Satu temu janji yang tidak akan dilepaskan oleh mereka yang minat membaca adalah untuk melapangkan masa menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang saban tahun diadakan pada bulan April. Jika anda tidak minat membaca pun datanglah membawa anak-anak supaya dapat memupuk minat mereka membaca.

Logo Pesta Buku Antarabangsa Kuala LumpurDi pesta buku ini kita boleh mendapatkan bahan-bahan bacaan yang terkini dan berkualiti serta menyertai aktiviti-aktiviti yang disediakan. Pesta buku yang bermula 27 tahun dulu ini juga merupakan satu acara utama bagi industri buku di Malaysia.

Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 ini akan berlangsung seperti berikut;

Tarikh : 4 - 13 April 2008

Waktu dibuka;
10.00 am hingga 7.00 pm (Isnin-Khamis)
10.00 am hingga 10.00 pm (Jumaat-Ahad)

Tempat : Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur

Masuk percuma.

Selain pameran dan jualan buku, PBAKL 2008 juga menyediakan pelbagai program ilmiah dan aktiviti santai yang berkaitan dengan pembacaan, penulisan dan penerbitan. Di antaranya termasuklah Persidangan Antarabangsa Industri Buku, bengkel penulisan, pelancaran buku, pertandingan bercerita dan melukis, ulasan buku, dan sebagainya. Kementerian Pelajaran Malaysia juga akan mengadakan Anugerah NILAM anjurannya sempena PBAKL 2008 ini.

Jumpa di sana.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 31.3.08 1 comments

Majalah Malaysian Business keluaran Februari 2008 telah menyenaraikan 40 orang yang terkaya di Malaysia berdasarkan jumlah pegangan saham yang dilaporkan di bursa saham dan lain-lain pegangan saham yang boleh dinilaikan pada 18 Januari 2008. Blog ini pernah juga memaparkan 40 orang terkaya di Malaysia pada tahun lepas berdasarkan kajian yang di buat oleh majalah Forbes.

Terkini : Senarai 40 Terkaya di Malaysia 2008 oleh Forbes Asia.

Tan Sri Robert Kuok orang terkaya

Berdasarkan kedua-dua senarai tersebut Raja Gula, Tan Sri Robert Kuok Hock Nien, 84, kekal sebagai orang terkaya Malaysia. Turut tersenarai Ong Beng Seng, jutawan harta yang kini tinggal di Singapura adalah orang yang bertanggungjawab membawa perlumbaan Formula One ke republik itu. Hanya ada dua orang wanita yang tersenarai iaitu Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah dan Puan Sri Chong Chook Yew.

Manakala bumiputra yang berada dalam senarai tersebut adalah seramai 8 orang. Mereka selain daripada Raja Datuk Seri Eleena adalah Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, Tan Sri Azman Hashim, Datuk Mokhzani Mahathir, Tan Sri Hamdan Mohamad, Tan Sri Rozali Ismail, Shaari Ismail dan Datuk Abdul Hamed Sepawi.

Berikut adalah senarai 40 orang yang terkaya di Malaysia berdasarkan kajian yang dibuat oleh majalah Malaysian Business;

1. Robert Kuok Hock Nien, 84, RM 58.110 billion, Kerry/Kuok Group

2. Tan Sri T. Ananda Krishnan, 69, RM 19.625 billion, Usaha Tegas

3. Tan Sri Lee Shin Cheng, 69, RM 14.943 billion, IOI Group

4. Tan Sri Quek Leng Chan, 65, RM 11.098 billion, Hong Leong Group

5. Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, 57, RM 8.550 billion, Albukhary Foundation

