Salam Aidiladha kepada semua pembaca. Kepada mereka yang mempunyai sanak saudara di Tanah Suci mengerjakan ibadat haji didoakan mereka sihat dan dapat melaksanakan Rukun Islam ini dengan sempurna, insyaAllah.
Technorati Tags: nukilan, azhad, hari raya, aidil adha, rukun islam
Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah telah diumumkan pada 28 Disember 2006. Dilaporkan seramai 22,979 orang calon telah mendapat A dalam semua matapelajaran yang diambil. Tahun ini seramai 448,328 orang calon menduduki peperiksaan yang telah berlangsung dari 2 hingga 6 Oktober yang lalu di 3,333 buah sekolah dan maktab.
...22,979 daripada 448,328 calon mendapat semua A...
Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyenaraikan 100 pelajar cemerlang dengan 20 orang bagi yang mendapat 9A, 60 pelajar bagi yang mendapat 8A dan 20 pelajar bagi yang mendapat 7A.
Mendahului senarai bagi setiap kategori ialah seperti berikut;
Kategori pelajar cemerlang 9A
Fathin Nabilah Abdul Rashid
– Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan.
Kategori pelajar cemerlang 8A
Siti Fatimah Kamis
– SM Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Kategori pelajar cemerlang 7A
Lee Julin
– SMK Convent Green Lane, Pulau Pinang.
Manakala pelajar istimewa cemerlang yang disenaraikan oleh LPM adalah seperti berikut;
Nur Atiqah Salamin (rabun)
- SMKA Inanam, Sabah.
Aghilan a/l Narayanan (pekak)
- SMK Jalan Bukit, Hulu Langat, Selangor.
Farah Atiqah Ag Ismail (rabun)
- SMKA Inanam.
Low Hong Ping (cacat)
- SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.
Mohd Khairil Amri Mohd Yussof (rabun)
- SMKA Inanam
Olivia Vinobaa a/p David Christopher (rabun)
- SMK (P) St George, Georgetown, Pulau Pinang.
Tahniah diucapkan kepada mereka yang telah berjaya dengan cemerlang. Bagi mereka yang tidak mencapai apa yang diimpikan pasti merasa sedih. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Memang tidak salah untuk merasa sedih tetapi ingatlah ini adalah ketentuan Allah swt dan pasti ada hikmahnya. Kuatkan semangat diri dan semak kelemahan yang ada. Kekurangan hari ini jadikan anjakan untuk cemerlang pada masa hadapan. Fokus pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lebih penting kerana ia penentu kepada jurusan dan institut pengajian tinggi yang boleh dijejaki.
Technorati Tags: nukilan, azhad, peperiksaan, penilaian menengah rendah, pmr
Pada hujung minggu yang lepas aku telah pergi ke Jomheboh di Shah Alam. Ini merupakan kali pertama aku mengunjungi Jomheboh maupun Sureheboh dahulu. Kalau tidak kerana desakan dan pujukan anakku pasti aku lebih suka menghabiskan masa hujung minggu bersantai di rumah sahaja. Anakku beriya-iya hendak pergi kerana telah terpengaruh dengan iklan dan promosi yang ditayangkan tanpa henti di kaca televisyen.
Baru-baru ini aku telah pergi menonton filem Cinta, itupun setelah dipujuk oleh isteriku yang juga terpengaruh dengan iklan dan promosi tanpa henti filem ini di televisyen. Begitu kuat kuasa televisyen sehingga mampu menyelinap kefikiran kanak-kanak dan orang dewasa serta menpengaruhi keputusan yang dibuat.
Malah ada sebahagian daripada kita yang mengatur perjalanan kehidupan harian dengan berpandukan siaran televisyen. Ada kerja yang tertangguh kerana hendak menonton dulu, ada jemputan tidak dapat dipenuhi kerana bertembung dengan rancangan kegemaran. Malah tidak dinafikan ada yang lalai dalam memenuhi tanggungjawab masing-masing hanya kerana menonton televisyen.
Semua rumah sekarang mempunyai televisyen tetapi jangan terkejut jika aku katakan bahawa ada orang yang langsung tidak mempunyainya di rumah. Cuba bayangkan jika rumah anda tidak ada televisyen? Bayangkan juga masa tambahan yang anda ada jika tidak asyik menonton? Fikirkanlah........
Technorati Tags: nukilan, azhad, televisyen, jomheboh, cinta
Di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 November 2006 telah tersiar berita tentang seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan kes panggilan dan penghantaran khidmat pesanan ringkas (sms) berhubung ancaman bom di bangunan mahkamah Kota Bharu.
Person91 telah bertanya kepada saya samada saya ada membaca berita tersebut dan apakah komen saya tentang perkara ini. Laporan berita ini boleh di baca di Utusan Malaysia.
Pada pendapat saya, setiap tindakan yang dilakukan oleh manusia pasti mempunyai sebab dan niat yang tertentu. Walaupun ada ketikanya sebab dan niat itu tidak jelas. Tambahan lagi setiap tindakan kita pasti juga dipengaruhi oleh cara kita berfikir dan emosi kita ketika itu. Ilmu dan pengalaman juga memainkan peranan.
