menerima satu email yang mengandungi sebuah kisah yang patut dijadikan renungan kita bersama .........

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke K.Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan.

"Abg nak beli kuih?" Katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

"Tak apalah dik... abg dah pesan makanan," jawap saya ringkas. Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abg dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abg baru lepas makan dik, masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut. Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat.

Setiap yang lalu ditanya... " Nak tak beli kuih saya bang.. Pak cik... kakak atau makcik." Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalng dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu , membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumanya. Saya lihat umurnya lebih kurang 12 tahun.

"Abg dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya. Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

" Ambil ni dik! Abang sedekah... tak payah abang beli kuih tu" saya berkata ikhlas kerana perasaan kesian meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya.

Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya. Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.
"Kenapa adik berikan duit abg tadi pada pengemis tu? Duit tu abg bagi adik!" kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekali gus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abg nak beli semua ke?" dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang.....! Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan.

Dalam perjalanan ke K.Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatim kah?? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya?? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kesian, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!!!

Posted by Azhad 10.2.05 0 comments

Aku ingin mengucapkan Selamat Menyambut Maal Hijrah kepada semua umat Islam. Semoga tahun 1426H ini menjadikan kita lebih bertakwa kepada Allah swt. dan bersyukur dengan segala rezeki yang dikurniakan kepada kita.

Hijrah Satu Wawasan
Album : Damba Kasih
Munsyid : In-Team

Setiap insan yang berwawasan
Inginkan perubahan
Untuk mencapai segala impian
Untuk mencipta suatu kejayaan
Yang lebih gemilang

Mulakan hijrah dengan niat
Yang suci dan pasti
Membina kehidupan harmoni
Hijrah menuntut pengorbanan kesabaran ketabahan
Sejahtera hidup aman sentosa

C/O
Hijrah satu peralihan
Dalam meniti arus kehidupan
Dari kejahilan kepada kebenaran
Contohilah Rasulullah
Berhijrah dari Makah ke Madinah
Demi menegakkan kalimah yang suci

Hijrah satu perubahan
Dalam meniti arus kemodenan
Dari kemunduran kepada kemajuan
Hindarilah permusuhan
Bersatu padu erat kasih sayang
Demi menjayakan hijrah yang murni

Senilagu: Putra Aiman (Hijjaz Records Sdn. Bhd.)
Senikata : ITO Lara (Gurindam Entertainement)
Hakcipta : Hijjaz Records Sdn. Bhd.
Sumber http://www.hijjaz.com.my/


Untuk yang berminat untuk mengetahui tarikh lahir anda dalam tahun hijrah sila layari laman web ini http://www.islam.com/islamicdates.asp

Posted by Azhad 9.2.05 0 comments

Penantian itu satu penyiksaan. Di dalam menempuh kehidupan seharian sudah pasti ada ketikanya kita terpaksa menunggu sesuatu. Sekurang-kurangnya menunggu bas, menunggu lampu isyarat bertukar hijau, menunggu balasan sms, menunggu jawapan, menunggu keputusan dan sebagainya.

Pada hari Sabtu lepas aku telah dihambat kegelisahan dengan terpaksa menunggu selama sehari semasa menghantar keretaku untuk dibaiki. Apa yang menyebabkannya lebih berat lagi ialah kerana aku telah berjanji untuk berjumpa dengan seseorang pada hari tersebut. Pastinya dia juga terpaksa menunggu. Aku menanti siapnya kereta dibaiki dan dia termanggu mengharapkan kehadiranku.

Aku telah sampai ke workshop tersebut seawal 8.30 pagi dan menyatakan masalah keretaku. Aku diberitahu keretaku boleh siap menjelang tengahari. Kita hanya boleh merancang tetapi hanya Allah yang akan menentukannya. Rupa-rupanya keretaku mempunyai beberapa masalah lain yang perlu dibaiki. Dari satu masalah ke satu masalah dan akhirnya keretaku siap sedikit selepas pukul 6 petang.

Sementara menunggu aku telah sentiasa bersms dengan dia untuk memberitahu status keretaku yang sedang dibaiki. Aku rasa bersalah sekali kerana dia terpaksa menunggu kehadiranku. Aku sendiri merasa sungguh bosan dan tidak senang duduk menanti siapnya keretaku. Akhirnya apabila keretaku siap dapatlah aku berjumpa dengan dia. Aku dapat lihat terpancar diwajahnya rasa hampa tetapi gembira. Hampa kerana aku lambat dan gembira kerana masih dapat berjumpa denganku.