6. Tan Sri Teh Hong Piow, 78, RM 8.06 billion, Public Bank

7. Tan Sri Tiong Hiew King, 71, RM 3.87 billion, Rimbunan Hijau

8. Tan Sri Vincent Tan, 56, RM 3.40 billion, Berjaya Group

9. Tan Sri Lim Kok Thay. 56, RM 3.16 billion, Genting Group

10. Tan Sri Azman Hashim, 68, RM 2.87 billion, Arab-Malaysian Corp

11. Datuk Lee Yeow Chor, 42, RM 2.33 billion, IOI Group

12. Lee Yeow Seng, 29, RM 2.29 billion, IOI Group

13. Tan Sri Yeoh Tiong Lay, 78, RM 1.74 billion, YTL Group

14. Ong Beng Seng, 62, RM 1.73 billion, Hotel Properties Ltd

15. Tan Sri Jeffrey Cheah Fook Ling, 62, RM 1.49 billion, Sunway Group

16. Datuk Yaw Teck Seng, 70, RM 1.39 billion, Samling Group

17. Datuk Seri Lee Oi Hian, 58, RM 1.304 billion, Batu Kawan

18. Datuk Lee Hau Hian, 55, RM 1.301 billion, Batu Kawan

19. Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping, 54, RM 0.99 billion, YTL Group

20. Datuk Mokhzani Mahathir, 46, RM 0.97 billion, Kencana Petroleum

21. Datuk Yeoh Seok Hong, 49, RM 0.883 billion, YTL Group

22. Datuk Yeoh Seok Kian, 51, RM 0.881 billion, YTL Group

23. Datuk Micheal Yeoh Sock Siong, 48, RM 0.87 billion, YTL Group

24. Datuk Mark Yeoh Seok Kah, 43, RM 0.86 billion, YTL Group

25. Tan Sri Hamdan Mohamad, 52, RM 0.85 billion, Ranhill

26. Raja Datuk Seri Eleena Raja Azlan Shah, 47, RM 0.83 billion, Gamuda

27. Tan Sri Dr Lim Wee Chai, 50, RM 0.78 billion, Top Glove Corp

28. Tan Sri Kua Sian Kooi, 56, RM 0.75 billion, Kurnia Asia

29. Puan Sri Chong Chook Yew, 85, RM 0.71 billion, Selangor Properties

30. Datuk Tony Tiah Thee Kian, 61, RM 0.67 billion, TA Enterprise

31. Datuk Tan Chin Nam, 82, RM 0.61 billion, Tan & Tan

32. Tan Sri Rozali Ismail, 52, RM 0.59 billion, Puncak Niaga Holding

33. Shaari Ismail, 53, RM 0.57 billion, Puncak Niaga Holding

34. Datuk Seri Panglima Lau Cho Kun, 72, RM 0.533 billion, Gek Poh Holdings

35. Datuk Lin Yun Ling, 52, RM 0.532 billion, Gamuda

36. Datuk Seri Liew Kee Sin, 49, RM 0.52 billion, SP Setia

37. Ong Leong Huat, 64, RM 0.50 billion, OSK Holdings

38. Datuk Abdul Hamed Sepawi, 57, RM 0.49 billion, Naim Cendera Holdings

39. Datuk Tony Fernandes, 43, RM 0.47 billion, AirAsia

40. Kwan Ngen Chung, 48, RM 0.40 billion, Kwantas Corp

Perlu diingat bahawa nilai yang disebut di atas adalah berdasarkan maklumat yang boleh didapati secara umum dan ditolak hutang yang diistiharkan. Sudah tentu ada lebih ramai mereka yang mempunyai nilai harta yang sama atau lebih daripada yang tersenarai di atas. Nama mereka tidak ada di sini kerana pegangan saham tersebut tidak dapat dikaitkan secara langsung kepada mereka.

Senarai ini diperolehi daripada blog Warkah.

Technorati Tags: , , , , , , ,







Reblog this post [with Zemanta]

Posted by Azhad 25.3.08 5 comments

Ulang tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 Mac diraikan penuh penghormatan dan penghayatan dengan mengadakan pelbagai acara keagamaan di seluruh negara seperti ceramah agama, nasyid, berselawat, berzanji, meraikan golongan fakir dan miskin.

Semua ini adalah sebagai tanda kasih umat Islam terhadap pemimpin agung yang menjadi manusia istimewa pilihan Allah. Kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin agung adalah rahmat bagi sekalian alam.