Selalu juga kita dengar sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan, pertanyaan akan timbul,'Apa nanti orang kata?'. Sepatutnya kita menimbangkan apa agama Islam kata dan apa undang-undang kata, halalke, haramke, bolehke atau dilarang?
Oleh itu perkara utama yang perlu difikirkan samada betul atau salah sesuatu perbuatan itu hendaklah berlandaskan hukum agama Islam dan undang-undang yang ada. Bila hendak membuat sesuatu itu jangan terburu-buru tetapi renungkan sejenak apakah akibatnya jika kita melaksanakannya.
Technorati Tags: nukilan, azhad, islam, masyarakat
... 44 emas, 59 perak dan 71 gangsa ...
Kesungguhan dan semangat juang para atlit OKU ini patut dicontohi oleh semua. Ianya bukan saja setakat dalam bidang sukan sahaja tetapi dalam segala perkara kehidupan seharian. Mudah sahaja cuba kita tanya para pelajar yang akan menduduki peperiksaan, pasti mereka nak mendapat keputusan yang cemerlang tetapi adakah usahanya setimpal dengan apa yang diharapkan? Begitu juga dengan apa saja yang kita inginkan, adakah usaha kita setanding dengan apa yang ingin kita capai?Usaha tangga kejayaan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu alasan. Semoga kita dapat memperolehi apa yang kita hajatkan dengan berkat usaha dan tekad serta keizinan daripada Allah s.w.t.
Tahniah sekali lagi kepada kontijen Malaysia dan jika ingin melihat pungutan penuh pingat di kejohanan ini sila kunjungi Fespic KL06.
Technorati Tags: nukilan, azhad, sukan, kl06, fespic
Untuk maklumat lanjut sila kunjungi Sukan Asia 2006.
Technorati Tags: nukilan, azhad, sukan asia, doha 2006
Kesemua acara sukan dalam kejohanan ini akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur, Putra Jaya dan Selangor kecuali acara kapal layar di Port Dickson. Sementara itu larian obor telah bermula pada 7 Mei di Labuan dan akan berakhir pada hari perasmian kejohanan pada 25 November ini. Terdahulu larian obor ini telah diadakan di negara China dan Singapura.
Pingat yang ditawarkan merangkumi 567 emas, 567 perak dan 652 gangsa. Kontijen Malaysia dengan 288 atlit mensasarkan untuk meraih 100 pingat, 10 daripadanya emas. Malaysia telah memperolehi 2 emas, 28 perak dan 37 gangsa di kejohanan yang sama 4 tahun lalu di Busan, Korea Selatan. Kali ini Malaysia akan cuba untuk berada di antara 10 pasukan yang terbaik.
Pihak pengajur amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memberi sokongan kepada atlit-atlit negara yang akan beraksi dalam kejohanan sukan kedua terbesar atlit kurang upaya ini. Sementara itu sebanyak 1.9 juta tandatangan telah dikumpul sebagai tanda sokongan moral kepada atlit yang akan bertanding. Pihak penganjur mensasarkan untuk mendapat sebanyak 3 juta tandatangan. Orang ramai boleh menurunkan tandatangan dan menyertai berbagai aktiviti di KL'06 Fest yang diadakan Stadium Bukit Jalil sepanjang kejohanan ini berlangsung.
Maklumat lanjut sila kunjungi KL 06 Fespic Games
Technorati Tags: nukilan, azhad, kl06, fespic, sukan
Ujian bertulis untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula pada 14 November dengan 43 kertas berlainan. Manakala Lukisan Kejuruteraan adalah merupakan kertas peperiksaan yang terakhir pada 8 Disember nanti. ... seramai 416,717 calon SPM tahun ini ...
Difahamkan peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) juga berlangsung dalam tempoh yang sama. Peperiksaan SPM dan STPM ini sebenarnya lebih penting daripada PMR kerana ianya menentukan kelayakan untuk memasuki institut pengajian tinggi dan jenis kursus yang boleh diambil.
Semoga semua calon SPM dan STPM termasuk Aman akan dapat menghadapi peperiksaan ini dengan tenang dan berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang, insyaAllah.
Technorati Tags: nukilan, azhad, peperiksaan, spm, stpm
Syawal sudah hampir kepenghujungnya tetapi wargakota masih terus sibuk mengadakan atau menghadiri rumah terbuka. Ketika ini dihujung minggu biasanya kalau kita tidak sibuk melayan tetamu, kita akan sibuk memenuhi jemputan. Malah mungkin dalam satu masa kita menerima beberapa jemputan serentak.
Di bulan yang mulia ini kita saling kunjung-mengunjungi dan maaf-bermaafan. Sesama sahabat lebih-lebih lagi sesama sanak saudara. Buang yang keruh ambil yang jernih. Perkara yang lepas biarlah berlalu, kita teruskan kehidupan ini dengan penuh harmoni. Yang muda menghormati yang tua manakala yang lama menghargai yang baru.
Alangkah ruginya di bulan yang mulia ini tidak diambil kesempatan untuk merapatkan yang renggang, mengeratkan yang longgar dan mengutuhkan ikatan kekeluargaan. Sebagai manusia kita pasti ada melakukan kesalahan dan kesilapan malah terlanjur kata serta tertinggi suara.
Mohonlah maaf jika kita yang bersalah dan seikhlasnya memaafkan orang lain yang ada silap dengan kita. Semoga kehidupan kita akan diberkati Allah swt, insyaAllah.
