Semalam aku balik kampung, hampir dua minggu sekali aku akan balik kampung. Kali ini ada kenduri arwah dan juga bersempena kedatangan bulan Ramadhan.

Sebenarnya ini adalah kampung isteri aku dan aku sendiri tak ada kampung sebab aku dilahirkan dan dibesarkan di KL. Seronok dapat berjumpa dengan sanak saudara dan bertanya khabar. Aku lebih banyak mendengar dan memerhati daripada bercakap. Memang aku ini seorang yang agak pendiam tapi aku suka melihat gelagat orang lain.

Malam itu memang ramai pak cik, mak cik, sepupu dan anak buah berkumpul. Berbagai gelagat yang dapat aku perhatikan. Dari kesemua mereka itu yang selalu mendapat perhatian aku bila balik kampung ialah tingkah laku seorang anak buah aku yang sedang beralih ke alam remaja. Umur dia baru masuk 13 tahun kira-kira satu bulan lepas. Mungkin di lain masa aku akan bercerita lanjut tentang anak buah aku ini.

Antara tajuk perbualan yang mendapat perhatian aku ialah tentang cerita di sekolah asrama penuh. Pak cik dan mak cik aku ni suami isteri cikgu dan mengajar di sebuah sekolah asrama penuh. Ceritanya berlegar berkenaan masalah para pelajar yang belajar di sekolah berasrama. Mencuri, memukul, mengugut, mendera termasuk gangguan seksual. Bagi peringkat umur 13 - 17 tahun merupakan satu peringkat umur yang kritikal bagi seorang insan. Pada peringkat umur inilah peralihan dan perubahan berlaku dari segi rohani dan jasmani daripada kanak-kanak ke alam remaja.

Perubahan pada fizikal, emosi dan perasaan inilah yang mempengaruhi tutur kata dan tingkah laku seorang itu. Aku sendiri telah melalui zaman itu dan aku tahu bagaimana keadaannya. Aku juga berkesempatan membantu beberapa insan melalui zaman itu dan secara langsung menambahkan pengalaman hidupku.

Ketika peringkat umur ini sokongan daripada keluarga amatlah pentingnya. Kekadang ibu bapa tidak sedar atau buat-buat tak tahu tentang perkara ini. Akibatnya mereka ini akan mencari jalan penyelesaian sendiri. Jiwa mereka mudah terasa dan sentiasa memberontak. Perasaan ingin tahu dan mencuba sentiasa membuak. Kekeliruan fikiran sentiasa berlegar di kepala. Semua ini perlu dikendali dengan bijak kerana ia akan mempengaruhi pembentukan sahsiah diri insan itu.

Aku sedar, aku menjadi aku hari ini adalah berdasarkan pengalaman hidup aku selama ini. Dan aku tahu yang banyak mempengaruhi bentuk diri aku hari ini ialah kutipan kehidupan aku semasa berumur 13 - 17 tahun dulu.

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 4.10.04

0 comments

Post a Comment

Subscribe here