12 Rabiulawal ~ 20 Mac

Kelahiran Rasulullah SAW mengubah kehidupan umat manusia di dunia daripada masyarakat yang dulunya kufur bertukar menjadi taat dan mentauhidkan Allah. Jelaslah kelahiran Baginda SAW benar-benar membawa perubahan besar dalam pelbagai aspek kehidupan manusia. Itulah rahmat dan nikmat daripada Allah mengutus junjungan besar Nabi Muhammad SAW ke muka bumi ini.

Allah berfirman yang bermaksud, "Dan tiada Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Perjuangan Rasulullah SAW menyebarkan dakwah Islam penuh dengan peristiwa pahit dan getir. Baginda menempuh pelbagai ancaman dan halangan; menghadapi bermacam kesengsaraan, penderitaan dan penindasan. Namun begitu, Baginda tetap tabah, sabar dan tidak putus asa menjalankan perintah serta amanah Allah. Akhirnya Baginda berjaya menegakkan kebenaran di muka bumi ini. Lihatlah betapa besarnya pengorbanan Rasulullah SAW dalam menghadapi kekufuran dan kezaliman musuh Islam.

Rasulullah SAW adalah manusia pilihan dan paling istimewa. Oleh itu, Allah memperlengkapkan Baginda dengan budi pekerti mulia. Peribadi baginda benar-benar luhur, manakala jiwa dan hatinya pula suci bersih. Dengan memiliki keperibadian unggul Baginda berjaya melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab diamanahkan Allah kepadanya.

Keunggulan keperibadian Baginda SAW dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah selalu (dalam masa susah dan senang)." (Surah al-Ahzab, ayat 21)

Kehidupan Nabi Muhammad SAW mengandungi pengajaran dan contoh teladan yang baik. Jika diikuti, maka kehidupan manusia seluruhnya akan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Banyak contoh ditunjukkan Rasulullah SAW dalam mentaati dan beriman kepada Allah merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia seperti ibadah, muamalat, politik, hubungan kemasyarakatan dan akhlak. Baginda juga pemimpin agama, negara, suami, bapa, pendidik, pendakwah dan pejuang.

Kejayaan Rasulullah SAW yang paling ketara apabila Baginda berjaya mengubah jiwa manusia daripada sifat kebatilan kepada kebenaran; kezaliman kepada keadilan dan kemunduran kepada kemajuan.

Hasilnya, lahirlah manusia yang bertakwa kepada Allah dan cintakan kebaikan. Contohnya, Saidina Umar al-Khattab yang pada mulanya seorang yang memusuhi Islam menjadi komited dengan ajaran Islam, berperibadi mulia dan dihormati. Begitulah juga Bilal bin Abi Rabah, seorang sahabat yang tabah dan sabar menghadapi penderitaan akibat penyeksaan musuh Islam demi menegakkan agama Islam.

Sempena bulan mulia ini, umat Islam diseru supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mengingati sejarah pengorbanan Rasulullah SAW dalam menegakkan agama Islam dengan membanyakkan selawat kepadanya. Selamat menyambut Maulidur Rasul 1428.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 19.3.08 1 comments

TERKINI : Tarikh Keputusan Peperiksaan SPM STAM STPM 2008
Pada minggu lepas tiga keputusan peperiksaan telah diumumkan. Bermula dengan keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 11 Mac 2008. Disusuli pula dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada 12 Mac 2008. Secara keseluruhannya pencapaian calon-calon ketiga-tiga peperiksaan ini boleh dibanggakan.

Azali 20 1A & 1 2A

Seramai 56,896 atau 91.62 peratus daripada 66,047 calon STPM 2007, lulus penuh atau peringkat prinsipal bagi sekurang-kurang satu subjek, meningkat 0.75 peratus berbanding 90.87 peratus pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah itu, 3,687 atau 5.94 peratus calon lulus penuh lima subjek, 23,101 (37.2 peratus) empat subjek, 12,418 (20 peratus) tiga subjek, 9,234 (14.87 peratus) dua subjek serta 8,456 (13.62 peratus) satu subjek.