Technorati Tags: nukilan, azhad, syawal, maaf, keluarga
سلامت هاري راي
كڤد سموا ڤمباچ دري
نوكيلن ججاري ازحد
kredit : Ekad Malaysia
Technorati Tags: nukilan, azhad, hari raya, aidil fitri
Sudah dua minggu umat Islam berpuasa untuk tahun ini dan dua minggu lagi Syawal pula akan tiba. Sebahagian daripada kita akan merasa gembira kerana Aidil Fitri sudah semakin hampir tetapi ada juga yang merasa sedih sebab masa untuk mendapat ganjaran beribadat di bulan yang mulia sudah semakin singkat.
Di antara cara untuk kita menambahkan ibadat di bulan Ramadhan ini ialah dengan membaca Al-Quran. Sekarang ini walaupun tiada kitab suci itu bersama-sama, kita tetap boleh membacanya melalui komputer samada menggunakan CD ataupun internet.
Salah satu laman web yang menyediakan kemudahan Al-Quran di internet boleh didapati di Quran Explorer. Al-Quran yang disediakan di laman web ini dibuat dalam bentuk flash dan ini membolehkan ianya digunakan dengan lebih baik. Di sini kita bukan sahaja boleh membaca ayat-ayat suci Al-Quran serta terjemahannya tetapi boleh mendengar kedua-duanya. Kita juga boleh memilih untuk mendengar mana-mana ayat atau surah atau sebahagian daripadanya dengan mudah.
Rebutlah peluang untuk beribadat di bulan Ramadhan ini kerana tahun hadapan belum tentu lagi kita akan dapat bertemu dengan bulan yang mulia ini.
Technorati Tags: nukilan, azhad, ramadhan, quran, online
Mulai 2 Oktober hingga 6 Oktober 2006 ini akan berlangsungnya peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi para pelajar tingkatan tiga. PMR telah diperkenalkan dalam tahun 1993 menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Di antara matapelajaran yang akan diuji ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam.
Pada tahun ini seramai 448,328 orang calon dari 3,333 buah sekolah menengah akan menduduki peperiksaan ini. Majoritinya dari Sekolah Menengah dan Sekolah Berasrama Penuh iaitu 420,177 orang calon dan bakinya 10,766 orang calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama , 2,894 orang calon dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maktab Tentera DiRaja (MTD), 1,603 orang calon daripada Sekolah Agama Rakyat dan 1,110 orang calon persendirian.
Selepas ini peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan bermula pada 9 Oktober dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan bermula pada 14 November.
Diucapkan selamat menempuh peperiksaan dengan tenang kepada semua calon dan semoga akan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, insyaAllah.
Technorati Tags: nukilan, azhad, peperiksaan, penilaian menengah rendah, pmr, spm, stam
Hari ini 1 Ramadhan 1427 umat Islam mula berpuasa menunaikan salah satu rukun Islam. Di kalangan mereka ini tentu ada yang baru pertama kali belajar untuk berpuasa terutama kanak-kanak dan yang baru memeluk agama Islam.
Ingat lagi masa zaman kanak-kanak dahulu, begitu lambat sekali masa bergerak apabila menunggu masa untuk berbuka puasa dan menjadi orang pertama duduk mengadap juadah berbuka. Bagi yang baru memeluk agama Islam tentu mempunyai cabaran yang lebih hebat kerana sebelum ini puasa adalah sesuatu yang tidak pernah dilalui. Isteri sepupuku berbangsa Cina dan dia telah memeluk agama Islam dua tahun sebelum bernikah. Pada peringkat awal ini memang agak mencabar kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan hukum hakam agama Islam.
Di samping itu ada juga di kalangan kita yang tahun ini berazam untuk mula berpuasa dengan erti kata sebenar. Kita mungkin pernah melalui atau mengetahui bahawa ada yang tidak berpuasa atau berpura-pura berpuasa dalam bulan Ramadhan ini. Baik semasa di sekolah, di IPT atau di pejabat mereka ini akan begitu kreatif untuk mendapatkan makanan di siang hari.
Sebagai sokongan kepada kesungguhan kita melalui bulan yang mulia ini mungkin Panduan Jasmani Puasa ini boleh membantu. Selamat berpuasa dan beribadat di bulan Ramadhan ini, semoga tahun ini kualiti amalan kita lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, insyaAllah.
Technorati Tags: nukilan, azhad, puasa, ramadhan
Sejak kebelakangan ini semakin banyak kemalangan yang melibat kenderaan berlaku. Kebanyakan kemalangan ini melibatkan motosikal. Aku sendiri baru-baru ini nyaris melanggar seorang pemandu motosikal yang jatuh di hadapan keretaku. Kejadian berlaku diwaktu pagi semasa semua orang sedang sibuk hendak pergi kerja. Ianya berpunca apabila sebuah kereta telah menukar lorong secara tiba-tiba dan motosikal tersebut tidak sempat mengelak terus melanggar sisi kereta itu.
Syukur aku sempat memberhentikan kereta apabila pemandu motosikal itu jatuh betul-betul di hadapanku. Dia cuma calar-calar dan motosikalnya tidak mengalami kerosakan teruk. Manakala kereta itu pula kemek dikedua-dua pintu belakang dan depan.
