Tokoh Kewartawanan Negara Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia kira-kira pukul 5.58 petang 4 September 2008 di Pusat Perubatan Pantai selepas menghadapi jangkitan paru-paru penghujung bulan lalu. Abdul Samad, 84, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Pantai pada 25 Ogos lalu akibat jangkitan paru-paru.

Tan Sri Abdul SamadKeadaan kesihatan beliau, yang juga mesra dengan panggilan Pak Samad, menunjukkan kemajuan pada peringkat awal sebelum kembali tenat sejak Sabtu lepas setelah masalah jangkitan paru-parunya merebak ke organ lain.

Anak kelahiran Singapura itu meninggalkan seorang balu Puan Sri Habibah Hamid dan dua anak lelaki dan lapan anak perempuan termasuk blogger dan bekas wartawan Nuraina dan Maria selain 26 cucu serta empat cicit. Habibah dan anak perempuannya, Nurazrina berada di sisi ketika beliau menghembuskan nafas terakhir. Isteri pertamanya Hamidah Hassan meninggal dunia pada 2 Jun 1990.

Jenazah beliau akan disemadikan di perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat, hari ini.

Pak Samad, dilahirkan di Geylang, Singapura pada 18 April 1924. Beliau menamatkan persekolahan Senior Cambridge pada 1940.

Pak Samad mula menempuh alam pekerjaan dengan Utusan Melayu ketika berusia 16 tahun, kemudian sebagai pengarang Berita Malai (1944) pada zaman Jepun sewaktu berusia 20 tahun.

Pada 1946, beliau dilantik sebagai penolong pengarang, Utusan Melayu. Beliau juga pernah bertugas sebagai wakil Utusan Melayu di Jakarta.

Pada 1959, Pak Samad dilantik sebagai pengarang pertama akhbar Berita Harian, sebelum menjadi pengarang urusan bagi kumpulan akhbar The New Straits Times (1974).

Pada 1984, Pak Samad dilantik sebagai penasihat jabatan pengarang bagi kumpulan akhbar berkenaan sehingga beliau bersara pada 1988.

Pak Samad aktif dalam pergerakan politik. Pada 1947, bersama-sama Abdul Aziz Ishak, beliau menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (Geram). Penubuhan itu menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bawah pimpinan Dr Buhanuddin Al-Helmi dan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) di bawah pimpinan Tan Cheng Lock.

Pak Samad juga terbabit dalaqm pakatan Anti-British League bersama-sama PB Sharma, JJ Putucheary, Devan Nair dan John Eber.

Beliau pernah ditangkap dua kali di Singapura oleh pemerintah British (1946 dan 1951). Ekoran daripada Peristiwa Natrah pada 1951, beliau dipenjarakan di Pulau Sekinchan kerana dituduh sebagai penghasut yang menyebabkan peristiwa perkauman.

Pada 1976, Pak Samad ditangkap lagi, tetapi kali ini oleh kerajaan Malaysia, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dituduh bersimpati dengan komunis.

Beliau dibebaskan pada 1981 oleh pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran daripada Tun Hussein Onn (yang memenjarakan Pak Samad).

Pak Samad turut menyertai rombongan "Malaysia Merdeka" yang pertama ke London (1953). Pembabitan Pak Samad dalam politik secara aktif bermula pada pertengahan dekad 1950-an apabila beliau turut terbabit dalam penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura pada 1954.

Beliau kemudian menyertai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) Singapura pada 1958.

Pak Samad menceburi bidang penulisan kreatif sejak zaman pemerintahan Jepun. Cerpen ciptaan awalnya terkumpul dalam antologi seperti Mekar dan Segar (1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan (1963).

Cerpen yang ditulis pada dekad 1960-an dan belum pernah tersiar sebelum itu, akhirnya dikumpulkan dalam dua kumpulan persendiriannya yang berjudul Temasya Tinta (1967) dan Mastura (1967).

Antara 1966 hingga 1975, Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkannya ialah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Detik-Detik Cemas (1969), Hussen Zet (1960) dan Sutinah (1975).

Buku lain termasuklah Mengasah Bakat (1966), Kursus Wartawan (1966), Bimbingan Penulis (1967) dan Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993).

Sebagai seorang aktivis bahasa dan budaya, Samad turut menyarankan peningkatan penggunaan bahasa Melayu dan di kemuncak perjuangannya, beliau menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula dicetuskan pada 1968.

Selaras dengan perjuangannya dalam bidang sastera, beliau menjadi pengasas Angkatan Sastewawan 50 (Asas 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur.

Pada 1971, Pak Samad dilantik sebagai ahli panel Hadiah Karya Sastera anjuran kerajaan. Pada 1974, Pak Samad menerima Anugerah Ramon Magsaysay.

Pada 1976, Kerajaan Malaysia menganugerahkan Hadiah Pejuang Sastera kepada Pak Samad di atas jasa dan sumbangannya dalam bidang penulisan.

Pada 1987, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh UKM, sementara Institut Akhbar Malaysia (IAM) memberikannya gelaran Tokoh Wartawan Negara.

Tan Sri Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun di UKM (1991-1993). Kemudian mulai Oktober 1993, beliau menjadi Karyawan Tamu di Jabatan Penulisan Universiti Malaya.

Sejak 1992, Pak Samad dilantik sbeagai pengerusi Panel Menggubal Dasar Komunikasi Negara. Pada tahun itu beliau dianugerahi darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri.

Cerita lanjut tentang keadaan Pak Samad sebelum ini diceritakan oleh anak beliau di blognya Nuraina A Samad's 3540 Jalan Sudin.

Salam takziah kepada ahli keluarga allahyarham, al-Fatihah.

Technorati Tags: , , , ,

AddThis Social Bookmark Button
Posted by Azhad 5.9.08

2 comments

  1. Anonymous Says:
  2. innalillah wa inna ilaihi rojiun... satu kehilangan besar buat kita semua...

     
  3. Angel17 Says:
  4. You did a great job in posting this very informative blog. Godbless in your future blog posting soon. Porch Screening Venice, FL

     

Post a Comment

Subscribe here