Enam belas orang pelajar STPM 2007 dari seluruh negara diumumkan penerima Anugerah Pelajar Cemerlang. Daripada jumlah itu, 11 calon mencatat keputusan gred A bagi semua kertas peperiksaan dalam lima mata pelajaran diambil. Enam daripada mereka adalah pelajar aliran sains yang cemerlang dalam 13 kertas peperiksaan, manakala 5 calon lagi adalah pelajar aliran sastera.

Tiga pelajar istimewa turut menerima anugerah yang sama sebagai menghargai usaha mereka mencapai keputusan memberangsangkan walaupun dalam keadaan cacat. Dua orang pelajar lagi yang menerima Anugerah Pelajar Cemerlang ini adalah calon yang cemerlang dalam ujian Malaysian University English Test (MUET) 2007.

Sementara itu seramai 729 atau 14.8 peratus daripada 4,920 calon STAM 2007 memperoleh keputusan sangat cemerlang atau Mumtaz, meningkat berbanding 694 (13.9 peratus) tahun sebelumnya. Mereka ini adalah sebahagian daripada 3,341 (67.9 peratus) calon yang berjaya mendapat sijil STAM kali ini dengan pangkat sekurang-kurang Maqbul atau lulus.

Seramai 4,920 calon menduduki STAM 2007 yang menawarkan beberapa mata pelajaran meliputi bidang Bahasa Arab, Syariah dan Usuluddin. Di antaranya ialah Hifzil Quran dan Tajwid, Fiqh, Tauhid dan Mantiq, Tafsir dan Ulumuhu, Hadith dan Mustolah, Nahu dan Sarf, Insya’ dan Mutala’ah, Adab dan Nusus, Arudh dan Qafiyah serta Balaghah.

Manakala itu sejumlah 6,247 orang calon daripada 439,255 orang calon yang menduduki peperiksaan SPM 2007 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran ini merupakan satu peningkatan berbanding keputusan 2006 apabila seramai 5,685 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran.

Pencapaian SPM 2007 juga sangat membanggakan apabila 382,286 calon berjaya mendapat sijil berbanding 358,060 pada 2006. Seramai 1,072 calon berjaya mendapat 1A dalam semua mata pelajaran berbanding 1,280 calon pada tahun sebelumnya. Hanya 2,911 atau 0.75 peratus calon gagal (gred 9G) dalam semua mata pelajaran berbanding 2,823 (0.79 peratus) pada 2006.

Pelajar paling cemerlang SPM 2007 adalah Azali Azlan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Yan, Kedah, yang memperoleh 20 1A dan satu 2A dan Quek Hai Ren dari SMK Hwa Lian, Mentakab Pahang yang memperoleh 16 1A.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 17.3.08 7 comments

Pilihan Raya Umum Malaysia ke 12 telah pun berakhir dengan membawa satu perubahan kepada suara rakyat tentang siapa yang akan mewakili mereka di dalam kerajaan. Bermula dengan menafikan majoriti 2/3 Barisan Nasional di Parlimen sehingga 5 negeri kini di bawah pemerintahan parti pembangkang. Berbagai reaksi boleh dilihat apabila angin perubahan atau tsunami pilihan raya ini melanda politik negara kita Malaysia.

Pilihan Raya UmumKeputusan pilihan raya kali ini menyaksikan Barisan Nasional hanya memperolehi 140 kerusi daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, kurang 8 kerusi untuk mendapat majoriti 2/3. Manakala PAS memperolehi 23 kerusi, PKR 31 kerusi dan DAP 28 kerusi.

Sementara itu di peringkat negeri secara keseluruhan Barisan Nasional mendapat 307 kerusi daripada 505 kerusi. PAS pula 83 kerusi, PKR 40 kerusi, DAP 73 kerusi dan Bebas 2 kerusi. Lima negeri yang berjaya ditawan oleh parti pembangkang ialah Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan. Sebenarnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur juga dikuasai oleh parti pembangkang kerana daripada 11 kerusi mereka memperolehi 10 kerusi cuma di sini hanya ada kerusi Parlimen.

