Tahun Melawat Malaysia 2007 akan dirasmikan pada hari ini oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu majlis yang penuh gilang-gemilang di Taman Tasik Titiwangsa. Ini seiring dengan sambutan ulangtahun kemerdekaan negara Malaysia yang ke 50 atau sambutan jubli emas tahun ini.

Berbagai aktiviti dan acara telah dirancang sepanjang tahun ini dengan harapan dapat menarik seramai mungkin pelancong ke Malaysia. Kemasukan pelancong ini dapat diterjemahkan dengan wang yang dibelanjakan oleh mereka di sini dan seterus memberi sumbangan dalam ekonomi negara.

Dijangka seramai 20.1 juta pelancong akan mengunjungi Malaysia termasuk 1.7 juta yang bakal datang menyaksikan Pesta Flora yang bermula dari 20 Januari sehingga 4 Februari ini. Tetamu negara Malaysia ini dijangka akan berbelanja sebanyak RM45 bilion semasa berada di sini.

Di samping itu diharap mereka yang merancang untuk melancong ke luar negara akan melancong di dalam negara sendiri kerana sebenarnya ada banyak tempat-tempat yang menarik di sini. Pengaliran wang keluar juga dapat dikurangkan.


Technorati Tags: , , , , ,

Posted by Azhad 6.1.07 0 comments


Hari ini kalendar dan diari 2007 mula digunakan. Mereka yang menanam azam tahun baru sudah mula mencongak-congak bila azam itu akan tercapai. Ada pula yang akan memasuki pejabat baru atau tempat kerja baru. Ada juga yang berpindah ke sekolah baru. Berjumpa dengan kawan baru dan berjumpa dengan orang baru.

Masa sentiasa bergerak tanpa menunggu sesiapa. Kehidupan harian terus diharungi tanpa mengira masa. Umur manusia pasti meningkat tanpa boleh ditangguh. Kita harus menghadapi kehidupan ini dengan membuat berbagai keputusan. Langkah kita hari ini akan mempengaruhi diri kita pada masa hadapan.

Fikir dahulu sebelum melakukan sesuatu. Pertimbangkan semua kemungkinan sebelum membuat keputusan. Selamat Tahun Baru 2007.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 1.1.07 0 comments

Salam Aidiladha kepada semua pembaca. Kepada mereka yang mempunyai sanak saudara di Tanah Suci mengerjakan ibadat haji didoakan mereka sihat dan dapat melaksanakan Rukun Islam ini dengan sempurna, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 31.12.06 0 comments

Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah telah diumumkan pada 28 Disember 2006. Dilaporkan seramai 22,979 orang calon telah mendapat A dalam semua matapelajaran yang diambil. Tahun ini seramai 448,328 orang calon menduduki peperiksaan yang telah berlangsung dari 2 hingga 6 Oktober yang lalu di 3,333 buah sekolah dan maktab.

...22,979 daripada 448,328 calon mendapat semua A...


Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menyenaraikan 100 pelajar cemerlang dengan 20 orang bagi yang mendapat 9A, 60 pelajar bagi yang mendapat 8A dan 20 pelajar bagi yang mendapat 7A.

Mendahului senarai bagi setiap kategori ialah seperti berikut;
Kategori pelajar cemerlang 9A
Fathin Nabilah Abdul Rashid
– Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat, Kota Bharu, Kelantan.

Kategori pelajar cemerlang 8A
Siti Fatimah Kamis
– SM Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Kategori pelajar cemerlang 7A
Lee Julin
– SMK Convent Green Lane, Pulau Pinang.

Manakala pelajar istimewa cemerlang yang disenaraikan oleh LPM adalah seperti berikut;
Nur Atiqah Salamin (rabun)
- SMKA Inanam, Sabah.
Aghilan a/l Narayanan (pekak)
- SMK Jalan Bukit, Hulu Langat, Selangor.
Farah Atiqah Ag Ismail (rabun)
- SMKA Inanam.
Low Hong Ping (cacat)
- SMK Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.
Mohd Khairil Amri Mohd Yussof (rabun)
- SMKA Inanam
Olivia Vinobaa a/p David Christopher (rabun)
- SMK (P) St George, Georgetown, Pulau Pinang.