Apabila bercerita tentang kemalangan aku teringat tentang beberapa kemalangan yang melibatkan ahli keluargaku. Adik bongsuku pernah terlibat dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan dia terlantar di hospital. Kakinya patah dan terpaksa dimasukkan besi.
Seluruh ahli keluargaku pernah terbabit dalam kemalangan yang agak mengerikan apabila kereta yang dipandu oleh bapaku telah hilang kawalan dan terhumban ke dalam gaung. Alhamdullilah mereka semua selamat tanpa ada satu calar pun di badan tetapi jika melihat keadaan kereta tentu tak percaya. Ketika berlakunya kemalangan itu aku tidak ada bersama-sama kerana ada aktiviti di sekolah.
Walaupun begitu satu ada satu kemalangan yang telah mengubah hidupku. Kemalangan tersebut telah menyebabkan aku kehilangan salah seorang adik yang sangat rapat denganku.
Penulisan yang berkaitan; Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan
Technorati Tags: nukilan, azhad, kemalangan, motosikal
Hari ini bermulalah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 3 hari. Dilaporkan seramai 508,434 orang murid menduduki ujian ini. Ini meliputi 500,561 orang murid dari sekolah bantuan kerajaan dan sebahagian kecilnya 7,783 orang murid adalah dari sekolah swasta. Keputusan ujian ini akan digunakan bagi penepatan ke sekolah menengah terutamanya untuk ke sekolah berasrama penuh dan sekolah terpilih.
Selepas ini Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan menyusul. Sudah pasti bukan saja calon-calon peperiksaan tersebut sahaja yang berdebar-debar malah ibubapa juga turut merasa debarannya.
Bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan-peperiksaan tersebut, haruslah bersedia daripada awal dan gunakan hari-hari yang berbaki ini dengan sebaik mungkin. Berkat usaha yang gigih dan restu ibubapa, insyaAllah kejayaan cemerlang akan dikecapi.
Technorati Tags: nukilan, azhad, ujian, peperiksaan, upsr, pmr, spm, stpm
Tanah Melayu telah menerima pengisytiharan kemerdekaannya tepat pada detik pertama pukul 12.00 tengah malam di Padang Kelab Selangor, Kuala Lumpur, bagi menandakan lahirnya sebuah negara baru yang berdaulat, setaraf dan setimpal dengan semua negara-negara yang berdaulat di dunia. Laungan "MERDEKA" telah dilaksanakan oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu yang pertama keesokan harinya tepat 9.30 pagi di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel dan negara-negara asing lainnya, di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Pada 16 September 1963
Pada hari ini dalam tahun 1963 seiring dengan dentuman 101 das tembakan meriam dan teriakan "MERDEKA", Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah mengisytiharkan kelahiran sebuah negara baru kepada seluruh dunia iaitu Malaysia. Malaysia terbentuk daripada gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak. Stadium Merdeka yang dibanjiri oleh 30,000 rakyat Malaysia telah bergema kembali dengan laungan semangat rakyat seperti 6 tahun yang Ialu dalam tahun 1957 ketika Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya.
Upacara membaca Deklarasi Penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu, Gabenor-gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sarawak dan Sabah. Turut serta dalam upacara itu ialah tiga orang pemimpin dari tiga buah negara yang baharu di dalam Persekutuan Malaysia laitu Lee Kuan Yew, Donald Stephens dan Stephen Kalong Ningkan. Upacara ini telah dihadiri juga oleh ahli kabinet, anggota-anggota diplomat asing di Kuala Lumpur serta wakil-wakil dari Kerajaan-Kerajaan yang telah dijemput khas.
Kesimpulannya
Semenanjung Tanah Melayu telah merdeka daripada jajahan British pada 31 Ogos 1957 manakala Sabah, Sarawak dan Singapura pada 16 September enam tahun kemudian. Oleh itu bilakah rakyat MALAYSIA patut meraikan kemerdekaan, pada 31 Ogos atau 16 September? Sudah pasti kita semua mempunyai berbagai pendapat tentang perkara ini.
Walau apapun Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke 49 untuk Semenanjung Malaysia dan ke 43 untuk Sabah dan Sarawak. Singapura telah keluar daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965.
Kita sebagai rakyat Malaysia patutlah mengisi kemerdekaan ini baik dari segi jasmani maupun rohani. Di samping tidak melupakan jasa dan pergorbanan mereka yang membantu kemerdekaan tanah air kita.
Technorati Tags: nukilan, azhad, malaysia, merdeka
Tarikh 28 Ogos 2006 mencatat satu lembaran dalam persaingan stesen televisyen di Malaysia. Media Prima telah berdepan dengan rebutan penonton dari kerjasama ASTRO dan RTM. Media Prima melalui saluran NTV7 dan TV3 telah menyiarkan rancangan yang berkaitan dengan perkahwinan dan siaran langsung persandingan Datuk Khalid dan Datin Siti Nurhaliza di Kuala Lumpur Convention Centre. Manakala ASTRO dan RTM telah menyiarkan secara langsung rancangan temubual bersama Mawi yang dihoskan oleh Aznil di saluran Astro Ria dan Diana yang dihoskan oleh Rosyam di RTM1.