Ramai yang terkejut dan ada pula yang gembira dengan gelombang perubahan ini. Persoalan yang bermain di fikiran orang ramai ialah dari mana datangnya angin perubahan ini. Semasa ditemuramah di satu sidang akhbar selepas pilihan raya lepas, Tun Dr Mahathir telah menyatakan kemungkinan ini berpunca daripada anak menantu Pak Lah iaitu Khairy Jamaluddin. Menurut beliau Perdana Menteri lebih mendengar kata-kata menantunya itu daripada maklumat daripada pihak polis, risikan maupun tentera.

Malah ada pula berpendapat ini adalah tindakan pengundi yang sudah bosan dengan pelbagai perkara yang mereka tidak puas hati dengan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini. Secara langsung ini telah menyebabkan sokongan dan kepercayaan kepada parti pembangkang semakin meningkat. Tidak kurang juga mungkin ada pengundi yang pada awalnya hanya ingin mengurangkan majoriti Barisan Nasional tetapi bila sudah ramai yang mempunyai fikiran yang sama maka ramailah calon parti pembangkang yang menang.

Walau apapun pendapat yang diberikan tapi sudah jelas satu lembaran baru politik di Malaysia telah pun bermula. Langkah yang berikutnya ialah untuk memastikan negara dan semua negeri akan dapat ditadbirkan dengan baik berlandaskan kepentingan rakyat bukannya di atas kepentingan pihak tertentu sahaja.

Berdasarkan pengalaman yang lalu negeri yang ditadbir oleh pembangkang susah mendapat kerjasama daripada kerajaan pusat. Ini sudah pasti akan menyulitkan 5 negeri di bawah pentadbiran parti pembangkang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Akibatnya rakyat di negeri berkenaanlah yang akan menjadi mangsa. Bila perkara ini diketengahkan tentu akan ada suara yang menyebut, "padan muka, kenapa pilih pembangkang dulu".

Walaupun begitu diharap perubahan arus politik ini akan memberi manafaat kepada rakyat secara amnya. Inilah peluang parti pembangkang untuk membuktikan kemampuan mereka untuk membela nasib rakyat dan mentadbir negeri dengan lebih cekap. Manakala ini juga peluang untuk Barisan Nasional membaiki kelemahan yang ada dan meningkat kualiti pentadbiran mereka.

Sama-samalah kita pantau perkembangan semasa politik ini sehingga tibanya Pilihan Raya yang ke 13 akan datang bila semua pengundi sekali lagi akan menentukan siapa yang mentadbir negara Malaysia ini.

Technorati Tags: , , , , , , ,

Posted by Azhad 12.3.08 1 comments

Bermula dengan pembubaran parlimen pada 13 Februari, hari ini telah tiba masanya bagi lebih 10 juta rakyat Malaysia yang telah berdaftar dan layak untuk mengundi. Sebenarnya beberapa hari yang terdahulu warga tentera dan polis telah pun melaksanakan tanggungjawab mereka melalui undi pos. Proses undi pos ini telah dijalankan di kem, markas malah di ibupejabat polis dan tentera seluruh negara.

Selamat Mengundi

Parlimen kali ini telah dibubarkan paling awal dalam sejarah, ini telah menyebabkan pihak pembangkang mendakwa tujuan utamanya adalah untuk menghalang Dato' Seri Anwar Ibrahim daripada bertanding. Dato' Seri Anwar hanya layak untuk bertanding dalam pilihan raya selepas pertengahan April 2008.