Tahniah diucapkan kepada mereka yang telah berjaya dengan cemerlang. Bagi mereka yang tidak mencapai apa yang diimpikan pasti merasa sedih. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Memang tidak salah untuk merasa sedih tetapi ingatlah ini adalah ketentuan Allah swt dan pasti ada hikmahnya. Kuatkan semangat diri dan semak kelemahan yang ada. Kekurangan hari ini jadikan anjakan untuk cemerlang pada masa hadapan. Fokus pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang lebih penting kerana ia penentu kepada jurusan dan institut pengajian tinggi yang boleh dijejaki.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 29.12.06 5 comments

Pada hujung minggu yang lepas aku telah pergi ke Jomheboh di Shah Alam. Ini merupakan kali pertama aku mengunjungi Jomheboh maupun Sureheboh dahulu. Kalau tidak kerana desakan dan pujukan anakku pasti aku lebih suka menghabiskan masa hujung minggu bersantai di rumah sahaja. Anakku beriya-iya hendak pergi kerana telah terpengaruh dengan iklan dan promosi yang ditayangkan tanpa henti di kaca televisyen.

Baru-baru ini aku telah pergi menonton filem Cinta, itupun setelah dipujuk oleh isteriku yang juga terpengaruh dengan iklan dan promosi tanpa henti filem ini di televisyen. Begitu kuat kuasa televisyen sehingga mampu menyelinap kefikiran kanak-kanak dan orang dewasa serta menpengaruhi keputusan yang dibuat.

Malah ada sebahagian daripada kita yang mengatur perjalanan kehidupan harian dengan berpandukan siaran televisyen. Ada kerja yang tertangguh kerana hendak menonton dulu, ada jemputan tidak dapat dipenuhi kerana bertembung dengan rancangan kegemaran. Malah tidak dinafikan ada yang lalai dalam memenuhi tanggungjawab masing-masing hanya kerana menonton televisyen.

Semua rumah sekarang mempunyai televisyen tetapi jangan terkejut jika aku katakan bahawa ada orang yang langsung tidak mempunyainya di rumah. Cuba bayangkan jika rumah anda tidak ada televisyen? Bayangkan juga masa tambahan yang anda ada jika tidak asyik menonton? Fikirkanlah........

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 19.12.06 2 comments

Di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 29 November 2006 telah tersiar berita tentang seorang lelaki berusia 57 tahun ditahan reman bagi membantu siasatan kes panggilan dan penghantaran khidmat pesanan ringkas (sms) berhubung ancaman bom di bangunan mahkamah Kota Bharu.

Person91 telah bertanya kepada saya samada saya ada membaca berita tersebut dan apakah komen saya tentang perkara ini. Laporan berita ini boleh di baca di Utusan Malaysia.

Pada pendapat saya, setiap tindakan yang dilakukan oleh manusia pasti mempunyai sebab dan niat yang tertentu. Walaupun ada ketikanya sebab dan niat itu tidak jelas. Tambahan lagi setiap tindakan kita pasti juga dipengaruhi oleh cara kita berfikir dan emosi kita ketika itu. Ilmu dan pengalaman juga memainkan peranan.

Selalu juga kita dengar sebelum sesuatu keputusan dilaksanakan, pertanyaan akan timbul,'Apa nanti orang kata?'. Sepatutnya kita menimbangkan apa agama Islam kata dan apa undang-undang kata, halalke, haramke, bolehke atau dilarang?

Oleh itu perkara utama yang perlu difikirkan samada betul atau salah sesuatu perbuatan itu hendaklah berlandaskan hukum agama Islam dan undang-undang yang ada. Bila hendak membuat sesuatu itu jangan terburu-buru tetapi renungkan sejenak apakah akibatnya jika kita melaksanakannya.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 13.12.06 2 comments

Tahniah!! Kontijen Malaysia berjaya meraih 174 pingat yang merangkumi 44 pingat emas, 59 pingat perak dan 71 pingat gangsa. Malaysia berada di tangga ke empat di belakang Korea, Thailand dan China. Sasaran jumlah pungutan pingat sebelum kejohanan bermula adalah 100 pingat dengan 10 pingat emas di kedudukan 10 pasukan terbaik. Ini bermakna semua sasaran itu telah berjaya dicapai.

... 44 emas, 59 perak dan 71 gangsa ...

Kesungguhan dan semangat juang para atlit OKU ini patut dicontohi oleh semua. Ianya bukan saja setakat dalam bidang sukan sahaja tetapi dalam segala perkara kehidupan seharian. Mudah sahaja cuba kita tanya para pelajar yang akan menduduki peperiksaan, pasti mereka nak mendapat keputusan yang cemerlang tetapi adakah usahanya setimpal dengan apa yang diharapkan? Begitu juga dengan apa saja yang kita inginkan, adakah usaha kita setanding dengan apa yang ingin kita capai?

