Ramadhan tinggal beberapa hari lagi dan Aidil Fitri pun menjelang tiba. Mulai hari ini mereka yang mencari rezeki di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur akan mula bergerak pulang ke kampung halaman masing-masing untuk berhari raya. Ini secara langsung akan meningkatkan jumlah kenderaan di jalan raya dan lebuh raya lalu menyebabkan kesesakan lalu lintas.
Apabila jumlah kenderaan bertambah maka bilangan kemalangan juga meningkat. Menurut statistik kemalangan jalan raya jumlah kematian bagi tahun 2005 ialah 6188 orang, 2006 seramai 6287 orang dan 2007 seramai 6282 orang. Maka sebab itulah sebelum sesuatu perjalanan dimulakan dan ketika dalam perjalanan semua langkah-langkah keselamatan perlu diambil.
Sebelum memulakan perjalanan pastikan kenderaan telah diperiksa dan diservis. Masa perjalanan dan jalan yang akan diikuti juga perlulah dirancangkan dengan baik. Di samping itu semak juga jalan alternatif lain sebagai persedian jika jalan yang biasa digunakan terlalu sesak. Malah pemandu juga perlulah mendapat rehat yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
Semasa dalam perjalanan memandulah dengan cara berhemah dan berhenti berehat bagi menghilangkan rasa letih atau mengantuk. Apa yang penting jangan berjanji dengan mereka yang menunggu di kampung pukul berapa kita akan sampai kerana ini akan menyebabkan kita tergesa-gesa memandu untuk sampai pada waktu yang ditetapkan.
Bagi memudahkan para pengguna, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM1) akan menyiarkan keadaan trafik terkini pada masa nyata bagi memudahkan lebih 1.4 juta pengguna lebuh raya merancang perjalanan pulang ke kampung.
Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Mohamad Razali Othman, berkata pihaknya akan 'berkongsi' pemantauan lebuh raya dengan pengguna sepanjang musim perayaan untuk menggalakkan pengguna memilih masa sesuai serta merancang perjalanan mereka.
Katanya, untuk tujuan itu lebih 200 unit kamera di lebuh raya termasuk di sekitar Kuala Lumpur akan digunakan bagi memastikan kelancaran trafik selain menambah jumlah kakitangan bertugas sepanjang tempoh puncak yang dijangka bermula sabtu ini.
Sementara itu Plus Expressways Berhad (Plus) pula telah mengeluarkan jadual perjalanan sempena Aidilfitri membabitkan tiga peringkat bermula hari Sabtu 27 September bagi mengelak kesesakan di Lebuh Raya Utara-Selatan.
Jadual perjalanan itu disarankan pelaksanaannya sepanjang lima hari waktu puncak warga kota menggunakan lebuh raya berkenaan iaitu mulai Sabtu dan Ahad ini, 30 September (sehari sebelum Aidilfitri), serta 4 dan 5 Oktober ini bagi perjalanan pulang ke ibu kota.
"Plus juga menawarkan perkhidmatan SMS Plus Mobile Alert (PlusMA) pada 27, 28 dan 30 September serta 4 dan 5 Oktober ini, dengan kadar 30 sen satu SMS bagi maklumat trafik terkini Lebuh Raya Utara-Selatan," katanya.
Beliau berkata, laluan kontra tiga lorong akan dibuka mulai Persimpangan Sungkai ke Persimpangan Slim River bagi perjalanan pulang ke ibu kota pada 4 dan 5 Oktober ini jika keadaan trafik didapati sesak.
Bagi sebarang pertanyaan mengenai perkhidmatan SMS PlusMA serta berita trafik mutakhir, pengguna lebuh raya berkenaan boleh menghubungi PLUSLine di 1 800-88-0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari.
Technorati Tags: aidil fitri, hari raya, balik kampung, ramadhan, kemalangan, jalan raya, lebuh raya, plus
salam Aidil Fitri... musim raya ni macam perang. ramai yg terkorban... berhati2 di jalan raya!
Nice blog. Thank you for sharing. Pool Screen Installation Punta Gorda, FL