Rakyat Malaysia telah diberi 3 pilihan iaitu samada menonton persandingan Siti Datuk K atau temubual khas Mawi Ina atau tidak menonton kedua-duanya. Malah kewajaran rancangan serentak ini telah dibangkitkan di sidang Parlimen pagi ini. Menteri Penerangan telah dengan yakin menyatakan di Dewan Rakyat bahawa majoriti ahli Parlimen telah memilih saluran RTM1.
Walaupun begitu menurut AGB Nielsen Media Research, siaran langsung majlis persandingan Siti Datuk K telah disaksikan seramai 4.3 juta penonton pada kemuncaknya. Sementara itu rancangan Mawi Ina telah menarik seramai 1.6 juta penonton sahaja. Manakala jumlah penonton yang menyaksikan rancangan ini sekurang-kurangnya 15 minit adalah 6.3 juta untuk Siti Datuk K dan 4.8 juta untuk Mawi Ina. Laporan AGB Nielsen Media Research ini adalah seperti yang tersiar di akhbar;
MStar Rating Siti Datuk K mendahului Mawi Ina
Utusan Siti Datuk K 6.3 juta Mawi Ina 4.8 juta
The Star The ratings are in: Siti Datuk K 6.3 million Mawi Ina 4.7 million
Di beberapa akhbar dan blog juga ada menceritakan tentang perang merebut penonton ini;
Utusan RTM, Astro tolong pulihkan hubungan Ina Mawi
mStar Siti atau Mawi?, Astro-TV3 berentap!, Ina - Siti: RTM tiada niat saingi TV3, MawiFC persoal niat Astro dan RTM, Pemenangnya: Mawi-Ina atau Siti-Datuk K?
sultanmuzaffar Perang stesen televisyen
budiey Perang TV telah bermula Di blog ini ada satu ruangan khas Gosip Siti Kahwin.
Akhbar yang melaporkan tentang persandingan tersebut;
Utusan Persandingan Siti Datuk K meriah, Siti titis air mata temui 1,000 peminat di KLCC
mStar Majlis persandingan yang indah dan penuh 'glamour', Siti sedih semasa temui peminat di KLCC, Siti jemput peminat ke Kuala Lipis, Foto majlis persandingan Siti Datuk K
Dan temubual berkenaan;
Utusan Ina sebak, Mawi selamba
The Star Torn between love tales, Ina: It was love at first sight
mStar Kasihan Ina
Semalam saya menonton TV3 tetapi mendengar Radio ERA yang turut menyiarkan secara langsung temubual Mawi Ina. Jadi mata memandang pasangan yang bahagia manakala telinga mendengar pasangan yang pasrah.
Foto : The Star
Technorati Tags: nukilan, azhad, siti, datuk k, mawi, ina, persandingan, temubual
Bermula dengan Rabun dan disusuli oleh Sepet kemudian lahir pula Gubra dan yang terkini Mukhsin. Filem-filem yang dihasilkan oleh Yasmin Ahmad kerap mengundang berbagai reaksi dan maklumbalas. Setiap ulasan dan pandangan yang dinyatakan itu adalah berdasarkan pengalaman dan ilmu yang dimiliki oleh pemberi pendapat itu. Masing-masing bebas menzahirkan pendirian sendiri walaupun kekadang ianya mempunyai kepentingan tertentu.
Terbaru dengan ternobatnya Gubra sebagai filem terbaik Festival Filem Malaysia ke 19 dan kesilapan ucapan Sharifah Amani semasa menerima anugerah Pelakon Wanita Terbaik sekali lagi Yasmin tidak terlepas dari berbagai kritikan. Sebelum itu dalam The Sun ada satu temubual dengan Yasmin Ahmad berkaitan dengan serangan terhadap filem Sepet dan Gubra. Walau apapun kita tunggu apakah pula yang akan terjadi bila Mukhsin ditayangkan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan.
Sementara itu baru-baru ini beberapa orang telah berpeluang menyaksikan filem Mukhsin yang baru disiapkan. Jika hendak berkongsi ceritanya bolehlah singgah ke laman web berikut;
sultanmuzaffar Mukhsin : Kembara waktu yang paling indah
Dia Tulis Cinta platonik Orked dan Orked, Mukhsin dan hujan
Fadz Masterpiece muhibah Yasmin Ahmad
Nizam Zakaria Mukhsin rough cut
The Star Returning favourites and First love
Utusan Karya terbaru Yasmin kekalkan watak Orked
Malay Mail Here comes Mukhsin
Berita Harian Aryana & Syafie hidupkan Mukhsin
Foto : yasminthestoryteller
Technorati Tags: nukilan, azhad, filem, yasmin, sepet, gubra, mukhsin
Hujung bulan lepas mak mertua aku telah dimasukkan ke hospital kerana ada bengkak di punggung beliau yang tidak kecut walaupun sudah seminggu diberi ubat. Setelah diperiksa didapati ianya darah beku dan nanah. Doktor telah mengambil keputusan untuk membuangnya secara pembedahan. Alhamdullilah semuanya dah selesai dan mak mertuaku sedang beristirehat di kampung.
