Kenduri kahwin, bersunat, bercuti atau balik kampung adalah antara aktiviti yang dijalankan pada masa cuti sekolah ini. Bagi mereka yang mempunyai anak yang bersekolah adalah yang paling terasa kerana riuh rendah anak-anak di rumah boleh didengar sepanjang hari.

Sebenarnya waktu cuti sekolah begini adalah antara peluang untuk kita mengeratkan hubungan kekeluargaan. Memandangkan sekarang masalah remaja semakin meningkat dan hubungan anak-anak dengan ibubapa semakin renggang apabila mereka meningkat remaja, sesuatu mesti dilakukan. Jangan sangka jika anak-anak kita di depan kita nampak baik, berbudi-bahasa dan alim akan bersikap demikian juga apabila dibelakang kita. Paling mudah untuk mengenali sikap anak-anak kita ialah dengan mengenali kawan-kawan rapat mereka. Walaupun begitu adalah lebih baik jika anak-anak kita dapat bersifat terbuka dan sentiasa telus dengan kita. Namun untuk sampai ke tahap itu perlulah ibubapa berusaha dari awal lagi untuk memupuk kemesraan kekeluargaan.

Di antara pekara yang ibubapa boleh lakukan ialah;

  1. Makan bersama-sama terutama makan malam. Ketika ini cuba mulakan sebarang perbualan berkenaan perkara yang digemari oleh anak-anak. Boleh juga cuba menyuruh mereka bercerita apa yang berlaku pada hari itu. Sebaik-baiknya tv hendaklah ditutup.
  2. Bantu membuat kerja sekolah atau melihat buku kerja dan latihan mereka. Jika tidak dapat menolong cukup sekadar menunjuk minat pada apa yang mereka belajar.
  3. Menghadiri semua acara sukan dan aktiviti mereka. Kalah atau menang berikan sokongan yang menggalakkan.
  4. Bermain bersama-sama permainan kegemaran mereka seperti catur, dam, scrabble atau uno.
  5. Menonton bersama rancangan tv kegemaran mereka.
  6. Keluar bersama sekeluarga melawat saudara mara, berkelah atau menonton wayang.
  7. Bersenam bersama-sama.
  8. Beribadat bersama-sama seperti sembahyang berjemaah, pergi ke masjid atau menghadiri majlis ilmu.
  9. Melakukan kerja-kerja rumah bersama seperti mengecat, memasak, membasuh, berkebun atau membeli barang dapur.
  10. Hantar dan jemput ke tempat mereka hendak pergi. Semasa dalam kereta izinkan mereka memilih saluran radio.
  11. Berbual-bual pendek sebelum mereka tidur sebaiknya ketika ini kita lebih banyak mendengar sahaja. Suruh mereka bercakap tentang pengalaman yang mereka lalui hari itu atau apa saja yang mereka ingin cerita.
  12. Membaca bersama. Berkumpul sekeluarga dan setiap seorang mengambil giliran membaca secara kuat.
  13. Berkongsi hobi atau menunjukkan minat kepada hobi anak-anak.
  14. Bercuti bersama dan libatkan anak-anak dalam proses merancang percutian tersebut.
  15. Pelawa kawan-kawan rapat mereka datang ke rumah untuk bermain atau berkumpul di rumah. Jika boleh sediakan makanan dan jangan ganggu mereka cuma perhatikan tingkah laku mereka.
  16. Setiap hari katakan mereka disayangi. Berikan penghargaan atau kata-kata perangsang untuk apa yang mereka telah lakukan.
Technorati Tags: , , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 5.6.06

0 comments

Post a Comment

Subscribe here