Tanda tanya yang telah berlegar beberapa minggu kebelakangan ini telah terjawab pada tengahari 13 Februari 2008. Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah memilih tarikh ini untuk mengumumkan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke 12 diadakan. Pengumuman ini telah dibuat pada satu sidang media yang disiarkan secara langsung oleh televisyen dari pejabat beliau di Putrajaya.

Pilihan Raya UmumPada masa yang sama semua Dewan Undangan Negeri kecuali Sarawak juga dinasihatkan agar dibubarkan supaya pilihan raya negeri boleh dijalankan secara serentak. Perdana Menteri telah mengadap Yang di Pertuan Agong Tunku Mizan Zainal Abidin pada sebelah paginya untuk mendapat perkenan baginda.

ini pilihan raya ke 12

Satu penggal Parlimen bersamaan dengan lima tahun tetapi selepas pilihan raya umum 1969, Parlimen sering dibubarkan awal untuk mendapat mandat baru daripada rakyat. Begitu juga kali ini penggal Parlimen sepatutnya berakhir pada 16 Mei 2009 depan dan ini bermakna ianya dibubarkan 15 bulan lebih awal.

Perlembagaan Persekutuan ada menggariskan bahawa pilihan raya umum mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Parlimen. Bagaimanapun, selepas pilihan raya umum 1969, pilihan raya telah berlangsung dalam tempoh 16 hingga 20 hari sahaja dari tarikh Parlimen dibubarkan. Pilihan raya umum ke 11 pada 21 Mac 2004 umpamanya dijalankan dalam tempoh 17 hari dari tarikh pembubaran.

Sejumlah 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri akan dipertandingkan dalam pilihan raya umum kali ke 12 ini. Manakala semasa pilihan raya umum 2004 yang lalu, sejumlah 219 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri telah menjadi rebutan.

Pada ketika itu Barisan Nasional telah memenangi 199 kerusi di Dewan Rakyat manakala pembangkang 20 kerusi, iaitu DAP 12 kerusi, PAS enam kerusi manakala Parti Keadilan Rakyat dan Bebas masing-masing satu kerusi. Manakala di Dewan Undangan Negeri, Barisan Nasional memperolehi 453 kerusi, PAS 36 kerusi, DAP 15 kerusi dan Bebas 1 kerusi.

Difahamkan terdapat kira-kira 700,000 orang pengundi baru daripada sejumlah 10.9 juta pemilih berdaftar yang layak mengundi pada pilihan raya umum kali ini. Para pengundi boleh menyemak daftar pemilih secara online untuk memastikan tempat mengundi dan nama masing-masing ada tersenarai. Untuk pertama kalinya peti undi lutsinar dan dakwat kekal dalam urusan pengundian akan diperkenalkan.

Tarikh penamaan calon dan juga hari mengundi untuk pilihan raya umum ke 12 ini akan hanya diketahui selepas Suruhanjaya Pilihan Raya bermesyuarat. Walaupun tarikhnya belum diketahui semua parti politik pasti telah pun mengerakkan jentera pilihan raya masing-masing.

Technorati Tags: , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 13.2.08

1 Responses to Parlimen Dibubar Untuk Pilihan Raya ke 12

  1. Angel17 Says:
  2. I will recommend this site to my friend. Thanks for posting. Brockton MA Painting Contractors

     

Post a Comment

Subscribe here