Bulan lepas kita telah meraikan Hari Ibu dan pada hari ini pula tiba giliran kita meraikan golongan bapa pula. Walaupun begitu sambutan Hari Bapa ini agak kurang sedikit hangatnya berbanding dengan Hari Ibu dulu. Tidak mengapalah asalkan kita tidak lupa jasa dan pengorbanan ibubapa kita. Mungkin dengan sekadar ucapan ringkas pada hari ini dapat mengukir senyuman di bibir bapa kita.
Salah satu sebab mengapa anak-anak kurang rapat dengan bapa mungkin kerana cara didikan di peringkat awal. Biasanya bapa digambarkan sebagai satu simbol kuasa dan hakim dalam menjatuhkan hukuman. Misalnya kita biasa dengar ungkapan, "Nanti emak beritahu ayah", "Tunggula... bila bapak kau balik nanti", "Biar.... nanti ayah marah baru tahu" dan seumpamanya. Ini menyebabkan seorang ayah itu dilihat secara negatif. Pada keadaan tertentu seorang anak mungkin mendendami ayahnya.
Seorang bapa itu patut dihormati bukan ditakuti dan sebagai anak kita patut menerima bapa kita seadanya. Dia juga seorang manusia yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Sebagai bapa pula mestilah pandai menyesuaikan diri dengan keperluan dan keadaan semasa mendidik anak-anak. Adakala seorang bapa itu perlu bertegas dan menghukum tetapi ada ketikanya mesti bersedia untuk mendengar dan berbincang. Semua itu perlu diseimbangkan sebab itulah di aliran zaman yang semuanya pantas ini para ibubapa harus melengkapkan diri dengan berbagai ilmu dan kemahiran untuk mendidik anak.
Semoga para bapa semua dapat menjadi ketua keluarga yang memimpin keluarganya membentuk satu unit masyarakat yang positif dan bahagia. Ini hanya boleh dicapai dengan sokongan para ibu dan anak-anak juga.
Selamat Hari Bapa kepada semua para bapa.
TERKINI : Sajak Hari Bapa
Technorati Tags: nukilan, azhad, keluarga, hari bapa
Projek My List dari Malaysia untuk Malaysia telah tamat pada 31 Mei 2007 yang baru lalu. Berikut adalah senarai penuh mereka yang terlibat dalam projek ini.
Technorati Tags: nukilan, azhad, senarai, blogger, Malaysia, my list
Hari ini ialah penghujung kepada cuti sekolah selama dua minggu. Mereka yang belajar di sekolah berasrama hari ini akan mula kembali ke sekolah masing-masing. Mereka yang di sekolah harian mungkin sudah pun menyiapkan keperluan untuk pergi kelas esok. Bagi pemandu pula khususnya di bandar-bandar utama, esok akan kembalilah kesesakan lalulintas.
Cuti sekolah ini saya dapat mengisikannya dengan beberapa aktiviti bersama keluarga. Walaupun begitu ada juga beberapa perkara yang dirancang semasa cuti ini tidak dapat dilakukan samada kerana bertindih masa atau keadaan tidak mengizinkan. Saya tidak dapat menolong adik saya yang berpindah ke rumah baru di Semenyih kerana demam, maaf ye. Undangan kenduri seorang sahabat di Kajang juga tidak dapat dipenuhi kerana pada waktu yang sama kami sekeluarga berada di kampung.
Sebenarnya bagi mereka yang mempunyai anak, masa cuti sekolah inilah kita berpeluang untuk meluangkan lebih masa dengan mereka. Tidak kira samada mereka, belum bersekolah, masih bersekolah atau tidak lagi bersekolah. Masa yang diluangkan secara berkualiti ini pasti memberi kesan yang baik kepada diri anak-anak.
Ramai yang mengatakan semakin dewasa anak semakin renggang hubungan dengan ibubapa. Begitu juga dengan anak-anak bila semakin dewasa mereka semakin menjauhkan diri dari ibubapa. Memang biasa kita mendengar jawapan anak tidak dibawa bersama kerana mereka tidak mahu mengikut terutama apabila menziarahi kaum keluarga. Anak-anak sebenarnya secara amnya boleh dibahagikan kepada 3 peringkat. Jika ibubapa bijak melaksanakan peranan disetiap peringkat, insyaAllah akan sentiasa seronok dan suka bersama-sama keluarga.
Peringkat pertama adalah ketika anak dikandung sehingga berumur 5-6 tahun. Ketika ini anak adalah raja dan seboleh-boleh kita cuba memenuhi segala kehendak dirinya. Peringkat kedua pula ialah tawanan perang iaitu apabila anak mula masuk sekolah sehingga berumur 11-12 tahun. Ketika ini segala jenis peraturan dan panduan hendaklah diwajibkan kepada anak bagi membentuk displin dan tabiat anak. Jika peraturan atau panduan ini tidak dipatuhi hukuman mesti dikenakan. Peringkat ketiga dan terakhir ialah kawan apabila anak mencapai umur akil baligh dan ke atas. Pada masa ini anak hendaklah dilayan seperti kawan dan kita perlu banyak bertolak ansur serta selalu berbincang dengan anak.
Semoga setiap cuti sekolah akan dapat dimanfaatkan dengan baik bersama keluarga. Masa akan terus beredar dan umur semakin meningkat. Kita tidak tahu berapa lama kita dapat meluangkan masa dengan keluarga di masa akan datang. Ibubapa luangkanlah masa untuk anak-anak manakala anak-anak janganlah menjauhkan diri dari keluarga.
Technorati Tags: nukilan, azhad, cuti, sekolah, keluarga
Akademi Al-Quran musim kedua telah pun bermula semenjak 24 Mei 2007 di TV9 secara langsung pada setiap hari Khamis pukul 9.30 malam. Pengacara pada musim ini adalah Farrah Adeeba dan Abu Talib Husin yang menggantikan Nazrey Johani (Raihan). Seramai 16 peserta telah terpilih dan mereka akan bersaing untuk merebut 6 tempat di peringkat akhir.
Peserta atau para pelajar Akademi Al-Quran 2 ini ditempatkan di Institut Latihan Islam Malaysia di Bangi, Selangor. Di sini para pelajar akan dibimbing oleh tenaga pengajar yang terdiri daripada Pasihah Hasim yang akan mengajar taranum, Abdul Jalal Abdul Manaf berkaitan qiraat dan Khairul Anuar Mohamad tentang tajwid.Juara menerima hadiah bernilai RM50,000
Sementara itu panel juri Akademi Al-Quran 2 ini pula terdiri daripada Zamri Mohd. Zainuddin selaku juri tajwid, Nazri Abdullah juri qiraat dan Radzi Kamarul Hailan pula dari segi taranum dan lagu. Markah yang diberi oleh mereka ini akan menentukan samada peserta akan terus kekal dalam Akademi atau digugurkan.
Seramai lebih 600 orang telah hadir di sessi uji bakat yang telah diadakan di 11 lokasi di seluruh negara. Hadiah untuk juara Akademi Al-Quran 2 ini secara keseluruhannya bernilai RM50,000 termasuk wang tunai berjumlah RM30,000.
Akademi al-Quran 2 peringkat akhir akan diadakan pada 18 Julai 2007.
Technorati : akademi al quran, azhad, nukilan, tv realiti, tv9