Hari Isnin minggu lepas aku menerima panggilan telefon daripada guru kelas anak sulongku. Beliau memberitahu anak aku demam dan badannya tersangat panas. Pihak sekolah membenarkan anakku pulang awal, aku pun bergegas ke sekolah menjemputnya. Sebelum balik ke rumah aku singgah ke klinik. Doktor memberi ubat batuk, ubat selsema, ubat demam, antibiotik dan cuti sakit dua hari.
Keesokan paginya badan anak sulongku terasa tersangat panas lebih panas daripada semalam. Aku mengambil keputusan untuk membawanya ke hospital. Di hospital rawatan segera telah diberi untuk menurun tahap kepanasan badannya. Contoh darah juga diambil untuk ujian. Menjelang tengahari anakku dibenarkan pulang setelah ujian darah menunjukkan tiada tanda demam denggi dan doktor memberi 2 hari lagi cuti sakit.
Petang Ahad anak bongsu aku pula menunjukkan tanda-tanda nak demam. Tanpa berlengah terus aku bawa ke klinik untuk mendapatkan ubat. Malamnya dia dapat tidur dengan lena kecuali bangun untuk menyusu. Cuma isteriku yang bangun kerana dia minum susu badan. Walaupun begitu pada siang hari dia tak nak tidur dan tidak mahu diletak, asyik nak dukung sahaja. Kanak-kanak bila dia tidak sihat dan meragam memang merisaukan.
Malamnya bila tiada tanda-tanda berkurangan, aku bawa sekali lagi anakku ke klinik. Menurut doktor, anakku perutnya kembung dan tekaknya dah mula bengkak. Ubat tambahan telah diberi. Alhamdullilah menjelang hari Selasa demamnya dah beransur hilang cuma sekarang selsema masih mengganggu tidur dan selera makannya.
Apabila kita sakit atau menjaga orang sakit perlulah banyak bersabar. Sesungguhnya penyakit itu satu saluran penghapus dosa.
Technorati Tags: nukilan, azhad, anak, sakit, demam
Selepas Sepet memenanginya tahun lepas, Festival Filem Malaysia sekali lagi memilih filem arahan Yasmin Ahmad sebagai filem terbaik. Gubra juga telah memenangi 3 lagi anugerah iaitu Pelakon Wanita Terbaik - Sharifah Amani, Lakon Layar Terbaik - Yasmin Ahmad dan Poster Terbaik.
Ini menjadikan Gubra filem yang menggondol paling banyak anugerah iaitu 4. Di ikuti oleh Pontianak Harum Sundal Malam II dan Castello sebanyak 3 anugerah.
Blog ini pernah menulis tentang Sepet dan Gubra.
Untuk mendapatkan keputusan penuh Festival Filem Malaysia ke 19, sila jengok blog sultanmuzaffar.
Foto : gubra.com.my
Technorati Tags: nukilan, azhad, gubra, sepet, yasmin
Semua orang tahu tentang Skype dan pasti sudah ramai yang telah menggunakannya. Panggilan telefon secara percuma tentu menjimatkan terutama jika ingin menghubungi luar negara. Malangnya panggilan percuma ini hanya untuk panggilan dari komputer ke komputer, jika hendak menelefon talian tetap atau telefon bimbit perlu membeli kredit dari Skype.
Kini impian untuk membuat panggilan telefon percuma ke semua talian telah menjadi kenyataan. Gizmo Project membolehkan kita membuat panggilan telefon secara percuma sama seperti Skype dan juga panggilan percuma ke talian tetap dan telefon bimbit di 60 buah negara, termasuk Malaysia.
Untuk melayakkan diri membuat panggilan percuma, orang yang menelefon dan nombor yang dihubungi mestilah pengguna berdaftar dan aktif Gizmo Project. Jika hendak maklumat lanjut tentang syarat ini sila rujuk All Calls FREE! atau terus saja ke laman web utama Gizmo Project.
Technorati Tags: nukilan, azhad, skype, free calls, gizmoproject
Anak-anak Datuk Khalid iaitu Mohd Adib, Mohd Anas dan Mohd Ashraf. Untuk membaca cerita lanjut sila pergi ke Agenda Daily.
Technorati Tags: nukilan, azhad, datuk khalid, mohd adib, mohd anas, mohd ashraf
Ada banyak laman web yang menawarkan perkhidmatan menyimpan dan berkongsi gambar di internet. Di antaranya adalah ImagePile, ImageShack, Flickr, Fotopages, Photobucket, Ringo, TinyPic, Zooomr dan banyak lagi.
Jika berminat bolehlah pergi ke Zooomr untuk mendaftar atau mendapatkan keterangan lanjut. Setelah mendaftar akaun Asas pergi ke Zooomr Blog untuk menaik taraf ke akaun Pro secara percuma.
Technorati Tags: nukilan, azhad, gambar, foto, Zooomr
Secara rasminya hari ini telah diumumkan bahawa Siti Nurhaliza Taruddin, 27 tahun akan berkahwin dengan Datuk Khalid Mohamed Jiwa, 47 tahun seorang ahli perniagaan.
Majlis pertunangan dan pernikahan akan berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada 21 Ogos depan. Manakala majlis persandingan pula akan diadakan pada 28 Ogos di Kuala Lumpur Convention Centre(KLCC) dan 3 September di Kuala Lipis, Pahang. Satu perarakan berkuda telah dirancang khas untuk para peminat Siti pada petang 28 Ogos di KLCC. Kebetulan pada 28 Ogos itu adalah ulangtahun perkahwinan ibubapa Siti yang ke 38.
