Hari Raya Aidil Fitri masih lagi meriah disambut terutama dengan majlis rumah terbuka dihujung minggu. Sementara itu Ops Sikap XIII telah pun berakhir dengan mencatatkan jumlah kemalangan sebanyak 15,911 berbanding 15,716 semasa Ops Sikap XI pada hari raya tahun lepas. Jumlah kematian semasa Ops Sikap XIII pula ialah seramai 225 orang di mana 53.8% atau 121 orang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal.

Ini jelas menunjukkan bahawa korban terbesar di jalan raya sepanjang Ops Sikap XIII ialah mereka yang menggunakan motosikal. Begitu juga jika angka kemalangan dan korban untuk sepanjang tahun di semak pasti penunggang dan pembonceng motosikal mewakili jumlah yang tertinggi. Sebahagian besar mereka ini pula terdiri daripada remaja dan belia yang akan menjadi penyumbang kepada kemakmuran negara.

Pada tahun lepas saya sendiri pernah nyaris-nyaris melanggar seorang penunggang motosikal yang jatuh di hadapan kereta yang saya pandu. Jiran kami di kampung juga telah meninggal dunia apabila terlibat dalam kemalangan semasa menunggang motosikal pada tahun lepas. Dia telah dilanggar oleh seorang kanak-kanak berumur 12 tahun yang sudah pastinya tidak mempunyai lesen. Kedua-dua cerita ini boleh dibaca di Kemalangan dan Kemalangan Motosikal.

Sepanjang bulan Syawal ini semua orang akan sibuk menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai. Kanak-kanak dan remaja juga tidak ketinggalan untuk pergi mengunjungi rumah kawan-kawan mereka. Apa yang dapat saya lihat semasa proses kunjung-mengunjung ini, ramai kanak-kanak dan remaja yang menunggang motosikal bersama kawan-kawan yang juga menunggang motosikal. Mereka ini yang sudah pasti tidak mempunyai lesen tetapi apa yang lebih memeranjatkan lagi ialah motosikal itu dibawa dengan kebenaran ibubapa. Malah ada ibubapa yang membenarkan anak remaja mereka yang tidak mempunyai lesen menunggang motosikal jauh ke bandar lain untuk berhari raya di rumah kawan.

Kita semua sedia maklum apabila remaja ini berkumpul dengan rakan sebaya sudah pasti kelakuan dan lagak mereka lebih daripada biasa; menunggang dengan laju, kejar-mengejar dan seumpamanya. Apa yang lebih membimbangkan, laluan yang mereka tempohi ialah jalan yang tersenarai di dalam jalan-jalan yang mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi.

Kenapakah ibubapa begitu mudah membenarkan anak-anak mereka melanggarkan peraturan? Kanak-kanak dan remaja ini mungkin tahu membawa motosikal tetapi adakah mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan undang-undang jalanraya? Tujuan utama diwajibkan mengambil lesen memandu ialah untuk memastikan penunggang itu berkebolehan untuk membawa kenderaan dengan baik dan faham peraturan lalu lintas jalanraya.

Saya masih ingat kepada satu peristiwa yang menimpa kepada kawan adik saya beberapa tahun dahulu. Dia masih belajar di tingkatan tiga tetapi sering membawa kereta bapanya dan pernah ditahan oleh pihak polis. Walaupun pernah ditahan polis dia masih terus menggunakan kereta bapanya. Pada suatu malam dia telah keluar bersama-sama seorang kawan perempuan selepas majlis sambutan hari jadi ke 16. Mereka telah terserempak dengan sebuah kereta peronda dan anggota polis telah mengarahkan dia berhenti.

Bagi mengelakkan ditahan polis sekali lagi, kawan adik saya ini telah cuba melarikan diri. Setelah berlaku kejar-mengejar pihak polis telah berjaya menyekat kereta yang dipandu remaja ini. Semasa seorang anggota polis menghampiri kereta, remaja berkenaan telah tunduk untuk mengambil sesuatu dari bawah kerusi. Anggota polis yang menyangkakan remaja tersebut mengambil senjata api telah melepaskan tembakan. Remaja itu mati di dalam kereta bapanya di atas riba kawan perempuan yang bersamanya.

Menurut adik saya, bapa kawannya itu tidak pernah melarang anaknya membawa kereta walaupun setelah ditahan pihak polis. Bapanya cuma menasihat supaya berhati-hati semasa memandu dan mengelak dari ditahan oleh pihak polis lagi.

Apabila ibubapa membenarkan anak mereka melanggar peraturan, ini secara langsung memberitahu mereka bahawa undang-undang itu tidak perlu dipatuhi. Oleh itu apabila remaja ini melanggarkan peraturan yang lain, siapakah yang harus dipersalahkan? Jika remaja sekarang semakin tidak berdisplin, dimanakah silapnya?

Technorati Tags: , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 30.10.07

3 comments

  1. Selamat Hari Raya, anda sungguh tepat menulis pasal motosikal yang sering dikaitkan dengan rempit, satu fenomena yang menyedihkan.
    www.hanafionline.com

     
  2. Anonymous Says:
  3. salam saudara azhad, salam aidilfitri, moga istiqomah dalam menghidangkan artikel2 yg bermanfaat,

    bila cerita pasal accident ni, malaysia siapa tak kenal, lagi2 bila ade pula ops2 cam hari raya tu, makin dibuat makinlah banyak kemalangan, wallah a'lam ... melalui pemerhatian saya di negara org, ada sesetengah negara tu, undang2 jalan raya tidaklah diambil serous, namun alhmdlh tidak banyak pula kemalangan, sepertimana di mesir, setakat apa yg dapat saya perhatikan, sebenarnya ... wallah a'lam ..

     
  4. Azhad Says:
  5. hanafi & life of aku,
    Salam.... terima kasih.

    Mungkin juga sikap pemandu Malaysia yang tidak bertimbang rasa dan kurang ajar menjadi punca utama kemalangan bukan kerana undang2 jalan raya. Jadi kita perlu mengenal pasti kenapa mereka menjadi begitu bila memandu.

     

Post a Comment

Subscribe here