Usaha tangga kejayaan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Hendak seribu daya, tidak hendak seribu alasan. Semoga kita dapat memperolehi apa yang kita hajatkan dengan berkat usaha dan tekad serta keizinan daripada Allah s.w.t.

Tahniah sekali lagi kepada kontijen Malaysia dan jika ingin melihat pungutan penuh pingat di kejohanan ini sila kunjungi Fespic KL06.


Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 4.12.06 0 comments

Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar akan bermula pada 1 Disember dan berakhir pada 15 Disember 2006 ini. Sebanyak 39 jenis sukan akan dipertandingkan di 16 lokasi sekitar Qatar. Dilaporkan seramai 10,500 orang atlit daripada 45 buah negara akan berjuang di kejohanan kali ke 15 ini.

Malaysia menghantar 231 orang atlit untuk bertanding dalam 23 jenis sukan. Semasa Sukan Asia ke 14 di Busan Korea Selatan empat tahun lalu, Malaysia berada di tangga ke 12 dengan kutipan 6 pingat emas, 8 pingat perak dan 16 pingat gangsa.

Di Doha ini Malaysia mensasarkan untuk meraih 40 pingat yang merangkumi 9 pingat emas, 12 pingat perak dan 19 pingat gangsa. Rekod terbaik pingat emas Malaysia ialah 7 emas semasa kejohanan di Bangkok pada tahun 1966.

Untuk maklumat lanjut sila kunjungi Sukan Asia 2006.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 29.11.06 0 comments


Sukan Orang Kurang Upaya(OKU) terbesar di rantau Asia Pasifik akan diadakan di Kuala Lumpur dari 25 November sehingga 1 Disember 2006 ini. Sebanyak 19 jenis sukan akan dipertandingkan iaitu memanah, olahraga, badminton, angkat berat, lawan pedang, boccia, lumba basikal, goalball, judo, bowling, bowling padang, bola sepak, kapal layar, menembak, renang, ping pong, bola tampar duduk, bola keranjang berkerusi roda dan tenis berkerusi roda. Seramai lebih 2,500 orang atlit dan 1,000 pegawai daripada 47 negara dijangka akan hadir untuk kejohanan ini.

Kesemua acara sukan dalam kejohanan ini akan diadakan di sekitar Kuala Lumpur, Putra Jaya dan Selangor kecuali acara kapal layar di Port Dickson. Sementara itu larian obor telah bermula pada 7 Mei di Labuan dan akan berakhir pada hari perasmian kejohanan pada 25 November ini. Terdahulu larian obor ini telah diadakan di negara China dan Singapura.

Pingat yang ditawarkan merangkumi 567 emas, 567 perak dan 652 gangsa. Kontijen Malaysia dengan 288 atlit mensasarkan untuk meraih 100 pingat, 10 daripadanya emas. Malaysia telah memperolehi 2 emas, 28 perak dan 37 gangsa di kejohanan yang sama 4 tahun lalu di Busan, Korea Selatan. Kali ini Malaysia akan cuba untuk berada di antara 10 pasukan yang terbaik.

Pihak pengajur amat mengalu-alukan kehadiran orang ramai untuk memberi sokongan kepada atlit-atlit negara yang akan beraksi dalam kejohanan sukan kedua terbesar atlit kurang upaya ini. Sementara itu sebanyak 1.9 juta tandatangan telah dikumpul sebagai tanda sokongan moral kepada atlit yang akan bertanding. Pihak penganjur mensasarkan untuk mendapat sebanyak 3 juta tandatangan. Orang ramai boleh menurunkan tandatangan dan menyertai berbagai aktiviti di KL'06 Fest yang diadakan Stadium Bukit Jalil sepanjang kejohanan ini berlangsung.

Maklumat lanjut sila kunjungi KL 06 Fespic Games


Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 21.11.06 4 comments

SPM

Ujian bertulis untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan bermula pada 14 November dengan 43 kertas berlainan. Manakala Lukisan Kejuruteraan adalah merupakan kertas peperiksaan yang terakhir pada 8 Disember nanti.

... seramai 416,717 calon SPM tahun ini ...

Dilaporkan seramai 416,717 orang calon mengambil peperiksaan SPM pada tahun ini. 358,872 (86.1%) adalah calon sekolah Kementerian Pelajaran, manakala 16,837 (4%) calon sekolah kerajaan negeri dan tajaan badan-badan tertentu, 12,313 (3%) calon sekolah swasta dan 28,695 (6.9%) calon persendirian.