Panamaan calon telah berlangsung pada 24 Februari lalu dan di hari tersebut Barisan Nasional telah memenangi 7 kerusi Parlimen dan 2 kerusi Dewan Undangan Negeri tanpa bertanding. Manakala PAS juga telah memenangi 1 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Semasa proses penamaan calon tersebut khabarnya telah timbul juga beberapa isu terutamanya yang berkaitan dengan borang penamaan. Di antaranya isu tentang jawatan calon dan borang yang penamaan yang tidak ditandatangani. Malah ada juga desas-desus yang mengatakan calon parti pembangkang telah dibayar untuk tidak terus bertanding.

Sepanjang tempoh berkempen pula berbagai topik yang telah dibangkitkan oleh calon-calon parti-parti yang bertanding berlandaskan manifesto masing-masing. Perkara yang paling ketara ialah tentang isu harga barangan dan harga minyak yang tinggi. Pihak pembangkang menjanjikan harga akan diturunkan jika mereka memerintah. Manakala dipihak Barisan Nasional mempertahankan kenapa harga itu pada tahapnya sekarang.

Walaupun begitu pengumum Suruhanjaya Pilihan Raya untuk membatalkan penggunaan dakwat kekal pada hari mengundi telah mengundang beberapa persoalan dan protes. Malah ada yang mengatakan bahawa harapan untuk memastikan proses pilihan raya yang adil dan telus telah tercalar.

Hari ini 8 Mac jangan ketinggalan untuk pergi mengundi, pastikan pusat mengundi, saluran, nombor siri dan bawa bersama kad pengenalan diri. Inilah masanya anda menjalankan tanggungjawab anda sebagai warganegara Malaysia. Malangnya masih ramai lagi yang belum mendaftarkan diri sebagai pengundi yang sah dan juga yang langsung tidak mengambil tahu tentang proses pilihan raya ini.

Tidak kiralah apa juga pendirian diri anda dan siapa yang anda sokong, mengundi merupakan salah satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh seorang warganegara. Pergilah daftarkan diri anda sebagai pengundi yang sah supaya layak untuk mengundi di pilihan raya ke 13. Bagi yang telah berdaftar, Selamat Mengundi!

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 8.3.08 2 comments

TERKINI : Tarikh Keputusan Peperiksaan SPM STAM STPM 2008

Penantian dan debaran mereka yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun lepas akan terjawab pada minggu hadapan. Keputusan untuk kedua-dua peperiksaan ini akan diumumkan pada 12 Mac 2008 mulai pukul 10 pagi di sekolah masing-masing. Manakala calon persendirian akan mendapat keputusan mereka melalui pos.

12 Mac 2008

Sementara itu pihak Kementerian Pelajaran akan membentangkan analisis untuk keputusan SPM dan STAM 2007 ini pada hari yang sama di Putrajaya. Peperiksaan SPM 2007 telah diduduki oleh seramai 439,255 orang calon yang boleh dibahagikan kepada 87.9 peratus calon sekolah Kementerian Pelajaran, 3.4 peratus calon sekolah kerajaan negeri dan tajaan, 2.4 peratus calon sekolah swasta dan 6.3 peratus calon persendirian.

Peperiksaan STAM pula hanya diduduki oleh seramai 6,552 orang calon sahaja yang melibatkan 13.4 peratus calon sekolah bantuan penuh kerajaan, 61 peratus calon sekolah agama kelolaan kerajaan negeri, 13.8 peratus calon sekolah agama rakyat, 0.4 peratus calon sekolah swasta dan 11.4 peratus calon persendirian.

Ujian amali bagi peperiksaan SPM telah dijalankan dari 24 sehingga 26 September 2007 lalu dan ujian bertulis dari 12 November sehingga 6 Disember 2007. Sementara itu bagi STAM ujian lisannya telah diadakan dari 16 sehingga 20 Julai dan dari 23 sehingga 27 Julai. Ujian bertulis untuk STAM pula telah berlangsung dari 22 sehingga 24 Oktober 2007 dan dari 29 sehingga 30 Oktober 2007.

Walau apapun keputusan yang akan diterima nanti, fikirlah rancangan yang terbaik untuk melanjut pelajaran demi masa depan yang cemerlang.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 4.3.08 0 comments

Subscribe here