Dato' Raja Shah Reza telah dipilih untuk merancang dan mengendalikan majlis istimewa ini. Beliau telah diamanahkan untuk menjayakan majlis berkonsep perkahwinan taman bagi upacara di KLCC. Manakala hantaran dan pakaian pula akan berkonsepkan sulaman tekad dan songket tradisional. Seramai lima orang pereka fesyen iaitu Radzwan Radzwil, Micheal Ong, Khoon Hooi, Embun dan Anna Avanti telah terpilih untuk menzahirkan pakaian perkahwinan Siti. Manakala jurumekap artis Nurul Shukur dan Mia pula bertanggungjawab untuk menyolek Siti pada hari yang bersejarah itu.
Menurut Siti, dia mula rapat dengan Datuk Khalid semenjak sekembalinya dari konsert di Royal Albert Hall, London. Perkara utama yang menyebabkan Siti terpaut hati dengan Datuk Khalid ialah sikap kasih sayang beliau pada anak-anak. Datuk Khalid mempunyai 4 orang anak hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri beliau Tengku Zawyah Tengku Izham, iaitu yang sulong Mohd Anas Zawari berumur 19 tahun, Mohd Adib 16 tahun, Mohd Asraf 14 tahun dan yang bongsu Mohd Azif 8 tahun. Kesemua mereka berada di Kuala Lumpur kecuali Mohd Anas sedang menuntut di Australia.
Datuk Khalid pula berkata dia terpikat pada Siti kerana Siti mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri tetapi enggan menjelaskannya dengan lebih lanjut. Beliau juga menafikan cerita tentang cincin bernilai RM500,000 dan majlis perkahwinan yang menelan belanja RM5 juta. Walaubagaimanapun menurut Datuk Khalid, majlis tersebut akan diadakan dengan sederhana tetapi meriah.
Wang hantaran untuk Siti tidak dalam bentuk wang tunai tetapi akan diberi dalam bentuk barang kemas. Walaupun nilainya tidak pula dinyatakan tetapi dianggarkan dalam lingkungan RM500,000.
Berikut adalah cerita yang tersiar di akhbar;
The Star
Siti Nurhaliza to marry Datuk K on Aug 21
mStar
Siti - Datuk K bernikah 21 Ogos.
Sekitar sidang akhbar Datuk K - Siti Nurhaliza
Asraf Khalid: Kak Siti sopan
'Datuk K inginkan majlis sederhana, tapi meriah'
NST
Siti and Datuk K to wed on Aug 21
Princess of Pop's regal wedding
Worst-kept secret still interests Press
The Sun
The most anticipated wedding of the year
The Malay Mail
Siti and Datuk K announce wedding date
The Malay Mail broke the news
Bernama
Siti Accepts Datuk K After 'Indication'
Harian Metro
Empat anak restu pilihan pilihan
Pantun bapa Siti Nurhaliza
Technorati Tags: nukilan, azhad, siti nurhaliza, datuk khalid, kahwin
Ringkasan fakta berkaitan Piala Dunia 2006
Juara Itali
Naib Juara Perancis
Ketiga Jerman
Fair Play Brazil dan Sepanyol
Paling Menghiburkan Portugal
Kasut Emas Miroslav Klose (Jerman 5 gol)
Kasut Perak Hernan Crespo (Argentina 3 gol)
Kasut Gangsa Ronaldo (Brazil 3 gol)
Bola Emas Zinedine Zidane (Perancis)
Lev Yashin Gianluigi Buffon (Itali)
Pemain Muda Terbaik Lukas Podolski (Jerman 21 tahun)
Jumlah Gol 147
Jumlah Kad Merah 28
Jumlah Kad Kuning 305
Gol dimasukkan terbanyak
5 gol - Miroslav Klose (Jerman)
13 gol - Jerman
Gol ditembusi terbanyak
10 gol - Serbia Montenegro
Kad Merah terbanyak
2 kad - Croatia, Republik Czech, Itali, Belanda, Portugal, Serbia Montenegro dan Amerika Syarikat
Kad Kuning terbanyak
24 kad - Portugal
4 kad - Costinha (Portugal) dan Asamoah Gyan (Ghana)
Pemain Tertua
Ali Boumnijel (Tunisia 40 tahun)
Pemain Termuda
Theo Walcott (England 17 tahun)
Pemain Tertinggi
Zeljko Kalac (Australia 202cm)
Jan Koller (Republik Czech 202cm)
Nikola Zigic (Serbia Montenegro 202cm)
Pemain Terendah
Christian Lara (Ecuador 162cm)
Technorati Tags: nukilan, azhad, sukan, bola, piala dunia
Juara Piala Dunia 2006 adalah milik pasukan Itali melalui tendangan penalti 5 - 3 selepas masa penuh dan masa tambahan kedudukan terikat 1 - 1. Gol awal tersebut dijaringkan oleh Zinedine Zidane pada minit ke 7 dan Marco Materazzi di minit ke 19.
Kisah duka Perancis sudah mula terbayang apabila Zidane telah dkenakan kad merah kerana menanduk Materazzi di dada pada minit ke 111. Ini merupakan kali ke empat Itali menjadi Juara Piala Dunia.