Difahamkan peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) juga berlangsung dalam tempoh yang sama. Peperiksaan SPM dan STPM ini sebenarnya lebih penting daripada PMR kerana ianya menentukan kelayakan untuk memasuki institut pengajian tinggi dan jenis kursus yang boleh diambil.

Semoga semua calon SPM dan STPM termasuk Aman akan dapat menghadapi peperiksaan ini dengan tenang dan berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 13.11.06 2 comments

Syawal sudah hampir kepenghujungnya tetapi wargakota masih terus sibuk mengadakan atau menghadiri rumah terbuka. Ketika ini dihujung minggu biasanya kalau kita tidak sibuk melayan tetamu, kita akan sibuk memenuhi jemputan. Malah mungkin dalam satu masa kita menerima beberapa jemputan serentak.

Di bulan yang mulia ini kita saling kunjung-mengunjungi dan maaf-bermaafan. Sesama sahabat lebih-lebih lagi sesama sanak saudara. Buang yang keruh ambil yang jernih. Perkara yang lepas biarlah berlalu, kita teruskan kehidupan ini dengan penuh harmoni. Yang muda menghormati yang tua manakala yang lama menghargai yang baru.

Alangkah ruginya di bulan yang mulia ini tidak diambil kesempatan untuk merapatkan yang renggang, mengeratkan yang longgar dan mengutuhkan ikatan kekeluargaan. Sebagai manusia kita pasti ada melakukan kesalahan dan kesilapan malah terlanjur kata serta tertinggi suara.

Mohonlah maaf jika kita yang bersalah dan seikhlasnya memaafkan orang lain yang ada silap dengan kita. Semoga kehidupan kita akan diberkati Allah swt, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 11.11.06 0 comments

Ekad Malaysia
سلامت هاري راي
كڤد
سموا ڤمباچ دري
نوكيلن ججاري ازحد

kredit : Ekad Malaysia

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 20.10.06 0 comments

Sudah dua minggu umat Islam berpuasa untuk tahun ini dan dua minggu lagi Syawal pula akan tiba. Sebahagian daripada kita akan merasa gembira kerana Aidil Fitri sudah semakin hampir tetapi ada juga yang merasa sedih sebab masa untuk mendapat ganjaran beribadat di bulan yang mulia sudah semakin singkat.

Di antara cara untuk kita menambahkan ibadat di bulan Ramadhan ini ialah dengan membaca Al-Quran. Sekarang ini walaupun tiada kitab suci itu bersama-sama, kita tetap boleh membacanya melalui komputer samada menggunakan CD ataupun internet.



Salah satu laman web yang menyediakan kemudahan Al-Quran di internet boleh didapati di Quran Explorer. Al-Quran yang disediakan di laman web ini dibuat dalam bentuk flash dan ini membolehkan ianya digunakan dengan lebih baik. Di sini kita bukan sahaja boleh membaca ayat-ayat suci Al-Quran serta terjemahannya tetapi boleh mendengar kedua-duanya. Kita juga boleh memilih untuk mendengar mana-mana ayat atau surah atau sebahagian daripadanya dengan mudah.

Rebutlah peluang untuk beribadat di bulan Ramadhan ini kerana tahun hadapan belum tentu lagi kita akan dapat bertemu dengan bulan yang mulia ini.

Technorati Tags: , , , ,

Posted by Azhad 6.10.06 0 comments

PMR

Mulai 2 Oktober hingga 6 Oktober 2006 ini akan berlangsungnya peperiksaan bertulis Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi para pelajar tingkatan tiga. PMR telah diperkenalkan dalam tahun 1993 menggantikan Sijil Rendah Pelajaran (SRP). Di antara matapelajaran yang akan diuji ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Geografi, Matematik, Sains, Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam.

Pada tahun ini seramai 448,328 orang calon dari 3,333 buah sekolah menengah akan menduduki peperiksaan ini. Majoritinya dari Sekolah Menengah dan Sekolah Berasrama Penuh iaitu 420,177 orang calon dan bakinya 10,766 orang calon dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama , 2,894 orang calon dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Maktab Tentera DiRaja (MTD), 1,603 orang calon daripada Sekolah Agama Rakyat dan 1,110 orang calon persendirian.

Selepas ini peperiksaan bertulis Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) akan bermula pada 9 Oktober dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pula akan bermula pada 14 November.

Diucapkan selamat menempuh peperiksaan dengan tenang kepada semua calon dan semoga akan berjaya mendapat keputusan yang cemerlang, insyaAllah.