Sebenarnya aku telah berjanji untuk datang melawat anak buahku yang sedang belajar di sebuah sekolah berasrama penuh. Semenjak awal tahun lagi sememangnya setiap hari Sabtu aku akan melapangkan masa untuk melawat dia sambil membawa sedikit makanan dan sebarang keperluan lain yang dipinta. Dia tidak meminta aku datang tetapi aku sendiri yang ingin bertemu dia. Lagipun selepas ini mungkin dia susah untuk menerima kedatanganku apabila mula sibuk dengan kegiatan ko-kurikulum. Oleh itu sementara ada peluang ni aku aku akan pastikan dapat datang melawat dia setiap minggu.

Aku memang rapat dengan dia jadi aku memang gembira dan seronok dapat berjumpa dan berbual dengan dia. Aku juga amat menyayangi dia malah aku harap akan dapat menjadi salah seorang kawan rapatnya. Kenapa, mengapa dan bagaimana aku boleh rapat dan sayangkan insan ini, jika diizinkan akan aku ceritakan di masa akan datang.

Posted by Azhad 7.2.05 0 comments

Aku pernah menulis dalam blog ini (sila baca Balik Kampung) bahawa apa yang membentuk diri kita banyak dipengaruhi oleh pengalaman kita semasa remaja.

Apabila melepasi zaman remaja, apa yang kita lalui sepanjang hidup juga memainkan peranan penting mencorakkan kehidupan dan keputusan yang kita buat. Bagi diriku banyak peristiwa yang telah aku lalui dan ingin aku kongsi sebahagiannya di sini.

Aku sebenarnya silap kerana menyayangi R (sila baca Kekasih Yang Hilang) dengan sepenuh hati sedangkan ketika itu kami tidak ada sebarang ikatan. Benarlah bahawa walaubagaimana sayang pun kita pada seseorang kita tidak harus memberi keseluruhan hati kita kepadanya. Ini kerana apabila berlaku sesuatu yang tidak disangka yang parah adalah diri kita sendiri.

Semasa aku di tadika dahulu aku mempunyai seekor kucing kesayangan yang begitu manja denganku. Setiap pagi ia akan menghantarku ke depan rumah semasa aku ke tadika dan ia akan menungguku di depan rumah semasa aku balik waktu tengahari. Malangnya satu hari ia telah mati dilanggar kereta. Menurut ibuku aku telah jatuh demam kerana rindukan kucingku itu. Begitulah betapa sayangku padanya. Ketika itu aku memang tidak mengerti apa-apa tetapi memang semenjak kecil kalau aku sayangkan sesuatu atau seseorang, aku akan sungguh menyayanginya.

Aku mempunyai seorang makcik yang amat rapat denganku. Aku menyayanginya sehingga aku memanggilnya mak bukan makcik. Dia telah menjagaku semasa aku kecil dan semasa sekolah rendah setiap kali cuti aku akan tinggal dan menghabiskan masa cuti di rumahnya. Ditakdirkan beliau telah demam dan seminggu selepas itu meninggal dunia pada usia yang agak muda. Aku disentap dengan kehilangan orang yang aku sayangi.

Aku mempunyai seorang adik yang sangat rapat denganku semenjak kecil. Aku sanggup tidak keluar ke mana-mana semata-mata untuk menjaga adikku ini semasa kecilnya. Kalau ada pergaduhan antara kami adik beradik, aku pasti akan menyebelahi dia. Semasa adikku meningkat remaja kami terus rapat. Kalau ke mana-mana aku pasti dengan dia dan kami sentiasa berkongsi cerita dan rahsia. Walaupun aku sangat sayang pada adikku ini, Allah lebih menyayanginya. Dia telah meninggal dunia dalam satu kemalangan semasa berumur 20 tahun. Sesungguhnya ini satu ujian yang amat berat terpaksa aku hadapi.

Semua peristiwa ini telah memberi kesan terhadap perwatakan dan jiwaku. Aku menjadi seorang insan yang amat pendiam dan suka menyendiri. Aku menjadi takut untuk menyayangi orang baru dalam hidupku. Walaupun begitu aku mula berubah apabila aku ditemukan dengan seorang insan yang kini menjadi isteriku. Insya Allah akanku ceritakan mengenainya di lain masa.

Posted by Azhad 1.2.05 0 comments

Subscribe here