Edisi piala dunia kali ini melihat sebanyak 147 gol telah dijaringkan. Miroslav Klose dari Jerman adalah penjaring terbanyak dengan 5 gol dan telah dianugerahkan Kasut Emas. Manakala pasukan Jerman merupakan pasukan yang menjaringkan gol terbanyak iaitu 13. Sebaliknya pintu gol yang paling banyak ditembusi ialah Serbia Montenegro dengan 10 jaringan.
Tamatlah sudah Piala Dunia 2006 tetapi jika tidak kesempatan atau ingin melihat semula aksi-aksi perlawanan bolehlah menyaksikan rakaman videonya.
Gambar dan maklumat diperolehi daripada laman web rasmi Piala Dunia 2006 Jerman.
Technorati Tags: nukilan, azhad, piala dunia, juara, kasut emas, video
Kini sudah sampai pada kemuncak kejohanan Piala Dunia 2006 yang akan ditentukan pada 9 Julai ini. Dua pasukan yang tidak diramal dan dijangka untuk sampai ke tahap ini telah berjaya melepasi segala rintangan.
Pasukan Itali telah memenangi 5 perlawanan dan seri 1 perlawanan dalam edisi Piala Dunia 2006 kali ini. Dari 6 perlawanan ini Itali telah menjaringkan 11 gol dan kena 1 gol sahaja. Mereka telah berjaya membuat 45 percubaan tepat ke arah gol lawan, 11 daripadanya dilakukan oleh Totti Francesco dan 9 oleh Toni Luca.
Manakala pasukan Perancis pula telah memenangi 4 perlawanan dan seri 2 perlawanan. Dari keseluruhan perlawanan ini Perancis telah menjaringkan 8 gol dan kena 2 gol. Kekuatan jentera serangan Perancis boleh dilihat dengan 30 percubaan tepat ke arah gol, 11 daripadanya dilakukan oleh Henry Thierry dan 4 oleh Ribery Frank.
Rekod pertembungan kedua-dua pasukan;
7 - - - Main - - - 7
2 - - Menang - - 3
2 - - - Seri - - - 2
3 - - - Kalah - - -2
8 - - Jaringan - - 9
Itali memburu kejuaraan Piala Dunia kali ke empat manakala Perancis untuk kali ke dua. Kedua-dua pasukan mempunyai peluang untuk menjadi juara dan ianya akan ditentukan pada 9 Julai pukul 8.00 malam di Stadium Olimpik, Berlin bersamaan 10 Julai pukul 2.00 pagi di Malaysia.
Kesudahannya dari 8 negara tinggal 4 negara yang akan bertarung merebut dua tiket ke peringkat akhir. Keputusan setakat ini sangat mengejutkan sebahagian besar peminat-peminat bolasepak. Semua perhatian akan tertumpu kepada perancangan dan pecaturan jurulatih-jurulatih 4 negara ini.
Germany lwn Italy
Portugal lwn France
Berdasarkan fakta sejarah kita boleh meneka pasukan mana yang akan melangkah ke peringkat akhir tetapi bola itu bulat dan apa saja boleh berlaku dalam masa 90 minit di padang.
Technorati Tags: nukilan, azhad, piala dunia, separuh akhir
Piala Dunia 2006 sudah lebih daripada separuh perjalanannya. Masih ramai yang tidak kebah dari demam bola.
Lapan pasukan telah berjaya ke peringkat suku akhir dan perjuangan mereka berterusan.
Germany vs Argentina
Italy vs Ukraine
England vs Portugal
Brazil vs France
Argentina pernah menjuarai Piala Dunia sebanyak dua kali iaitu dalam tahun 1978 dan 1986. Naib juara sebanyak dua kali juga iaitu tahun 1930 dan 1990.
Brazil pula tidak dapat disangkal keunggulan mereka di dalam Piala Dunia kerana pernah menjadi juara sebanyak lima kali; 1958, 1962, 1970, 1994 dan 2002. Naib juara sebanyak dua kali; 1950 dan 1998. Di samping tempat ketiga juga dua kali; 1938 dan 1978.
England walaupun mempunyai ramai penyokong di Malaysia tetapi mereka hanya pernah memenangi Piala Dunia sekali sahaja iaitu pada tahun 1966.
France juga berkongsi rekod dengan England hanya menjadi juara pada tahun 1998 sahaja.
Germany mempunyai rekod yang lebih baik dengan memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali iaitu tahun 1954, 1974 dan 1990.
Italy juga tidak kurang hebatnya kerana memegang gelaran juara sebanyak tiga kali juga iaitu pada tahun 1934, 1938 dan 1982.
Portugal pula tidak mempunyai rekod yang memberangsangkan kerana pencapaian terbaik mereka ialah tempat ketiga dalam tahun 1966.
Ukraine merupakan pasukan yang baru pertama kali melayakkan diri ke pertandingan akhir Piala Dunia. Pencapaian mereka setakat ini adalah yang terbaik untuk mereka.
Siapakah yang akan berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke peringkat akhir? Cabarannya akan bermula 1 Julai ini antara Germany dan Argentina.
Technorati Tags: nukilan, azhad, piala dunia, suku akhir