Technorati Tags: , , , , , ,

Posted by Azhad 30.9.06 0 comments

Hari ini 1 Ramadhan 1427 umat Islam mula berpuasa menunaikan salah satu rukun Islam. Di kalangan mereka ini tentu ada yang baru pertama kali belajar untuk berpuasa terutama kanak-kanak dan yang baru memeluk agama Islam.

Ingat lagi masa zaman kanak-kanak dahulu, begitu lambat sekali masa bergerak apabila menunggu masa untuk berbuka puasa dan menjadi orang pertama duduk mengadap juadah berbuka. Bagi yang baru memeluk agama Islam tentu mempunyai cabaran yang lebih hebat kerana sebelum ini puasa adalah sesuatu yang tidak pernah dilalui. Isteri sepupuku berbangsa Cina dan dia telah memeluk agama Islam dua tahun sebelum bernikah. Pada peringkat awal ini memang agak mencabar kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan hukum hakam agama Islam.

Di samping itu ada juga di kalangan kita yang tahun ini berazam untuk mula berpuasa dengan erti kata sebenar. Kita mungkin pernah melalui atau mengetahui bahawa ada yang tidak berpuasa atau berpura-pura berpuasa dalam bulan Ramadhan ini. Baik semasa di sekolah, di IPT atau di pejabat mereka ini akan begitu kreatif untuk mendapatkan makanan di siang hari.

Sebagai sokongan kepada kesungguhan kita melalui bulan yang mulia ini mungkin Panduan Jasmani Puasa ini boleh membantu. Selamat berpuasa dan beribadat di bulan Ramadhan ini, semoga tahun ini kualiti amalan kita lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya, insyaAllah.

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 24.9.06 0 comments

Sejak kebelakangan ini semakin banyak kemalangan yang melibat kenderaan berlaku. Kebanyakan kemalangan ini melibatkan motosikal. Aku sendiri baru-baru ini nyaris melanggar seorang pemandu motosikal yang jatuh di hadapan keretaku. Kejadian berlaku diwaktu pagi semasa semua orang sedang sibuk hendak pergi kerja. Ianya berpunca apabila sebuah kereta telah menukar lorong secara tiba-tiba dan motosikal tersebut tidak sempat mengelak terus melanggar sisi kereta itu.

Syukur aku sempat memberhentikan kereta apabila pemandu motosikal itu jatuh betul-betul di hadapanku. Dia cuma calar-calar dan motosikalnya tidak mengalami kerosakan teruk. Manakala kereta itu pula kemek dikedua-dua pintu belakang dan depan.

Apabila bercerita tentang kemalangan aku teringat tentang beberapa kemalangan yang melibatkan ahli keluargaku. Adik bongsuku pernah terlibat dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan dia terlantar di hospital. Kakinya patah dan terpaksa dimasukkan besi.

Seluruh ahli keluargaku pernah terbabit dalam kemalangan yang agak mengerikan apabila kereta yang dipandu oleh bapaku telah hilang kawalan dan terhumban ke dalam gaung. Alhamdullilah mereka semua selamat tanpa ada satu calar pun di badan tetapi jika melihat keadaan kereta tentu tak percaya. Ketika berlakunya kemalangan itu aku tidak ada bersama-sama kerana ada aktiviti di sekolah.

Walaupun begitu satu ada satu kemalangan yang telah mengubah hidupku. Kemalangan tersebut telah menyebabkan aku kehilangan salah seorang adik yang sangat rapat denganku.

Penulisan yang berkaitan; Raya, Remaja, Motosikal dan Kemalangan

Technorati Tags: , , ,

Posted by Azhad 19.9.06 0 comments

Hari ini bermulalah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) selama 3 hari. Dilaporkan seramai 508,434 orang murid menduduki ujian ini. Ini meliputi 500,561 orang murid dari sekolah bantuan kerajaan dan sebahagian kecilnya 7,783 orang murid adalah dari sekolah swasta. Keputusan ujian ini akan digunakan bagi penepatan ke sekolah menengah terutamanya untuk ke sekolah berasrama penuh dan sekolah terpilih.

Selepas ini Peperiksaan Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) akan menyusul. Sudah pasti bukan saja calon-calon peperiksaan tersebut sahaja yang berdebar-debar malah ibubapa juga turut merasa debarannya.

Bagi mereka yang akan menghadapi peperiksaan-peperiksaan tersebut, haruslah bersedia daripada awal dan gunakan hari-hari yang berbaki ini dengan sebaik mungkin. Berkat usaha yang gigih dan restu ibubapa, insyaAllah kejayaan cemerlang akan dikecapi.

Technorati Tags: , , , , , , ,

Posted by Azhad 4.9.06 0 comments

Subscribe here